Khamis, Mac 19, 2009

Setelah pagi









Seperti kelmarin detik meninggalkan
pelabuhan. Embun bertukar sebagaimana hari-hari bersama pagi. Apakah yang kau pelajari jika hanya memandang waktu tanpa sesuatu? Kelopak usia yang kembang semalam akan terbang setelah pagi. Dengan seribu satu kalimah yang tak berbeza meneruskan sisa-sisa masa sudah. Tempatnya hanya di lahad sukma maha rahsia.

Setelah pagi azam mencengkam iltizam menarik sauh dan belayar jauh tanpa mendengar sebarang kata atau tanya trauma. Setelah pagi hanya harum sempurna untuk sebuah senja yang abadi. Setelah pagi hanya rafak harap mengalir ke samudera terbentang ketika berada di perut tiram. Hanya jasad setelah pagi kalbu milik tak siapa.

Hotel Copthorne,
Pulau Pinang.
19/3/09

Guru dan dunia persuratan

Pengalaman hidup juga sifu sebenarnya, sebagaimana biasa, orang berkata kehidupan itu sebuah universiti. Setiap hari menerima ijazah dengan gelaran orang yang pengalaman, orang lama, mapan dan ungkapan-ungkapan yang seumpamanya. Namun begitu sifu atau guru tetap diperlukan untuk memantapkan sesuatu, misalnya ilmu penulisan, ilmu falsafah, ilmu al-Quran dan sebagainya. Dengan berguru kita tidak kesasar jauh, kembali ke pangkal jalan yang benar pada saat memilih suatu arah tanpa pedoman. Guru adalah pedoman sebagaimana pengalaman hari ini pedoman untuk hari-hari berikutnya.

Saya berguru ketika menulis sajak meskipun selebih menjadi diri sendiri, acuannya diri sendiri tetapi panduan, dukungan, sokongan sentiasa diperkuati oleh seseorang atau beberapa orang yang diyakini. Berguru pada saya tidak semata-mata bertemu mata dengannya. Guru saya juga buku, sahabat-sahabat tetapi guru yang banyak mengajar saya ialah Kemala yang bermula ketika menjadi Penulis Anak Angkat. Sahabat seperguruan saya ialah Saibil Madun seorang penyair hebat dari Kudat. Ketika Saibil menulis tentang dunai lautan saya menulis tentang balada pahlawan atau pejuang pribumi.

Terus belajar, menulis sajak tidak ada darjah terakhir, terus menulis, berfikir, mencari diksi terbaru, mencipta metafora yang segar... hingga tak berkata jika ditanya berapa sudah sajak yang ditulis. Di mana-mana, di atas kertas (kini dalam PDA), dalam komputer, siber, surat khabar, majalah seterusnya di alam siber. Guru saya Dato Kemala menjadi idola yang terbaik buat saya di samping juga terus membaca karya-karya As-Suhaimi, Supardi Joko Damono, Amir Hamzah, A.Samad Said dan Bung Johar.

Saya gemar melakukan penelitian diksi-diksi yang mereka pilih dalam karya dan tanpa melupakan saran Pak Supardi Joko Damono bahawa puisi yang segar harus dimulai dengan pilihan kata-kata yang segar dan baru. Ini dapatan ketika menyertai Bengkel Penulisan MASTERA di Jakarta pada 1997.

Semalam saya mendengar khabar dari Dato Kemala saya antara yang terpilih dalam terjemahan ke bahasa Portugis... saya tidak tahu apa mau diungkapkan selain berbesar hati dan gembira. Mudah-mudahan terus diberi keupayaan memantapkan dunia persuratan ini sambil terus berguru dan mempelajari urat-urat kehidupan yang sentiasa berkembang dengan segala macam rencam dan maknanya.

Hotel Copthorne,
Pulau Pinang.


