Selasa, Julai 12, 2005

Puisi Hidup Dalam Kehidupan

"Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar." ~ Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.
PUISI dapat dianggap sebagai salah satu genre yang istimewa dalam kesusasteraan. Menurut William J.Grace (1965) patah-patah kata yang terdapat dalam puisi bukanlah sekadar simbol idea sahaja, malahan lebih daripada itu. Jika dalam prosa penulis sering kali berbicara tentang sesuatu melalui kata-kata, dalam puisi pula penulis memberikan sesuatu yang luar biasa melalui kata-kata. Ini bersangkutan dengan pandangn Leo Tolstoy tentang dua asas makna dalam interaksi manusia. Asas pertama ialah manusia berkomunikasi dengan ungkapan pemikiran, dan kedua manusia berinteraksi dengan mengungkapkan perasaan (Wolf, 1976). Tujuan kesenian atau kesusasteraan pada Tolstoy ialah untuk menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Banyak sekali definisi sastera yang ditemui oleh para pengkaji. Begitu juga bila menyebut fungsi sastera tetapi ungkapan ini amat sesuai dalam konteks tulisan kali ini iaitu mengkritik penghidupan manusia, meninjau kebenaran jiwa dan mentafsir rahsia jiwa.

T.Alias Taib (2003) memanifestasikan puisi sebagai perkahwinan abadi antara isi dengan bentuk. Puisi tanpa bentuk adalah pohon tanpa daun. Puisi tanpa isi adalah pohon tanpa buah. Menurutnya lagi, puisi adalah ilmu yang berupaya menghantar kita ke ceruk yang paling sunyi, ke dasar yang paling dalam, ke rahsia yang paling tersembunyi (dan) ke konflik yang paling rumit.

Zahir Sebuah Puisi
Zahirnya sebuah puisi hanyalah selonggok kata. Longgokan kata itu pada mata kasar hanyalah himpunan kata yang sama sifatnya dengan bentuk bacaan yang lain seperti laporan berita di surat khabar, jadual rancangan Tv atau iklan-iklan di media massa. Bagi pembaca biasa, puisi merupakan sebuah karya sastera. Yang lebih tahu sedikit akan merujuknya sebagai satu genre kesusasteraan yang popular terutama bagi anak-anak muda yang sedang dilamun cinta. Sementara di kalangan penyair yang matang, selonggokan kata itu menjadi satu telaahan minda dan jiwa yang penting, besar pula peranannya bahkan mampu memukau fikiran serta mata kalbu mereka. Buktinya, mari hayati puisi di bawah ini:

SEORANG SUFI, HIDUPNYA DENGAN CAHAYA

Kulihat dia di sudut sunyi
meratap meratib, menghayat Kitab suci,
mengalirkan air mata tanpa berhenti
bersandar tanpa kerusi

Meski ada telinga, tetapi tuli
mesti ada mata, tetapi buta
meski ada mulut, tetapi bisu
hidupnya dengan cahaya

Sungai air mata mengalir dalam hatinya
rindu kalbunya tersembunyi tanpa sempadan
cinta kalbunya senyap tanpa kesudahan
menyatakan bisik dengan kesenyapan

Dia watak yang hening bening
selalu memburu dan bersembunyi dalam hatik
selalu berada di pinggir sunyi bumi
dengan pakaian kalbu
di padang sunyi.

(Suhaimi Hj Muhammad,
Dalam Kumpulan Puisi Cintamu Umi: DBP 2007)

Puisi bagi para pemerhati, pengkaji dan pencinta seni kreatif dilihat sebagai satu manifestasi daripada kecintaan manusia yang tinggi terhadap hidup, kehidupan manusia, kemanusiaan, alam dan segala isi alam yang diciptakan Tuhan. Ada interaksi fizikal dan spirituil yang kelak dapat memperkaya pengalaman hidup kita. Kerana itu menurut Lim Swee Tin (2000), puisi dilihat sebagai mempunyai sihirnya sendiri dalam satu jalinan atau tautan yang akrab atau intim dan mesra kepada penggemar ataupun pencintanya.

Dalam kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Persoalan ini sudah kerap dipertanyakan orang, digarap dan ditelaah oleh ramai peneliti sastera. Pelbagai jawapan sudah diberikan dan kita bahkan sudah menganggap banyak yang mempunyai persamaan atau dalam istilah sastera disebut klise. Puisi sebagai karya kesusasteraan persis enam orang buta mengandaikan seekor gajah yang diraba - - - rupa seekor gajah itu tidak ubah sebatang tiang yang besar yang melurus tinggi. Begitulah, yang cuba menyentuh belalainya menganggap gajah itu seperti seutas tali besar yang berkedut-kedut serta suka menjalar. Atau sahaja seperti analogi seekor anak burung yang baru pandai berenang malangnya terhempas ke tanah. Apabila kembali ke sarang, anak burung itu menceritakan alam yang sempit, dan dunia ini lingkungannya kecil yang kejam. Anak burung itu hampir musnah dalam satu ruang hidup yang tiada simpati.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal ke-20, dan hari ini ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar. Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi? Mengapakah corak pengucapan sebegini yang dipilih? Mengapakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan rasa gusarnya terhadap bangsa Melayu melalui puisi? Empat buah puisinya yang pernah dibacakannya iaitu 'Perjuangan yang Belum Selesai', 'Di atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Putrajaya', 'Menghadapi Cabaran: Menatang Bangsa' dan 'Melayu Mudah Lupa', memberikan suatu dorongan yang kuat kepada ramai orang menghampiri puisi. Dalam sebuah puisi karya Tun Dr. Mahathir beliau menegaskan tentang perjuangan bangsa yang harus dilakukan dengan upaya yang tinggi:

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya

(Tun Dr. Mahathir Mohamad,
Perjuangan yang Belum Selesai, Mei 1996)

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin kita menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Tidak perlu melangkah jauh, kita susuri sahaja puisi 'Ke Makam Bonda' karya Usman Awang yang padat dengan pernyataan perasaan terhadap nilai erti dan harga kasih sayang seorang ibu. Dalam karyanya yang lain 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya', penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk 'Melayu'. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini:

Melayu itu orang yang bijaksananakalnya bersulam jenakabudi bahasanya tidak terkirakurang ajarnya tetap santunjika menipu pun masih bersopanbila mengampu bijak beralas tangan.Melayu itu berani jika bersalahkecut takut kerana benar,janji simpan di perutselalu pecah di mulut,biar mati adatjangan mati anak.

Baha Zain pula telah menulis 'Menangguh Kebenaran' menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya. Di Indonesia, W.S. Rendra misalnya, menghasilkan puisi 'Bersatulah Pelacur Kota Jakarta' yang menentang lantang ketidakadilan sosial yang terjadi dalam masyarakatnya. Dalam puisi-puisi siri 'Rangkas Bintung'nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari. Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh jarak pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk 'Api Laut Merah', Ramli A.R (Di Kebun Amal), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Dayang Salmah Salam (Bisikan Nurani) dan puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadirannya mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang. Kita wajar menelaah buku-buku yang disebutkan ini untuk melihat bagaimana pemikiran para penyair yang hidup di tengah-tengah masyarakat masing-masing dicerna dan direalisasikan.

Kita juga sering mendengar lagu-lagu melalui stesen radio atau saluran TV, memang banyak senikata lagu-lagu yang puitis sifatnya, apatah lagi lagu-lagu puisi yang didendangkan oleh M.Nasir, Zubir Ali, Ramli Sarip, Ebiet G.Ade (yang baru sahaja mengeluarkan albumnya 'In Love: 25th Anniversary') atau Kumpulan Kopratasa. Puisi-puisi menjadi lebih jauh dasar kesannya di hati kita apabila digubah menjadi lagu. Zubir Ali sebagai contoh pernah menggubah lagu puisinya (Balada Gadis Kecil) mengenai kezaliman Zionis terhadap orang-orang Palestin. Lagu-lagu berentak rap Melayu seperti 'Angguk-angguk Geleng-Geleng', 'Merdeka Minda', 'Kalau Melayu Memang Melayu', '2 X 5' atau 'Dia Datang' dalam album 'Hari Ini dalam Sejarah' dan album terbaru 'Rap untuk Rakyat' oleh Kumpulan Ahlifiqir mempunyai nilai fikir yang tersendiri terhadap nilai bangsa di tengah-tengah arus globalisasi. Tidak dilupakan juga lagu-lagu berentak zapin, joget, gurindam atau dikir barat yang memang ranum dengan olahan seni puisi warisan menerusi pantun atau syair.

Puisi sehingga kini jelas menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya.

