Sabtu, April 01, 2017

Beberapa hal mengenai penyair

SEBENARNYA saya ingin menyebut seberapa ramai nama para penyair di Sabah. Memang ramai tetapi berapa ramai dalam kalangan mereka ini benar-benar penyair. Apakah kerana dia veteran dalam dunia puisi? Atau disebabkan terlalu prolifk, bukan di media tetapi di media sosal. Mungkin juga dialah penyair sebenar walaupun karyanya tidak banyak. Buku hanya beberapa buah atau hanya sebuah. Kerana itu juga saya pernah katakan bahawa puisi yang ditulis oleh penyair dan bukan penyair itu ternyata banyak bezanya. Soalnya mana satu yang penyair sejati dan mana satu bukan penyair dalam erti kata menulis dengan jati diri seorang penulis puisi yang versetil.
Definisi siapa penyair sudah begitu banyak disebut para pengkaji sastera. Penyair adalah orang yang menyedari bahawa anugerah dan hikmah kehidupannya bukanlah untuk dirinya sendiri, melainkan juga untuk orang lain. Dengan bekal kejujuran nurani, penyair selalu menghayati dan memberi kesaksian atas hidup. Tapi tahukah alasan mengapa mereka memilih menjadi penyair dan melalui sajak  membangun komunikasi dengan pembacanya?
Saya suka mengambil beberapa tafsiran penyair daripada kutipan seniman masa lalu bernama Khalil Gibran. Penyair katanya, adalah burung yang membawa keajaiban. Dia lari dari kerajaan syurga lalu tiba di dunia ini untuk berkicau semerdu-merdunya dengan suara bergetar. Bila kita tidak memahaminya dengan cinta di hati, dia akan kembali mengepakkan sayapnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya.
Penyair adalah orang yang tidak bahagia, kerana betapa pun tinggi jiwa mereka, mereka tetap diselubungi air mata. Katanya lagi, penyair adalah adunan kegembiraan dan kepedihan dan ketakjuban, dengan sedikit kamus. Penyair adalah raja yang tak bertakhta, yang duduk di dalam abu istananya dan cuba membangun khayalan dari abu itu.
Penyair sesungguhnya mempunyai kedudukan yang amat tinggi. Tidak semua orang mampu  menjadi penyair walaupun ramai yang mampu menulis puisi. Mereka adalah seniman yang amat menyintai bahasa dan kata. Bagaimana mahu dikatakan pencinta bahasa dan kata andai ejaan sering sahaja didapati salah? Tidak selalu di mana adanya kata di situ lahir penyair tetapi di mana ada penyair di situ ada kata. Kita sering tersilap kerana memberikan gelar kepada semua penulis puisi itu sebagai penyair. Sedangkan pada sisi puisi itu sendiri belum tentu pasti dikatakan puisi seandainya tidak menepati ciri-ciri komposisinya yang sebenar.
Namun demikian penyair adalah manusia biasa yang dilahirkan ke dunia, mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Jadi apa yang membezakan penyair dengan manusia lain? Pesu Aftaruddin dalam bukunya 'Pengantar Apresiasi Puisi' menyatakan; yang membezakan penyair dengan manusia lain adalah: pertama, ia mempunyai kepekaan terhadap rangsangan sekitarnya. Kedua, ia mampu menterjemahkan kembali kesan-kesan yang dialaminya dan rangsangan-rangsangan yang diterimanya dan diekspresikannya kembali sebagai ungkapan sastera, setelah melalui proses pemasakan, melalui pilihan kata-kata yang tepat, warna bunyi yang sesuai dengan suasana. Ketiga, penyair itu adalah seniman yang jatuh cinta pada bahasa.
Penyair adalah manusia biasa yang tidak awam, manusia biasa yang tidak biasa. Penyair adalah manusia yang dianugerahi oleh sang pencipta kelebihan-kelebihan daripada manusia lain, iaitu dari segi memandang dan memberi makna alam serta kehidupan ini.
Penyair dalam karyanya selalu mengungkapkan kebenaran, baik kebenaran dalam masyarakat mahupun kebenaran dalam cita-citanya. Sebagai manusia ia tidak mahu diperolok-olok, dibohongi atau diperbudak. Sebagai penyair ia mengungkapkan pengalamannya dalam sebuah puisi yang dapat menggugah perasaan pembaca dan pendengarnya, sebagai suatu karya seni yang memukau. Penyair mampu menyatukan antara fikiran dan perasaannya, seperti rasa rindu, rasa benci, keindahan dan sebagainya.
Dalam kitab suci Al-Qur'an, Allah swt menerangkan dan memperkenalkan kepada kita, siapa penyair, iaitu dalam surat Asy-Syu'ara’. Tapi ingat kalau kita membaca surah ini jangan dari ayat 224 - 226 saja, sebab itu akan membuat kita membenci penyair, sebaiknya kita baca harus sampai pada ayat 227: "Dan penyair-penyair itu, mereka diikuti orang-orang yang sesat, tidakkah engkau melihat, bahawa mereka mengembara di setiap lembah dan bahawa mereka mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan (Q.S. Asy Syu'ara’ 224-226) "Kecuali yang beriman dan beramal soleh, serta mengingat Allah. Dan hanya membela diri, sesudah teraniaya. Dan orang yang zalim kelak akan mengetahui ke tempat mana meraka akan kembali. (Q.S. Asy Syu'ara’, 227)
Penyair Islam yang baik akan mendapat manfaat yang besar daripada al-Quran. Tidak syak lagi diksi atau pilihan kata yang Islami mempengaruhi karyanya. Hal ini akan bertambah jelas lagi kalau kita merujuk puisi penyair muslim. Peristiwa tersebut mempunyai unsur moral dan etika yang kuat yang mempunyai ciri-ciri kesejagatan, bukan hanya untuk orang Arab sahaja tetapi untuk insan sedunia bagi sebarang peringkat masa dan zaman hinggalah pada hari kiamat. Dengan ketakwaan yang tinggi, penyair Muslim akan menyuburkan rasa cintanya kepada Allah Pencipta-Nya. Dan, menerima hakikat bahawa kebenaran yang mutlak itu adalah Allah semata-mata.
Sebagai umatnya, penyair Muslim wajar mengharapkan syafaat daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Jihad dan ijtihad baginda semata-mata untuk menuntut keredhaan Allah. Bukankah setiap yang dilakukan kerana Allah itu dapat disebut sebagai suatu ibadah? Menuntut ilmu, menulis puisi, memimpin, mengeluarkan fikiran, berhujah, berdebat, berjuang kerana Islam adalah sebagai ibadah. Ini bersesuaian dengan: "karya kreatif dijadikan satu saluaran untuk beribadah kepada Allah, di samping menjadi saluran dakwah bagi menyampaikan kebenaran yang hakiki.".(Shahnon Ahmad, "Sastera Sebagai Cabang Ibadah"' hal,6).
Inilah bezanya dengan aktiviti yang dilakukan oleh penyair yang bergerak di luar garis keredhaan Allah. Apalagi kalau perjuangan itu adalah untuk memperjuangkan sesuatu aliran, fahaman, ideologi yang naif dan jelas bercanggah dengan Islam, misalnya aktiviti 'alam' kerana 'alam' semata, intelektualisme Barat yang pada puncaknya menafikan kewujudan Allah, perjuangan nasionalisme yang sempit, realisme-sosialis yang menafikan wujudnya Tuhan adalah mengarah kepada atheisme, yakni fahaman yang tidak bertuhan. Ini kewajaran yang perlu diawasi oleh penyair Muslim, agar keislamannya dan akidahnya tidak tergelincir oleh pelbagai aliran fahaman dan ideologi tersebut.
Penyair yang mengikut pemikiran Barat tentulah akan mempunyai dasar kreativiti mengikut asas-asas untuk melahirkan karya yang unik, asli dan baharu. Kebaharuan atau novelty menjadi matlamat. Masyarakat selalu berhadapan dengan freedom of expression. Kekacauan nilai berlaku, budaya sensate penuh dengan nafsu haiwani dengan tulisan erotik dan puisi-puisi liar diutamakan.
Apa yang penting bagi para penulis puisi sentiasa berawas dalam nukilan karya mereka agar menjurus kepada nilai yang bermakna. Misalnya nilai keindahan seni yang tidak keterlaluan sehingga hilang nilai kedalaman maknanya. Menggunakan diksi yang bombastik atau ungkapan-ungkapan yang tidak menepati teks atau konteks karya secara keseluruhan.
Dewasa ini, puisi terus mendapat tempat oleh kebanyakan individu. Berlaku ledakan kreatif yang luar biasa mengisi pelbagai ruang dan medan. Walaupun baharu menulis sebuah dua puisi mereka telah digelar penyair sama atau setanding dengan para penulis puisi yang veteran. Karya-karya mereka diterbitkan dalam buku-buku antologi segera. Mereka menulis puisi kerana rancaknya aktiviti sastera dan sayembara yang dianjurkan. Mereka menjadi penyair disebabkan semua ini. Sama ada para penyair ini terus bertahan dan berkembang atau sebaliknya di mana gerakan sastera kita akan diulangi oleh generasi yang lain seperti mana zaman yang lalu berulang pada hari ini.
Khazanah karya sastera pasti akan terus bergemerlapan di persada seni tanah air dengan nawaitu yang jitu tanpa mengambilkira siapakah tokoh-tokohnya. Penyair itu adalah manusia biasa yang dibezakan oleh fikiran kreatifnya dan latar dirinya yang harus lebih berbeza dengan manusia biasa. Untuk ini, mari kembali membaca pemulaan catatan ini untuk merefleksi fikiran kita.
Sudah pasti, saya percaya, bukan soal aku penyair sejati atau tidak, yang penting pentas sastera turut disemarakkan. Inilah pegangan ramai orang yang saya kira karya-karya mereka belum lagi diuji oleh para pengkaji. Saya tidak berani berkata apa-apa kerana karya sastera kita di Sabah khususnya tidak banyak diperkatakan kecuali seorang dua. Mudah-mudahan selepas ini, lahir pengkaji berwibawa tampil menggarap ribuan puisi para penyair Sabah. Saya terus menunggu penobatan penyair Sabah yang unggul di persada sastera Malaysia.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: