Hasyuda Abadi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Lumadan, Beaufort pada 1967-1972 kemudian meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah St John Beaufort sehingga Tingkatan Lima aliran Sains pada 1973-1978.
Hasyuda Abadi dibesarkan dalam sebuah keluarga yang relatif susah di era Sabah (North Borneo) masih berada dalam jajahan British. Beliau dilahirkan beberapa tahun sebelum kemerdekaan diberikan kepada Sabah. Semasa melahirkan Hasyuda Abadi, ibunya menghadapi masalah. Tetapi masalah ini tidak sama sebagaimana beliau melahirkan abang Hasyuda Abadi yang akhirnya gagal diselamatkan. Masalah ibunya ketika itu ialah gagal mengeluarkan tembuni yang sepatutnya keluar bersama-samanya. Keupayaan seorang bidan[1] kampung terlalu terhad pada kemahiran tertentu serta bacaan-bacaan doa dan sebagainya selain bertindak sebagai bidan. Tiada jalan lain untuk menyelamatkan ibunya ialah dengan membawanya ke rumah sakit Beaufort yang harus melalui jalan raya tanah kuning. Tembuni akhirnya telah dikeluarkan oleh doktor. Hasyuda Abadi yang ditinggalkan di rumah bersama neneknya kemudian dinamakan ‘Sukor’. Kata arwah nenek[2] perempuannya, syukurlah semuanya selamat.
Hampir 90 peratus masyarakat di tempat kelahirannya bekerja sebagai penoreh getah di Estet Getah Lumadan. Estet ini adalah antara estet-estet getah yang luas di Sabah ketika itu. Ayahnya telah membeli sebidang tanah seluas dua ekar di mana di situlah ayahnya membina rumah yang amat tipikal sebagai bahagian daripada landskap perkampungan tradisi yang wujud sehingga kini.
Hasyuda Abadi lahir dan dibesarkan di rumah yang serba biasa seperti kebanyakan kemampuan yang dimiliki jiran-jiran ayahnya. Suasana kehidupan desa yang harmoni yang menjadi meriah ketika para pekerja estet menerima upah mereka. Pada suasana inilah Hasyuda Abadi telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang digemari pekerja, guru-guru[3] sekolah dan penduduk kampung seperti sukan bola sepak, sabung ayam dan aktiviti seni pentas. Estet Lumadan mempunyai sebuah pasar dan sebuah panggung wayang. Panggung wayang[4] ini agak besar juga. Setiap bulan akan ditayangkan filem-filem Hollywood, Bollywood, Malaysia dan Indonesia. Bagi pekerja estet yang meminati dunia hiburan mereka melibatkan diri dengan akviti pentas bangsawan, sandiwara, lawak jenaka, persembahan kugiran dan tarian. Di pentas inilah Hasyuda Abadi beraksi buat pertama kali melalui persembahan bacaan sajak ketika dalam darjah tiga.
Suatu ketika dahulu Hasyuda Abadi pernah bercita-cita menjadi seorang guru tetapi cita-citanya itu tidak menjadi kenyataan. Semasa di sekolah menangah, setelah lulus peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), beliau naik tingkatan empat dalam aliran sains. Hasyuda Abadi amat meminati subjek matematik. Sehabis menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) beliau merantau ke Kota Kinabalu pada tahun 1979 dan mendapat tawaran kerja tetap di Jabatan Penyiaran Malaysia. Enam tahun kemudian Hasyuda Abadi berpindah ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga beliau bersara pilihan pada tahun 2015.
Di awal perkenalannya dengan dunia kesenian, Hasyuda Abadi terlibat sebagai seorang penari kebudayaan. Beliau menyertai Kumpulan Anak Seni, ketika itu di bawah pimpinan Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain. Minat kepada dunia penulisan sebenarnya lahir secara kebetulan apabila gerakan kesenian yang luar biasa mengetengahkan aktiviti-aktiviti sastera dan teater. Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya diberi tunjuk ajar oleh Datuk Hajah Zaiton Ajamain dalam bidang penulisan puisi. Disebabkan keghairahan masa muda ketika itu, Hasyuda Abadi kian meminati sastera, menulis puisi dan menulis rencana sastera di media massa di samping menyertai kegiatan-kegiatan kesenian di tempat lain. Hasyuda Abadi sering menyertai Hari Puisi Nasional dan Hari Sastera bersama Kumpulan Anak Seni. Pengalaman manisnya ketika menyelenggara Majalah Api-Api dan menerbitkan buku antologi puisi secara stensilan menjadi suatu inspirasi ingin terus cenderung dalam dunia persuratan. Pengalaman lain seperti turut serta bengkel penulisan dan bengkel deklamasi puisi juga menjadi pendorong besar Hasyuda Abadi terus bergiat melahirkan karya dan sekaligus aktivis yang bergerak cergas dalam bidang ini. Dalam bidang seni tari, beliau menerima latihan daripada Allahyarham Datuk Zulkifli Zain manakala dalam dunia skrip, lakonan pentas dan deklamasi puisi, beliau dibimbing oleh Tuan Haji Marzuki Ali.
Bersama Kumpulan Anak Seni, Hasyuda Abadi pernah menjawat Setiausaha Kehormat selama tiga tahun. Antara kegiatan besar yang beliau turut terlibat ialah menganjurkan program pengucapan puisi patriotisme di Mini Auditorium Yayasan Sabah, persembahan drama tari ‘Putera Rambang Rambunut’ di Maktab Perguruan Kent Tuaran di samping sering menyertai pertandingan tarian dan drama tahunan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Karya pertama Hasyuda Abadi merupakan sebuah karya genre puisi bertajuk ‘Mengapa oh Mengapa’ tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980. Puisi ini bernada protes sesuai dengan jiwa pemuda ketika itu. Beliau juga menulis cerpen, rencana sastera dan rencana umum selain menulis skrip drama radio.
Pada peringkat awal, bentuk tulisan Hasyuda Abadi begitu dipengaruhi[5] karya-karya Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain, kerana beliau merupakan guru pertama dalam dunia seni dan penulisan. Selepas itu melalui kewibawannya menulis secara prolifik dalam pengkaryaan serta sering menyertai bengkel penulisan dan aktiviti persuratan, beliau berjaya menguasai dunia persuratan khususnya puisi mengikut acuan dan bentuknya sendiri. Karya-karya Hasyuda Abadi tersiar secara merata dalam media massa di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo kemudian di media massa nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasyuda amat prolifik mulai tahun 1981 apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar di media massa di Sabah.
Pada 1985, sebuah karyanya bertajuk Salam Buat Kekasih yang tersiar di Harian Ekspres pada 17 November 1985 telah terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Kemenangan puisi Hasyuda Abadi ini merupakan kesinambungan penulis-penulis terdahulu dari negeri Sabah iaitu Datuk Haji Jamdin Buyung, Tuan Haji Hashim Jeffri dan Saidi Lampoh (S. Mala) dengan tempoh yang sangat langka.
Pada tahun 1987, beliau mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di bawah asuhan penyair tersohor Malaysia, Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Pada tahun 1997, Hasyuda Abadi bernasib baik kerana terpilih menyertai Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera)[6] di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta. Dalam P\program anjuran Mastera ini, Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya dibimbing oleh Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.
Hasil daripada Program Penulis Anak Angkat telah melahirkan buku puisi sejarah berjudul Balada Paduka Mat Salleh. Buku puisi panjang ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989 berlatar belakangkan sejarah perjuangan seorang pahlawan pribumi Negeri Sabah bernama Mat Salleh menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan Malaysia ketika itu.
Apabila Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada 1990, Hasyuda Abadi mengambil keputusan menyertainya dengan iltizam untuk turut serta meredah gelora sastera mutakhir ketika itu. IPS digerakkan oleh sekumpulan anak muda diketuai Jasni Matlani dan rakan-rakannya di sekitar Kota Kinabalu membawa mesej baharu agar suara penulis-penulis muda didengar dan diambil perhatian oleh pelbagai pihak ketika itu. IPS bergerak cergas dalam mencapai misi dan visinya menyebarluaskan intisari susastera di negeri Sabah dan Malaysia. Fokus IPS tertumpu dalam membina penulis-penulis muda dan memperkasakan aktiviti penerbitan buku.
Hasyuda Abadi pernah memimpin IPS selama dua dekad (1998 hingga 2018 apabila mengambil alih kepimpinan daripada Jasni Matlani pada 1998). Sepanjang pimpinannya, IPS telah berjaya meraih gelaran persatuan paling aktif di Sabah menerusi Hadiah Tinta Sastera kategori persatuan anjuran Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2004. Hasyuda Abadi juga terlibat dalam penubuhan Institut Penilaian Sastera[7] (INPES) bersama-sama Datuk Dr Haji Janathan Kandok dan Abd Naddin Haji Shaiddin. INPES mempunyai landasan yang mandiri dalam visinya mengangkat sastera sekaligus mengiktiraf pengarang di lokaliti ia lahir dan dibesarkan.
Beliau juga merupakan ahli sepanjang hayat dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).Kegiatan persuratannya yang rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa berasa jemu. Hasyuda Abadi sering menyertai dan memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Kegiatan ini berlangsung setiap tahun bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam di Negeri Sabah.Para penganalisis sastera tanah air pernah memberikan komentar terhadap karya-karya Hasyuda Abadi. Almarhum T. Alias Taib misalnya, pernah memberi sebuah tanggapan kepada Hasyuda dalam Dewan Sastera, April 2000 bahawa Hasyuda Abadi, tampaknya, berusaha memberikan ungkapan asli dan imaginatif. Allahyarham Dharmawijaya dalam Dewan Sastera pada Mei 2003 berpandangan, karya Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam pendayagunaan bahasa.
Sasterawan Negara, Dato’Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)[8] melihat peningkatan Hasyuda Abadi menerusi epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak bila Hasyuda Abadi berubah? Kemala bertanya. Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar Al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tidak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranjau yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram (pancaran) bulan dilangit dan bayangan bulan di danau (tasik)? Kemala pernah mengasuhnya dulu, mungkin kini Hasyuda Abadi menurut Kemala, sudah melalui denainya sendiri.
Datuk Jasni Matlani ketika menganalisis dunia kepenyairan Hasyuda Abadi menurutnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.
Menurut Jasni, Hasyuda Abadi merupakan salah seorang penulis yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah. Penulis ini mencipta rekod dalam sejarah sastera Sabah sebagai penulis yang amat menyerlah dalam genre puisi selama 40 tahun secara berterusan. Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisi-puisinya yang bervariasi, dengan permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini, matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain dengan begitu indah dan mengagumkan.
Berbeza dengan beberapa penyair Sabah, Malaysia yang pernah kita mesrai karyanya, Hasyuda Abadi memilih jalur fikir yang agak tersendiri. Ini pandangan jujur daripada Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul,[9] Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah. Ketika ramai penyair lain gemar berbicara tentang konflik dalaman diri (sama ada melibatkan gelora cinta, idealisme, kerohanian atau pencarian nur jiwa) – penyair ini keluar dari kongkongan begitu. Beliau lebih cenderung memberi kritik sosial. Yang ditujukan kepada pelbagai ceruk komuniti dan entiti-entiti manusiawi yang terolah di persekitaran.
Narudin[10] penelaah sastera di Indonesia menyatakan, secara perbandingan, puisi-puisi Hasyuda Abadi mengingatkan pada puisi-puisi demonstrasi Taufiq Ismail dan puisi-puisi pamflet W.S. Rendra. Namun, letak perbezaannya, Hasyuda Abadi tengah terus mendobrak tradisi puisi Melayu di Malaysia dengan bentuk puisi prosais. Dengan demikian, Hasyuda Abadi mengikut Narudin sebagai salah satu penyair kontemporer Sabah, Malaysia.
Penampilan terhadap kesungguhan Hasyuda Abadi sebagai penulis yang kosisten di Sabah dan Malaysia amnya terserlah melalui penilaian Hadiah Sastera Sabah (HSS) yang diraihnya pada setiap kali penilaian dijalankan. Karya-karya Hasyuda Abadi sering terpilih dalam penilaian HSS pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014 2016, 2018, 2020 dan 2022 bagi genre puisi dan cerpen. Selepas Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1984/1985, Hasyuda Abadi meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menerusi karya-karyanya yang diterbitkan pada 2008 dan 2019. Hasyuda Abadi juga merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Penulis ini juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena Karnival Kesenian Islam 2011.
Skrip drama pentas Hasyuda Abadi berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. ‘Takungan Bayu’ merupakan adaptasi kepada perubahan politik di Negeri Sabah melalui proklamasi ‘Sabah Baharu’ pasca pilihan raya umum negeri Sabah pada 1994. Skrip tersebut terdapat dalam buku antologi ‘Unduk Ngadau’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pencapaian Hasyuda Abadi dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera kategori puisi (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi di pelbagai media, 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas/radio. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (Iris, 2008), 'Suara yang Terbuka' (ITBM, 2014), ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ (Iris, 2018), 'Musim Perubahan di Negeri Kami' (Iris, 2021), Hutan Ayah' (IPS, 2023) dan 'Melawan Kebiasaan' (DBP, 2023). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (Inpes, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda Abadi juga diusahakannya melalui projek penerbitan DBP dalam buku 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Puisi-puisi Hasyuda Abadi juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain di Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Indonesia melalui 75 buah antologi puisi, antologi cerpen (4 buah), antologi skrip drama pentas (1 buah) dan antologi esei sastera (3 buah).
Puisi Hasyuda Abadi pernah dibacakan semasa majlis perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah dan Perayaan Hari Malaysia di Kota Kinabalu. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda Abadi juga sering diundang menjadi pembimbing bengkel-bengkel penulisan baik oleh DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) di Sabah. Beliau juga pernah terlibat sebagai Ketua fasilitator dan fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah. Hasyuda Abadi juga merupakan pemula untuk progam SUNTIK yang diusahakan oleh beberapa orang penulis dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.
Dalam aktiviti antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur dan Pahang, Korean-Asean Poet and Literature Festival di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu Sastra Indonesia-Malaysia (2015), Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun di Jogjakarta (2016) dan banyak lagi program persuratan yang lain.
Hasyuda Abadi juga turut menyumbang dalam penulisan esei kritikan. Pada sisi ini, beliau pernah menjadi kolumnis di Utusan Borneo Sabah yang disiarkan pada setiap hari Ahad selama lima tahun. Ruang pojok beliau ‘Sesekali Menoleh ke Belakang’ memaparkan pemikiran, ulasan dan apresiasi dunia kesusasteraan semasa.
Pada masa ini Hasyuda Abadi mengurus Akademi RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi) yang menempatkan mini perpustakaan - Pustaka Iqbal Nazim dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Perpustakaan mini ini menyimpan lebih 6 ribu judul buku pelbagai jenis termasuklah yang berkaitan dengan agama, politik, sastera, budaya, ensaiklopedia, majalah dan sebagainya. Pustaka ini dibuka kepada umum terutama para pelajar pengajian tinggi yang berhampiran. Pustaka ini pernah meraih hadiah pertandingan sudut bacaan di rumah anjuran DBP Cawangan Sabah pada 2020. Hasyuda Abadi juga merupakan Pengerusi Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU) dan Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Baitul Muqaddam.
Atas keprolifikan dan ketekalan Hasyuda dalam dunia penulisan, Hasyuda telah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah pada tahun 2008. Anugerah ini telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah. Pada tahun 2022, Hasyuda Abadi diperakui sebagai penerima Tokoh Seni Sastera Islam Sabah menerusi Anugerah Seniman Islam Sabah anjuran Kementerian Tugas-tugas Khas & Penyelarasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sabah. Pada 2022 juga, Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang karirnya sebagai penulis iaitu Anugerah Pena Kinabalu (Sasterawan Negeri Sabah). Pada 2024, Hasyuda telah dinobatkan pula sebagai Tokoh Mahrajan Persuratan Islam Nusantara 1446H/2024 daripada Kerajaan Negeri Sabah,
Hasyuda Abadi juga penerima
bintang-bintang kebesaran di peringkat persekutuan – Pingat Pangkuan Negara
daripada Yang DiPertuan Agong pada 2008 dan daripada Yang DiPertua Negeri Sabah
– Bintang Kinabalu (B.K) pada 2005 dan Bintang Seri Kinabalu (B.S.K) pada tahun
2013.
[1] Nama bidan kampung ialah Punijah atau lebih dikenali sebagai Bibi Susur, berbangsa Jawa.
[2] Nenek dalam catatan ini ada dua orang, seorang bernama Hjh Kamsinah Dulkaseh (ibu peada ibu) dan seorang lagi Hajah Armah Rippan (sebetulnya ia ibu saudara arwah bapa, tetapi mereka dipelihara bersama oleh arwah datuk Rippan Adam). Hajah Armah ni kami panggilnya 'Mamit'. Saya sampai sekarang tidak tahu mengapa nama ini dikenali orang baik yang muda mahu pun yang berusia semasa arwah masih ada dulu
[3] Salah seorang guru yang aktif pada era ini bernama Cikgu Ibrahim Mohammed. Beliau berasal dari Kampung Pimping Membakut, Sabah. Beliau juga merupakan penulis puisi yang prolifik ketika itu, sering menulis puisi-puisi eksperimen dan dianggap penulis yang lari daripada konvensional.
[4] Taukeh panggung wang ini biasanya dipanggil Kim Soon atau nama Islamnya Mohd Rais Abdullah.
[5] Pengaruh di sini bermaksud bentuk karya dari segi laras bahasa dan teknik penulisan.
[6] Hasyuda Abadi bersama Dr Hazami Jahari, Uthaya Sangkar dan Mattaib Nordin dipilih menyertai Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia pada tahun 1997.
[7] Institut Penilaian Sastera atau INPES, diperkenankan kelulusannya oleh TYT Yang DiPertua Negeri Sabah dan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB).
[9] Petikan prakata Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul dalam buku Kumpulan Puisi ‘Suara yang Terbuka’ terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).
[10] Catatan Narudin Pituin di Facebook pada 25 September 2018 - https://web.facebook.com/Narudin.Pituin1/posts/10212644159567667
Tiada ulasan:
Catat Ulasan