Selasa, Mac 17, 2009

HA di Pulau Pinang

Akhirnya menjejakkan kaki di sini. Setelah melalui sebuah perjalanan yang membosankan. Lebih sedekad yang lalu, hanya membaca peristiwa demi peristiwa dan kini menjadi sebuah sejarah. Berjumpa kembali dengan rakan-rakan sekerja. Nampaknya tahun ini kami kerap bersama dalam lingkungan tugas dan tanggungjawab yang sama. Bulan Februari yang lalu kami bertemu semasa Pilihan raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Kali ini kami menjalani kursus, mengulangkaji tugasan yang bakal dilakukan setiap lapan tahun iaitu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan raya. Selepas ini sebahagian daripada kami akan bertugas pula di tiga pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selembau di Kedah, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan pilihan raya kecil Batang Ai di Sarawak. Saya, insyallah, akan bertugas di Bukit Selembau, Kedah. Agak menarik juga diberikan peluang bertugas di luar stesen, apatah lagi bagi pilihan raya-pilihan raya kecil yang bakal menyaksikan pengalaman-pengalaman yang mungkin mempunyai beberapa kelainan atau perbezaan warna peristiwanya. Setidak-tidaknya mengukuhkan lagi penglibatan seutuhnya sisa-sisa perkhidmatan sembilan tahun mendatang. Tahun 2009 merupakan tahun ke-30 saya berkhidmat dengan kerajaan Malaysia dan sepanjang 3 dekad itu, 24 tahun daripadanya merupakan tahun-tahun saya berada di Pejabat Pilihan raya Negeri Sabah. Memang banyak sekali pengalaman lebih 2 dekad di sebuah pejabat kecil tetapi mempunyai peranan yang amat besar dalam menyelaras serta mengendalikan sebuah pilihan raya yang akhirnya membentuk sesebuah kerajaan. Sudah tentu amat berbangga apabila sebahagian usia telah ditumpahkan di jabatan ini. Banyak tempat telah dituju, sebahagian besar Negeri Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung dan Sarawak.

Di Pulau Pinang ini menguja saya, jika disabitkan dengan pilihan raya dan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Parti DAP. Berjumpa dengan rakan-rakan yang saya sebutkan tadi, kami bercakap-cakap tentang hal-hal politik semasa, dari yang biasa kepada hal-hal yang sensitif jika dicatatkan di blog ini. Biarlah ia tinggal dalam fikiran kami, mana tahu suatu hari nanti ia menjadi kenyataan atau paling tidak menjadi asas perbualan generasi akan datang. Sama ada mereka akan menghukum generasi masa kini atau sebaliknya, mengajak saya dan rakan-rakan berazam berkhidmat dengan sebaik yang mungkin sebagaimana janji kami setiap hari untuk sebuah organisasi yang sentiasa menjadi pemerhatian orang ramai berdasarkan motto: Cekap dan Telus.

Kaitkan sastera dengan sains

Pengajian sastera Melayu di negara kita sedang menuju ke umur setengah abad, bermula dengan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1960-an. Kemudian pengajian sastera ditawarkan di beberapa buah universiti seperti di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Pengajian sastera di peringkat yang lebih rendah iaitu di peringkat sekolah menengah bermula apabila ditawarkan kertas peperiksaan untuk kesusasteraan.

Dewasa ini, pengajian sastera di peringkat universiti masih dijalankan di beberapa buah universiti awam seperti di UM, USM, UKM dan UPM. Di peringkat sekolah, penawaran mata pelajaran sastera juga diadakan iaitu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun jumlah calon semakin merosot dan jumlah kelas yang menawarkan mata pelajaran sastera Melayu turut mendukacitakan.

Mata pelajaran sastera Melayu sudah tidak laku lagi dan sudah jadi mata pelajaran kelas dua. Pelajar-pelajar yang mengambilnya adalah pelajar-pelajar yang tercorot prestasi akademiknya. Sedangkan pelajaran sastera memerlukan pelajar yang cerdas untuk berfikir bagi membuat analisis teks yang dikaji. Pengajian sastera di sekolah mendapat persepsi yang buruk dari semua lapisan; pembuat dasar, pentadbir, ibu bapa dan pelajar sendiri. Mengambil mata pelajaran sastera tidak ada masa depan bagi mereka.

Di peringkat universiti, program pengajian sastera samaada sastera Melayu atau Inggeris masih gah tetapi dengan sejarah lamanya. Nama dan institusinya masih dipertahankan kegemilangan sejarahnya dalam pengajian sastera. Pengajian sastera dalam kotak yang lama iaitu yang bersifat tulen masih menjadi keutamaan. Masing-masing mengaku bahawa mereka menawar pengajian sastera yang terbaik tetapi realitinya tidak semanis itu.

