Jumaat, Jun 20, 2008

Hanya Ada Kenangan

hanya kenangan
mereka ada
itulah sejarah mereka
membina sesuatu dimulai tak ada

hanya kenangan
mereka punya
itulah bangga mereka
memiliki sesuatu yang mulai tiada

hanya kenangan
mereka sanjung
itulah agung mereka
menilai sendiri yang hilang upaya

hanya kenangan
mengulang kebanggaan disanjung
menjulang keagungan yang hilang
melupakan tentang jatuh
dibangunkan dari daerah selera membara

hanya kenangan
tak ada yang lain
hanya kenangan
yang ada
selain igauan sejarah
tak mungkin pulang ke daerah asalnya.

Rabu, Jun 18, 2008

PSS: ke arah pencerahan

Saya berpendapat 'Perkampungan Sasterawan Sabah' seharusnya menjadi ikon kepada program sastera di Sabah, menjadi neraca terbaik para sasterawannya menilai keberadaan mereka dalam sejarah perkembangan sastera. Ia amat berbeza sekali dengan program-program yang sifatnya berkala, kadang-kadang, jarang-jarang dan sebagainya lagi. Sekiranya 'roh' PSS ini dijaga dengan baik, diperkemas sebagai medan pemartabatan sastera, dimurnikan oleh pewarnaan perisian yang dinamik menguja kehadiran sasterawan di seluruh pelosok negara dan nusantara tentu sahaja PSS mampu mengesan lebih ramai sasterawan Sabah diperkenalkan secara lebih terhormat. Jika tidak begitu ia menjadi medan berlibur, santai perjumpaan teman-teman lama dan tepat sekali melangsaikan duit rakyat.

Kos untuk program sebegini memang tinggi untuk zaman ini. Jika anda melihat beberapa program yang lain dengan kos yang sama tetapi masih berbaloi jika PSS dilaksanakan. Jika ada kemahuan dan iltizam, tidak ada yang mustahil. Bila melihat sesuatu itu secara positif, lebih terbuka ketika memberikan persepsi, membina harapan dan hasrat yang besar... yang penting apakah peranan yang lebih penting untuk melestarikan penghayatan sastera di kalangan generasi baru dan masyarakat keseluruhannya itu terhenti lantaran anggapan atau gambaran kaku akibat hasil yang tidak tampak selepas program itu dilaksanakan. Saya kira inipun bukan masalahnya sekiranya ada sukatan awal PSS sejajar dengan matlamat penganjurannya. Bukan buat asal mahu, dan inilah yang menjadi pertikaian kepada program-program selanjutnya.

Kehidupan ini pun tidak dapat berdiri dengan sendirinya tanpa elemen-elemen lain. Perlu ada kesepaduan buah fikiran, berkongsi impian, memacu gerakan dengan slogan berat sama dipikul... sama-sama mencari jalan keluar, jalan ke puncak atau sama merasa pedih ketika jatuh dan suka ketika bangun. Kotakan kata kita bukan kotak katikkan perjuangan yang membara apabila gentar disambar kilat kemarahan orang-orang yang tahunya memberi api, api dan api.

Isnin, Jun 16, 2008

Resah Puisi

Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai', sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' mengungkaikan persoalan harga dan maruah puisi atau sesebuah puisi yang menjadi pilihan atau pendekatan pelbagai pihak ketika berusaha menyampaikan amanat dan sesuatu buah fikiran. Puisi menjadi bahan jajaan di mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin besar negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan rakyat. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat telah tidak diambil penting.

Tentu saja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai ketika itu oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad, selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai contoh dan ikutan.

Mudah-mudahan kehebatan puisi terus mendapat tempat di hati setiap orang meskipun akhirnya bait-bait puisi itu akan disimpan di almari-almari, atau dirak-rak buku, dipamer dan dijadi hiasan perpustakaan. Ia menjadi suatu keresahan seperti tulis sahabat saya Ammy Manja:

Dalam diam resah sendiri
Mengenang akan belakang hari
Meniti masa silih berganti
Terasingkah aku di bilik sepi?
(Harian Ekspres - 15 Jun 2008, M/surat 5)

Puisi Ammy berjudul 'Resah Puisi' menjelaskan tanggapan yang jujur dan benar betapa puisi boleh menjadi 'Kitab Lama', diperlukan bila tiba masanya. Ini akui Ammy Manja:

Lalu aku diletak
Di merata rak khalayak
Tak ramai yag menyebak
Meski seringkali tampak.

Inilah realitinya puisi, cetusan rahsia rasa yang bermula daripada kesunyian yang terbentuk daripada naluri dan perasaan yang tidak mungkin mampu dibaca orang lain. Anugerah Ilahi kepada para penyair yang besar citra fikirnya dan mampu menterjemah hiruk pikuk kehidupan dari yang rumit hinggalah kepada seagung kehidupan. Daya mampu kepekaannya sering menjadi panduan bagai 'cahaya yang menembusi gelap pekat malam', bagai 'lilin yang membakar dirinya', bagai 'mata batin yang membuka setiap pedih kegusaran'.

Saya begitu tersentuh membaca bait-bait indah karya Ammy Manja, penyair kelahiran Beaufort ini. Puisi seperti mengumpul keperluan-keperluan yang sedang mengalir ke muara makna iaitu penghakiman yang jujur terhadap kearifan para penyair menyampaikan isu atau isi yang tersirat. Memang tidak semudah yang disangka, seperti ketika kita membuat baju untuk dipakai ramai orang. Atau membuat rumah untuk dihuni ahli keluarga. Bezanya hanyalah sejauh mana cara kita memakainya atau menghuni. Apakah penilaian kita terhadap intipati yang ada di sebalik yang 'ada' itu. Apakah penciptanya pernah terlahir dalam mata fikir. Penanam kapas yang gigih, penenun kain yang tekun atau pereka dan penjahit pakaian yang hebat. Begitu juga pemotong kayu yang jauh di belantara sana, para pekerja kilang simen dan seterusnya pereka bangunan, para buruh yang membangunkan rumah, para pekerja yang mengurus jual beli dan sebagainya lagi. Apkah penilaian kita terhadap semua ini. Demikianlah puisi. Biarpun jurangnya tetap ada, secara roh dan materi. Sejauh mana puisi itu diperhati, selepas dibaca dan dihayati. Sesungguhnya harga puisi tetap hebat dan secara bermaruah harga puisi ialah nilai yang menjati diri di sebalik makna diksi-diksi yang diadun.

Begitulah tanggapan saya, resah puisi resah penyair tetap sama dan sebati menyatu. Saya akhiri tulisan ini dengan petikan ini:

Aku mula percaya
apabila puisi menjadi buku-buku bacaan
yang tak laku di pasaran
tapi puisi tetap kuagungi
rahsia rasa menyimpan maknanya
dalam bahasa indah
lembut ketika diungkapkan
mesra apabila didengarkan
menusuk merdu mengharu
kerana pisi bukan untuk dikomoditikan
di pasar lelong buku-buku tak laku.

('Harga Puisi' dalam Menginai Badai, M/Surat 72-73)


Ahad, Jun 15, 2008

Orang Kecil yang Bersuara

KAMI bersantai sarapan pagi. Cikgu Julius Mokejal mempelawa saya sejak kelmarin sebenarnya. Besar juga hasrat di hati kebetulan lama tidak berjumpa dengan Dato' A. Aziz Deraman, 3 tahun rasanya sejak Dialog Borneo di Sandakan pada 2005. Masa program sastera di DBP Sabah baru-baru ini saya tidak menghadirkan diri dan tidak sempat bertemu, Dato' Aziz ada ketika itu sebelah malam. Banyak juga topik diperkatakan termasuklah persoalan politik negara, wajib saya fikir kepada sesiapa saja dan di mana juga. Dapat juga informasi yang kami tidak tahu. Begitu juga memberikan pandangan tentang senario politik di Sabah. Memang ceritanya tidak akan habis-habis.

