Jumaat, Jun 06, 2008

Melukut di Tepi Gantang: Citra Tak Berakhir

Menulis dan dapatkan upah, saya terkenang percakapan dengan salah seorang sahabat baik saya yang berkunjung ke pejabat beberapa hari lalu. Katanya susah sekarang ni, mau dapatkan bayaran untuk sebuah tulisan bukan macam dulu. Kita ni macam 'melukut di tepi gantang'. Asyik bertanya bila bayaran dibuat. Tebal muka ni, katanya sambil merujuk sebuah agensi kerajaan yang sering saya 'sigung-sigung' dalam kebanyakan catatan saya di Kemsas. Banyak sekali alasan yang diberi. Kata saya dulu kalau tiada peruntukan jangan pandai-pandai rampok idea orang, bila baik untuk agensinya tapi bila buruk dibaling ke muka orang lain. Seorang sahabat yang lain merasakan kini menjadi resam staf agensi berkenaan yang kurang dedikasi gagal melaksanakan amanah mereka dengan cekap. Ingtegriti mereka sering dipertikaikan namun siapalah juga kita kan, kata sahabat saya tu. Hanyalah penulis kerdil. Lainlah kalau Sasterawan Negara, 'ugut' saja sikit sudah mula tergagap-gagap dibuatnya. Jadikan agenda penting dalam mesyuarat. Cakap ini hanya sedapkan hati saja sambil orang-orang yang punya tanggungjawab dalam agensi berkenaan goyang kaki, sampai masa pulang rumah, cukup bulan nikmat gaji daripada hasil kerja yang tidak seberapa. Makan gajilah katakan... Katanya lagi, yang aneh kenapa ada individu yang dilayan dengan baik berbanding kita? Mohon bantuan cepat diluluskan dan dapat peruntukan. Ini bukan aneh, biasa, pilih 'geng'. Nampaknya ada yang tidak kena. Memangpun tidak kena. Jika demikian keadaannya, susah juga. Entah apakah ada pemantauan dibuat oleh pihak atasan mereka atau pihak atasannya juga seronok 'menelan asap' yang telah membakar fikirannya kepada sesuatu 'yang maha indah' hinggakan membiarkan apa sahaja yang berlaku tidak diambil perhatian, sambung sahabat saya itu yang sugul dan hampa.


Saya juga teringat pesanan ringkas sahabat saya yang lain lagi tentang Dayang Salmah Salam (penulis veteran) yang kini semakin kurang sehat, selain masalah pandangan diganggu lagi dengan masalah paru-paru. Kasihan juga apabila beliau mencari 'anak-anak' dari kalangan penulis yang akrab dengannya. 'Saudara, kita ziarah beliau ya, buat sumbangan...' cadang sahabat saya itu lagi.


Penulis tetap manusia biasa. Bila sampai masanya, dia akan hidup bersendirian dan rakan-rakan yang ada tidak ramai yang mungkin tampil membantu. Kita tahu insan seperti Dayang Salmah itu seniman yang prolifik berkarya, punya jasa yang besar sebagai wartawan dan aktiviti kemasyarakatan. Namun bila sudah kurang cergas, hanya dirinya sahaja menjadi dunianya meskipun di sekelilingnya ada anak-anak dan cucu serta cicit yang boleh membahagiakan. Bagaimanapun keadaan itu tidak sama. Aora persahabatan dengan keluarga tetap ada kelainannya. Percakapan juga berbeza. Kemahuan juga demikian. Pantang larangnya pun begitu. Apabila sudah sampai masanya tenaga diambil satu persatu, kekuatan hanyalah kepada kenangan masa lalu. Saya membayangkan saat seusia Dayang Salmah nanti... kerana itu realiti yang akan terjadi. Kita boleh bergembira satu ketika tetapi suatu ketika yang lain kegembiraan itu akan padam dengan sekelip mata saat kemampuan kita semakin sirna. Apakah kita mengharapkan ada orang yang ingatkan kita dan menghargai kita? Tentu tidak, jika betul ada yang sudi barangkali itu rezeki namanya. Jika sebaliknya, jangan sampai kita sendiri berkata melukut di tepi gantang walaupun ada ketikanya ia merupakan hak kita yang sebenar.

Baca juga reaksi ini.

Selasa, Jun 03, 2008

DBP Sabah: Mengembalikan yang Hilang

Sekadar memberikan sedikit pandangan meskipun mungkin tidak popular tapi penting. Saya merasakan bahawa sudah banyak yang dilakukan DBP Sabah suatu ketika dulu tidak berlaku sekarang. Sesekali mencari di mana sebabnya. Ada waktunya ingin menyatakan alangkah baiknya sesuatu yang telah tiada itu dikembalikan. Kemeriahan sastera mungkin lebih bercahaya. Saya ingin mengajak kita semua menoleh beberapa program sastera yang amat disenangi suatu ketika dulu. Misalnya Program Penulis Anak Angkat (PAA)dan Minggu Penulis Remaja (MPR). Dua program ini telah meletakkan DBP sebagai agen terpenting mengembang dan membina penulis. Pada masa ini, bukan tidak ada usaha itu, tetapi program yang disebutkan di atas itu lebih dinamik dan amat jelas keberkesanannya. MPR memperkenalkan penulis pelapis terhadap sastera dari sudut yang sederhana. Mereka diperkenalkan karya. Mereka turut didekati penulis mapan dan tersohor. Mereka digalakkan menulis dan terus menjadi penulis berwibawa. Program PAA pula meletakkan penulis pelapis itu lebih terarah. Maksudnya, karyanya dilihat secara empat mata oleh penulis-penulis besar negara. Tetapi inilah yang menjadi kerugian mereka yang mempunyai bakat tetapi tidak kesampaian kerana tidak tahu di manakah mereka harus mendapatkan ilmu menulis yang efektif. Tentulah DBP. Meskipun ada persatuan penulis, tentulah tidak mampu menandingi DBP.

Akhir-akhir ini juga kita sudah merasakan bahawa beberapa program sastera semakin layu dan menghilang. Tentulah kita menanti bilakah Mahrajan Sastera Islam berlangsung? Adakah tidak peraduan menulis puisi berunsur Islam? Nadwah Sastera Islam bagaimana pula? Entah apakah mungkin Hadiah Sastera Sabah juga tidak akan terjadi beberapa ketika mendatang?

Biarlah diperkatakan sekarang. Seperkara yang barangkali sedikit jelas bahawa ada masalah-masalah yang menjadi penyebab namun tidak molek dibincangkan di sini. Mana padang yang tidak dihinggapi belalang yang tidak mungkin menyuburkan rumput, padang tetap berumput. Tapi ada padang yang sentiasa subur kerana penjaganya seorang yang rajin memegang cangkul dan memberi baja. Padang itu bukan sahaja rumput tetapi sayur-sayuran, buah tembikai, ubi kayu, ubi manis dan sebagainya.

Para penulis sentiasa melihat semua ini. Tidak tahu pula jika apa yang diterima masa ini menjadi memadai. Amat memadai!

Sekadar pandangan.