Khamis, April 10, 2014

John Mui dan Kumpulan Anak Seni


APABILA bertemu semula, kita bertemu dalam situasi yang berbeza, walaupun mereka atau diri saya tetap sama; nama yang sama, wajahnya serupa, cara bersapa yang tidak banyak perubahannya. Hakikatnya, dulu dan sekarang memang berbeza. Bercakap tentang masa sudah sering kita mengulang kenangan, mencari teman-teman seperjuangan, mengulang kenangan paling indah dan palin...g mencuka. Itulah nikmat kehidupan dan beza antara satu dengan yang lain saya fikir hanyalah kenangan. Tidak semua mampu dikongsi bersama namun hakikatnya dengan kenangan hidup menjadi lebih hidup lagi. Itu anugerah Ilahi bairpun banyak perit daripada suka dan namanya pun kehidupan, itulah asam garamnya atau resepi enak tidaknya keindahan yang diberikan untuk kita.

Beberapa orang sahabat lama saya temukan, tiga orang sebenarnya. Seorang teman rapat ketika memulakan kehidupan di Kota Kinabalu kerana bekerja dan dua yang lain ialah mantan teman sekelas di sekolah menengah. Cerita kami tiada jauh bezanya. Mencari teman-teman lain entah di manakah mereka berada. Mengungkai betapa pengetua sekolah kami yang paling jahat kami temui (mungkin itu persepi kami semasa di bangku sekolah). Selebihnya berlegar tentang perkembangan diri masing-masing.

Kami bersekolah di St John's Secondary School Beaufort. Dari Kota Kinabalu jaraknya 100 km dan dari kampung saya sekolah itu punya jarak 10 atau 12 km. Memang jauh juga berbanding sekarang kerana perhubungan masa dulu tidak sebaik sekarang. Jalan raya belum beraspal, kenderaan pun mengharapkan kereta 'pick-up' yang memuatkan 10-12 orang pelajar sekolah. Pengalaman berebuat-rebut memasuki kenderaan Land Rover, kenderaan pacuan 4 roda satu-satu yang ada satu ketika juga tidak pernah luput dari ingatan. Pernah juga berjalan kaki dari kampung lantaran tidak ada kenderaan masuk akibat jalan raya rosak teruk. Selain daripada itu, banjir juga kerap menenggelamkan sekolah kami. Apabila air Sungai Padas melimpah ke atas paras bahaya, bandar Beaufort akan digenangi air hingga 5 meter. Sebab itu kedai-kedai di bandar itu dibina tinggi, begitupun ada waktunya air akan mencecah dalam lebih daripada sukatan biasa. Saya gerun bila melintasi deras air sungai Padas melalui jambatan yang menghubungkan kampung dengan bandar Beaufort. Apatah lagi di bawah jambatan itu jugalah terkenal dengan mitos 'tambuakar' yang begitu dipercayai sebilangan besar masyarakat setempat. Apabila banjir surut, kerja kami sebagai pelajar membersihkan bilik darjah. Begitulah kelazimannya saat banjir tiba. Beaufort sudah sinonim dengan banjir. Mungkin orang hairan jika Beaufort tidak lagi mengalami banjir. Apabila banjir terjadi banyak tempat di daerah itu menerima nasib yang sama termasuklah kampung kami kerana masalah perparitannya. Ketika banjir memberi makna yang lain buat kami, gembira tentunya. Ini kenangan masa banjir.

Berbalik kepada kisah pengetua kami yang dikatakan jahat itu. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Geografi masa saya berada di Tingkatan Lima. Masa itu masih dalam aliran Inggeris. Baiknya pengetua kami ini dia suka bergurau membuat kami tidak mengantuk atau pun bosan semasa belajar. Tapi buruk perangainya hanya satu, iaitu apabila mukanya merah kami tahu dia baru saja 'minum'. Pernah seorang kawan ditempelengnya, agak memeranjatkan juga. Namun ketika itu, apapun yang guru-guru lakukan terhadap kami tidak dibawa keluar. Maksudnya tidak sampai ibu bapa campur tangan. Saya tidak berani memberitahu ayah atau ibu saya apa yang guru saya telah buat di sekolah melainkan perkara-perkara yang baik belaka. Saya tahu saya akan malah dimarahi. Lebih baik diam. Bukan seperti sekarang, banyak kes melibatkan guru-guru yang harus berhadapan dengan ibu bapa murid-muridnya setelah mereka bertindak sedikit 'kasar'.

Bila bercerita semula tentang sekolah, rakan-rakan yang saya temui akan bertanya di manakah si anu dan si polan itu. Ada juga yang sudah pergi meninggalkan kami, ada yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing. Jadi bos, pernah jadi YB pun ada, jadi peniaga bahkan tidak kurang yang tetap berada di kampung, menjadi bilal dan bekerja di ladang kelapa sawit. Mereka juga tetap hidup bahagia, membesarkan keluarga dengan bahagia. Kami juga begitu berada dalam situasi yang tidak banyak bezaanya. Mungkin sahaja kedudukan dalam organisasi di mana kami bekerja. Mereka yang pandai masa sekolah dulu tentu sahaja tempat merekat lebih baik daripada kami. Apa yang penting bagaimana menghidupkan kehidupan ini.

Seorang sahabat yang banyak masanya bersama-sama sekitar tahun 1979, dulu juga bertanyakan sahabat-sahabat sepermainan. Masa itu saya baru berhenti sekolah dan berhijrah dari kampung ke Kota Kinabalu. Di situ saya bertemu dengannya dan ramai kawan lain. Bermula ketika kami menyertai Skuad Kecemasan St. John Ambulance, sahabat ini membawa saya bertemu dengan sekumpulan belia di Pantai Tanjung Aru. Di sana rupanya diadakan perjumpaan mingguan penggiat seni. Saya berkenalan dengan mereka dan salah seorangnya ialah penyair Hajah Zaiton Haji Ajamain. Siapakah insan ini, saya tidak kenal langsung sebelum itu. Manalah saya tahu tentang dunia penulis atau malah dunia seni. Orang kampung seperti saya agak terkejut juga tetapi menarik hati saya yang tidak tahu apa yang saya patut buat di bandar Kota Kinabalu ketika itu. Bila berkenalan selepas itu saya dipelawa menyertai kumpulan tersebut iaitu Kumpulan Anak Seni. Kawan-kawan yang aktif masa tu memang sudah tidak aktif lagi masa ini. Saya belajar menari. Saya boleh menari tapi tarian yang rasa boleh saya pelajari hanya Tarian Limbai dan Tarian Adai-Adai. Sebabnya hanya satu, mudah dipelajari. Langkahnya memang tidak rumit. Selepas itu barulah saya boleh menarikan Tarian Asli, Joget, Inang, Endang dan beberapa jenis tarian yang lain. Saya juga belajar bermain drama. Kebetulan masa itu aktiviti kesenian termasuklah teater begitu rancak. Maka sempatlah saya menyertai persembahan dan pertandingan teater. Memang hebat masa itu dengan kumpulan-kumpulan teater yang tidak calang-calang penggiatnya. Agresif bila tewas. Kumpulan Anak Seni juga bukan kurang, saya masih ingat satu ketika apabila beberapa orang kawan entah bagaimana menemui serpihan kertas yang memuatkan catatan pemarkahan sebuah pertandingan tarian. Kumpulan kami mendapat tempat kedua, namun begitu apabila mendapat tahu sapatutnya kami juara sebenar berdasarkan maklumat pada serpihan kertas yang ditemui, kami menyerbu pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah. Masa itu penjawatnya ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah sekarang ini iaitu Datuk Masidi Manjun. Kami pun berhujah. Maklumat yang ditemui dipersembah. Akhirnya keputusan dibuat kumpulan kamilah yang menang. Itu belum cukup lagi, ada kumpulan kesenian yang kalah sanggup mencerderakan atau mengugut panel hakim.

Pertemuan dengan kawan-kawan lama lazimnya merefleksikan ingatan-ingatan sesuatu era, bagaimana selama itu ia tumbuh bagai rumput yang diberi baja padahal bajanya hanyalah dorongan kawan-kawan dan kekerapan aktiviti yang dilaksanakan. Persatuan kesenian begitu menyerlah. Teater dan tari, begitu memberangsangkan serta menarik hati anak-anak mudah sebaya saya. Penulis hadir seiring dengan aktivitis teater dan tari serta kesenian yang lain. Tidak begitu serius, kerana tidak ada badan penulis yang khusus saat itu. Kecuali apabila Badan Bahasa Sabah aktif semula pada pertengahan 80-an dan lahirnya Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada tahun 1990. Dan hingga kini dunia penulisan sentiasa menjadi fokus. Begitu hebat dunia penulisan ia tetap berhadapan dengan pelbagai hadangan dan cabaran. Terutama ketika membabitkan badan-badan penulis yang begitu memerlukan sokongan serta bantuan untuk menggerakan aktiviti berkaitan. Badan-badan penulis ini lebih bersifat eksklusif dalam pengertian ia disertai mereka yang memang mempunyai keterselahan bakat dalam dunia persuratan. Badan-badan kesenian dulu agak berbeza kerana ahli-ahli boleh memilih samada seni tari, seni teater, seni persuaratan, seni muzik dan seterusnya. Apabila Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukar atau nama yang lebih mesra bagi penggiat seni - KKBS, dipecahkan menjadi dua lembaga (Lembaga Sukan dan Lembaga Kebudayaan) di samping sebuah kementerian yang bertambah cabangnya seperti pelancongan dan alam sekitar, aktiviti seni hanya tampak kepada makna 'seni' yang sempit yakni bila menyebut seni ia lebih tertumpu kepada seni tari dan muzik (baca: tradisi). Dari segi pendanaan bidang tari dan muzik tradisi lebih terserlah berbanding seni persuratan. Selama ini kita tidak tahu sama ada wujud pemahaman yang jitu tentang seni persuratan. Apakah lombong emas kepada pelancongan itu hanya pada seni tari, muzik dan busana etnik. Apakah ada kesedaran tentang sejarah atau intipati budaya etnik dari sudut sastera dan bahasa? Atau menerima seadanya lantaran lombong emas tidak mungkin begitu mudah berbanding penampilan tarian dan keasyikan muzik yang dipertunjukkan kepada orang asing, antara aset utama pendapatan negara.

Perjuangan menempatkan dunia persuratan telah berlangsung sekian lama, bagaimana memartabatkan sastera etnik sebagai bahagian daripada sastera kebangsaan, yang telah banyak mengorbankan kepentingan setempat. Apakah hujahan para pejuang ini tidak seteguh para pejuang ekonomi yang lebih melebatkan keuntungan fizikal berbanding spritual. Padahal ada ketikanya dunia seni tempatan (baca: Sabah) telah dicercamerbakan oleh kepelbagaian literasi terhadap nilai majmuk masyarakatnya. Contoh, tarian limbai ditarikan oleh penari sumazau, penari magunatip menarikan tarian daling-daling dan sebagainya. Orang luar tentu tidak sensitif tentang perkara ini. Mereka lebih mementingkan pancawarna yang ada di hadapan mereka, yang barangkali tidak pernah mereka lihat atau memang tidak ada di tempat mereka. Barangkali juga inilah yang disebut kreativiti. Saya secara peribadi sejak sekian lama tidak bersetuju tentang 'rampaian' kesenian etnik di Malaysia.