Perubahan-perubahan sosial bahkan tamadun boleh berlaku melalui gagasan-gagasan yang disampaikan melalui puisi. Dan, tentunya juga puisi boleh menyemarakkan daya hidup dengan membakar bara hasrat dan aspirasi yang serba mempesonakan. Benar, puisi tidak memercukan bangunan KLCC atau megahnya jambatan ketiga terpanjang di dunia yang menghubungkan tanah semenanjung dengan Pulau Pinang, tetapi siapa tahu pemimpin boleh bertolak daripada sebaris puisi yang pernah dibacanya atau suatu ungkapan kecil yang pernah didengar dari mulut penyair sewaktu mereka menyampaikan amanat dalam memperjuangkan idealimse kepemimpinan kepada rakyat pimpinannya. Bahkan seorang ayah bagi sebuah keluarga menggunakan rangkap-rangkap istimewa menerusi puisi-puisi Usman Awang, A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Suhaimi Haj Muhammad untuk memberikan motivasi kepada anak-anaknya. Malah sepanjang merayakan 50 tahun kemerdekaan negara kita baru-baru ini, puisi A.Samad Said berjudul 'Hidup Bersama' menjadi ungkapan pilihan tajaan sebuah syarikat kereta nasional yang disiar setiap hari di saluran TV dan di surat-surat khabar. Ini menggambarkan bahawa puisi telah menambat pemikiran segenap lapisan masyarakat dalam kesedaran sosial mereka mencebiskan semangat kekitaan dan kesepaduan nilai patriotik sesuai dengan terbinanya negara bangsa berdaulat yang harus terus terpelihara.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indahm pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh menambah
Kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu
Berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
Bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

(A.Samad Said, Hidup Bersama,
dalam Antologi Puisi Tanah Air: DBP, 2005)

Bagaimana puisi hidup dalam kehidupan
Kita sudah banyak bercakap tentang puisi, hakikat dan peranannya. Tetapi orang kadang-kadang tidak menyedari bahawa puisi itu sebenarnya adalah suara penyair sebagai bahagian ahli masyarakat. Penyair bercakap mewakili komunitinya. Penyair bercerita mengenai alam sekelilingnya. Penyair menyatakan sesuatu terhadap interaksi semulajadinya sebagai mahluk Tuhan. Penyair menggunakan kata dan bahasa yang indah-indah. Bahasa puisi pula berhubung erat dengan dirinya sebagai penyair. Kita boleh mengenali kehidupan seseorang penyair itu hanya melalui penelitian terhadap puisi-puisinya. Lenggok serta laras bahasanya memberi tanda apakah yang sedang bergelombang dalam fikirannya. Cuma barangkali sensitiviti atau kepekaan sahaja yang membezakan citra seseorang penyair dan yang menjadikan pernyataan pemikirannya kelihatan berbeza. Namun jika dikaji dengan teliti, percakapan penyair jauh lebih tulen. Penyair menolak kepura-puraan malah membenci ketidakjujuran. Penyair menyukai kebenaran, dan kerana itu mereka juga selalu menulis sesuatu yang benar walaupun ada waktunya menerima natijah sebaliknya. Persepsi individu dalam masyarakat sasarannya juga sering bercanggahan ketika menanggapi makna yang berselindung di sebalik pemilihan kata dalam seseorang penyair. Dengan perkataan lain, puisi yang sifatnya tidak berdusta itu mengajak manusia mempelajari rahsia rasa secara sulit, sunyi dan diam yakni menikmatinya bersama fikiran yang terbuka sebagaimana ketika kita membuka jendela di waktu pagi.

Penyair menanggapi setiap denyut kehidupan dalam ruang lingkup yang cukup beragam. Penyair itu seperti magnet yang menyedut butir-butir puisi peristiwa di sekelilingnya. Riak peristiwa itu menjadi alun-alun yang bergelombang dalam jiwanya (Lim Swee Tin: 2000). Dia mencerna, menapis dan menyaring. Kemudian menyatakan pendirian. Suaranya adalah suara sanubarinya. Penyair itu pemerhati yang tekun, perenung yang pintar, dan pengolah yang cermat. Suara dari lubuk kalbunya menjelma. Dan, dengan kelebihan ilmu serta penggunaan bahasa, dia bercerita dan bersketsa. Cerita itu menyerap ke dalam minda kita. Sektsanya membuka pelbagai dimensi. Dan pertembungan terjadi. Realiti dunia karya membantu kita melihat ke luar untuk mencipta interaksi yang indah, jernih dan kita pun merasakan betapa kayanya kehidupan, betapa hebatnya ciptaan Tuhan.

Barangkali atas sifat seninya, puisi seperti tidak mesra pembaca. Kata banyak orang ada puisi yang sukar difahami. Ada yang berpandangan puisi terlalu kabur. Dan, yang lebih berani akan berkata puisi itu hanyalah 'cakaran-cakaran beruk'. Tidak mengapa, kerana mereka semua ada rasional masing-masing. Tetapi seperti yang telah dikatakan, puisi itu karya kreatif. Ia terjemahan segala yang bergelora di kolam fikir penyair. Berkemungkinan besar, tidak semua yang dirasainya dapat dipindahkan dengan kata-kata yang tepat. Pelahiran fikiran dan perasaan sebenarnya kompleks, dan dengan itu ia perlu dibantu. Dalam puisi, banyak digunakan imej, perbandingan seperti metafora, personifikasi, aliegori dan sebagainya untuk menimbulkan makna yang lebih serasi. Ini tidak termasuk sokongan bunyi dan nada yang cukup dominan dengan puisi.

Orang tentunya tidak berasa aneh jika penyair menggunakan ungkapan 'kolam mata'mu tetapi dengan apakah lagi dapat kita huraikan kejernihan pandangan seseorang yang sedang kita cintai. Ramai orang yang mudah menjatuhkan hukuman, meletakkannya dalam kamar atau kotak di sudut secara berasingan. Kadang-kadang amat memedihkan tetapi bukankah ungkapan-ungkapan itu sering digunakan oleh masyarakat umum. Misalnya mereka mengatakan "oh, nyamannya di sini seperti hembusan angin di gunung-gunung'. Orang itu sesungguhnya telah menerapkan unsur simile semasa berkata-kata. Ungkapan seperti 'desaku memanggil-manggil namaku', barangkali dianggap ganjil sedangkan di luar puisi ungkapan ini digunakan juga. Pendek kata, masyarakat sudah biasa dengan istilah-istilah sastera seperti personifikasi yang terserlah di dalam ungkapan di atas. Jika demikian mengapa puisi harus asing daripada kehidupan kita? Memang tidak, jawabnya. Penyair akhirnya menjadi seorang pemikir bukan hanya mempunyai sepasang mata yang terang dan tajam, dengan otaknya yang berfikiran tinggi, bahkan juga mempunyai pendirian dan pandangan dunia yang tepat. Pendekatan ini boleh terlahir seawalnya di peringkat sekolah sebenarnya. Namun ironinya pula terjebak oleh suatu dasar misalnya pendidikan sastera di sekolah, puisi (baca: sastera) dianggap tidak memberikan nilai ekonomi kepada para pelajar terutama di sekolah menengah.

Kehidupan kita unik sifatnya, kadang-kadang begitu kritikal, ada ketikanya sukar difahami atau dengan bahasa yang lebih mudah, hidup ini penuh liku-likunya, dan dalam menghadapinya manusia cuba memanifestasikannya melalui pelbagai cara.

Puisi adalah cabang seni yang sangat penting. Selaras dengan ajaran agama, puisi menganjurkan bagaimana seharusnya manusia hidup. Bagaimana menjalani kehidupan yang baik dalam sebuah masyarakat di mana nilai-nilainya adalah moral itu sendiri dan dapat membantu manusia dalam menghadapi hidup.

Namun pada mata fikir Khalil Gibran, beliau memandang puisi sebagai 'bukan pendapat yang dinyatakan'. Ia muncul daripada luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum. Beliau juga berkata bahawa penyair merupakan orang yang tidak bahagia kerana betapa pun tinggi jiwa mereka, mereka tetap diselubungi air mata. Katanya lagi, penyair juga adalah burung yang membawa keajaiban. Dia lari dari kerajaan syurga lalu tiba di dunia ini untuk berkicau semerdu-merdunya dengan suara bergetar. Bila kita tidak memahaminya dengan cinta di hati, dia akan kembali mengepakkan sayapnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya.

Apa pun yang dijelaskan kebenaran terhadap puisi dan penyair sehingga di hujung makalah ini, Mathew Arnol, seorang penyair dan kritikus Inggeris menyatakan adalah penting untuk berpegang teguh kepada prinsip bahawa puisi berada pada landasan dasar kritik terhadap kehidupan; bahawa keunggulan seorang penyair itu terletak pada aplikasi gagasannya yang indah dan kuat terhadap kehidupan untuk mengajukan pertanyaan bagaimana harus hidup. Yang pasti, dunia penulisan menjanjikan banyak harapan baru kepada kehidupan. Bidang ini sentiasa menguji kepekaan dan ketabahan setiap insan penyair. Tiga faktor yang kerap mencabar kewibawaan seorang penyair yang rasanya amat penting iaitu bagaimana kehidupan itu dinilai. Kedua, kesan daripada makna kehidupan dan ketiga, kebijaksanaan sebagai penyair memanfaatkan ilmu dan pengetahuannya menghalusi karyanya yang harus dihidupkan.



Bibliografi

Awang Azman Awang Pawi. (2003). Licentia Poetica, Puisi Mutakhir Malaysia. Kuching: Universiti Malaysia Sarawak.

Jasni Matlani. (2005). Kertas Kerja: Separuh Abad Perkembangan Sastera Melayu di Sabah, Sumbangannya ke Arah Pembinaan Bangsa. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hal.1.

Hasyuda Abadi. (2004). Kumpulan Puisi Menginai Badai. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Lim Swee Tin. (2000). Sihir Sebuah Puisi. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hal.26. Wadah. Edisi Khas 2000.

(Artikel ini tersiar dalam Utusan Borneo, 7 Oktober 2007)

Tiada ulasan: