Khamis, November 06, 2008

Pada hari bahagia Zierah, puteriku

Beberapa bulan terakhir ini sebelum berakhirnya 2008, saya seluruh keluarga bahkan sahabat-sahabat terdekat bakal menyaksikan hari bahagia puteri sulung, seperti pada foto, yang akan melangsungkan perkahwinannya, insyaallah pertengahan Disember mendatang selepas kita merayakan Aidil Adha 1429 Hijrah. Barulah saya memahami selok belok mengurus, bermula detik risik-merisik, majlis pertunangan dan majlis penghantaran belanja baru-baru ini di kediaman saya. Sesuatu yang mengesankan ialah pada ketika memaklumkan puteri saya bahawa bakal suaminya harus seperti saya, yang mencintai seni setidak-tidaknya boleh membaca sajak, bermain alat muzik dan seumpamanya selain latar agamanya juga. Barangkali begitulah yang ditakdirkan bahawa bakal anak menantu mempunyai minat yang saya inginkan secara kebetulan. Saya sekeluarga terutama sekali isteri amat menyenanginya dan lebih ingin merasakan bersama seperti kegembiraan dan kebahagiaan puteri kesayangan kelak.

Obama o Obama


Isnin, November 03, 2008

SUTERA PEMAKAMAN PUTIH CINTA

Telah tak mungkin kembali tatkala perjalanan semakin sirna, disaring sapa dari kalbu yang mendekam rahsia di lahad sunyi tapi hanya sepi membalas bunyi riuh ombak yang menjauh dan mesra langit yang terbuka cahaya.

Tak usah pedulikan bisikan-bisikan yang hanya membenam suci kebenaran, mewarnai kanvas putih dengan semburan benci, membebaskan segala hukuman tertumpu segalanya dusta. Hanya suara putus asa tak menerima jawapan, meratapi segala peristiwa dipulangkan kembali daripada Ilahi.

Perjalanan terbentang tirus hingga bertemu sesuatu yang maha abadi, segalanya dalam pengharapan bukan mimpi-mimpi azali, bukan umpama peristiwa lampau yang menzahirkan lampu kepalsuan.

Biarlah dipandang bagai bau bangkai terhidu juga wangi huruf-huruf yang diangkat di sisi-Nya demi impian firdausi aras paling mulia, biarlah bagai debu yang terlontar jauh di lubuk hina dina demi kesturi cahaya dipelihara agung jiwa, sutera pemakaman putih cinta.

Pustaka Kreatif Hasyuda,
KOTA KINABALU.
5 Zulkaedah 1429H.