Sabtu, Januari 24, 2026

Penyair Munafik dan Dusta yang Bernama Puisi


Puisi sejak sekian lama diberikan kedudukan istimewa: ia dianggap sebagai ruang kejujuran paling murni, suara batin yang kononnya bebas daripada sebarang perhitungan. Kepercayaan ini bukan sahaja naif, malah berbahaya. Kerana di situlah sebenarnya puisi sering menjadi tempat paling selamat untuk berbohong. Bukan berbohong secara kasar atau terang-terangan, tetapi dengan cara yang lebih licik: melalui diksi, metafora dan ambiguiti yang disengajakan.


Puisi membolehkan seseorang bercakap tanpa pernah benar-benar menyatakan apa-apa. Ia menyelubungi pemikiran di sebalik citraan, mengelak akibat logik, dan menolak kejelasan atas nama “kedalaman”. Apabila ditanya maksud sebenar, penyair sentiasa mempunyai jalan keluar klasik: biarlah pembaca mentafsir. Ungkapan ini kedengaran demokratik, tetapi hakikatnya pengecut. Ia menolak tanggungjawab terhadap pemikirannya sendiri.


Di sinilah penipuan bermula. Diksi puitik tidak lagi berfungsi sebagai alat penerokaan kebenaran, sebaliknya menjadi tabir asap. Kata-kata yang indah berfungsi seperti minyak wangi: menutup bau busuk gagasan yang separuh masak, bercanggah, atau kosong sama sekali. Puisi berubah menjadi kosmetik intelektual - bukan wahana berfikir, tetapi alat untuk menyamarkan ketidakmampuan berfikir secara jujur dan tegas.


Lebih buruk lagi, puisi sering dijadikan alat pencitraan moral. Penyair tampil sebagai sosok yang “resah”, “gelisah”, dan “peka terhadap penderitaan”. Namun keresahan itu tidak pernah menjelma sebagai sikap. Tiada pendirian yang jelas, tiada keberpihakan yang boleh diuji. Yang wujud hanyalah suasana sedih, suram, atau murung - emosi tanpa tanggungjawab. Ini bukan empati, tetapi estetisasi penderitaan.


Pada tahap ini, menyebut penyair sebagai munafik bukanlah satu keterlaluan. Kemunafikan tidak semestinya hadir dalam bentuk khutbah moral yang bercanggah dengan perbuatan; ia juga muncul sebagai kejujuran palsu. Penyair mendakwa keautentikan batin, namun secara sedar memilih bahasa yang mengelakkan kejelasan. Ia menjual imej keberanian berfikir, sedangkan yang diamalkan ialah penghindaran risiko intelektual.


Ambiguiti sering dipertahankan sebagai cerminan kompleksiti realiti. Alasan ini kedengaran sofistikated, namun kerap bersifat menipu. Kompleksiti tidak sama dengan kekaburan. Pemikiran yang benar-benar kompleks justeru mampu memperlihatkan percanggahan secara terang, bukannya menyelubungkannya dalam kabus metafora. Apabila segala-galanya dibuat samar, itu bukan kedalaman tetapi itu kemalasan yang disolek dengan estetika.


Puisi seperti ini tidak memperkayakan kebenaran, sebaliknya menangguhkannya tanpa had. Ia tidak membuka ruang dialog, tetapi menutupnya dengan aura “tidak terkatakan”. Sesiapa yang mengkritik akan dianggap tidak peka, tidak puitis, atau tidak cukup mendalam. Dengan demikian, puisi bertukar menjadi alat kuasa simbolik: ia membungkam kritikan sambil berpura-pura rapuh.


Harus ditegaskan dengan jelas bahawa tidak semua puisi mempunyai nilai. Tidak semua penyair bekerja demi kebenaran. Ada penyair yang sekadar memanfaatkan puisi sebagai zon selesa, tempat untuk kelihatan serius tanpa perlu bertanggungjawab, kelihatan berani tanpa pernah benar-benar mempertaruhkan apa-apa.


Puisi seharusnya menyempitkan ruang pembohongan, bukan meluaskannya. Ia menuntut disiplin etika yang lebih keras, bukan kelonggaran makna tanpa batas. Apabila puisi gagal melaksanakan tuntutan ini, ia wajar dicurigai. Dan apabila penyair berlindung di sebalik keindahan untuk menutup ketidakjujuran berfikir, maka kata yang paling tepat bukanlah “sensitif” atau “kontemplatif”.


Kata itu ialah: munafik.