Tanggapan terhadap pengajian sastera sudah lama merudum dan terus menjunam. Mereka yang berada di dalam pengajian sains dan teknologi melihat pengajian sastera itu sebagai tempelan sahaja. Di Malaysia, pengajian sastera Inggeris masih boleh bertahan kerana bahasa Inggerisnya. Maka mengikuti pengajian sastera Inggeris lebih terjamin berbanding dengan sastera Melayu. Walau bagaimanapun, di dalam konteks yang lebih umum, pengajian sastera tulen tidak mendapat sambutan yang baik daripada pelajar-pelajar berbanding dengan pengajian sains dan teknologi atau pengajian sastera praktis seperti komunikasi dan pengurusan.

Keadaan yang hampir sama berlaku di luar negara. Pengajian sastera tulen semakin terpinggir. Dana untuk operasi pengajian ini terus dipotong dan bilangan pensyarah semakin mengecil kerana ramai yang berhijrah atau menukar atau mengubah bidang. Manakala yang pergi tidak diganti. Misalnya, terdapat sebuah institusi pengajian dan penyelidikan yang terkenal di Belanda iaitu The Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Carribbean Studies atau lebih dikenali sebagai KITLV yang memberi perhatian kepada antropologi, seni, ekonomi, sejarah, linguistik dan sastera di Asia Tenggara dan Carribbean, tidak lagi mendapat jumlah pelajar seperti dahulu di dalam bidang sastera dan bahasa.

Di institut ini juga kita mempunyai sebuah Kursi Pengajian Melayu yang disandang oleh mereka yang pakar dalam sastera dan bahasa Melayu. Di sini, bukan sahaja pelajar tempatan tetapi juga pelajar antarabangsanya semakin mengecil. Justeru itu, mereka terpaksa mengadakan satu skim fellowship untuk menarik pelajar-pelajar luar untuk belajar di sana. Pelajar-pelajar di Belanda dan juga di Eropah umumnya lebih berminat dengan pengajian China dan Jepun berbanding pengajian Melayu termasuklah sastera dan bahasa Melayu.

Sebahagian pensyarahnya terpaksa meninggalkan institut ini untuk mencari pekerjaan di tempat lain seperti di Singapura. Mereka yang keluar ini telah mengubah paradigma mereka di dalam pengajian sastera untuk disesuaikan dengan tuntutan universiti yang baru ini seperti mewujudkan kursus sastera Melayu dan media baru.

Pengajian sastera di Malaysia perlu berubah, sesuai dengan tuntutan keadaan. Boleh dikatakan hampir tidak ada langsung pengajian sastera diwujudkan di universiti atau kolej universiti awam yang baru muncul di Malaysia, jauh sekali di universiti dan kolej swasta. Mereka kini memberi perhatian kepada sains dan teknologi. Kita sering berkata, orang sains perlu juga sastera supaya dimensi seni dan manusianya hidup dan seimbang dengan sains dan teknologi. Namun sastera yang macam mana dan pakej yang macam mana yang kita tawarkan?

Kita banyak bercakap tetapi sebenarnya kita diserkup dengan kotak fikiran yang idealistik. Namun dari segi praktikalnya, kita lambat bertindak dan bekerja untuk ke arah itu. Fikiran kita terus di awang-awangan dan tidak mahu berjejak ke bumi, bimbang kepakaran kita tidak lagi relevan dan kita sebenarnya membohongi diri kita.

Silibus pengajian sastera perlu dirombak dan paradigma pensyarah sastera perlu diajakkan supaya dapat mencerminkan realiti dan tuntutan keadaan. Perubahan yang diperlukan tidaklah mengorbankan fungsi asas penubuhan sesebuah universiti iaitu untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Fungsi universiti juga perlu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sesebuah negara. Maka pengajian sastera jangan sampai hanya dapat mengembangkan ilmu tentang sastera tetapi mengabaikan keperluan graduannya mendapat pekerjaan.

Memang betul untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan itu tidak hanya bergantung kepada kursus yang diambil, banyak faktor lain diambil kira.

Namun jika pengkhususan itu tidak lagi laku, maka apa yang dapat diharapkan oleh para graduan dari pengajian sastera?

Pengajian sastera perlu berubah untuk menghasilkan graduan yang boleh melamar pekerjaan dengan mudah.

Jangan berfikiran bahawa graduan pengajian sastera masih boleh menjadi guru sekolah. Sekarang ini, graduan pengajian sastera juga sudah tidak laku untuk diambil menjadi guru. Guru sastera di sekolah sudah tepu, kata mereka.

Pengajian sastera tidak boleh lagi menjadi sebuah pulau yang terpisah daripada disiplin-disiplin yang lain. Pengajian sastera tulen sudah lapuk dan merugikan pelajar untuk mencari pekerjaan. Pengajian sastera mesti membuka dirinya kepada disiplin ilmu yang lebih luas termasuklah sains dan teknologi. Sastera bukan sahaja bahasa tetapi sastera juga visual dan persembahan. Hubungan sastera dengan seni yang lain perlu dimantapkan bukan dijadikan subjek tempelan. Misalnya kursus sastera dan filem perlu dibangunkan secara serius dan berkesan. Begitu juga dengan kursus sastera dan media baru serta multimedia perlu diberi perhatian.

Pengajian sastera dengan industri kreatif perlu diadakan di universiti supaya arus perdana ini dimanfaatkan secara optimum dan terancang. Jangan ada lagi universiti yang melihat hubungan sastera dan industri kreatif bersifat trendy tetapi ia perlu dilihat sebagai perkembangan yang akan berpanjangan dan akan menjadi semakin canggih pada masa depan.

Tuntutan perubahan ini tidak bermakna dasar atau asas pengajian sastera itu diabaikan. Perkara-perkara ini perlu diteruskan tetapi dalam paradigma yang berbeza. Pensyarah-pensyarah lama jika perlu diberi pendedahan baru dalam bidang ini supaya mereka dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada kedinamikan pengajian sastera.

Pengajian sastera juga perlu dihubungkan dengan pengajian budaya yang lebih luas. Sastera dan budaya tidak dapat dipisahkan. Jika kita perhatikan pengajian sastera Jepun di luar negara seperti di Amerika Syarikat, kursus-kursus yang menghubungkan sastera dengan budaya Jepun diwujudkan. Maka kursus seperti ini menarik perhatian pelajar untuk mengambilnya. Mereka belajar dua perkara di dalam satu masa. Pakej begini sangat digemari oleh pelajar-pelajar di Barat.

Sebenarnya, tidak boleh dipisahkan di antara sastera dan budaya. Sastera Melayu dan budaya Melayu berkaitan dan mempelajari sastera dalam kerangka ini lebih hidup dan menarik. Lantaran itu, elok difikirkan untuk menukar pengajian sastera menjadi pengajian sastera, budaya dan media. Mungkin telah ada universiti-universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian sastera dalam kerangka yang baru ini. Namun kesungguhan itu tidak menyerlah dan pengajian sastera masih dalam tempurung fikiran yang konservatif. Apabila pengajian sastera mempunyai struktur kursus yang baru dan relevan maka kita perlu mendapat pelajar yang bermutu. Kita tidak mahu lagi menjadi tempat pembuangan para pelajar yang kurang cemerlang.

Perubahan pengajian sastera di peringkat universiti perlu juga diselaraskan dengan perubahan pengajian sastera di peringkat sekolah. Di sekolah, pengajian sastera masih menggunakan paradigma yang lama semenjak zaman Inggeris lagi. Sudah lebih daripada 50 tahun, pengajian sastera di sekolah termasuk di dalam program Komsas berada di dalam mekanisme yang sama. Perkara yang telah basi seperti meneliti aspek intrinsik karya sastera seperti tema dan plot masih menjadi asas mempelajari sastera.

Kita masih tertanya-tanya mengapa pihak Kementerian Pelajaran masih berada di dalam kepompong fikiran usang dan mereka yang terlibat dengan penggubalan kurikulum pengajian sastera sangat cetek cara melihat pengajian sastera. Maka dengan fikiran mereka ini pengajian sastera menjadi ketinggalan zaman dan tidak nampak relevan dengan pembinaan negara bangsa Malaysia yang sedang bergerak ke depan. Justeru itu, pengajian sastera hanya untuk mencukupi mata pelajaran dan untuk pelajar yang bengap sahaja. Malang nasib pengajian sastera dari sekolah hingga ke universiti. Ada desas desus, silibus pengajian sastera di sekolah akan berubah, namun entah bila hendak menjadi nyata. Mungkin tahun 2020.

Sudah tiba masanya, pengajian sastera perlu diubah kurikulumnya dan cara berfikir mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu dianjakkan. Kita mesti ada visi dan misi untuk menjadikan pengajian sastera sebagai satu ilmu dan pada masa yang sama sebagai satu peluang para pelajarnya melamar pekerjaan dan mampu melihat pengajian sastera masih relevan dan setara dengan pengajian lain yang sedang pesat berkembang.


Sumber: Utusan Malaysia Online