Itulah kemeriahannya. Dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Dulu hanyalah kenangan untuk sekarang. Jika indah memang patut dijadikan pedoman, jika tidak pula biarkan saja sebab keindahan itu pun terpulang kepada persepi masing-masing. Ada yang berkata di sebalik kekurangan ada hikmahnya untuk mencari keindahan yang lebih hakiki. Dan bila mengenang semua itu saya tidak mungkin melupakan Kumpulan Anak Seni misalnya, walaupun persatuan kesenian ini telah lama berkubur, ia tetap saya jadikan aras bermulanya seorang saya di arena persuratan seperti yang saya kenali sekarang. Begitu juga dengan tempat saya menimba ilmu, walaupun kelulusan saya hanya cukup makan, saya harus berbangga menemui seorang pengetua yang jahat tetapi telah mengajar kami erti perjuangan. Perjuangan yang tidak setakat apa yang diterima sekarang tetapi harus mencari dan mencari ilmu-ilmu baru tanpa jemu. Saya tahu beliau juga telah pergi jauh, setidak-tidaknya bila berjumpa dengan matan teman-teman sepersekolahan, insan itulah yang menjadi fokus perbualan kami. Terima kasih Mr. John Mui dan terima kasih kepada Kumpulan Anak Seni serta teman-teman sepermainan yang sentiasa saling berkongsi masa sudah yang indah.

Mencari persamaan dan perbezaan masa lalu

MENGIKUTI Perhimpunan Sastera dan Budaya Negara Serumpun di Rumah Budaya Fadli Zon, Aie Angek, Tanah Rata, Sumatera Barat mendekatkan banyak kemungkinan oleh sasterawan kepada penemuan-penemuan baru terhadap aktiviti sastera. Baik di Sabah (baca: Malaysia) mahu pun di empat negara tetangga yang lain. Di situ kemungkinan-kemungkinan yang lalu telah dialami sendiri oleh para penulis yang menyertai Deklarasi PSBNS sambil menunggu tahun-tahun yang mendatang. Kita ingin menemukan banyak hal yang baik-baik dengan menjadikan masa yang berlalu itu sebagai panduan ke arah penemuan yang lain dan lebih baru.

Menoleh ke belakang sering mengajak kita memandang semula sesuatu yang barangkali memang ingin dilupakan walaupun sebenarnya tidak demikian. Bahkan masa lalu itu menjadi igauan-igauan untuk datang kembali ke sana. Dengan pertanyaan bahawa pernahkan kita  berfikir tentang masa itu, masa lalu atau beberapa hari yang lalu? Beberapa hari yang telah berlalu dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan, suka dan duka. Meski mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang lalu itu sentiasa memberikan nilainya sendiri. Pengalaman sesungguhnya amat mahal dan untuk membezakan antara insan dengan yang lain inilah iaitu pengalaman. Pengalaman itu pengisian hari-hari yang mungkin biasa, luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu yang bermakna.

Sesiapa sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang penyair sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa sudah orang lain atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam bait-bait peristiwa kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik pelukisan serta penulisan yang berwibawa.

Beberapa hari yang lalu telah mengajar tentang hijrah. Suatu perpindahan ke arah kelebih baikan untuk kehidupan. Memilih jalan yang diyakini benar daripada segala kemungkinan-kemungkinan yang benar. Beberapa hari yang lalu menerima berita tentang banjir di kampung halaman yang menyuntik ingin sekali menyedut air yang tengah membuak-buak menenggelamkam kawasan rendah, ia bertahan beberapa lama kerana tiada jalan keluar hingga menyebabkan kesulitan warganya. Saat ini keperluan untuk menepuk belakang para pembesar agar turun tanah semakin membuak rasa setelah membara sekian lama. Barangkali beberapa hari yang lalu menerima berita gembira kerana permohonan pembelian kereta telah diluluskan pihak bank tetapi pada masa yang sama memikirkan juga  bertambahnya hutang. Beberapa hari yang sama sekaligus menggembirakan apabila menerima cahaya mata baru dalam bulan Muharam malah sekaligus kelahiran cucu pertama dalam keluarga. Beberapa hari yang lalu barangkali tidak menjangkakan bahawa maruah dengan mudah terpanggang oleh amarah akibat keangkuhan yang keterlaluan. Jika pernah mengharapkan agar hijrah diri bisa membentuk sahsiah, kewaspadaan, kewarasan dan kesabaran. Rupanya ia tidak semudah apa yang dirasa dan diharapkan kerana semua itu bermula dari sebuah peribadi yang sederhana.

Kegembiraan berganda setelah ditawarkan sebagai penerima bintang kebesaran kerana perkhidmatan yang lama dan cemerlang. Beberapa hari yang lalu juga dicerca merbakan oleh isu-isu yang meragam mengangkat menara geram. Orang lain gembira menyambut kemenangan sedangkan orang lain yang berjuang untuknya mula menyumbangkan jurang dendam. Beberapa yang lalu itu juga apa yang kita mahukan tidak menjadi, mahu kita tidak mungkin sama dengan mahu orang, apatah lagi buat yang berkuasa.

Beberapa yang lalu ramai orang begitu taksub memperkatakan masa depan politik yang semakin dicabar dan tercabar. Mereka bangun semata-mata politik, melihat kemakmuran rakyat hanyalah retorik tetapi tidak jelas. Politik terus berada di mana-mana ceruk rantau rimba, desa dan kota, di kantor, di menara gading, di tengah sawah dan ketika lautan banjir menenggelamkan tanaman dan membunuh haiwan ternakan. Beberapa hari yang lalu juga meraikan kemenangan penghiburan tempatan dari daerah yang terpencil sambil pada masa yang sama keriuhan kerana geram dengan pengkritik yang hilang pedoman, akal yang nakal tetapi lebih menanam geram. 

Beberapa hari yang lalu tentang dunia yang terus ribut dan retak, terus dibumbui rentak muzika hantu dan citra tahayul di tengah keseronokan manusia menontonnya. Apakah sudah tidak ada wacana yang lebih membina minda, membangunkan citra bangsa yang lebih menjanjikan kekuatan untuk negara bangsanya? Atau barangkali segala yang ada sudah cukup menjelaskan bahawa dunia telah ketandusan keindahan. Retoriknya kepada ciptaan yang mengkhayalkan, manusia begitu senang menerima suntikan candu hiburan hingga ramai yang alpa dan tidak berfikir untuk apa sesebuah citra yang memabukkan itu disogokkan kepada anak-anak bangsanya yang kian lemah kerana terlalu lemah oleh kebendaan dan janji-janji serta habuan wang ringgit hingga nilai perjuangan telah hanyut jauh menanggalkan jati diri yang dipertahankan berzaman.

Seorang penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa hari yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa peristiwa. Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa hari yang baru, akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan tidak indahnya. Biasa bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa berjalan tanpa berhenti, manusia mencari tanpa henti sesuatu yang boleh sahaja menggembirakannya dan boleh jadi mendukacitakannya. Hari-hari yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan dicatatkan, diperindahkan, dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai penghayatan kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak haloba tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar, jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk mencapai impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah takat kemampuan yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.

Sesungguhnya beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar waras dan berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun peristiwa mempunyai wibawanya dalam keadaan yang indah dan sebaliknya. Beberapa hari yang lalu tak pernah berlalu selagi manusia penyair ada dan asas fikiran untuknya wujud. Dengan harapan akan ada pertemuan dan penemuan di hari-hari yang lain, bersiagalah untuk menyiapkan diri, fikiran dan suasana agar kesiap siagaan itu menjadi kekuatan dalam berhadapan dengan keadaan yang baru atau lebih baru. Dengan harapan akan kembali menyentuh peristiwa yang sama walaupun dalam masa yang lain seperti kata orang-orang pandai bahawa yang membuat kita berbeza tiada kecuali dua iaitu buku yang dibaca dan orang yang berada di sekelilingmu. Jika pun dengan orang yang sama kita akan melihat beberapa perbezaannya.

Rabu, April 09, 2014

Pemula sebuah kehidupan



TAHUN 2014 ini menggenapkan angka 35 tahun saya berada di Kota Kinabalu dan berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Pada 8 Mac 1979 pertama kali saya ditawarkan kerja oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sebagai Pembantu Siaran Gred D4 di Jabatan Penyiaran Malaysia. Ketika itu saya baru berumur 19 tahun dan baru melepasi peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Saya agak bertuah kerana mendapat kerja lebih awal dalam erti kata tidak lama menganggur. Seronoknya kerja cari pekerja dan dalam kes saya, tanpa temuduga yang rumit. Seronok yang berganda pula walaupun keputusan MCE belum dikeluarkan saya sudah mempunyai kerja tetap. Gajinya relatif kecil jika dibanding dengan nilai sekarang - RM235.00 gaji pokok, dicampur dengan elaun-elaun yang ada dan tolak EPF, dapatlah sekitar RM400.00 bersih sebulan. Tapi bila ditolak lagi dengan bayaran sewa bilik, cukup-cukuplah untuk 'hidup' selama sebulan.

Dengan gaji itu memang tidak memberikan kemewahan, namun setidak-tidaknya, tidak menyusahkan ibu dan bapa yang bukan juga orang yang mewah ketika itu. Saya sentiasa ingat kesukaran bapa mencari nafkah untuk keluarganya seramai 8 orang termasuklah ibu dan lima adik saya. Saya juga ingat betul dengan gaji yang kecil itu saya kurang memberikan orang tua apa-apa kecuali sebuah rumah yang ada sekarang ini. Sahabat-sahabat yang pernah mengunjungi rumah saya itulah yang saya mulakan terletak di tengah Kampung Lumadan Beafuort, 8 batu dari pekan di mana kini perjalanannya sudah semakin cepat kerana jalan raya yang telah diperbaiki.

Di Jabatan Penyiaran Malaysia (selepas ini RTM) saya diletakkan di satu unit kecil tetapi amat penting. Saya bertugas di bahagian pita dan mengurus keluar masuk pita yang telah digunakan penerbit. Setiap penerbit akan ke bahagian kami (POA) untuk meminjam pita kosong. Dengan pita itu mereka akan gunakan untuk sebarang rakaman untuk program radio dan juga bahan-bahan rakaman di luar studio. 4 tahun kemudian saya berpindah ke unit Seranta. Kerjanya mudah sahaja - susun surat khabar harian, kemas kini buku-buku bacaan dan rujukan dan mengurus keluar masuk buku-buku yang dipinjam oleh warga RTM. Pendek kata di unit seranta ini selain mengwara-warakan program radio di surat khabar juga menjadi perpustakaan kepada warga jabatan berkenaan.

Selama setahun di unit itu, saya dibawa pula ke unit penerbitan radio. Unit Pembangunan melengkapkan keberadaan saya di RTM. Di unit ini saya menjadi penerbit beberapa buah rancangan. Program yang saya tangani ialah 'Desaku' dan juga 'Suara Pembangungan'. 'Desaku' disiarkan pada waktu pagi sementara 'Suara Pembangunan' dibuat secara 'live' di konti pada waktu tengah hari secara bergilir-gilir dengan penerbit lain. Selain menerbit kadang-kadang saya 'curi-curi' menggunakan suara saya ke udara. Yalah, sesekali mahu juga merasa macam mana agaknya menjadi juruhebah. Saya sebenar belum dibenarkan menggunakan suara sendiri. Memang seronok. Saya pernah ditegur oleh boss saya kerana memainkan lagu-lagu yang tidak sesuai. Saya tidak menjawab apa-apa kerana malu juga kerana kebanyakan lagu-lagu ditujukan kepada ‘buah hati’ ketika itu. Memang tidak patut namun ini yang lucunya dan tidak mungkin saya lupakan.

Jika ‘Suara Pembangunan’ dibuat secara ‘live’, Rancangan 'Desaku' merupakan rakaman. Saya perlu mendapatkan bahan-bahan temuramah dan kajian sebelum menulis skrip. Rancangan ini memaparkan perihal asal usul kampung yang terpilih di samping memberi liputan tentang pembangunan dan cara hidup masyarakat desa berkenaan.

Pertama kali diberikan tugasan untuk menemuramah orang awam di luar studio memang mendebarkan namun atas asuhan Puan Azizah Haji Itam ketika itu, saya kuatkan semangat. Tugas pertama saya ialah membuat liputan berkait dengan penggunaan lampu rumah. Alat rakaman pada masa itu sudah tentu berbeza dengan sekarang. Dengan menggunakan pita dan alat rakaman yang berat. Alat itulah juga yang digunakan dalam rakaman ucapan-ucapan Menteri dan sebagainya dalam majlis-majlis rasmi Kerajaan.

Berkhidmat di RTM memang menyeronokkan. Kisah-kisah hitam putih memang lumrah, di mana-mana pun kita berada, kita tidak dapat dipisahkan dengan hal-hal yang menjadi cabaran yang menjadikan kita bererti untuk kehidupan. Setidak-tidaknya menjadi panduan di hari-hari yang lain. Ketika saya dipindahkan ke unit penerbitan khususnya unit Pembangunan menyebabkan saya kerap keluar ke daerah-daerah luar bandar dan bandar-badnar di Sabah untuk mendapatkan bahan penerbitan. Bertemu dengan pelbagai ahli masyarakat termasuklah Pegawai Daerah, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Pemimpin Masyarakat, Ketua Kampung seterusnya orang-orang awam yang berkenaan. Kebetulan juga saya meminati bidang penulisan, walaupun ketika itu saya baru belajar dengan penulis-penulis hebat semasa menyertai persatuan kesenian, Kumpula Anak Seni. Rupanya bertautan antara minat dan bidang kerjaya menjadi lebih bermakna apabila ia ditemukan sebagai satu tanggungjawab dan amanah.

Saya amat kecil dan kerdil sekali dari segi pengalaman dan penampilan mungkin juga kemampuan. Di RTM saya banyak belajar. Saya tidak lupa jasa baik Encik Wilfred Mojilis, Encik Alex Sundang Alex, Encik Melin Biok, Puan Azizah Haji Itam, Puan Ramlah Amir yang pernah menjadi bos saya. Tidak lupa rakan-rakan sekerja seperti Francis Fahir, Allahyarham Abdullah Hussin, Samad Ismail, Puan Jovita Motuyun, Puan Alus Bokiah, Evelyn Gobile, dan Puan Aisyah Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) yang banyak memberikan tunjuk ajar serta panduan semasa bertugas di unit berkenaan. Selama setahun setengah saya 'bermain' dengan skrip dan rakaman serta lagu-lagu pembangunan. Pada 4 Julai 1985 saya terpaksa berangkat pergi dari bangunan RTM kerana menerima tawaran bekerja di Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) pada 4 Julai 1985.

Pada tarikh itu saya memulakan kehidupan baru dan suasana baru di tempat kerja yang baru bersama-sama rakan-rakan yang baru. Selama 6 tahun berada di RTM sudah tentu lebih pendek berbanding kini setelah 29 tahun di SPR, namun permulaan yang baik sudah pasti memberikan perjalanan seterusnya dengan baik juga. Apa yang penting terus berusaha untuk gigih memperbaiki sahsiah diri dan ilmu pengetahuan seterusnya memantapkan jati diri untuk kebahagiaan diri, keluarga, sahabat-sahabat, masyarakat dan negara. Sudah tentu dengan usia yang bersisa ini memberi ruang kita melihat sejenak apakah yang kita telah lakukan sesuatu yang berhasil dan tidak, meninggalkan jasa atau sebaliknya.

