Sabtu, April 01, 2017

Puisi menghidupkan cinta


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

PERNAH saya ditanya untuk apa puisi diciptakan? Saya berkata puisi bukan sahaja dicipta tetapi juga perlukan apresiasi. Puisi tanpa apresiasi mungkin biasa terjadi tetapi dengan apresiasi puisi menerima pemaknaan yang lebih lanjut. Apresiasi merupakan kecenderungan untuk menikmati nilai sebuah karya. Bagaimana membaca dan menikmatinya bersesuaian dengan bentuk sesebuah puisi yang siap.

Sekurang-kurangnya dua situasi membaca puisi biasa ditekuni pembaca iaitu pertama secara mandiri, yakni dibaca dan didengar oleh diri sendiri. Keduanya, puisi dibaca dan didengarkan kepada orang lain dengan sejelas-jelasnya. Yang kedua ini lazimkan kita dapat ikuti dalam acara baca puisi atau peraduan-peraduan deklamasi puisi. Mungkin ini belum menjadi jawaban yang tepat sesebuah puisi itu tercipta. Puisi sebagai sebuah karya seni harus diciptakan dengan kreativiti yang melahirkan perjalanan jiwa seorang penyair, dan diksi dipilih dari unsur yang dihayati oleh penyair. Benarkah perlunya kemahiran untuk menulis puisi? Meski pertanyaan ini kurang penting bagi sesetengah yang menulis puisi namun tampak perlunya apabila karya dipilih antara karya yang baik dengan yang tidak. Baik atau tidak itu juga sifatnya subjektif. Maksudnya oleh setengah peneliti atau pembaca, pembacaan mereka tidak sama.

Penyair juga harus dapat menemukan nilai-nilai yang ada dalam masyarakatnya dan mengangkatnya menjadi sebuah karya yang sanggup memberi manfaat bagi kemanusiaan. Salah satu jaminan yang penting dalam kreativiti adalah kejujuran penyairnya terhadap apa yang dia kuasai. Boleh dikatakan bobot sebuah puisi dan juga karya sastera lainnya adalah untuk mengungkapkan kebenaran universal.

Dalam sesebuah puisi, kebenaran itu terbungkus oleh metafora seperti sutera tipis yang indah dan halus motifnya. Di situlah tantangan utama bagi seorang penyair untuk melahirkan sebuah puisi yang bagus, ia harus melewati sebuah perjuangan kreatif yang tidak mudah. Perjuangan merangkai kata-kata menjadi suatu kesatuan unifikasi yang utuh yang mampu menggelorakan perasaan dan mampu menyentuh kalbu.

Setiap penyair yang baik pasti memiliki arah dan punya obsesi tertentu dalam berkarya di mana ia dengan setia dituntut terus menerus mengunyah kata demi kata untuk mencapai kesempurnaan estetiknya, sekali pun proses itu harus ia lewati berulang kali dengan susah payah. Mengolah gagasan yang sama terus menerus adalah merupakan bentuk obsesi, kerana kata-kata boleh diciptakan kembali lewat sekian banyak pendekatan atau diproses kembali melalui segala aspek kreatif untuk mencapai sebuah impresi yang baharu dan lebih segar dengan gaya pengucapan yang lebih bernas. Oleh kerana itu seorang penyair yang baik pada hakikatnya tidak pernah berhenti bereksperimen kerana setiap bentuk percubaan penulisan pengalaman dan perenungan ke dalam puisi adalah upaya untuk memperoleh jawapan daripada kegelisahan puitik seorang penyair untuk menemukan kata-kata yang tepat mewakili perasaan dan isi hatinya.

Menelurusi proses kreatif penulisan puisi sama asyiknya dengan menulis puisi itu sendiri. Setiap penyair sudah pasti memiliki cara pandang yang berbeza tetapi secara esensial akan mengarah pada titik yang sama, yakni puisi sebagai medan ekspresi dari bayang-bayang pengalaman. Perlu diingat bahawa puisi itu mudah dipelajari tetapi isi dan mutu puisi sangat bergantung kepada intensiti penghayatan si penyair terhadap berbagai pengalaman hidup yang menarik perhatiannya. Termasuk juga dalam hal ini adalah penguasaan akan kata dan bahasa.

Meskipun penulisan puisi boleh dipelajari tetapi kenyataannya tidak mudah. Salah satu alasannya adalah bahawa seorang penyair itu harus peka terhadap keadaan jiwanya, perasaannya, dan juga terhadap seluruh pengalaman hidupnya yang bersifat fizik ataupun metafizik. Secara fizik bererti sang penyair mengalami atau melihat sendiri kejadiannya. Sedangkan secara metafizik adalah pengalaman tidak-ragawi yang hanya berhubungan dengan perasaan (tidak dengan tubuhnya).

Kepekaan itu penting bagi seorang penyair. Sebab itulah mengasah kepekaan perlu dilakukan untuk memperlancar daya kreatif seorang penyair dalam menulis puisi-puisinya. Inilah yang nantinya akan menjadi bank naskhah pengalaman seorang penyair. Dari sini pula dapat disimpulkan bahawa menulis puisi itu tidak akan lahir dari ‘ruang batin yang kosong’. Lalu bagaimana dengan imaginasi?

Imaginasi memberi gambaran yang menyenangkan ke dalam fikiran dengan menjadikan segala sesuatu lebih sempurna daripada apa yang diketahui sebelum ini. Imaginasi menghalang kita untuk berpuas hati dengan keadaan sekarang mahupun keberhasilan masa lalu, dan terus mendorong kita untuk mengejar kesenangan yang belum pernah dicuba untuk atau keutamaan yang ideal.

Kunci menuju imaginasi kreatif ialah asosiasi. Asosiasi terbentuk oleh tiga hukum iaitu: Kedekatan - kasut bayi mengingatkan kepada si bayi; Kemiripan - bila melihat gambar singa teringat gambar kucing; Kontras - seorang kerdil akan mengingatkan kepada raksasa.

Tindakan kita dalam hidup merupakan hasil asosiasi dengan keyakinan, idea dan kepercayaan yang sudah ada. Asosiasi juga bekerja melalui suara. Contohnya, saya sering mendapati bahawa waktu yang paling kreatif adalah ketika saya mendengar orang berbicara.

Menurut ‘Kamus Kesusasteraan’ (DBP, 2015:138) pula imaginasi adalah ‘kebolehan menggambarkan sesuatu dalam fikiran. Imaginasi tidak bersifat kenyataan tetapi dipenuhi khayalan dan angan-angan. Imaginasi mampu membentuk imej atau representasi dalam karya sastera’.

Dalam menulis puisi, imaginasi itu lebih berdasar kepada pengertian kedua kerana pengertian pertama sudah terangkum di sana. Agar imaginasi kita kena atau tepat pada sasaran maka kita pun harus mampu menguasai kata-kata dan bahasa dengan baik. Kata-kata dan bahasa adalah alat untuk mengomunikasikan bayang-bayang pengalaman yang hendak diekspresikan di atas kertas.

Kalau diksi sudah dikuasai tentu pada saatnya kita akan berhadapan dengan rima dan ritma. Fungsi keduanya ini sebagai penegasan dari apa yang ingin disampaikan oleh  penyair. Permainan unsur bunyi dalam struktur puisi akan membangun makna puisi yang bersangkutan. Jelas sudah bahawa puisi tidak hanya dibangunkan oleh sembarang rangkaian kosa kata dan gramatikal yang melahirkan pesan, tetapi juga dibangun oleh unsur-unsur estetik bunyi daripada rangkaian vokal dan konsonan yang berlagu dan berirama.

Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun.

Satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis? Membaca bukanlah semata yang tersurat, tetapi juga yang tersirat. Bacalah alam. Bacalah peristiwa. Bacalah orang-orang yang ada di sekitar kita. Bacalah segala hal yang membuat kemanusiaan kita menjadi penting bagi orang lain, yang apabila kita tidak ada membuat orang lain merasa kehilangan. Membaca … akan membuat kita lebih bernilai. Lebih-lebih lagi jika kita membaca sendiri tulisan yang sudah kita buat, hingga mengetahui berbagai kesalahan sebelum orang lain mengetahuinya. “Perbaiki tulisan anda dengan mencari kata, membaca, dan menulis,” kata Gary Provost.

Imam Syafi’i juga mengatakan, goresan penaku di tengah lembaran kertas, terasa lebih indah berbanding khayalan. Aku terjaga setiap malam untuk belajar, pada saat orang-orang lelap tertidur.

Cuma terjadi pendekatan yang saya anggap sebagai penulis yang malas apabila membentuk sebuah puisi berdasarkan bunyi atau jumlah kata yang tidak menggambarkan terlahir sebuah karya yang boleh dipertimbangkan sebagai karya yang wajar dibaca dan diapresiasi. Puisi bukan semata kata-kata tetapi kata-kata yang indah akan mencipta kesegaran yang tersendiri. Kesegaran pada puisi itu sendiri dan kesegaran dinikmati pembaca puisi. Di mana letaknya keindahan dan kesegaran pada sebuah puisi yang kontot dan terbantut yang begitu skima oleh pilihan kata-kata yang dipaksa-paksa dengan sengaja. Dewasa ini para penulis kita cepat teruja dengan eksperimen apatah lagi diikuti oleh pengikut yang ramai. Soalnya, akhirnya ke mana bentuk karya seperti itu? Saya percaya ia akan berakhir dengan eksperimen demi eksperimen seterusnya. Maka jadilah karya yang popular bukan karya yang bermutu.

Sebelum mengakhiri catatan ini, penyair bukan seorang yang hanya suka kepada imaginasi tetapi juga dunia nyata yang berguna buat manusia. Sebab, puisi tidak mungkin akan menghidupkan semula seseorang yang disayangi namun citra yang unik dari bahasa dan kata-kata yang disatukan melalui diksi terpilih segar dan unsur-unsur keindahan sentiasa ‘menghidupkan’ cintanya. Itulah nikmat puisi yang diciptakan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Anjakan diri dan karya yang berbobot


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

SESETENGAH penulis beranggapan bahawa hadiah, anugerah dan pelbagai gelar yang lain merupakan pra-syarat untuk meletakkan seorang penulis itu sebagai telah berjaya, hebat dan disanjungi. Sesetengahnya begitu bangga tatkala karya mereka tersiar di media, tidak kira media perdana mahupun media bukan perdana. Rasa keujaan yang luar biasa ini tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Bukan mudah pihak editor menerima karya seseorang penulis khususnya bagi yang kurang dikenali walau pun nama penulis berkenaan popular di media sosial..

Disebabkan itu mereka pun berlumba-lumba mengejar segala bentuk hadiah, anugerah dan sebagainya agar boleh duduk selesa dan berbahagia kerana dengan selain memperoleh wang mereka juga bakal menerima sanjungan dan kebanggaan daripada rakan-rakan. Ramai juga menjadi rendah diri kerana mereka bukan daripada golongan itu atas alasan karya sastera mereka belum sampai kepada tahap yang sempurna. Dengan alasan itu juga, ramai penulis memerapkan karya mereka. Terdapat juga kalangan penulis enggan memberikan biodata kerana tidak memiliki sesuatu yang dibanggakan seperti bergelar sarjana sebagai salah satu aras kehebatan seorang penulis.

Jika ditanya kebenarannya sudah tentu jawapannya tidak semestinya, walaupun ada waktunya isu yang disebutkan dituntut untuk memperkasakan ilmu seseorang dalam menggarap karya kreatif masing-masing. Menyertai peraduan penulisan atau  menerima hadiah-hadiah sastera berprestij tentu tidak dihalang sebagai usaha sejauh mana kekuatan karya para penulis. Itu hak masing-masing kerana ada juga kalangan penulis yang tidak suka menyertai sebarang peraduan. Bahkan ada yang pernah menolak sekiranya diberikan hadiah atau sebarang penghargaan.

Menolak sesuatu setelah melalui penilaian sengit memanglah tidak harus berlaku. Barangkali ramai yang menjadikan isu begini sebagai peristiwa yang tidak masuk akal. Namun penulis juga individu yang mempunyai pilihannya sendiri. Malah pada satu sisi di mana situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, nilai duit yang semakin rendah, keperluannya terus dituntut pada masa ini. Menulis untuk mendapatkan wang sepatutnya harus. Seseorang yang bekerja harus menerima upahnya. Salah satu pilihan ialah menerusi peraduan, sayembara, pertandingan dan penilaian yang diadakan. Ternyata rezeki seseorang penulis itu tidaklah gampang datangnya. Dia berusaha untuk mendapatkannya. Dia berusaha juga untuk memperbaiki karya yang dihasilkannya. Dia banyak mencuba dan rajin bekerja sehingga mampu menggarap sebuah perutusan dalam sebuah novel atau kumpulan cerpen dengan berkesan.

