Sabtu, Mei 24, 2014

Proses Menulis Puisi



MENULIS merupakan salah satu kegiatan berbahasa secara aktif, ekpresif yang digunakan untuk menyampaikan gagasan, pesan, sikap dan pendapat secara tidak langsung kepada pembaca dalam bentuk tertulis sedangkan puisi adalah pancaran kehidupan sosial, gejolak kejiwaan dan segala aspek yang ditimbulkan oleh adanya interaksi baik secara langsung atau tidak langsung, sedar atau tidak sedar.

Menulis puisi merupakan kegiatan untuk melahirkan dan mengungkapkan perasaan, idea, gagasan dalam bentuk tertulis dengan memperhatikan diksi (pilihan kata), bentuk dan bunyi serta ditata secara cermat sehingga mengandung makna khusus sesuai dengan kedudukan diri penulis dan lingkungan sosial yang ada di persekitarannya.
Saini (1993:153) menyatakan bahawa menulis puisi dapat membuat seseorang menggunakan kata-kata secara konotatif, menyusun irama dan bunyi, menyusun baris-baris dan bait-bait dengan memperhatikan pengilangan serta tipografi yang dapat mengungkapkan fikiran dan perasaan. Pedoman menulis puisi menurut Saini (1993:154) adalah penyair berusaha sebaik-baiknya menuliskan apa yang ada dalam hatinya dengan jelas dan konkrit. Ertinya, apa yang ditulis harus jelas bagi dirinya sehingga jelas pula bagi orang lain. Apabila puisi yang ditulis  jelas, pesan yang ingin disampaikan lebih mudah difahami oleh penikmat puisi.

Apakah yang dimaksudkan Pendekatan Emotif? Menurut Semi (1990:155), pendekatan emotif dalam pembelajaran sastera merupakan upaya guru memanipulasi emosi pelajar. Ertinya, guru menciptakan suasana emosional tertentu sehingga emosi mereka muncul. Djamarah (1996:75) menyatakan bahawa pendekatan emosional (pendektan emotif) adalah upaya untuk menggugah perasaan dan emosi pelajar. Pendekatan mengajar yang perlu dipertimbangkan adalah  seperti ceramah dan bercerita.
Pendekatan emotif dalam pembelajaran puisi adalah suatu pendekatan yang berusaha menemukan unsur-unsur yang mengajak emosi atau perasaan. Emosi itu dapat berhubungan dengan isi atau gagasan yang menarik dan perasaan yang dialami pelajar. Pendekatan emotif merupakan suatu pendekatan yang digunakan guru untuk memunculkan suatu suana tertentu pada diri pelajarnya. Pendekatan emotif merupakan pendekatan yang tepat untuk diterapkan dalam proses pembelajaran puisi khususnya pada keterampilan menulis puisi kerana pelajar menjadi lebih peka terhadap emosinya dan kehidupan sekitarnya. Hal ini diperkuat oleh pendapat Hunt (dalam Sakdiayah, 2002) yang menyatakan bahawa puisi adalah luapan gelora perasaan yang imajinatif (imaginative passion).
Prinsip dasar yang melatarbelakangi pendekatan emotif ini adalah pandangan bahawa karya sastera sebahagian daripada karya seni yang hadir dalam masyaraktat dengan keindahan penyajian bentuk serta isinya yang sarat makna. Pada proses pembelajaran bahasa, ada beberapa hal penting yang harus diperhatikan agar tercipta iklim belajar yang kondusif, kerana pembelajaran bahasa khususnya kegiatan pembelajaran menulis puisi merupakan proses untuk menciptakan puisi. Ada beberapa langkah teknikal yang harus dilakukan guru bahasa Melayu. Langkah tersebut antara lain :
 
1) Menentukan tema : tema yang ditentukan bersifat kondisional disesuaikan dengan tujuan pembelajaran menulis puisi.
2) Merumuskan tujuan umum dan tujuan khusus pembelajaran yang didasarkan dari kompetensi dasar yang diacu: tujuan khusus pembelajaran harus bermakna, kontekstual, fungsional serta relevan dengan kemampuan pelajar.
3) Merancang materi pembelajaran.
4) Merancang senario pembelajaran untuk mencapai kompetensi dasar yang diinginkan. Senario yang dirancang harus dapat membangkitkan minat dan motivasi belajar pelajar untuk menulis puisi, merangsang mereka sehingga terdorong melakukan refleksi dan membangunkan pemahaman internal daripada puisi yang ditulis.
5) Menentukan pemanfaatan sumber pembelajaran dan media yang relevan.

Dalam proses penciptaan sebuah puisi terlebih dahulu yang harus difahami adalah mengenal hidup dan kehidupan sosial, kerana sebuah karya puisi yang baik tercermin nilai-nilai baik dari dalam diri penyair atau pelajar terbabit mahupun kehidupan sosial masyarakat. Bahan–bahan yang terangkum daripada situasi dan peristiwa sosial dalam masyarakat merupakan bahagian daripada inspirasi bagi diri pelajar untuk menghasilkan karya sastera berupa puisi. Sayuti (1985:184) menyatakan bahawa puisi merupakan pengungkapan pengalaman penyair lewat kata-kata. Pengalaman yang diungkapkan itu boleh berupa pengalaman intelektual, emosional dan imajinal. Proses penciptaan puisi yang ideal berawal daripada pengalaman ini mempunyai beberapa tahapan. Menurut Jalil (1985:20) ada enam tahap dalam proses penciptaan puisi iaitu :
1) Pengalaman: suatu hal yang sangat penting bagi seorang penyair untuk mengetahui secara sebenar setiap peristiwa yang berkaitan dengan apa yang akan diterangkan dalam sebuah karya puisi.
2) Penafsiran : suatu kebulatan fikiran yang sementara dan pandangan sementara pula terhadap suatu peristiwa atau terhadap suatu pengalaman yang mampu diungkapkan secara tertulis.
3) Penilaian : merupakan penentuan keyakinan benar atau tidaknya sesuatu peristiwa. Seorang penyair tidak boleh seenaknya menilai salah dan benarnya suatu hal atau peristiwa. Sebelum itu perlu pembekalan kepada jiwa penyair, kerana pada tahap ini seorang penyair belum dapat menuliskan sebuah karya puisi yang baik dan sesuai dengan perkembangan kehidupan. Oleh sebab itu penyair perlu melakukan adaptasi dan penguasaan diri untuk mencari keinginan nurani secara utuh.
4) Penghayatan: penghayatan mempunyai kedudukan yang sangat penting untuk mewujudkan sebuah karya puisi yang baik dan sesuai dengan perkembangannya. Pada tahap penghayatan, seorang penyair melakukan pemikiran dan penggalian yang dalam disertai dengan pandangan yang luas terhadap suatu peristiwa dengan berbekal ilmu pengetahuan serta keyakinan. Proses penghayatan merupakan penentu arah pada proses penciptaan puisi yang diinginkan.
Kegiatan menulis dengan pendekatan proses dilakukan secara bertahap dari awal penggalian idea sampai tahap penyuaran atau percetakan. Tompkins (2010: 52-60) membagi tahapan dalam menulis menjadi lima tahap yaitu pra-penulisan, membuat draf, membaca semula, menyunting dan penyiaran. Tompkins juga menekankan bahawa tahap-tahap menulis ini tidak merupakan kegiatan yang linear. Proses menulis bersifat non-linear, ertinya merupakan putaran berulang. Misalnya, setelah selesai menyunting tulisannya, penulis mungkin ingin meninjau kembali kesesuaiannya dengan kerangka tulisan atau draf awalnya. Kegiatan-kegiatan yang dilakukan pada setiap tahap itu dapat dirincikan lagi. Dengan demikian, tergambar secara menyeluruh proses menulis, mulai awal sampai akhir menulis.
Proses pembelajaran dalam penulisan puisi tidak mungkin pernah berakhir kerana ia akan melalui fasa-fasa yang tidak pernah selesai. Proses ini akan berterusan meskipun telah menemukan sesuatu yang memberikan maknanya. Paling tidak telah memberikan sesuatu kesan emosi kepada pembaca. Bagi pelajar, proses menulis harus tidak merasa jemu untuk mengamati fasa-fasa yang dimaksudkan. Sudah pasti bagi yang tegar dan sabar, puisi-puisi yang bakal terlahir itu akan menentukan tahap dan taraf yang wajar meletakkannya sebagai karya yang bermutu serta diterima para pentelaah dan pembaca.

Selasa, Mei 20, 2014

Kelainan dan kehebatan sebuah karya

LAZIMNYA seorang penulis menghasilkan karyanya berdasarkan pengalaman dirinya sendiri. Pengalaman yang ditemui diadun sebaiknya sehingga tercetusnya sebuah karya. Leo Tolstoy penulis tersohor misalnya, memindahkan pengalamannya sebagai seorang askar pada cerpennya berjudul Childhood. Karya sulung tersebut menyebabkan dirinya mendapat kedudukan istimewa dalam kesusasteraan. Begitu juga Sevastopol Stories adalah karya daripada pengalamannya ketika mengambil bahagian dalam peperangan melawan orang-orang Turki di Wallachia; penaklukan Silistria dan menyaksikan pertembungan hebat di Sevastopol. Daripada pengalamannya ketika peperangan, makanya terhasil karya A Raid, Sevastopol in December, A Wood Felling dan sebagainya.

Ernest Hemingway seorang penulis Amerika banyak menghasilkan karya berdasarkan wataknya sendiri iaitu pengalaman semasa kanak-kanak. Ketika zaman kanak-kanak Hemingway tidak dapat kasih sayang ataupun dimanjai kedua ibubapanya. Dalam karyanya muncul watak Nick Adams adalah penjelmaan watak dirinya sendiri. Watak Nick seorang yang kasar, pembengis dan hidup bebas sebagaimana yang pernah dirasai menerusi pengalamannya ketika kanak-kanak.

Elemen kedua ialah pergaulan. Seorang penulis boleh menghasilkan karyanya melalui pergaulan. Sebagaimana kata pepatah Melayu; jauh berjalan, luas pandangan dan banyak berkawan banyak ilmunya. Berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu. Merujuk Pepatah Melayu dapat dijadikan sebagai landasan berfikir manusia bahawa seseorang akan menjadi matang dengan ilmu pengetahuan kerana pergaulan luas. Sebagai contoh, penulis itu ingin menghasilkan skrip mengenai dunia perubatan. Walaupun dia bukan seorang doktor tetapi pergaulannya dengan seorang doktor yang pernah menjadi rakannya telah menambah pengetahuannya dalam bidang kedoktoran. Dia mengetahui serba sedikit prosedur kedoktoran dan teknik pengubatan. Walaupun tidak sebagaimana seorang doktor tetapi dia berupaya menjadi pengaulan tersebut memaparkan asas ilmu kedoktoran dalam karyanya.

Pergaulan yang lama dengan seseorang juga boleh menerbitkan idea untuk menulis. Seseorang penulis mapan adalah daripada golongan yang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Pergaulan yang luas begitu banyak membantu dirinya menghasilkan karya. Albert Camus sebagai contoh, menghasilkan karya melalui pergaulannya. Pada tahun 1936 beliau menulis skrip drama pertamanya berjudul Reolte dans les Asturies dan menyusul dua tahun kemudian dia menghasilkan sebuah lagi skrip drama berjudul Caliqula. Skrip drama yang dihasilkan adalah daripada pergaulannya dengan masyarakat sekeliling.

Dalam pergaulan seseorang dapat mempertajamkan pemikiran menjadi sumber idea paling cocok untuk penghasilan karya bermutu. Setiap penulis ada cara tersendiri memperolehi sumber idea. Dalam kehidupan seseorang digalakkan ramai berkawan sebagaimana pepatah Melayu 'berkawan biarlah beribu, musuh jangan dicari'. Ini memperlihatkan setiap pergaulan mendatangkan manfaat dan sebaliknya.

Ketiga, daripada pembacaan seseorang penulis dapat menghasilkan karyanya. Pembacaan yang luas meliputi berbagai bidang dapat membantu seseorang penulis berkarya mengikut landasan pengetahuan daripada buku-buku bacaannya. Banyak membaca membolehkan seseorang menambahkan pemikirannya di samping membolehkannya menulis genre yang lain. Pembacaan yang banyak dapat membantu ke arah menjadikan sesesorang penulis lebih versatil sifatnya. Ini bererti pelbagai alur pemikiran dapat dialirkan dalam penulisannya.


Sebagai contoh, Stephen Hawking adalah seorang guru yang menjadikan bahan bacaan sehingga muncul bukunya mengenai sempadan-sempadan fizik, astronomi, kosmologi mengikut gaya tersendiri. Hasil daripada pembacaan berserta pengalaman sebagai seorang Profesor Matematik, beliau menghasilkan buku yang seakan novel mengungkap permasalahan ruang dan masa. Dalam bukunya, beliau mengungkap ilmu fizik dan matematik dengan cara tersendiri tidak mempamerkan kaedah matematik yang membosankan. Beliau menghapuskan pengiraan matematik supaya bukunya dibaca oleh semua golongan yang dalam bidang tersebut. Oleh kerana pembacaan Hawking begitu luas makanya, menulis bukunya menjadi luarbiasa yang dapat ditatapi oleh mereka yang ingin mengetahui bidang fizik dan astronomi dengan cara yang memikat.

Elemen keempat ialah penghayatan. Penghayatan seseorang terhadap sesuatu boleh menerbitkan idea dan sekaligus menjadikannya sebagai bahan penulisan. Seorang penulis perlu sentiasa menghayati setiap perkara dalam kehidupannya. Banyak benda yang manusia lihat di alam semesta boleh digandingkan dengan pemikiran. Contohnya kenapa air laut masin, kenapa wujudnya gunung dan bukit? Apakah fungsi hutan dan pokok renik kepada manusia. Kenapa air sungai tawar dan air laut masin? Kesemua ini memerlukan penghayatan berdasarkan pemikiran logik dan saintifik. Penghayatan seseorang penulis melihat kejadian alam seharusnya mendasari pemikirannya. Dalam penghayatan seseorang, dia berjaya mengungkap satu sebab-musabab terjadinya sesuatu yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Contohnya, Allah s.w.t menjadikan lautan yang masin airnya untuk membersihkan air-air sungai yang mengalir ke lautan. Fungsi kemasinan air kepada kehidupan manusia sangat penting. Ikan yang dikeringkan dengan garam boleh mengekalkan tempuh penggunaannya. Garam berupaya melenyapkan bahan-bahan yang hanyir sifatnya.

Elemen kelima ialah pemerhatian. Elemen ini amat penting bagi seseorang penulis kerana setiap hari berdepan dengan pelbagai masalah. Setiap hari seseorang itu memerhati tindakan orang lain, manakala tindakannya pula diperhatikan oleh orang lain juga. Di situlah pelbagai ragam dan asam garam kehidupan dapat dilihat dan dihidunya. Dalam pemerhatian itu, muncul pelbagai persoalan yang perlu dijawap dalam penulisannya. Lebih banyak seseorang penulis itu memerhati kehidupan manusia, lebih banyak pula idea yang berlegar dalam pemikirannya sehingga terhasil sebuah karya.
Seseorang penulis mesti berdepan dengan pelbagai masalah sama runcing ataupun masalah kecil tetapi tetap memberi kesan dalam dirinya. Dalam pemerhatiannya, setiap masalah dihadapi oleh setiap manusia. Daripada setiap masalah yang dilalui setiap manusia yang dalam pemerhatian penulis itu dapat dijadikan bahan penulisannya.

Elemen terakhir sekali ialah imaginasi. Dalam hal ini, karya yang dihasil tidaklah sehebat daripada empat elemen tadi iaitu menerusi pengalaman, pergaulan, pembacaan dan pemerhatian. Elemen imaginasi adalah renungan dan andaian yang bermain di dalam fikirannya dijadikan idea penulisannya. Untuk menghasilkan penulisan fiksyen yang berlegar dalam fikiran penulis, elemen imaginasi memainkan peranan penting. Contohnya sebuah kisah yang mengungkap pembunuhan seorang lelaki di kilang memproses air batu. Seorang lelaki didapati mati tergantung dalam kilang tersebut tanpa sebarang benda yang berada di bawah tempat penggantungannya. Timbul di fikiran kita, bagaimana dia menggantungkan diri?

Justeru, seorang penulis biasanya menghasilkan karya tidak berpijak pada persoalan lama yang pernah ditulis penulis lain. Ini memandangkan dirinya ingin memperlihatkan kelainan dan kehebatan yang sama sekali berbeza dengan penulis lain. Banyak teori yang memperihalkan idea muncul daripada sumber apa dan bagaimana? Menurut Souriau, seorang ahli psikologi berbahasa Perancis mengatakan mencipta ataupun berkarya itu secara kebetulan yang mana idea hampir pada seseorang ketika mengarang dan sebagainya. Jacques Hadmard (1945), yang menulis buku The Psychology of Invention in the Mathematical Field, berpendapat bahawa mencipta dan berkarya bukanlah penemuan idea-idea baru tetapi daripada idea-idea lama yang diperkembangkan oleh seseorang penulis.

Sesungguhnya manusia bukanlah pencipta tetapi Allah s.w.t. Manusia sekadar menghasilkan sesuatu daripada segala pancaindera limanya iaitu melihat, mendengar, membau, merasa dan memikir. Seseorang penulis tidak berdaya menjadikan penulisannya maha hebat melainkan kesemuanya daripada Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menjadikan manusia berserta akal iaitu otaknya, sudah tentu segala-gala yang dihasilkan adalah berteras utama daripada kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Tuhannya.