Penyair dalam diri sendiri


SAYA dilahirkan di tangan Nenek Susur - bidan kampung ketika masyarakat Sabah berada di bawah era pentadbiran British North Borneo Company pada tahun 1960. Ayah saya berasal daripada suku kaum Murut Muslim, bekerja sebagai penoreh getah; sementara ibu suku kaum Jawa. Latar awal kehidupan kecil, dibesarkan dalam kawasan perladangan getah (Lumadan Estate) dan terdedah dengan aktiviti seni pementasan bangsawan, sandiwara, persembahan kugiran dan tarian di tempat kelahiran yang dipergiat oleh para pendidik sekolah dan warga ladang. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru dan pekerja ladang getah. Setiap bulan diadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Lumadan Estet (kini Ladang Lumadan, getah diganti dengan penanaman kelapa sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan. Ada sebuah panggung wayang di ladang itu di mana di situlah saya pernah beraksi membaca puisi ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun). Saya pernah bercita-cita menjadi guru tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Apakah bakat namanya(?) tiba-tiba menjelma ketika berhijrah ke Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran kerja di Jabatan Penyiaran (RTM Sabah). Di Kota Kinabalu (1979), saya berkenalan dengan Hajah Zaiton Haji Ajamain, penulis dan pemimpin Kumpulan Anak Seni. Saya menjadikannya guru awal saya dalam dunia sastera. Di sinilah semuanya bermula; daripada menjadi penari kepada 'penggila' puisi.

Saya sentiasa belajar daripada pengalaman masalalu dan malah pengalaman yang bakal tiba. Daripada kritikan kedua orang tua yang amat saya sayangi tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan oleh para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada bakat penulisan yang saya punyai. Begitu juga para sahabat yang dekat, mengakrabi kehidupan mereka. Saya sering membaca tanda-tanda sebuah kehidupan yang saya alami dan saya percaya pengalaman itu dialami juga oleh orang lain. Pengalaman yang sama tapi tidak serupa ini barangkali boleh dikongsikan nikmat dan hikmahnya. Bezanya tentu sahaja kerana saya bercerita melalui puisi yang langgamnya bersifat peribadi, namun ada juga yang memerlukan jangkauan lebih mendalam dan memerlukan bacaan lebih lanjut.

Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. Setiap detik dan hari ada bicara bungkam yang lahir dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa. Dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi  kias  serta  panduan  yang  terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil.

Sebagai penyair saya selalu memandang sesuatu itu tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain sama ada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan pelbagai peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar, kecil atau sederhana. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.

Antara sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan komunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.

Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan sebagainya.

Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tidak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di manapun kita berada, kita akan mengamati situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menterjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa melahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminkan peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah kepada kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun sebaliknya.

Dan saya berada di dalamnya, dalam individu penyair yang tidak henti mengharung gelora kehidupan. Dengan puisi membesarkan jiwa. Puisi menenggelamkan semua perasaan yang menakutkan. Puisi difahami sebagai terapi dan taman paling indah. Jangan berikan apa-apa kecuali puisi. Puisi itu kehidupan dan cermin sejuta mata.


Gosip sastera yang sia-sia



Oleh: MOHD. AFFANDI HASSAN
Ahli-ahli falsafah Barat sudah lama menimbulkan masalah kualiti pemikiran dalam masyarakat mereka. Umpamanya, ahli falsafah Jerman Martin Heidegger, menghuraikan dengan panjang lebar cara berfikir yang dipanggilnya “idle talk”, yakni omongan, ocehan, borak kedai kopi, yang sifatnya cetek, mengelirukan, dan menghalang perkembangan pemikiran sihat dalam masyarakat. Prof. Harry G. Frankurt, dalam bukunya On Bullshit (2005) menamakan tulisan atau ucapan begini sebagai sejenis “bullshit”, yang memperagakan kecetekan pengetahuan dan kemalasan berfikir. Pandangan profesor ini dibahaskan oleh ahli falsafah lain, kerana bagi mereka perkara itu penting dan wajar dibahaskan secara akademik.

Bagaimanakah kita dapat mengukur kemajuan berfikir para sasterawan kita? Bagi sarjana dan sasterawan Melayu, istilah “pemikiran” digunakan sewenang-wenang untuk merujuk kepada “isi” sesebuah karya, tanpa mengira karya tersebut karya picisan atau karya bukan picisan. Inilah pendirian rasmi panel Anugerah Sastera Negara yang diterima sebagai aliran arus perdana yang tidak boleh dikritik. Dengan pendirian ini, sebuah karya yang mengajar masyarakat menjadi kurang ajar atau biadab atau yang mengagumi syaitan/iblis adalah sebuah karya intelektual, sebuah karya yang mencerminkan “pemikiran” penulisnya. Jika kita ambil pendirian panel Anugerah Sastera Negara, maka kita akan dapati kesusasteraan Melayu moden amat kaya dengan “pemikiran”, walaupun bersifat picisan, cetek dan keliru. Pendirian ini dipakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika menganjurkan seminar tentang “pemikiran” sasterawan negara yang diterbitkan sebagai prosiding seminar berkenaan. Inilah juga yang menjadi pegangan para sarjana dan pengkritik sastera arus perdana. Satu sifat umum yang paling menyerlah dalam prosiding ini ialah kecenderungan yang berlebihan untuk memuji dan memuja sasterawan berkenaan. Analisis yang kritis tidak dibenarkan, malah sebarang tulisan yang kritis, yang menilai karya sasterawan negara secara objektif, jitu dan tepat, tidak boleh diterima jika analisis itu tidak menyokong corak “pemikiran” sanjungan yang ditetapkan oleh panel Anugerah Sastera Negara. Inilah kedudukan “pemikiran” dalam sastera Melayu moden. Kedudukan rasmi ini diperkukuh dalam seminar novel abad ke-20 yang dianjurkan oleh DBP.