Realitinya, setiap penulis harus memiliki pengalaman kehidupannya sendiri ke taraf pengungkapan estetika yang tinggi mutunya, memiliki persepsi yang tajam dan menampilkan sudut persoalan yang menarik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan bahasa yang menyegarkan, konsisten dari segi perkembangan dan pengucapan, mengekalkan secara berimbang bagi setiap karya yang ditampilkan dan mencapai citra dan jati diri tersendiri.

Amatlah penting bagi penulis untuk terus komited terhadap genre yang diceburi, dengan giat menulis, mempertajam bakat dan menganjakkan mutu karya supaya setanding. Kalaupun tidak, lebih baik daripada penyair mapan tanah air. Untuk itu, mereka hendaklah terus menghantar karya ke media arus perdana dan majalah-majalah di peringkat nasional agar ketajaman bakat mereka dapat dipertingkatkan. Dengan tersiarnya karya dalam media arus perdana itu, penulis bukan sahaja mendapat galakan dan keyakinan, tetapi karya akan dibaca oleh khalayak yang lebih luas, dan diberi perhatian di peringkat kebangsaan, terutama oleh peneliti, sarjana dan pengkritik sastera yang berwibawa. Mereka perlu menerima hakikat bahawa dengan menyiarkan karya dalam media tempatan, hanya akan mempersempit gelanggang mereka. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam zon selesa.

Inilah hakikat yang perlu diterima, dan sekali gus merupakan cabaran kepada mereka untuk terus memperbaiki kualiti karya yang dihasilkan. Maksudnya, jika ingin terus mencapai kejayaan, mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan berkarya secara konsisten, bukannya terperangkap dalam gejala ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

Hanya penulis yang konsisten sahaja akhirnya akan dapat membina jati diri dan idiosinkrasi, hingga meninggalkan kesan besar dalam persada sastera tanah air. Jika kita berpegang pada pendapat T. S. Eliot yang menyatakan bahawa kematangan seseorang penulis hanya akan jelas apabila ia telah menulis secara konsisten selama 25 tahun. Untuk itu katanya, penulis perlu sentiasa ghairah untuk belajar dan membaiki diri serta mengelakkan diri daripada kejumudan dengan melakukan inovasi yang wajar ketika berkarya sejajar dengan prinsip 'licentia poetica' yang ada pada mereka.

Selain itu, mereka hendaklah akur kepada nasihat Ibnu Khaldun yang menganjurkan supaya penulis melalui latihan yang keras dan bersungguh-sungguh dengan ‘tenggelam’ bersama-sama bahasa masyarakatnya demi mencapai kefasihan dan keterampilan yang tinggi. Mereka perlu beranjak misalnya,daripada puisi yang bersifat sederhana, langsung, literal, dan tidak kompeks kepada puisi yang digarap secara kreatif, inovatif, indah dan mengesankan dari segi persoalan, gaya, bentuk dan penampilan selari dengan peningkatan usia kepenyairan dan kematangan pengalaman.

Dalam konteks puisi, kepenyairan, kreativiti dan kemungkinan perkembangan mereka pada masa depan bukan hanya bergantung pada bakat alam, tetapi yang tidak kurang pentingnya keupayaan mereka mempertajamkan dan memanfaatkan bahasa kreatif, kemungkianan untuk melakukan inovasi, serta kesediaan untuk belajar daripada tradisi kesusasteraan yang agung.

Dengan itu, para penulis sewajarnya menerokai dimensi kreativiti berdasarkan ilmu, ketajaman pemikiran dan kepekaan, kemahiran dan penguasaan bahasa yang sentiasa digilap. Mereka seharusnya berusaha untuk membentuk peribadi sendiri berdasarkan bakat dan keyakinan mereka, serta berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan dengan sentiasa belajar daripada penyair agung, alam dan persekitarannya. Sama ada mereka mampu untuk menganjak diri ke tahap yang lebih tinggi, dengan mampu menghasilkan karya yang berbobot, berseni dan universal sifatnya, dengan penampilan bahasa yang segar, banyak bergantung pada pengalaman, idealisme, komitmen dan sikap mereka terhadap dunia persuratan pada keseluruhannya.

