Selasa, Januari 12, 2010

Penulis drama radio dipelawa hasil skrip

[Sumber: Utusan Borneo 12/1/2010]

RADIO Malaysia, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu akan menerbitkan 7 buah drama khas sepanjang tahun 2010 yang melibatkan 14 orang penerbit.

Pengurusnya, Malinaziah Datu Mohd. Julapsi berkata, antara rancangan-rancangan itu ialah Hari Pekerja, Pesta Kamaatan, Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidil Fitri, Hari Kanak-Kanak, Hari Raya Korban dan Maal Hijrah 1432 yang akan ditentukan siarannya kemudian.

14 penerbit yang dimaksudkan ialah Saudah Haji Wahid/Rosnah Jalkul, Haji Awang Shaari Haji Ramli/Helen Buyong, Johara Abdullah/Junainah Sojiar, Suhani Abdul Hamid/Noraniza Nordin, Florence John Luan/Zarith Sofia Daud, Mohd. Syum Abdul Majid/Muzaffar Syah Alias dan Hajah Nafsiah Bubin/Ramhanizam Jahimin.

Malinaziah berkata, unitnya akan menerbitkan Melodrama yang mula disiarkan pada awal April 2010, dua kali sebulan dalam jangaka masa 30 minit.

Melodrama yang bakal diterbitkan sama seperti Drairama yang pernah diterbitkan sebelum ini yang mendapat sambutan hangat daripada peminat drama radio.

Katanya, Melodrama berkisar dalam lingkungan kehidupan masyarakat, alam semula jadi dan lain-lain dengan memasukkan lagu-lagu yang ada kaitan dengan cerita yang diketengahkan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa penulis-penulis di negeri ini agar merebut peluang untuk menghasilkan skrip drama yang baik dan bermutu dalam menyampaikan pesanan serta pendidikan secara halus kepada pendengar.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Pengelola Drama, Unit Sabah fm, RTM Kota Kinabalu atau penerbit-penerbit melalui telefon 088-213444 sambungan 230, 277 atau 268 pada waktu pejabat.

Ketika ini Unit Sabah fm hanya memerhatikan drama Lembah Hijau siaran setiap Ahad, 3.35 petang.


~ Hasyuda Abadi ~

IPS DAN BIRO PENDIDIKAN UMNO SEPANGGAR ANJUR BENGKEL PENULISAN


Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Biro Pendidikan UMNO Sepanggar akan menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Non Kreatif di Likas Plaza dari jam 9.00 hingga 12.00 tengahari di Likas Plaza bermula 24 Januari depan.

Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin berkata, bengkel penulisan yang diadakan setiap dua minggu sekali itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik teknik dan ilmu penulisan kreatif dan non kreatif seperti puisi, cerpen, esei, penulis berita dan rencana dan sebagainya.

Katanya, bengkel penulisan itu boleh disertai oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) asalkan mereka berminat dan ingin menceburi bidang penulisan untuk kerjaya masa depan mereka.
Menurutnya, peserta dikenakan bayaran komitmen sebanyak RM50 seorang jika mereka berminat untuk mengikuti bengkel yang dikendalikan oleh penulis-penulis terkemuka dan wartawan ternama di negeri ini.

Sukor berkata, bengkel itu diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Ulangtahun IPS yang ke-20 yang akan diadakan tahun ini selain aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menariknya.

Beliau berkata, IPS kini menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjayakan pelbagai program yang dirancang sepanjang tahun ini.

Mereka yang berminat mengikuti bengkel itu boleh menghubungi Hasyuda Abadi melalui talian 0168120664, Laliman Haji Ahmad melalui talian 0168047876, Jasni Yakub 0109305214 atau emel kepada hasyuda@yahoo.com, fawzantawfiq@yahoo.com.

~ Hasyuda Abadi ~

SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja


SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2009 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM49,500 dibuka sehingga 31 Januari ini.

DBP dalam satu kenyataannya di laman webnya, berkata peserta boleh memilih kategori berdasarkan usia pembaca, iaitu kategori kanak-kanak yang mensasarkan pembaca berusia 10 hingga 12 tahun; kategori remaja I (13-15 tahun) dan kategori remaja II (16-18 tahun).

“Bagi kategori kanak-kanak, tema karya ialah perpaduan, sains fiksyen, kasih sayang dan kekeluargaan; kategori remaja I (perpaduan, sains fiksyen, kekeluargaan dan pengembaraan), manakala kategori remaja II (sejarah, konflik sosial, kemasyarakatan dan biografi tokoh terkenal),” katanya.

Di samping itu, peserta digalakkan memasukkan unsur integrasi kaum dalam karya yang panjang manuskrip novel kanak-kanak dalam lingkungan 15,000 hingga 50,000 perkataan; novel remaja (50,000 hingga 100,000 perkataan); skrip drama kanak-kanak (10,000 hingga 15,000 perkataan) dan skrip drama remaja (20,000 hingga 40,000 perkataan).

Hadiah pertama bernilai RM3,000; kedua (RM2,000); ketiga (RM1,000) dan sagu hati (RM750), manakala karya hendaklah asli dan bukannya saduran, adaptasi atau penyesuaian serta belum pernah tersiar dan diterbitkan.

Peserta boleh menyertai semua kategori, tetapi hanya dibenarkan menghantar satu manuskrip saja untuk setiap genre bagi semua peringkat umur dan karya perlu ditaip di atas kertas A4 sebelah muka dengan langkau dua baris dan berjilid kemas, manakala judul karya ditaip pada kulit naskhah. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP di talian 03-21482522/03-21482526/ 03-21482345; faks 03-21414109; e-mel syila@dbp.gov.my / azihani@dbp.gov.my / fatimah4@dbp.gov.my.

Sumber: Berita Harian Online


~ Hasyuda Abadi ~