Sabtu, Oktober 15, 2022

SEKADAR BERTANYA 5?

(Di Utusan Borneo 26 Februari 2012 oleh Mohd Nurazwan Augustine.)
?Kenapakah saudara menulis?Untuk apa?
Sebagai terapi diri. Berkongsi pandangan hidup.
?Siapakah idola/sumber inspirasi saudara dalam berkarya selama ini?
Ayah saya sendiri. Ayah seorang tokoh yang hebat dalam jiwa saya dan keluarga saya. Beliau adalah sahabat yang amat akrab. Kami saling berkongsi pandangan mengenai dunia.
?Bagaimanakah tercetusnya ilham untuk menghasilkan Balada Paduka Mat Salleh (BPMS)?

BALADA PADUKA MAT SALLEH
Semasa mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987, saya bersama penyair Soibil Madun dibimbing oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Kami diberikan bimbangan eksklusif mengenai andatila perpuisian. Sebagai sasterawan tersohor Malaysia dan Nusantara, Kemala menunjuk ajar dan bertindak sebagai pencetus dorongan sehingga saya siap untuk menjatikan diri sebagai penyair. Pertemuan semuka dengan Kemala sebenarnya hanya untuk beberapa ketika. Beliau banyak memberikan ruang kepada kami berkarya, mengembara dan berinterkasi dengan tokoh-tokoh penyair di Kuala Lumpur. Ketika berkarya dalam siri pertemuan tersebut, saya berazam untuk menghasilkan sebuah karya yang menguji kebolehan serta bakat yang saya miliki ketika itu. Saya sering mengingati negeri saya, Sabah dari sudut sejarahnya. Saya harus menulis sesuatu biarpun kecil tetapi yang kecil itu harus berbeza daripada biasa. Saya ingin menghasilkan sebuah karya balada kerana sebuah citra mengenai seorang tokoh lebih sempurna sekiranya diolah berdasarkan urutan peristiwa, apatah lagi citra dalam balada yang saya pilih berasaskan fakta sejarah yang ditulis. Tokoh yang begitu sinonim dengan sejarah Negeri Sabah tiada lain daripada Datu Paduka (DP) Mat Salleh. Saya segera mengajukan saran saya untuk menulis sebuah puisi balada mengenai DP Mat Salleh kepada pembimbing atau mentor saya, Kemala.
?Apakah keistimewaan/kekuatan BPMS yang cuba saudara tonjolkan?
Saya percaya setiap zaman mempunyai hero yang patut diangkat atau ditonjolkan. Citra perjuangan
Allahyarham SN
Dato' Ahmad Khamal Abdullah
DP Mat Salleh sering diceritakan masyarakat tempatan di Sabah. Sejarahnya juga telah dibukukan misalnya buku Pemberontakan Pahlawan Mat Salleh karya Datuk R.M Jasni. K.G Tregonning juga merakam sejarah pahlawan Sabah ini dalam bukunya 'Under The Chartered Company Rule' selain Ismail Abbas dan K.Bali yang mencatat citra yang sama dalam buku 'Peristiwa-peristiwa Berdarah di Sabah'. Semua itu terhasil dalam medium yang sama iaitu deskriptif sejarah. Saya pula menulis semula kisah perjuangan Datu Paduka Mat Salleh dalam genre puisi. Kelainannya berlaku di sini, deskriptif kepada puisi. Ia merupakan sebuah tanggungjawab yang berat. Saya harus menguasai laras puisi. Tugas saya menggunakan fakta sejarah dalam laras dan diksi-diksi yang sesuai sebagai sebuah karya kreatif. Keistimewaan karya ini sungguh jelas pada ciri-ciri balada itu sendiri yang berkembang dari satu episod ke episod mengikut kronologi sejarah hidup DP Mat Salleh. Di Sabah inilah saya ingat sebuah karya sastera sejarah yang pernah dilakukan dalam mauduk puisi.
?Apakah yang menyebabkan Saudara dapat bertahan untuk terus menulis sehingga ke hari ini?
Bersama Dato' Kemala
di Bandung Indonesia
Dato' Kemala dan 
Datuk Zurinah Hassan ziarah
RupHA
Saya sangat suka sekali menulis. Dan puisi merupakan wacana minda saya. Saya seolah-olah berada di udara yang tidak pernah melupakan bumi. Sastera itu juga bukankah kehidupan dan rutin insan yang dialami pada detik-detik tertentu? Tentu sahaja saya tidak menulis setiap detik tetapi kehidupan ini berlangsung di mana di dalam perjalanannya kita amat dekat dengan bahasa dan emosi. Lantaran karya sastera itu merupakan gabungan bahasa dan emosi yang disampaikan menerusi kata-kata yang dapat mentafsir maknawi untuk kehidupan itu sendiri. Saya bertahan bukan kerana saya terus menulis semata-mata tetapi ia lebih daripada itu yakni sebagai satu tanggungjawab sosial yang sungguh murni. Setiap hari saya menemukan pengalaman baru atau pengalaman biasa yang dilalui dalam situasi yang baru. Seniman merakam gelagat manusia yang memberikan bekas tertentu. Begitu saya merakam peristiwa manusia yang berurusan semasa berhadapan dengan pelanggan di tempat saya bekerja, manusia yang ditemui di mana-mana yang memberikan impak terhadap makna daripadanya sehingga semua ini bertaut menjadi paksi cinta daripada Yang Maha Agung. Jika pada awal kelahiran sebagai penyair saya menghasilkan puisi sejarah tetapi berhijrah kepada fokus kehidupan yang hakiki melalui puisi-puisi Islami. Ini merupakan kesinambungan perguruan saya dengan Kemala, saya percaya untuk terus bertahan selagi mata akal dan sehat dari segi zat pemberian Ilahi. Insyaallah.
Dato' Kemala Ziarah
Baitul Muqaddam
Bersama Penyair Sabah
Saibul Madun rakan seperguruan



Selasa, Oktober 11, 2022

EDAN APA DIIDAPI


Persoalan kecil dari leher marhaen
apabila tidak perlu bertegang-tegangan
menyimpan geram di periuk rakyat. 

Sejenis bangsa berketurunan edan
berguru di pundak kecelaruan
isim-isim aneh dianutinya untuk menang. 

Sebab itu kedengaran
di atas gelanggang tak pernah lengang
segala penjuru alam memekik serapah:
kupaku alam di telapak tangan
di telapak tangan membenam semangat
semangat bergabung bergabung dari petala langit
ke puncak petala bumi! 

Edan apa diidapinya ketika ungkapan
membuka kesayupan di seluruh bumi
dan lautan
mengepal dendam-dendam
perintah yang maha perkasa
tenggelam ditelan kekusutan.

Akademi RupHA

Isnin, Oktober 10, 2022

DI PASAR BUBAR


cepatnya musim
sekarang pasar dibuka
ramai penjanji membuka meja
penjaja janji
telah siap menulis paragraf
masa lalu tidak lagi perlu
mari, ajaknya, kita bersatu
meyakini jual beli
untung kemudian diberi
manifesto digubal
seperti menggaul tepung
garam, gula dan ragi
dilebihi apa? naratif di pasar
lebih wasada ketimbang membudak
lupakan saja peristiwa di dewan agam
di hadapan pelanggan komoditi
semusim dirawat, dibaja, disirami
bertuah jika khasiat diberi
jika khilaf sila menyukat basa basi
era globalisasi pembeli sangat memilih
dihidang ulat anai-anai jangan sekali
di pasar pasti diramai-ramaikan
menemukan penjual kemarukan
dengar satu persatu hikayat
naratif salinan musiman dipertaruhkan.