Dalam keadaan demikian para penulis perlu menyingkirkan sikap tidak sabar atau gopoh dengan hanya mahu melihat karya diterbitkan, kerana ini akan menyebabkan karya mereka tidak lebih sebagai coretan atau catatan kasar yang masih perlu dimurnikan, malah perlu melalui proses penghayatan dan pengolahan melalui renungan dan penggarapan yang lebih berseni. Puisi yang indah dan bermutu tetap akan tahan diuji zaman manakala karya yang mentah hanya meninggalkan kesan sementara, sementelahan puisi akan sekadar luahan emosi melulu, tetapi gabungan yang indah antara rasa halus ataupun kemanusiaan dan perimbangan antara emosi dan intelek akan menempatkannya sebagai adikarya yang diagungi.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

API TAK SINGGAH


jika tak bersebab
api tak singgah
di lorongnya
dunia menangis
seperti tewas
dan kecewa
seperti negeri kita
setelah kuasa
hanya serupa bola
dan roda-roda
yang saling bertukar
mataharinya
kecuali api
mengajar manusia
lebih berani
melawan
dan menawan
segala benci
berpunca dari api
dan membakar semuanya
akal dan syurganya
terkandas dari landasan
enggan menerima
pengajaran
sambil berkibaran
sukma di atas perjuangan
api tak singgah
kerana kobaran
dipacu panji istiqamah
jalur sejahtera ummah
meski negeri ini
dibongkar oleh rakus
api tak akan singgah
pada tarbiah kalbu
suci lisan mengucapkan
redha perjuangan di hadapan.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
Kota Kinabalu.

12.4.2016

LAUTAN MANDIRI


satu sahaja yang singgah 
apabila tak lagi kudengar sapa 
telah tiba tak lagi kuasa kupunya

hanya mandiri di tengah gelora
mencari daratan teruskan upaya
sayang tak siapa dan apa menjelma

sungguh bermakna suara jiwa
ketika diam lebih damai 
biar kutitikkan saja sebuah ujian

menjadi diri yang mencari
pasti tiba saatnya beralih 
perjuangan tetap ke hadapan

sesekali menoleh kerana gagal
tetapi cekal berinti panduan
mari mulakan pelayaran

tidak lagi ke belakang
maaf bukan terbaik diksi
iltizam memimpin diri

agar lautan ini reda gelora
cukuplah riak ombak
mencitra makna

perjuangan perjalanan
yang bersisa.


