Jumaat, Mei 31, 2024

Pengalaman Kreatif












PROSES KREATIF ‘MELAWAN KEBIASAAN’

 

MEMINJAM pandangan Carl S.Hale tentang kebijaksanaan dalam dunia penulisan kreatif: creative writers provide the covert foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they remain loners who are totally dedicated to their work bermaksud penulis kreatif menyediakan asas dalaman untuk perubahan sosial dan transformasi rohani yang memerlukan mereka tetap menyendiri yang benar-benar berdedikasi untuk kerja mereka. Saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan rohani yang bermaksud bukan sekadar suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing. Di saat ada pihak yang telah dibahagi-bahagikan mengikut kepelbagaian etniknya sedangkan kreativiti harus berlangsung tanpa sempadan.

Puisi pertama saya tersiar di surat khabar Sabah Time pada 1980 bertajuk ‘Mengapa o Mengapa’ tidak menjanjikan sesuatu yang besar. Namun di sebalik karya yang kecil itu tersimpan suatu analisis kehidupan manusia. Saya adalah seperti ramai penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai. Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana pendapat mereka begitu diamati.

Saya meyakini bahawa penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik. Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang selalu disampaikan.

Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang sentiasa berulang? Sesungguhnya penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen pemikiran yang  besar dan global. Sedangkan novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu sendiri.

Saya sentiasa belajar daripada pengalaman bagaiman melawan kebiasaan yang berlaku setiap hari. Daripada teguran kedua orang tua tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada dunia penulisan. Begitu juga para sahabat yang dekat, saya mengakrabi kehidupan mereka. Saya memilih puisi kerana puisi menghidupkan fikiran yang buntu. Puisi sentiasa hidup dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami - suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa untuk dituang dalam wahana perpuisian. Mari ikuti puisi di bawah ini:

 

Dalam dendamnya tetapi perlu diam 

dan manusia paling riang mengembalikannya

kepada rasa redha dan pasrah. Diburu banyak 

tikaman termasuk pisau kesilapan 

tidak disangka tumbuh setelah daun-daun 

waktu berguguran membiarkannya bertahan.

 

 

Mungkinkah ada matahari mengupas sunyi

atau bulan memadam lentera yang dibiarkan dulu 

kini harus diinsafi perlu untuk melawan. Teringat 

kembali ketika di puncak berdiri gopoh berbicara 

hingga tiada menyedari kekhilafan berada di dalam 

siaga yang diamanahkan. 

 

Kifarah datang silih seperti hari berganti 

tiada mampu kembali memetik buah-buah ranum 

di kebun dan di bawahnya sungai mawar mengalir

maha adil akan menempatkan masa sudah 

di dalam renungan tanpa sejalur mimpi.

 

(Melawan Rasa Bersalah, m.s. 81)

 

Namun dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi kias serta panduan yang terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil. Puisimemuliakan jiwa. 

Karya sastera dalam konteks ini puisi, memang subjektif sifatnya, terutama berkaitan aspek keindahan. Namun, semacam ada konsensus atau persetujuan bersama yang diterima pakai di mana-mana, yang menegaskan sastera itu mempunyai sisi kemanusiaannya tersendiri, mempunyai keunggulan tersendiri dalam membangun peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Hal ini sangat jelas, apatah lagi jika dihubungkan konsep sastera untuk kebaikan, sastera untuk kebenaran, yang ditenun melalui bahasa yang indah, yang menyebabkan khalayak dapat mencerna dengan mudah, akan kebaikan dan kebenaran yang terkandung dalam sesebuah karya sastera itu keseluruhannya. Di sinilah kita akan menemuikan nilai-nilai ‘melawan’ yang positif dan beretika yakni menerusi bimbingan dan kewibawan asuhan:

 

‘Tatkala terburai langkah bersilat pendekar,

berbaki hanya asuhan perjuangan

berani bertahan menunggu musimnya

melupakan luap semangat menemukan titiknya.’

 

(Asuhan Melawan, m.s.47)

.

Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata.  Sudah tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian yang menyebabkan mereka tidak selesa. Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.

Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang bijaksana sekalipun memilikinya. Hanya barangkali corak kreativiti manusia tidak serupa. Manusia bergelar penulis tidak sama dengan manusia yang memanipulasikan bidang geografi. Tetapi mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami pergerakan awan sehingga memberitahu manusia lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.

Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka berdasarkan kreativiti berbahasa untuk memenangi hati rakyatnya. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.

Seterusnya bagaimana manusia menjadikan tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak, cara, acuan dan bentuk yang tersendiri. 

Bagaimana dengan sifat gelojoh dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.

Orang yang terlalu membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya, sebenarnya sedang memperlihatkan ketidak-berdayaannya dan ketidak-percayaan pada dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.

Orang yang terlalu membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.

Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia. Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu sama ada pilihannya itu bakal memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Ada kalanya penulis oleh kerana terlalu taksub kepada hal-hal yang dianggap baharu berasa seronok sendiri tanpa mempedulikan apakah karya itu diterima bulat-bulat oleh pembaca. Bahkan apakah berlaku sebarang impak yang ketara terhadap jalur-jalur fikirannya itu. Karya sastera harus menjelaskan kewibawaan, ia bukan semata-mata bersebab keberanian berkarya, kemudian melambung tinggi oleh pujian oleh para pengkritik upahan. Jika inilah ranah nuansa kreatif apakah sastera mempunyai kemilikan? Ya, kehidupan akan berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.

 

Saat menang di situlah tewasnya harga maruah 

dibiarkan berharga murah, di situlah

nilai sampah diulang-ulangi, jika mampu

pulanglah, pulanglah ke rumah mahmudah

 

(Menuju Mahmudah, m.s. 74)

 

Demikianlah data-data penting yang menjadi dasar penulisan saya untuk menzahirkan sekumpulan karya ini. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang terakhir kerana kehidupan itu sendiri terus berlangsung. Idea-idea untuk puisi terus berlaku. Menulis puisi bermakna menulis fikiran. Secara semula jadi memang beginilah dan tanpa disedari. Berkreatif bermula ketika idea-idea muncul di jendela fikir. Idea-idea menguggah fikiran, menyalin aktiviti berfikir dalam bentuk boleh difahami iaitu kata-kata.

Saya sentiasa mengasah ketajaman pemikiran menerusi puisi. Pada 1987 saya menerima bimbingan daripada Yang Berbahagia Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) melalui Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Daripada projek ini, saya kemudiannya berjaya menghasilkan buku ‘Balada Paduka Mat Salleh’. Sepuluh tahun selepas itu, iaitu pada 1997, DBP memberikan peluang kepada saya menyertai Program Penulisan MASTERA di Pusat Bahasa, Jakarta, mengikuti bengkel penulisan puisi di bawah asuhan Taufik Ismail, Allahyarham Dr Sapardi Joko Damono dan Dr Abdul Hadi WM.

Semoga puisi-puisi yang terdapat di dalam buku ‘Melawan Kebiasaan’ ini tidak semata-mata menjadi bahan bacaan ringan tetapi mampu mencabar kebiasaan dalam meladeni rencah kehidupan. Puisi seharusnya juga dapat mengubah kebiasaan dalam pelbagai hal sehingga meraih kecemerlangan yang lebih baik lagi. 

 

 


Tiada ulasan: