Khamis, Oktober 20, 2022

BENARKAN KUBERDUKA

- buat Malaysiaku
benarkan kuberduka meninggalkan pelabuhan
masa sudah, menemukan lorong-lorong
di hadapan, menerima malam-malam
kosong dengan aman.
benarkan kuberduka mendapatkan inti diksi-diksi
yang menyuguh ilusi mengutip pecahan padu
kalbu kelabu di seluruh liku merenjiskan
hamis hempedu dinikmat generasi.
benarkan kuberduka jika tanpa sesiapa
tangan-tangan dosa telah merobek jantung nusa
menjadikannya debu-debu yang berakar
di angkasa tanpa suara.
benarkan kuberduka menerima segala cerca
kutukan demikian saujana tak juga mengenalinya
tak juga memahaminya tak juga menikmatinya
masa sudah mengalir di lautan nestapa.
benarkan kuberduka
begitu tak kupunya air mata
tak kupunya mampu dan kuasa
hanya panjang langkah
menjernihkan kabut kuala.
Kuala Lumpur
19 Ogos 2008

KESEDERHANAAN YANG MENGGONCANG

Kutulis sajak-sajak alam dalam kesederhanaan yang menggoncang.
Tak perlu keinginan sebesar apa atau seluas apa.
Kuingin kutip di celah-celah musim kebasahan pesan-Mu. Bumi
telah mulai hilang harumnya setelah cinta diluapkan sifat-sifat alpa.
Cecair yang lapar tetap gagal dihadang, sifatnya lebih sederhana
tanpa isyarat melepaskan perarakan dari segala bukit dan gunung
Lembah tak terdaya diselimuti petaka bah, kusorot pergerakannya
membawa luka di kejauhan, hanyutkan bunga-bunga di halaman
Kuleraikan tali uji ini, tunduk redha mensyukuri begitu banyak
nikmat dianugerahkan Tuhan, tak habis seperti bah ketika ia tiba.
RupHA,
16/1/2021

Selasa, Oktober 18, 2022

MUZIKA ALAM SETELAH HUJAN


Seekor katak terus meraung di longkang, beberapa anak berudu menjenguk di permukaan kemudian berenang lintang pukang. Hujan telah reda. Tetapi mentari terus berselimut. Masa suria berkembang mungkinkah suara katak itu mengganggunya atau memang musim tengkujuh telah datang. Alam tak bermusuh oleh kehendak sesuatu yang tidak jelas. Mengapa katak dikaitkan dengan hujan? Mengapa pabila hujan terdengar suaranya. Hingga hinggap dalam kepala manusia sebuah metafora berbumbu binatang dwialam itu dan fenomena alam yang tidak akan terpisahkan. Jauh ke dalam rerongga akal mungkin sahaja katak itu seekor negarawan di negerinya. Terus meraung dan meraung memperdengarkan suaranya yang sulit difahami akal manusia bahkan fauna-fauna yang lain. Negarawan longkang kemudian kembali ke sisi ketersisihannya di celahan batang keladi atau di bawah akar-akar bakau nun di pinggir kota yang kian terpencil dimamah pembangunan. Katak yang kecewa dek gelagat manusia tetapi bukankah di negerinya ia juga telah merakamkan kelibat kemanusiaan yang bermusim. Katak dwialam yang licik bahkan sukar diyakini. Tidak hairanlah ia hidup tersisih mengharapkan helah suara garau dan hingar bingar yang tidak bersudah. Menyerahkan kepada penghuni dunia mentafsir sedang suaranya tak siapa peduli. Itulah muzika alam setelah hujan. Kelaziman yang tidak perlu lagi menjadi pertikaian. Walaupun bingar membingitkan pendengaran. Katanya, biarkan saja kemudian suara itu akan sirna jua. 

HASYUDA ABADI
Kota Kinabalu.