Sabtu, Mac 07, 2009

Persidangan Persuratan & Kebudayaan Kebangsaan

Di bawah ini sebuah catatan dalam kotak diskusi Gerbang Hasyuda Abadi disiar dalam blog ini untuk tatapan bersama...

Salam,

Tahniah dan syabas kepada Badan Bahasa Sabah di atas kejayaan menganjurkan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan. Sememangnya acara sebegini seharusnya diadakan dengan lebih kerap agar ia dapat menjadi wadah yang amat berkesan dan dinanti-nantikan oleh masyarakat khususnya para penulis dan aktivis budaya. Program ini telah pun menghimpunkan kebanyakan penulis tersohor Sabah terutamanya dan ahli akademik khusus untuk membentangkan kertas kerja masing-masing.

Namun demikian,pokok persoalan saya kali ini adalah agak berupa teguran mahu pun cadangan yang perlu kita perbaiki, paling tidak pun untuk kita fikir dan renungkan. Sebagai peserta persidangan ini, saya amat berbesar hati untuk menyertainya kerana beranggapan bahawa persidangan ini mampu menjadi medan dan platform untuk saya menyuarakan isu-isu berkaitan dengan persuratan dan kebudayaan.Malah kehadiran saya adalah kerana konsep PERSIDANGAN yang amat menarik perhatian saya. Pada hemat saya, ia sama seperti persidangan yang menurut pemahaman saya ialah suatu bentuk perbincangan ilmiah berteraskan sesuatu isu untuk diangkat menjadi gagasan bersama lalu diserahkan kepada pihak-pihak tertentu sebagai tindakan susulan yang boleh dianggap sebagai suara bersama yang mampan.Sayang seribu kali sayang, ia agak lari dari apa yang saya fikir dan harapkan.Ada sahabat penulis dan juga salah seorang pengelola,saya luahkan kemuskilan saya ini,satu jawapan mudah yang saya terima,jangan risau tentang nama program ini tetapi yang penting isinya.Apa ada pada nama?

Tidak saya nafikan, apa saja majlis ilmu sudah pasti ia sangat berguna dan bermanfaat,tetapi sebagai insan yang bergelumang dengan bahasa dalam keadaan yang sangat dekat, seharusnya kita menitikberatkan penggunaan kata yang bersesuaian agar konotasi makna dan perjalanan program sesuai dengan namanya. Sebenarnya pada nama ada harapan. Saya datang dengan harapan menggunung kerana nama PERSIDANGAN. Tapi apa yang saya temui hanyalah berupa seminar atau pun bicara karya dan juga penjelasan tentang apa itu kebudayaan. Tidak ada isu khusus yang dapat dibincangkan sesuai dengan nama PERSIDANGAN.Ia agak mengecewakan saya dan kekecewaan ini hanya kerana NAMA yang mengujakan saya.

Pada kesempatan ini, saya mohon maaf jika salah bicara tetapi izinkan saya memberikan cadangan jika PERSIDANGAN ini diteruskan pada tahun-tahun mendatang.Persidangan mesti ada isu khusus.Katalah kita mengambil isu : SEJAUH MANA BIDANG PENULISAN KREATIF MEMBANTU MEMBINA MODAL INSAN. Maka para pembentang, akan membentang khususnya untuk membuktikan bahawa sememangnya penulisan kreatif membantu membina modal insan. Berikan bukti konkrit.Misalnya mengambil beberapa tokoh penulis yang menjadi ikon negara. Penulisan telah menjadikan mereka insan terhebat.Maka para peserta pula boleh memberikan pandangan menyokong atau sebaliknya. Maka pada akhir persidangan, termeterailah satu resolusi atau deklarasi untuk diperjuangkan di peringkat yang sepatutnya.Ini yang pada hemat saya - PERSIDANGAN.

Akhir kata,makna keadilan bukanlah sama rata dan sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan betul dan tepat. Begitu juga dengan kata, kata-kata yang baik seharusnya di tempat yang baik-baik dengan makna yang baik-baik dan betul.

Bahasa Melayu bahasa perdana


Juara Kategori Antarabangsa Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri, Novavy Sies (tengah) dari Kemboja diapit oleh naib juara, Ayleen O’ Hanion (Australia) dan peserta Belanda, Shavira Alaydrus (kanan) yang menduduki tempat ketiga. Pertandingan pidato itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya, malam tadi.