Rumah Puisi 
Hasyuda Abadi
29 Januari 2014

Beberapa hal mengenai penyair

SEBENARNYA saya ingin menyebut seberapa ramai nama para penyair di Sabah. Memang ramai tetapi berapa ramai dalam kalangan mereka ini benar-benar penyair. Apakah kerana dia veteran dalam dunia puisi? Atau disebabkan terlalu prolifk, bukan di media tetapi di media sosal. Mungkin juga dialah penyair sebenar walaupun karyanya tidak banyak. Buku hanya beberapa buah atau hanya sebuah. Kerana itu juga saya pernah katakan bahawa puisi yang ditulis oleh penyair dan bukan penyair itu ternyata banyak bezanya. Soalnya mana satu yang penyair sejati dan mana satu bukan penyair dalam erti kata menulis dengan jati diri seorang penulis puisi yang versetil.
Definisi siapa penyair sudah begitu banyak disebut para pengkaji sastera. Penyair adalah orang yang menyedari bahawa anugerah dan hikmah kehidupannya bukanlah untuk dirinya sendiri, melainkan juga untuk orang lain. Dengan bekal kejujuran nurani, penyair selalu menghayati dan memberi kesaksian atas hidup. Tapi tahukah alasan mengapa mereka memilih menjadi penyair dan melalui sajak  membangun komunikasi dengan pembacanya?
Saya suka mengambil beberapa tafsiran penyair daripada kutipan seniman masa lalu bernama Khalil Gibran. Penyair katanya, adalah burung yang membawa keajaiban. Dia lari dari kerajaan syurga lalu tiba di dunia ini untuk berkicau semerdu-merdunya dengan suara bergetar. Bila kita tidak memahaminya dengan cinta di hati, dia akan kembali mengepakkan sayapnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya.
Penyair adalah orang yang tidak bahagia, kerana betapa pun tinggi jiwa mereka, mereka tetap diselubungi air mata. Katanya lagi, penyair adalah adunan kegembiraan dan kepedihan dan ketakjuban, dengan sedikit kamus. Penyair adalah raja yang tak bertakhta, yang duduk di dalam abu istananya dan cuba membangun khayalan dari abu itu.
Penyair sesungguhnya mempunyai kedudukan yang amat tinggi. Tidak semua orang mampu  menjadi penyair walaupun ramai yang mampu menulis puisi. Mereka adalah seniman yang amat menyintai bahasa dan kata. Bagaimana mahu dikatakan pencinta bahasa dan kata andai ejaan sering sahaja didapati salah? Tidak selalu di mana adanya kata di situ lahir penyair tetapi di mana ada penyair di situ ada kata. Kita sering tersilap kerana memberikan gelar kepada semua penulis puisi itu sebagai penyair. Sedangkan pada sisi puisi itu sendiri belum tentu pasti dikatakan puisi seandainya tidak menepati ciri-ciri komposisinya yang sebenar.
Namun demikian penyair adalah manusia biasa yang dilahirkan ke dunia, mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Jadi apa yang membezakan penyair dengan manusia lain? Pesu Aftaruddin dalam bukunya 'Pengantar Apresiasi Puisi' menyatakan; yang membezakan penyair dengan manusia lain adalah: pertama, ia mempunyai kepekaan terhadap rangsangan sekitarnya. Kedua, ia mampu menterjemahkan kembali kesan-kesan yang dialaminya dan rangsangan-rangsangan yang diterimanya dan diekspresikannya kembali sebagai ungkapan sastera, setelah melalui proses pemasakan, melalui pilihan kata-kata yang tepat, warna bunyi yang sesuai dengan suasana. Ketiga, penyair itu adalah seniman yang jatuh cinta pada bahasa.
Penyair adalah manusia biasa yang tidak awam, manusia biasa yang tidak biasa. Penyair adalah manusia yang dianugerahi oleh sang pencipta kelebihan-kelebihan daripada manusia lain, iaitu dari segi memandang dan memberi makna alam serta kehidupan ini.
Penyair dalam karyanya selalu mengungkapkan kebenaran, baik kebenaran dalam masyarakat mahupun kebenaran dalam cita-citanya. Sebagai manusia ia tidak mahu diperolok-olok, dibohongi atau diperbudak. Sebagai penyair ia mengungkapkan pengalamannya dalam sebuah puisi yang dapat menggugah perasaan pembaca dan pendengarnya, sebagai suatu karya seni yang memukau. Penyair mampu menyatukan antara fikiran dan perasaannya, seperti rasa rindu, rasa benci, keindahan dan sebagainya.
Dalam kitab suci Al-Qur'an, Allah swt menerangkan dan memperkenalkan kepada kita, siapa penyair, iaitu dalam surat Asy-Syu'ara’. Tapi ingat kalau kita membaca surah ini jangan dari ayat 224 - 226 saja, sebab itu akan membuat kita membenci penyair, sebaiknya kita baca harus sampai pada ayat 227: "Dan penyair-penyair itu, mereka diikuti orang-orang yang sesat, tidakkah engkau melihat, bahawa mereka mengembara di setiap lembah dan bahawa mereka mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan (Q.S. Asy Syu'ara’ 224-226) "Kecuali yang beriman dan beramal soleh, serta mengingat Allah. Dan hanya membela diri, sesudah teraniaya. Dan orang yang zalim kelak akan mengetahui ke tempat mana meraka akan kembali. (Q.S. Asy Syu'ara’, 227)
Penyair Islam yang baik akan mendapat manfaat yang besar daripada al-Quran. Tidak syak lagi diksi atau pilihan kata yang Islami mempengaruhi karyanya. Hal ini akan bertambah jelas lagi kalau kita merujuk puisi penyair muslim. Peristiwa tersebut mempunyai unsur moral dan etika yang kuat yang mempunyai ciri-ciri kesejagatan, bukan hanya untuk orang Arab sahaja tetapi untuk insan sedunia bagi sebarang peringkat masa dan zaman hinggalah pada hari kiamat. Dengan ketakwaan yang tinggi, penyair Muslim akan menyuburkan rasa cintanya kepada Allah Pencipta-Nya. Dan, menerima hakikat bahawa kebenaran yang mutlak itu adalah Allah semata-mata.
Sebagai umatnya, penyair Muslim wajar mengharapkan syafaat daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Jihad dan ijtihad baginda semata-mata untuk menuntut keredhaan Allah. Bukankah setiap yang dilakukan kerana Allah itu dapat disebut sebagai suatu ibadah? Menuntut ilmu, menulis puisi, memimpin, mengeluarkan fikiran, berhujah, berdebat, berjuang kerana Islam adalah sebagai ibadah. Ini bersesuaian dengan: "karya kreatif dijadikan satu saluaran untuk beribadah kepada Allah, di samping menjadi saluran dakwah bagi menyampaikan kebenaran yang hakiki.".(Shahnon Ahmad, "Sastera Sebagai Cabang Ibadah"' hal,6).
Inilah bezanya dengan aktiviti yang dilakukan oleh penyair yang bergerak di luar garis keredhaan Allah. Apalagi kalau perjuangan itu adalah untuk memperjuangkan sesuatu aliran, fahaman, ideologi yang naif dan jelas bercanggah dengan Islam, misalnya aktiviti 'alam' kerana 'alam' semata, intelektualisme Barat yang pada puncaknya menafikan kewujudan Allah, perjuangan nasionalisme yang sempit, realisme-sosialis yang menafikan wujudnya Tuhan adalah mengarah kepada atheisme, yakni fahaman yang tidak bertuhan. Ini kewajaran yang perlu diawasi oleh penyair Muslim, agar keislamannya dan akidahnya tidak tergelincir oleh pelbagai aliran fahaman dan ideologi tersebut.
Penyair yang mengikut pemikiran Barat tentulah akan mempunyai dasar kreativiti mengikut asas-asas untuk melahirkan karya yang unik, asli dan baharu. Kebaharuan atau novelty menjadi matlamat. Masyarakat selalu berhadapan dengan freedom of expression. Kekacauan nilai berlaku, budaya sensate penuh dengan nafsu haiwani dengan tulisan erotik dan puisi-puisi liar diutamakan.
Apa yang penting bagi para penulis puisi sentiasa berawas dalam nukilan karya mereka agar menjurus kepada nilai yang bermakna. Misalnya nilai keindahan seni yang tidak keterlaluan sehingga hilang nilai kedalaman maknanya. Menggunakan diksi yang bombastik atau ungkapan-ungkapan yang tidak menepati teks atau konteks karya secara keseluruhan.
Dewasa ini, puisi terus mendapat tempat oleh kebanyakan individu. Berlaku ledakan kreatif yang luar biasa mengisi pelbagai ruang dan medan. Walaupun baharu menulis sebuah dua puisi mereka telah digelar penyair sama atau setanding dengan para penulis puisi yang veteran. Karya-karya mereka diterbitkan dalam buku-buku antologi segera. Mereka menulis puisi kerana rancaknya aktiviti sastera dan sayembara yang dianjurkan. Mereka menjadi penyair disebabkan semua ini. Sama ada para penyair ini terus bertahan dan berkembang atau sebaliknya di mana gerakan sastera kita akan diulangi oleh generasi yang lain seperti mana zaman yang lalu berulang pada hari ini.
Khazanah karya sastera pasti akan terus bergemerlapan di persada seni tanah air dengan nawaitu yang jitu tanpa mengambilkira siapakah tokoh-tokohnya. Penyair itu adalah manusia biasa yang dibezakan oleh fikiran kreatifnya dan latar dirinya yang harus lebih berbeza dengan manusia biasa. Untuk ini, mari kembali membaca pemulaan catatan ini untuk merefleksi fikiran kita.
Sudah pasti, saya percaya, bukan soal aku penyair sejati atau tidak, yang penting pentas sastera turut disemarakkan. Inilah pegangan ramai orang yang saya kira karya-karya mereka belum lagi diuji oleh para pengkaji. Saya tidak berani berkata apa-apa kerana karya sastera kita di Sabah khususnya tidak banyak diperkatakan kecuali seorang dua. Mudah-mudahan selepas ini, lahir pengkaji berwibawa tampil menggarap ribuan puisi para penyair Sabah. Saya terus menunggu penobatan penyair Sabah yang unggul di persada sastera Malaysia.


PUSTAKA IQBAL NAZIM