Khamis, Januari 26, 2023

KENANGAN ADALAH KELMARIN YANG HIDUP HARI INI


AKADEMI RUPHA

KARYA-KARYA YANG MENDAPAT TEMPAT DI DEWAN SASTERA/DEWAN MASYARAKAT/DEWAN TAMADUN


1. Demi Subur Bumi (DS, Mac 1988)
2. Kerikil (DS, Julai 1988)
3. Pijar Kilau Keris (DS, Januari 1993)
5. Lirik Fajar Cinta (DS, Julai 1995)
7. Di Kundasang Kucari Api (DS, Jun1996)
8. Inflasi (DS, Oktober 1996)
9. Sehabis Pilihan Raya (DS, Oktober 1996)
10. Diam dari Kekasih (DS, Oktober 1996)
11. Mari ke Dalam (DS, Oktober 1996)
12. Di Puncak Gua Tenang (DS, Oktober 1996)
13. Menulis Diari (DS, Oktober 1996)
14. Akar Cahaya (DS, Ogos 1997)
16. Mawar Tak Akan Layu (DS, Januari, 2001)
17. Kepala (DS, Julai, 2001)
18. Rampas (DS, Julai, 2001)
19. Lambaian Keakraban (DS, Julai, 2001)
20. Menghafal Sunyi (DS, Julai, 2001)
21. Kunjungan 3 (DS, Julai, 2001)
22. Mencari Keberanian yang Lain (DS, Julai, 2001)
23. Meski Bukan (DS, Julai, 2001)
24. Memerdekakan Kesedihan (DS, Jun 2002)
25. Wajah di Cermin (DS, Mei 2003)
26. Rimba Raya Kehidupan (DS, Oktober 2003)
27. Lebur yang Abadi (DS, Feb 2004)
28. Tsunami Bukan Hanya pada Nama (DS, April 2005)
29. Selendang Mahabbah (DS, Feb 2006)
30. Perjalanan ke Arah Cahaya (DS, Oktober 2006)
31. Pada Titik (DS, Dis 2006)
32. Kelmarin yang Hidup (DS, Jun 2007)
33. Titik Aku di Bawah Titik Maha Besar-Nya (DS, 2008)
34. Bugar Cinta (DS, Feb 2020)
35. Sabah Maju Jaya (DM, Sept 2021)
36. Sebuah Perbualan Tentang Usia (DS, Feb, 2023)

Jabatan Dokumentasi
RupHA

Selasa, Januari 24, 2023

KARYA YANG MEMENANGI HADIAH SASTERA

HADIAH SASTERA MALAYSIA/
HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA




1. Salam Buat Kekasih
(Harian Ekspres,
17 November 1985)

- Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985

2. Tsunami Bukan Hanya Nama
(Dewan Sastera, April 2005)

- Hadiah Sastera Perdana Malaysia
(HSPM) 2004/2005

3. Pada Hari-Hari Yang Berharga
(Mingguan Malaysia, 20 Mei 2018)

- Hadiah Sastera Perdana Malaysia
(HSPM) 2017/2018



HADIAH SASTERA SABAH

1. Siklus Penyempurnaan
(Harian Ekspres, 18 Disember 1988)

- Hadiah Sastera Sabah 1988/1989

2. Sajak Orang-orang
(Harian Ekspres, 25 Disember 1988)

- Hadiah Sastera Sabah 1988/1989

3. Menghidu Bisikan Api  
(Harian Ekspres, 27 Januari 1991)  

- Hadiah Sastera Sabah 1990/1991

4. Azam   
(Harian Ekspres, 16 Jun 1996)

- Hadiah Sastera Sabah 1996/1997

5. Akar Percakapan
(Harian Ekspres, 16 Ogos 1998)

- Hadiah Sastera Sabah 1998/1999

6. Tin Kosong Sebuah Lagu
(Harian Ekspres, 30 Ogos 1998)

- Hadiah Sastera Sabah 1998/1999

7. Mengapa Harus Berterima Kasih
(Dewan Sastera, Februari 2000)

- Hadiah Sastera Sabah 2000/2001

8. Tak Kedengaran Suara
(Borneo Mail, 24 Februari 2003)

- Hadiah Sastera Sabah 2002/2003

9. Nawaitu
(Harian Ekspres, 23 Mei 2004)

- Hadiah Sastera Sabah 2004/2005

10. Sebagai Ayah Entah Apakah yang Dihargai Anak
(Harian Ekspres, 18 Jun 2007)

- Hadiah Sastera Sabah 2006/2007

11. Perlimbahan Cinta
(Antologi Puisi Sutera Kunjungan, 2010)

- Hadiah Sastera Sabah 2010/2011

12. Mengakar Jihad
(Antologi Puisi Kepada Sahabat, 2013)

- Hadiah Sastera Sabah 2012/2013

13. Membuka Kebenaran
(New Sabah Times, 14 Disember 2014)

- Hadiah Sastera Sabah 2014/2015

14. Memiliki Rupa
(Utusan Borneo, 4 Jun 2017)

- Hadiah Sastera Sabah 2016/2017

15. Tanpa Catatan Penghormatan
(New Sabah Times, 21 Januari 2018)

- Hadiah Sastera Sabah 2018/2019

16. Pusaka
(Antologi Puisi Suara Pada Satu Musim,2020)

-   Hadiah Sastera Sabah 2020/2021



Isnin, Januari 23, 2023

Sahabat





IPS - Kekal dengan dukungan wasatiyyah dan istiqomah



Saya tidak berapa ingat tarikhnya ketika Abd Naddin menemui saya di pejabat apabila saya kata nak undur diri sebagai Ketua Dua IPS. Itu cerita lama. Kini dah lebih 3 dekad saya bersama persatuan penulis ini.

IPS itu bagaimana ya?
Hebat
?
Mantap
?
Terbaik
daripada yang lain? Mungkin ya, mungkin tidak. Pada saya IPS sifatnya sangat sederhana. Dianggotai pengikut yang sederhana. Wawasannya tidak terlalu besar namun tetap berjejak. Ada masanya naik dan turun dari segi aktiviti tetapi tidaklah wajar dilihat tidak memberikan sebarang makna kepada gerakan susastera di Sabah khasnya dan tanah air amnya
Apa IPS dah berikan kepada peta sastera Sabah? Ia telah melahirkan penulis berwibawa. Pada saya sejenis kesungguhan wujud di dalam diri seseorang bahawa apa yang telah saya buktikan tidak bererti itulah pesona IPS kerana setiap orang memiliki personanya sendiri. Mungkin ada pencetusnya, mungkin aktiviti-aktiviti organisasi, mungkin program penataran agensi berkaitan dan yang pasti dari dalam diri seseorang. Dia ada bakat dalam dunia penulisan dan sebagainya dan konsisten. Gigih memperkasa bakatnya, dan kebetulan ia juga bergerak aktif dalam persatuan yang kebetulan penulis yang sangat menunjukkan iltizam yang tinggi untuk melaksanakan aktiviti persuratan dan seumpamanya. Prestasi persatuan yang dianggotainya begitu berwibawa, berintegriti dan istiqomah.
Ciri-ciri ini saya fikir wujud secara semula jadi. Berukhuwwah dalam suasana kesederhanaan. Ketika mengetuai IPS selama 2 dekad kami menjunjung semangat sederhana agar terlepas dari sifat-sifat ujub dan memperkasa hal-hal yang menyebabkan lupa diri kerana menganggap lebih itu dan ini. Kita bersama-sama bangun dan bergerak secara sederhana. Syukurlah, sifat wasatiyyah terus berlaku dan difahami generasi penerus.
Kini generasi kedua menerajui persatuan yang baru berusia 33 tahun. Untuk menuju ke angka 50, sudah pasti IPS terus dinamik kerana pengalaman yang
terbaik
adalah menyertai gagasan semasa bersama kekuatan ahli yang pelbagai latar disiplin mereka. 17 tahun mendatang bukan bermakna hanya untuk tempoh itu, sudah tentu kesiagaan generasi penerus akan dilahirkan dari masa ke masa. Saya yakin pimpinan sekarang memiliki upaya yang tersendiri. Sebagai generasi awal kami bertindak menyokong kewibawaan mereka. Sesungguhnya kecemerlangan akan berlaku seiring keikhlasan dan kesediaan berkongsi kebolehan. InsyaAllah.




SEBUAH PERBUALAN TENTANG USIA


 
Belum kutemui jawapan sejak anakku bertanya ke mana usia
kita berada. Usia di masa lepas itu apa? Apakah kunang-kunang
yang berpesta di pohon-pohon nun jauh di belantara. Atau di
awan-awan senyap di angkasa. 
 
Setiap detik tiba ia berlalu. Semakin membesar menjadi putaran.
Kesehinggaan yang tak terbatas. Matahari dan malam, silih
berganti. Kita mengiranya dalam segala keterbatasan akal.
Bertuahlah dengan keyakinan ada dan tiada terhadap
kemahlukan kita. 
 
Begitu kulelapkan mata, masa tak menangguhkan putarannya.
Ketika bangun telah berlalu sesuatu dan melahirkan masa sudah
demi masa sudah yang tak terisi apa pun. 
 