PUTRAJAYA 6 Mac – Kerajaan komited untuk terus memperkembangkan kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun bahasa Inggeris diberi ruang dalam sistem pelajaran, kerajaan tidak akan berganjak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara pendidikan di negara ini.

‘‘Kita akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.

Suka saya mengungkap kata-kata Pendeta Zaaba lebih 50 tahun yang lalu bahawa “patutlah bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah lagi bagi penggunaan yang lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula”.

‘‘Begitulah juga pujangga tersohor Melayu, Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan bahasa Melayu boleh dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan yang berkembang maju di zamannya,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mutakhir ini perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merancakkan evolusi bahasa Melayu untuk memasuki alam siber.

Katanya, ini memberikan cabaran baru kepada masyarakat penuturnya termasuk untuk bersaing dengan bahasa-bahasa yang lebih dominan dan bersifat sejagat.

‘‘Dalam era ICT, bahasa Melayu seharusnya mengambil peluang daripada pembangunan K-ekonomi untuk turut menyediakan ruang pengetahuan yang cukup kepada masyarakat.

‘‘Bahasa Melayu perlu cukup utuh dan mantap untuk mengemudi masyarakat penuturnya agar bergerak seiring dengan arus pembangunan K-ekonomi dalam dunia yang semakin kompleks,” katanya.

Di persimpangan itu Najib menyatakan, bahasa Melayu diakui masih dianggap muda dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris.

Justeru beliau berkata, bagi memperkasakan bahasa Melayu, rakyat negara ini tidak seharusnya terlalu taksub sehingga menolak unsur-unsur daripada tamadun luar yang dapat membantu memperkayakan ilmu, teknologi dan kebudayaan.

‘‘Yang penting dalam menghadapi globalisasi ialah sikap dan pertimbangan rasional dalam memilih dan memutuskan perkara yang munasabah untuk dimanfaatkan, bukan menolak asas globalisasi secara melulu,” katanya

Dalam pada itu, beliau menyatakan, penguasaan bahasa asing tidak semestinya melunturkan jati diri dan keintelektualan seseorang.

Sebaliknya kata Najib, penguasaan bahasa asing akan melahirkan jati diri yang lebih utuh dan meningkatkan perasaan sayang kepada bangsa dan bahasanya.

‘‘Harus diingat, bahasa itu jiwa bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai peranan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) boleh mengambil peluang memperkenalkan bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian di negara berkenaan melalui pakej pengeksportan ilmu dan kemahiran.

‘‘Selain itu, saya menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta syarikat-syarikat penerbitan di negara ini bekerjasama membekalkan bahan bacaan dan rujukan tentang pelbagai aspek tamadun Melayu, Malaysia dan bahkan ASEAN ke institusi terpilih di luar negara secara berterusan,” katanya.

Di dalam negara pula, Najib menekankan agar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengambil tanggungjawab serius memperkenalkan bahasa dan tamadun Melayu serta Malaysia dalam kurikulumnya.

‘‘Dalam Akta Pendidikan 1996, telah ditegaskan tiga kursus wajib yang mesti diajar di IPTS khususnya kepada pelajar asing iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan agama atau moral.

‘‘Ini kerana dalam usaha kita mahu menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa, kita tetap mahu unsur-unsur teras tamadun kita diperkenalkan kepada pelajar antarabangsa terutamanya bahasa Melayu,” kata beliau.

Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta pertandingan pidato tersebut kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai subjek pilihan mereka.

Beliau turut berharap penganjuran program pidato tersebut dapat menjadi asas yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu bertaraf supra-nasional serta berkembang subur di mancanegara.

Jumaat, Mac 06, 2009

Sepah Raja Lawak

Malam ini lebih merasa digembirai oleh pengacara komidi Jozan (Johan dan Jizan) dan juga calon-calon Raja Lawak berbanding menghadiri Semarak Budaya di One Borneo, sempena Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009, barangkali inilah yang dapat saya katakan. Memang beberapa hari ini saya tidak begitu sehat, sejak isteri dimasukkan ke wad hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Dan malam ini saya seperti hari-hari yang lalu juga berada di rumah bersama anak-anak yang berdua dan menantu. Isteri ditemani ibu mertua. Sebenarnya saya agak tertekan namun semua ujian ini ada hikmahnya seperti diungkapkan ramai sahabat yang maklum. Dan malam ini saya menyaksikan persembahan Raja Lawak.

Seperti dijangka Kumpulan Sepah menjadi juara, Jehan naib juara dan Amir di tempat ketiga. Tidak kesampaian menjadi Ratu Lawak pertama, Jehan telah membuktikan bahawa beliau boleh melakukan yang terbaik untuk menghiburkan juri dan penonton. Amir sepatutnya tidak berada dalam senarai akhir pada fikiran saya namun sms memerlukan beliau sebagai suatu 'bonus' kepada kehidupannya. Sepah tidak perlu dipertikai dengan persembahannya yang mantap, yang 'gila-gila' dan memberi nilai lawak yang diharapkan.

Para juri terdiri daripada Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan Adlin Aman Ramlee hanya mampu berkata dalam bentuk pujian ataupun kritikan yang berbisa kerana segalanya terletak di tangan pengundi menerusi sistem pesanan ringkas.









Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan

Sekitar upacara perasmian Persidangan Persuratan dan Kebudayaan 2009 di Auditorioum Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah 6 Mac 2009. Majlis pelancaran dilakukan oleh Menteri di Jabatan ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.














Pelancaran dua buah buku juga antara pengisian majlis di samping ucaptama oleh Tan Sri Datuk Haji Ismail Hussien. (Saya tidak berminat untuk merakamkan gambar Ketua Satu Gapena, malah beredar ketika beliau menyampaikan ucapatamanya...sebenarnya saya kurang sehat.)









Peserta dari Negara Berunai Darussalam Jefri Arif, SM Zakir, Jaafar Hamdan dan Cikgu Ramli AR








Antara dif kerhormat: Encik Zubaidi Abas (Pengarah DBP Cawangan Sabah), TS Ismail Hussien, Haji Hamzah Hamdani, Datuk Haji Mohd Ariffin Ariff, Dato' Ismail Haji Wadin (Setiausaha Perseketuan Sabah), Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan Jasni Matlani (Yang diPertua Bahasa).








Pelancaran buku: Ann Abdullah dan Jasni Matlani menjadi penulis yang bertuah.

















Ini antara peserta yang sempat dirakam... kelihatan Puteri Ezza (baris bawah bertudung putih) dan Katrina Tati (barisan yang sama berbaju putih)... saya tidak perasan pula. Selamat bersidang sahabat semua. Saya insyaalah akan datang sebagai pemakalah.


Zubir Ali dalam ingatan...











Alfatihah...

Selasa, Mac 03, 2009

HBJohar

Saudaraku Hasyuda,

Terima kasih tak terhingga menghantarkan hadiah buku tersebut buat saya. Semoga Allah menambahkan lagi rezeki saudara dan diperkayakan ilham demi terus menghasilkan puisi-puisi kerohanian yang bermutu.

Sementara menunggu-nunggu akan ketibaan buku puisi saudara yang terbaru ini, Kembali di Lahad Rahsia, saya sempat menjengukkan diri ke lelaman web saudara yang sebegitu canggih dan hebat. Dan saya juga telah ke ruangan intisari sajak-sajak tersebut. Tetapi saya baru setakat mencuri-curi membacanya. Walau bagaimanapun, sudah nampak pencapaian saudara menyerlahkan teknik-teknik baru pengaryaan, apatahlagi jurusan temanya sudah memberanikan diri untuk keluar dari aliran sajak-sajak fenomenal.

Saya ucapkan syabas dan tahniah.

Saya amat tertarik sekali dengan sajak Titik Di Kalbu Nazim, (juga pada hemat saya secara peribadi, judul sajak ini teramat indah jika dipilih sebagai judul buku, kerana dari aspek intrinsik dan estetikanya, kekuatan setiap diksinya seolah-olah mewakili seluruh kekuatan puisi-puisi yang lainnya dalam berkumpulan.) Titik yang menjadi difinisi falsafah saudara itu adalah sesuatu yang tidak menyerupai yang lain, tunggal dan tidak dapat bandingkan apakah bentuknya (lurus, panjang, bulat, persegi dan sebagainya). Kelainan pengucapan saudara begitu indah dan bermakna;

jangan tunjukkan titik kepada sesiapa
yang hanya tahu ketiadaan daripada ke'ada'an
dalam titik itu dunia abadi yang lebur
mengalir ke saujana alam makna.

Sekian dan salam,

hbjohar
Singapura