Cara berfikir yang ditetapkan oleh panel Anugerah Sastera Negara terlalu tebal sifat feudalnya, walaupun “ukuran” yang digunakan keseluruhannya diasaskan kepada nilai-nilai dalam kritikan sastera Barat. Ini diperlihatkan dengan terang-jelas dalam seminar antarabangsa sastera bandingan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Seorang sarjana yang dijemput menulis kertas kerja untuk seminar itu dipaksa mengubah pendiriannya yang kritis jika sekiranya kertas kerjanya mahu dibentangkan. Sarjana tadi tidak diberi peluang mengemukakan pendapatnya yang tidak disetujui oleh penganjur, sekiranya pandangan kritisnya tidak diubah mengikut acuan yang dikehendaki. Dengan menggunakan alasan bahawa penganjur berhak menentukan corak kertas kerja yang dikehendaki, maka sikap feudal yang antiintelektual dijadikan senjata untuk menolak pandangan kritis tanpa membahaskannya terlebih dahulu. Bolehkah kita berkata sasterawan Melayu/Malaysia pada dasarnya bersikap antiintelektual? Kita harus sedar, dalam konteks inilah kita sering bercakap tentang kejujuran dan sikap lapang dada.

Dalam keadaan seperti ini, maka yang digalakkan oleh pendukung arus perdana ialah tulisan-tulisan yang bersifat gosip, sama ada yang dicedok dari pembacaan yang superfisial atau dari gerak-hati berasaskan emosi ketika melihat sesuatu perkembangan baru. Majalah Dewan Sastera kini menjadi pelopor tulisan sastera bersifat gosip ini, ditulis oleh beberapa orang sasterawan yang sudah ranum (menurut istilah Fatimah Busu, “sasterawan berjenama”). Para kolumnis ini menjadikan ruang majalah yang disogokkan kepada mereka untuk meluahkan “pemikiran” picisan mereka dalam esei pendek berbentuk gosip (sila rujuk Dewan Sastera 2000-2007 dan seterusnya nanti). Tidak seorang pun di antara mereka berminat untuk membahaskan dengan kritis beberapa pandangan dalaman para sarjana, pengkritik dan sasterawan kerana mereka tidak membacanya, akibat dari keangkuhan intelektual yang menjadi budaya hidup mereka. Berapa lamakah lagi gosip sastera ini akan diteruskan oleh Dewan Sastera? Gosip adalah jalan mudah untuk meneruskan kegiatan penulisan di kalangan sasterawan tua yang tidak bertambah ilmunya, malah yang semakin jumud pandangannya. Oleh itu, budaya gosip ini akan diteruskan kerana dengannyalah Dewan Sastera masih dapat diteruskan penerbitannya.  

Melalui gosip sastera ini, pembaca yang terdiri daripada sasterawan muda terutamanya, akan diberi nasihat, amaran, pujian terhadap tokoh-tokoh tertentu yang biasanya dari kumpulan sendiri atau dari kalangan penulis muda yang sokongannya diperlukan untuk memuji para penulis tua yang sudah tumpul akalnya itu. Tidak ada perkara baru yang dikemukakan, walaupun perkara-perkara penting seperti peranan epistemologi dan teologi dalam karya kreatif ditimbulkan sejak sekian lama. Kumpulan ini mendiamkan diri, bukan saja kerana tidak mampu membicarakannya dengan rasional, tetapi juga kerana sikap antiintelektual yang meremehkan perkara-perkara penting yang dianggap tidak relevan dalam penulisan kreatif. Agak menarik apabila ditimbulkan persoalan bahawa novel remaja Harry Potter yang laku di Malaysia dikatakan mempropagandakan ajaran Kristian di satu pihak, manakala di pihak lain yang berupa kumpulan majoriti mengutuk karya itu sebagai mendorong anak- anak memuja syaitan dan menggalakkan mereka mencuri, berbohong, menipu dan sebagainya. Apakah kaitannya dengan epistemologi dan teologi dalam penulisan kreatif? Para kolumnis gosip sastera tidak mempunyai apa- apa pandangan tentang perkara ini, walaupun persoalan ini sangat penting dalam penulisan kreatif. Persoalan ini tentu saja tidak boleh digosipkan begitu saja, tetapi wajib dibahaskan dengan mendalam berasaskan ilmu yang benar. Masalahnya mereka menolak konsep ilmu yang benar itu, dengan itu terus membiarkan diri mereka hanyut dalam arus perdana bersama buih-buih kepalsuan dan sampah sarap pandangan dangkal yang hanya berasaskan kemahuan hawa nafsu mereka sahaja. Dalam konteks inilah ada di antara mereka yang kagum dengan kepintaran syaitan, seperti yang diceritakan oleh Goethe dalam sajak panjangnya Faust. Itulah yang disebut sebagai pemikiran intelektual oleh mereka yang tidak menerima konsep ilmu yang benar itu. Tanpa konsep ilmu yang betul, mereka akan terus meraba-raba berbicara tentang keindahan bahasa, yang akhirnya menjadikan tahi sebagai simbol keindahan dalam karya kreatif. Jika aspek epistemologi dan teologi itu difahami dengan betul dan mendalam, konsep keindahan bahasa itu tidak lagi berlegar di sekitar permainan kata dalam metafora, perbandingan dan sebagainya; tetapi mengarah kepada makna yang dicapai melalui konsep ihsan. 

Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan akan melahirkan karya kreatif yang tidak lagi picisan dan memuja kebiadapan manusia, seperti yang terpancar dalam novel-novel yang memenangi Anugerah Sastera tulisan para sasterawan negara. Melalui konsep ihsan yang dijadikan dasar keindahan bahasa, keindahan itu dilihat dari segi makna dan bagaimana makna itu dilahirkan dalam karya. Ihsan merujuk kepada dua prinsip utama: pertama merujuk kepada penguasaan bahasa yang tepat untuk mencapai makna paling sempurna. Inilah aspek kemahiran yang disebut dalam sebuah hadis yang menyatakan bahawa jika seseorang menyembelih ayam, alat (pisau) yang digunakan haruslah tajam supaya binatang yang hendak disembelih itu tidak menderita. Demikianlah juga tema yang dipilih sasterawan, akan menderita dalam kecetekan pengolahan jika tidak diolah dengan analisis yang mendalam dan masuk akal. Aspek kemahiran ini harus dilihat dalam konteks aspek kerohaniannya, yang disebut dalam sebuah hadis lain yang menyatakan bahawa seseorang yang melakukan amalnya haruslah insaf bahawa dia melakukannya dengan penuh kesedaran semua perlakuannya itu dalam pengetahuan Allah Ta‘ala. Berasaskan prinsip-prinsip ini, perwatakan dalam sesebuah novel misalnya dapat dibuat dengan lebih tepat, sesuai dengan hakikat insan. Karya-karya para sasterawan negara banyak sekali yang menderita dari segi tema dan perwatakan. Dalam gagasan Persuratan Baru, kedua-dua aspek keindahan bahasa itu terkandung dalam konsep taklif, yang menjadi dasar utama persuratan Islam.

Gosip lain ialah pandangan Shahnon Ahmad tentang konsep picisan. Sasterawan negara ini mengaitkan picisan dengan harga buku, padahal karya picisan yang berada di pasaran sekarang lebih mahal harganya daripada karya bukan picisan. Apakah maknanya? Ini jelas menunjukkan sistem nilai kita telah rosak begitu jauh, sehingga seorang sasterawan utama sekali pun tidak kenal lagi mana karya picisan mana yang bukan picisan. Sebabnya cukup jelas: beliau sendiri pun menulis karya picisan itu. Kita boleh bahaskan aspek ini lebih lanjut nanti, jika kita rasa perlu (sebenarnya memang perlu). Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula menulis laporan biasa tentang pementasan sebuah drama Inggeris dalam bahasa Indonesia. Kerja ini bukan urusan seorang Sasterawan Negara, kerana kita mempunyai ramai wartawan yang sepatutnya melakukannya. Muhammad Haji Salleh telah dianggap oleh panel anugerah sastera negara sebagai seorang sasterawan intelektual, oleh itu menjadi tanggungjawab beliau untuk mempertahankan anggapan itu benar dengan membicarakan soal-soal penting dalam sastera. 

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Sebuah Renungan

Saya ingin membawa anda merenung semula bagaimana rasa selesa dalam sebuah suasana yang telah kita jangka dalam kehidupan. Suasana ini mungkin berlaku tetapi amat jarang yang berfikir bahawa keselesaan bukanlah jawapan kehidupan yang maha indah ini sentiasa indah. Kita perlu ada niat yang suci. Betul. Menghargai apa yang telah diberikan. Juga betul. Ruang yang dimiliki yang diberikan Ilahi dan ruang yang dianugerahiNya bagi mengimarahkan bumi harus tidak dicemari dengan angan-angan keji. Kita sentiasa ingat bahawa setiap yang kita lakukan merupakan rahsia yang diberikan Tuhan, kita melakukannya dengan sebaik mungkin. Hanya mungkin kealpaan membawa kepincangan mengalir ke muara keinginan dan niat yang sepatutnya murni itu membinakan pula benteng antara yang berhak dan tidak. Sesekali kita gagal memilih dan menilai dengan baik. Kita berada dalam ruang yang sama sekali tidak berubah. Inovasi kita hanyalah sebuah ulangan atau 'rebranded' sebuah peristiwa masa lalu. Dengan cepat, sebaiknya kembali mengenali ruang yang kita diami. Untuk siapa apa kita fikirkan itu; ruang yang ada di mana kita berada ini mahu dijadikan apa, apabila berasa selesa. Sering kali orang berkata anda jangan terlalu selesa berada dalam keadaan yang selamat! Sebuah bilik yang kecil tentu tidak memberikan makna keselesaan, setidak-tidaknya ada ruang lain untuk mengekalkan 'kedudukan' atau fikiran-fikiran baru yang perlu diselesaikan. Masalah yang datang tiba-tiba wajar ditempatkan pada ruang-ruang yang berbeza dan dekat dengan kita. Kita harus memetakkan fikiran-fikiran lain juga yang harus seiring dengan hasrat yang akan berlangsung pada ruang itu. Siapa pun tidak inginkan faedah yang tiada, apakah anda sanggup memberikan nafas kepada orang lain sedangkan nafas anda 'ngam-ngam' untuk kehidupan anda? Kita perlu memberikan sebuah jawapan yang tepat dan meyakinkan.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.

Selasa, April 08, 2014

AGAR CINTA

Semalam telah pulang. jangan bersedih lagi,
kita bukan pemiliknya tetapi tetap berbangga
menjadi cinta.

Masa lalu itu purba. mungkin luka terus bertanda, 

percayalah di titik doa pasti dianyam
menjadi cahaya.

Hari ini jalan payah tak lagi berliku,

kerana cahaya telah membebat luka-lukanya
mari terus berdoa.

Di situ pintu tidak sekadar untuk pergi,
bahkan kembali agar cinta 

terus bersemi.

Rumah Puisi
Hasyuda Abadi
8 April 2014