Siapakah kita? Di sisi Tuhan, kita terlalu mendebu. Di sisi tuan
mungkin dianggap tuhan; apabila berfikir tahap kuasa 
di dunia melangkaui kuasa yang Maha Agung. Manusia menjadi bodoh,
menjadi pengikut yang buta ada masanya. Percayalah kuasanya
tidak akan bertahan. Dia akan layu dan tak bermaya.
 

Hasyuda Abadi

Dewan Sastera, Februari 2023

Ahad, Januari 22, 2023

MALAYSIA MADANI PERLU DIHAYATI DAN DITERJEMAHKAN DALAM PENULISAN

SEPANGGAR: Ikatan Penulis Sabah (IPS) berperanan menterjemah dan menjayakan kerangka Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi bidang penulisan kreatif. 

MUSTAPHA (duduk tengah), Rusdi (duduk kiri), Hasyuda (duduk tiga dari kiri),
dan Awang Abdul Muizz (duduk tiga dari kanan) bersama pimpinan IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata persatuan penulis berpangkalan di Sepanggar itu boleh melibatkan diri secara proaktif  merealisasikan dua daripada lapan keperluan Malaysia Madani iaitu kemasyarakatan dan budaya dalam usaha memupuk masyarakat bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan.

Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengaruh khususnya dalam kalangan karyawan dan budayawan, pelbagai program boleh dijayakan seperti penulisan puisi, cerpen dan makalah berkaitan dasar baharu kerajaan itu.

Beliau berkata, maklumat juga boleh disalurkan menerusi pelantar media sosial seperti aplikasi TikTok untuk memudahkan IPS mendekati generasi muda yang cenderung kepada teknologi digital.

MUSTAPHA (tengah), Rusdi (empat dari kanan), Hasyuda
(tiga dari kanan),dan 
Awang Abdul Muizz (empat dari kiri) bersama
pimpinan IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


“Persatuan penulis khususnya ahli dan pimpinan IPS berperanan menghayati dan menjayakan konsep Malaysia Madani dengan memberikan tumpuan kepada promosi nilai-nilai seperti hormat dan ihsan.

"Walaupun penduduk Sabah dilihat lebih ke depan dalam konteks hormat-menghormati, sifat ihsan kepada pelbagai lapisan masyarakat perlu diterapkan sejajar dasar baharu yang diilhamkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023 di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) di  Kampung Gudon, Menggatal, dekat sini, hari ini.

 

PIMPINAN dan ahli IPS yang menghadiri Mesyuarat Agung IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Rusdi Awang; Sasterawan Sabah yang juga Ketua Ahli Majlis Penasihat IPS, Sukor Usin (Hasyuda Abadi) dan Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin.

Khamis lalu, Anwar memperkenalkan 'Malaysia Madani' yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan lhsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Perkara ini penting bagi membolehkan usaha Malaysia melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia dapat direalisasikan.

Mustapha turut merujuk kepada sejarah Sabah yang telah melahirkan ramai tokoh dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada masyarakat untuk menjayakan konsep Malaysia Madani dalam konteks Sabah.

Beliau turut mengajak penulis di Sabah untuk menjayakan matlamat Sepanggar Sejahtera menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan, pembangunan kemahiran, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan.

“Saya optimis sokongan berterusan penulis-penulis Sabah, terutama yang berpangkalan di kawasan Sepanggar dapat membantu menjayakan matlamat ini,” katanya.  

 Dalam pada itu, Awang Abdul Muizz memaklumkan pimpinan IPS sudah merangka pelbagai program untuk bersama menjayakan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Katanya, IPS sebelum ini terbabit menjayakan pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan menerusi cara tersendiri seperti pembabitan dalam penulisan berkaitan Sabah Baru pada 1994 dan ini boleh diteruskan menerusi Malaysia Madani. 

Mengenai IPS, beliau berkata persatuan penulis itu merangka pelbagai program sepanjang tahun ini seperti bengkel penulisan, penerbitan, analisis karya, jerayawara sastera ke sekolah-sekolah di seluruh negeri dan pembangunan perpustakaan komuniti berkonsep Rumah Puisi Hasyuda Abadi.

"IPS amat bertuah kerana dianggotai Sasterawan Negeri Sabah iaitu Hasyuda Abadi dan lima pimpinan serta ahli persatuan tersenarai sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 dalam pelbagai kategori menjadikan persatuan ini berada dalam kelas tersendiri dalam bidang sastera dan bahasa bukan saja di Sabah malah di peringkat kebangsaan," katanya.

 

HASYUDA (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Mustapha sambil diperhatikan
Awang Abdul Muizz di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


PELUANG MEMENANGI SEA WRITE AWARD

1. Pandangan tuan tentang anugerah sea write award.

Anugerah berprestij yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand sejak 1979 ini menjadi impian bagi ramai penulis negara-negara Asia Tenggara. Anugerah ini merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara masing-masing. Penulis yang berkelayakan merupakan seseorang yang konsisten dalam bidang persuratan. Komitmennya terhadap dunia persuratan sangat tinggi, cemerlang dan berterusan. Karya-karya hendaklah tersebar secara meluas dan diperkatakan oleh tokoh-tokoh persuratan tanah air. Sehingga kini tiga orang tokoh penulis berasal dari Negeri Sabah telah dipilih sebagai penerima SEA Write Award. Mereka ialah Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) yang menerima anugerah berprestij ini pada tahun 1992. Penerima kedua adalah Puan Azmah Nordin, seorang novelis unggul Malaysia (2009) kemudian disusuli Datuk Jasni Matlani. Tokoh penulis ini menerima SEA Write Award daripada Kerajaan Thailand pada tahun 2015.

2. Kategori yang lebih diutamakan dalam anugerah sea write award.

Apa yang saya difahamkan, kriteria pemilihan calon untuk anugerah ini tidak lagi tertumpu semata-mata kepada genre yang dikuasainya. Misalnya seorang penulis yang dicalonkan itu amat cemerlang dalam genre novel namun dia juga hendaklah terlibat sebagai aktivitis dalam gerakan sastera. Tokoh berkenaan seharusnya terlibat dalam pelbagai kegiatan seperti menjadi pemakalah, penilai peraduan penulisan di samping menyertai pelbagai program persuratan di dalam negara dan luar negara. 

3. Peluang menerima anugerah sea write awar dalam kalangan penulis Sabah. 

Pada saya peluang kepada para penulis di negeri Sabah meraih anugerah ini sangat tinggi. Negeri ini mempunyai ramai penulis yang berkaliber. Penulis-penulis yang gigih berkarya baik sebagai seorang penulis novel, cerpen, puisi dan drama sangat membanggakan. Dalam kalangan penulis-penulis ini sering meraih Hadiah Sastera Sabah yang dianjurkan DBP Cawangan Sabah selang dua tahun penilaian. Sebilangan besar para penerima hadiah ini merupakan penulis-penulis yang sama. Ini sebagai petanda kesungguhan mereka dalam bidang penulisan kreatif. Penulis-penulis ini banyak menulis novel, antologi cerpen dan kumpulan puisi persendirian masing-masing. Kegigihan sebilangan besar daripada mereka ini pula menerbitkan buku mereka sendiri. Ini bagi saya tidak berlaku di negeri-negeri lain. Negeri Sabah yang kaya dengan tema-tema tempatan memberi peluang kepada para penulis berkenaan mengangkat citra lokal negeri Sabah. Tema seperti ini sangat berhasil sebagai tanda aras kehebatan para penulis Malaysia berasal dari negeri Sabah. 

4. Harapan terhadap peluang sea write award di negeri Sabah.

Harapan saya tentulah seimbang dengan peluang yang boleh diberikan perhatian yakni mereka yang gigih ini hendaklah menghasilkan karya yang terbaik. Pihak penilai pemilihan calon-calon SEA Write Award Malaysia perlulah melihat secara utuh terhadap kecemerlangan para penulis Sabah secara menyeluruh. Saya yakin penulis-penulis negeri Sabah juga berhak untuk sama-sama bersaing dengan para penulis di negeri-negeri lain di negara ini. Bahkan kriteria-kriteria yang ditentukan pihak penilai sangat jelas. Maka berdasarkan kepada kriteria-kriteria berkenaan, saya berharap peluang hendaklah diberikan kepada para penulis di negeri ini. 

5. Sepatah dua kata bagi penulis-penulis di negeri Sabah yang mempunyai harapan besar terhadap sea write award.

Tiada kata-kata bernas lain yang boleh dikongsikan seandainya para penulis mempunyai impian meraih anugerah berprestij ini. Para penulis Sabah perlu gigih menghasilkan karya. Gigih sahaja belum memadai tetapi hendaklah menghasilkan karya-karya yang hebat. Karya-karya yang membawa citra bangsa menerusi pemikiran yang sangat tinggi. Soal  mutu dan banyaknya karya tidak memberikan sebarang kehebatan kepada seseorang penulis tanpa mengambil kira hala tuju pemikiran mereka.

Oleh sebab itu karya-karya yang dihasilkan harus disebarkan secara meluas menerusi kegiatan bicara karya, bedah buku, seminar dan apa juga bentuk program yang berkaitan. Pada masa yang sama penulis hendaklah tidak menunggu ada pihak yang mengurus karya dan kegiatan mereka. Para penulis harus sentiasa bergerak secara proaktif baik melalui gerakan berkelompok mahupun secara bersendirian. Penulis hendaklah mencipta jenama sendiri. Bina jenama daripada karya-karya anda.