Tentang DBP, lagi wajib, saya bercakap selepas Dato' Aziz menyentuh tentang kepimpinan dan birokrasi DBP masa ini. Semuanya memang perlukan perubahan, cuma perubahan yang bagaimana? Ada ketikanya saya rasa malas menulis tentangnya. Putar ke sana sini, tumpuannya yang itu-itu juga. Boleh kita menyatakan sesuatu tapi jangan bermusuh, ujar Dato Aziz. Mantapkan kegiatan sastera, bersatu dengan pengurusan DBP Sabah, buat jadual perancangan bersama persatuan penulis yang ada. Soal biaya masih boleh diatur. Tapi ini masalahnya, DBP bukan macam dulu, ketika DBP ditenagai oleh para pengurus yang faham dan tahu kemahuan dan hala tuju para penulis dan khalayak sastera itu sendiri. Saya kata macam mana mau buat program, DBP tidak lagi seghairah dulu membantu kami. Sedangkan nak dapatkan honororium memakan masa yang lama. Saya teringatkan sahabat-sahabat saya yang menulis menjadi mata pencarian mereka, bayaran honororium telah meringkankan serba sedikit beban mereka juga. Ya menulis bukanlah mudah, kerana sudah itu pilihan mereka. Ini isu lapuk sebenarnya. Tentulah tiada niat untuk menimbulkan rasa permusuhan. Tentulah tidak salah untuk kita memberikan pendapat demi mendapatkan hak. Saya pun tidak faham, apakah pendapat kita yang sifatnya 'keras' itu merupakan suatu kesalahan besar? Mungkin saya tidak seperti dulu, orang yang sentiasa ikut rentak angin dan seperti lalang. Buat apa berpayah-payah. Namun kini saya tidak akan meneruskan sikap pesimis begitu. Demi hak, jawabnya harus dan malah wajib untuk memperjuangkannya. Biarlah bercakap lebih sedikit hingga menyebabkan ada yang merasa, rupanya dia terpapak lada.

Dulu sebenarnya ini juga isunya. Seorang sahabat saya juga berhadapan masalah bila bercakap tentang haknya. Tentang bangunan DBP yang baru saja siap ketika itu, kini ada orang kata macam 'gajah putih'. Entahlah, ini mesti ada orang marahkan saya agaknya. Biarlah. Saya pun tidak tahu bilakah dunia ini akan berhadapan dengan perkara-perkara baru yang menarik. Masalah-masalah baru yang lebih mencabar. Para penulis, perjuangannya kepada perkara-perkara yang pernah dilalui oleh bapa-bapa mereka atau abang dan kakak mereka dulu. Itu dulu kerana belum ada mekanisme yang canggih seperti sekarang. Ya namanya manusia yang mengendalikannya akan ada saja sebab musabab yang boleh dijadikan asalan.

Akibatnya, penulis tidak dapat berkembang. Yang ada itu-itu juga, yang hadir dalam program sastera itu-itu juga. Bila 'yang itu-itu juga' tidak ada, wajah program sastera akan sugul hinggakan lagi apabila ketiadaan peserta, ia diisi oleh 'yang itu-itu juga'. Aduhai. Kesian penulis-penulis baru. Pernah saya kata dulu, apabila mereka baru nak menapak seperti bertunasnya benih yang disemai, mereka gerun memandang dunia dan berhadapan dengan arah perjuangan yang kantoi, tidak jelas dan malah tidak ada. Menulis untuk suka-suka? Tentu ada yang telah memperlihatkan kematangan, malangnya terhenti. Mengapa ini terjadi? Kata Dato' Aziz, sasterawan atau penulis merupakan pelanggan DBP. DBPlah yang menyebabkan jatuh bangun, jaya dan gagalnya seseorang penulis. Walaupun ini tidak semestinya kerana ada juga penulis yang hebat tanpa perhatian DBP pun, malah ada karyanya pernah ditolak DBP untuk penerbitan tetapi mendapat penilaian yang baik untuk Hadiah Sastera Perdana.
Kelangsungan program sastera memang betul bergantung kepada persetujuan pihak atasan. Memang DBP punya masalah besar apatah lagi semakin ramai tenaga pengurusannya yang bersara dan meninggalkan DBP. Ini bukan masalah untuk para penulis fikirkan. Namun apakah disebabkan kerenah dan masalah-masalah dalaman itu menjadi penyakit yang bakal memusnahkan harapan tinggi para penulis itu sendiri. Berapakah peratus peluang untuk menerbitkan dapat dinikmati oleh penulis kita? Sejauhmanakah hasil program-program sastera yang dilaksanakan itu mengimbangi tiras penerbitan buku? Bukan tidak ada, saya percaya para pegawai projeknya telah bertungkus lumus menyiapkan tugasan masing-masing. Begitupun masih ramai penulis dan sasterawan kita di Sabah yang boleh diangkat menerusi penerbitan buku mereka. Apakah perlu menunggu penulis-penulis seperti Datuk Jamdin Buyung mengemukakan karyanya ke DBP, sebagai contoh. Ya mungkin begitu standardnya. Harus merayu dan meminta! Penerbitan buku di Sabah memang punya cerita dan sejarahnya sendiri. Namun ini tidak payahlah diceritakan.

Saya tidak sekali-kali mahu menyalahkan DBP Sabah semata-mata. Saya masih rasional dan memahami apa yang sedang dihadapi oleh pihak pengurusan sama ada di Sabah dan di peringkat pusat. Niat saya murni dan perlukan pencerahan. Tiada siapa yang mahu berkata seperti yang saya lakukan secara terus terang berbanding penulis surat-surat layang yang ternyata pengecut serta tidak bertanggungjawab, mungkin agak kasar dan tidak digemari sesetengah pihak. Namun akhirnya demi untuk semua penulis, biarlah menjadi lilin dan 'terbakar'. Saya amat menyayangi dunia persuratan. 30 tahun bukan sekejap bergelomang dengannya. Saya juga tidak bertujuan mahu menjadi sesiapa yang muluk-muluk. Orang kecil yang bersuara. Orang seperti saya patut berhenti kerana apa yang saya dapat, tapi itu bukan hasrat saya. Saya juga ada kerja lain, namun peranan saya juga ada dalam dunia sastera, apatah lagi sastera itu kehidupan kita. Setiap persoalan dan permasalahan tetap menjadi beban yang harus dipikul bersama. Dan yang paling saya pantang ialah mendengar omelan dan rugutan para penulis terhadap haknya yang dikotak-katikkan!

SENIMAN NYANYUK

KALAU dulu barangkali saya boleh mempercayainya seorang seniman. Seniman yang halus hati budinya. Seniman yang halus bicaranya. Seniman yang halus buah fikirannya. Seniman yang halus tindak lakunya. Seniman yang memang wajahnya wajar begitu memiliki kehalusan keindahan sebagai percikan dari sebuah hadis yang menjelaskan bahawa sesungguhanya Allah itu maha indah dan Dia sukakan keindahan.

Hanya sayang sekali ini dulu tapi tidak sekarang.

Maafkan saya, katakanlah idea pada kali ini akan menjatuhkan air muka seseorang. Walaupun di akhir tulisan ini nanti saya akan tegaskan segalanya hanya rekaan tak ada bersentuhan kepada sesiapapun baik yang hidup mahu pun yang telah mati, namun manalah tahu ada ungkapan-ungkapan yang menyentuh jiwa secara kebetulan. Tapi tolong jangan salahkan saya. Tugas saya amat jelas sebagai pencerita yang nanti jika mahu dijadikan ikhtibar, silakan. Atau ambil kedua-dua sekali, sama ada yang jernih mahupun yang keruh. Hikmahnya masih relevan, saya fikir begitu.

Ikutilah cerita saya yang terbaru ini.

Pada satu malam yang hanya kedengaran dengkuran sahabat fikiran saya melayang ke saujana masa silam. Berbaur ke zaman kenyataan yang menamatkan pelayaran fikiran itu di sini di mana seorang yang telah tua renta duduk di anjung sebuah rumah sambil membaca sejumlah kertas usang. Tidak betah duduk dia berdiri dan mula melangkah perlahan-lahan dan dia memulakan satu adegan yang pernah anda lihat dalam tamadun yang lalu. Mungkin anda meluat tetapi munasabahnya ada kerana dia harus melayan sesuatu yang menyegarkan ingatannya tentang satu zaman yang dia merasa digemilangkan. Jika tidak, dia akan menidakkan keadaan yang harus dilaluinya. Hampa, merana, papa, derita – tidak ada yang lain selain daripada itu. Anda faham bukan?

Dia separuh gila mengingatkan satu zaman yang tamadunnya hebat bagaimana seseorang itu akhirnya memilih menjadi seniman. Pada awalnya apalah yang dia tahu. Pengertian seniman itu sendiri baru saja diketahuinya apabila entah insan dari mana tiba-tiba menyenaraikan namanya sebaris dengan para seniman yang peranan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi. Saat itu pun dia tidak mengetahuinya kecuali selepas salah seorang bekas isterinya memberitahu dia dinobatkan sebagai seorang seniman oleh seorang yang berkuasa. Saat itu juga dia tidak betah. Tidur, lenanya tidak seberapa. Minum dan makan seadanya. Jalan mundar-mandir ke hulu ke hilir. Dia sebenarnya menggambarkan betapa bangganya dipilih begitu. Seorang seniman, oh Tuhan, hebat juga aku ini. Aku seorang seniman dipilih oleh yang berkuasa. Saat itu walaupun kegembiraan paling nyata, dia sering diganggu panggilan atau email yang kebanyakannya mengutuknya berbanding mengucapkan tahniah. Termasuklah saya. Saya bersalam mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Malangnya, saya hanya merasa genggaman biasa jemarinya tanpa pandangan mata yang ikhlas, senyum yang manis dan juga ucapan balas yang jelas.

Sebenarnya seniman ini biasa mendapat kutukan. Walaupun otak saya selalu dijanakan untuk melayan rasa hati betapa simpatinya saya terhadap seniman ini, saya masih tidak tahu mengapa nasibnya begitu. Dia kelihatan biasa dan buat tak tahu. Kutuklah. Mereka dapat apa. Aku dapat sanjungan. Aku dapat ganjaran. Aku dapat kepercayaan. Aku dapat kutukan tapi wajarakah aku bersusah hati barang sedikitpun! Katanya di hadapan para sahabat termasuklah saya waktu itu . Secara kebetulan bersalam dengan salah seorang sahabatnya yang juga ayah saudara saya. Saya mungkin kagum tapi kerana memang benar dia harus menerima kutukan, saya hanya menyatakan begini: anda memang kuat dan tabah. Mungkin kata-kata saya itu masuk ke dalam kepalanya. Dia terdiam mematikan gerakan mulutnya yang tidak henti bercakap menyatakan bahawa dia memang hebat.

Seorang seniman yang mencarut. Tiba-tiba saya membaca sebuah email seorang pengamal perubatan tradisional. Seorang seniman yang mencarut harus dikutuk para seniman sendiri, sambungnya. Seorang seniman yang mengada-ngadakan sesuatu secara berlebih-lebihan. Seorang seniman yang lupa daratan selepas dilambung gelombang pujian. Seorang seniman yang dangkal terhadap kemampuannya. Seorang seniman yang tidak memahami siratan kehidupan. Seorang seniman… bacaan saya terhenti di situ. Seharusnya yang ini disensor saja. Sungguh mengaibkanya jika tersebar. Sudah tentulah si pengamal perubatan tradisioanal ini akan menghadapi tindakan undang-undang. Seperti yang selalu dialami oleh para pengkritik karya sastera yang kesasar kerana menilai penulis bukan karya akhirnya membawa padah apabila harus membawa sejumlah wang untuk menutup malu.

Dunia sekarang semakin sempit. Pemikiran menjadi rakus terhadap hal-hal yang remeh-temeh sambil populariti selalu menjadi penyebab untuk melakukan apa saja termasuklah membuat tindakan dalam bentuk yang berbeza. Seorang pengarang juga tidak lama kemudian menghadapi tindakan yang sama kerana dikatakan salah tafsir terhadap spekulasi seorang pengamal politik tempatan. Barangkali tidak ada jalan keluar untuk menutup aibnya kerana dengan tersebarnya laporan di media telah menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang yang akan memimpin sebilangan kecil pengikut.

Padahal memanglah dia tidak mampu memimpin. Hanya disebabkan kedudukannya sebagai seorang ahli korporat dan mempunyai sejumlah wang dan kemewahan, dia berhak melakukan apa saja. Para artis apa lagi tetapi yang ini tidaklah penting kerana kelangsungan kehidupan mereka penuh dengan andaian-andaian, gosip, populariti, seliberiti dan sebagainya. Maafkan saya terkeluar sedikit daripada landasan cerita sebenar. Jangan tanya apa yang saya maksudkan tentang si seniman buat terhadap sesuatu yang harus menjadi rahsia.. Hanya Tuhan saja yang menceritakan kepada dirinya suatu waktu nanti. Atau seluruh anggota badannya melaporkan peranan masing-masing bagaiman seniman itu melakukan perbuatan yang memalukan.

Memang benar seniman ini selalu mencarut. Mengada-adakan bahannya untuk kelihatan menarik dan dipercayai. Kebenaran hanya kelihatan apabila bahannya itu ditelaah, dihayati, diteliti dan diberikan bintang. Namun dia tidak mengerti ketika dikatakan mencarut. Saya ingin menyibuk sedikit tanpa niat membuka aib di ruangan mata anda semua. Saya memanglah serba tahu tentang seorang seniman yang akhirnya menjadi tua renta, tua bangka yang kurang sedar tentang dirinya yang sudah tidak betah melawan penyakit. Seorang seniman yang bodoh sombong melakukan pencarutan bahasa yang memualkan. Seorang seniman yang pidatonya kucar kacir akibat memusatkan minda ke arah satu perkara lumrah dan tidak berjejak di bumi malah sesuai ketika dirumuskan oleh seorang seniman yang lebih muda bahawa seniman yang seorang ini sudah separuh tidak sedarkan dirinya. Hanya SigmundFreud saya yang boleh membuat keputusan muktamad. Dia mungkin juga miring sebagai individu yang neurotik, yang mempunyai perasaan yang tidak stabil dan bersikap kurang matang. Sebagai orang dewasa yang kurang matang tentulah ironis begitu tetapi tidak hairan kerana memang wajarlah dia dikatakan demikian. Semakin banyak berkata-kata semakin jelas ketidakmatangannya. Semakin jauh pergi akalnya semakin hidup ketidakmatangannya. Terutama terhadap perkara-pekara yang terlalu peribadi.

Dia sering melakukan spekulasi yang bukan-bukan. Tetapi tentulah tidak sehebat George Soros, speklator mata wang itu. Kalau dalam bahasa mudah, dia seperti seorang pengarang yang mereka cerita hingga sampai ke paras fitnah. Dia mereka kisah berasaskan bayangan separuh gilanya dan tidak matang akalnya. Demi mencapai rasa puas, dendam kesumat dan serba dengkinya yang menjadikan hari ke hari dia mendarat di lapangan kegilaan yang tersendiri. Katakanlah ketika dia memasuki tandas, dia sudah tidak dapat membezakan mana satu tandas yang sesuai untuknya hingga pada satu ketika dia mendengar beberapa orang berteriak. Dia juga gagal membezakan bahawa di hadapan itu seorang wanita yang dia percaya isterinya tetapi tidak merasakan isterinya itu seorang bernaluri perempuan. Dan pada satu keadaan yang lebih menyeronokkannya dia menggambarkan keindahan melayari kehidupan neurotiknya terhadap seseorang yang baginya mengabaikannya. Mengabai perasaannya, mengabai nalurinya, mengabai sindrom gatalnya, mengabai segala isyarat yang disampaikannya menerusi pelbagai cara.

Apakah yang anda fikirkan tentang seniman seperti ini masih berada di tengah padang terbuka melakukan aksi yang lumrah untuk akalnya tetapi meninggalkan impak yang janggal kepada orang lain? Atau biarkan saja kerana penilaiannya akan bermula hanya setelah sebuah perjalanan berlaku. Selepas itu barulah menoleh ke belakang. Apakah yang anda pandang selain penyesalan dan untuk melihatnya biasa anda pun merumuskan semua itu terjadi secara kebetulan.

Berlakulah perdebatan terbuka menandaskan persoalan kemampuan-nya yang bergelar seniman itu. Jika dulu sebutan namanya manis di bibir orang lain sedangkan sekarang dia hanya digambarkan sebagai seniman nyanyuk. Hingar bingar persoalan ditumbuk ke arah akal fikirnya yang kucar-kacir itu hingga dia separuh gila. Dan seperti apa yang saya fikirkan pada satu malam selepas melawat rumah warga tua di Lembah Kinarut. Saya masih mengecamya melalui pakaian yang dipakai: warnanya, jenisnya, bentuk baju dan seluarnya yang biasa anda lihat juga sebenarnya.

Rambutnya tidak lagi gondrong hanya sedikit menghias kepalanya yang sepatutnya sudah berwarna. Wajahnya murung kecuali ketika beberapa wanita menemuinya: agak saya itulah anak-anaknya dari beberapa orang isteri yang menurut mereka terpaksa menempatkan ayah mereka di lembah itu. Saya baru teringat bahawa sekarang ini telah melewati zaman untuk bersama ayah atau ibu. Meski kasih sayang tidak pernah pupus tetapi contoh yang saya pernah lihat sekarang jauh membenarkannya. Tapi wajarkah seorang seniman berada di situ dijaga oleh orang lain dan bukan anak-anak sendiri sambil sejarah merakamkan penghujung usianya sebagai seniman nyanyuk?