Sabtu, Disember 06, 2008

Nilai Kemuliaan

Ibubapa anak menantu, Azrul dan Syahzierah, selepas majlis akad nikah

"Kemuliaan hidup hanya dapat dicapai setelah kita tua. Ketuaan membawa kemuliaan dan tanggungjawab."

Tentu sahaja ungkapan ini sesuatu yang bukan biasa-biasa. Datangnya daripada sahabat saya, Abd Naddin Shaiddin. Kemuliaan dan tanggungjawab, pada saya menjadi pakaian yang paling dihormati menjadikan kedua-dua hal ini ukuran keberadaan dalam sebuah keluarga, misalnya. Ungkapan yang saya anggap amat bermakna ini merupakan responnya selepas memaklumkan puteri saya, Syahzierah selamat diijabkabulkan selepas solat Jumaat kelmarin. Sebagaimana yang dirancang pada 14 Disember depan majlis meraikan pernikahan mereka akan berlangsung di kampung kelahiran - Lumadan, Beaufort.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis pernikahan berjalan dengan teratur. Namun yang paling penting keberadaan kedua-dua belah pihak walaupun lebih ramai daripada pihak lelaki dari Kudat. Sahabat saya JY dan adik ipar saya Tuan Haji Haron Hj Ahmed menjadi saksi pernikahan tersebut. Saya juga menerima ucapan tahniah daripada sahabat-sahabat yang dekat terutama selain Abd Naddin seperti Dinda Sasjira dan Oney Latifah Osman. Terima kasih.

Sama-sama kita mendoakan perkahwinan anak perempuan sulung saya ini menerima rahmat, diberkati, agar dicurahi rezeki serta perpanjangan sehingga ke titik usia di dunia ini.


Khamis, Disember 04, 2008

Rabu, Disember 03, 2008

Hadiah Sastera Sabah

1.
Masyarakat penulis dan sasterawan di Sabah sedang menanti kesimpulan penilaian Hadiah Sastera Sabah 2006-2007, hingga saat ini belum diumumkan secara rasmi. Ada juga maklumat yang sampai di telinga saya tentang para pemenang, kononnya lebih kepada para penulis yang mapan. Malah menurut sumber, ada penerima yang baru dalam sesuatu genre tetapi lebih matang menghasilkan karyanya terutama esei kritikan sastera dan novel remaja. Bagi puisi, khabar itu lagi memaklumkan para penyair tersohor semacam suatu kelahiran semula kerana ramai daripada mereka merupakan penulis muda yang hebat di sekitar tahun 80-an dan 90-an. Saya tidak akan menyebut nama-nama mereka, kebetulan memang ramai yang rapat dan saya kenali. Nantikan sahaja pemaklumannya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sebagai sekretariat Hadiah Sastera Sabah.

2.
Baru-baru ini diadakan majlis pertemuan dengan beberapa tokoh sasterawan dari daerah Tuntong Negara Brunei Darussalam di DBP Cawangan Sabah. Mereka juga diraikan dengan majlis makan malam, persembahan kebudayaan dan baca puisi. Lawatan mereka pada asasnya cukup bermakna dalam rangka merapatkan hubungan antara negara, antara budaya serumpun, antara penulis-budayawan-masyarakat setempat dan pertukaran maklumat, karya serta perkhabaran aktviti sastera, bahasa dan budaya di tempat-tempat masing. Pada saya, tiada batas yang menghalang hubungan-hubungan yang disebutkan tadi dilakukan kerana kebetulan Sabah dan Brunei DS berada di pulau yang sama. Tutur bahasa yang serupa. Budaya yang tidak banyak berbeza. Barangkali hanya paspot sahaja yang membatasi pergerakan. Saya fikir inipun tidak menyebabkan pertukaran maklumat terbantut. Kita sentiasa menggunakan apa juga saluran yang kita miliki walaupun bertemuan empat mata secara fizikalnya lebih sempurna. Betullah seperti dikatakan oleh Encik Zubaidi Abas tentang lawatan balas yang diutarakan rombongan tersebut yang tidak boleh dijanjikan saat ini. Namun ramai sependapat masih luas terbentang ruang saling mengakrabi melalui program-program yang bakal dilaksanakan. Jalur pertemuan sentiasa diungkayahkan seperti Dialog Borneo-Kalimantan, Pertemuan Sasterawan, Dialog Teluk di samping aktiviti-aktiviti sastera dan bahasa yang berkala sifatnya. Malah yang paling terkini menerusi sebuah festival sastera, budaya dan perpaduan anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang bakal dinaungi kerajaan Pusat dan Negeri serta badan-badan penulis tempatan. Yang Dipertua BAHASA, Jasni Matlani membuka pintu untuk wakil-wakil atau badan-badan berkaitan yang berminat menyertai festival berkenaan yang melibatkan negara-negara jiran seperti Brunei DS, Indonesia dan Singapura.

3.
Kadang-kadang saya terfikir bagaimana suasana tidak dapat mengubah sesuatu. Walaupun dunia terus berkembang dengan segala macam bentuk, ragam, rentak yang boleh diterima umum namun ada kalanya perkembangan itu tidak dapat mengubah sikap seseorang. Mereka merasa telah merdeka, telah menikmati makna kemerdekaan, merasa berkebolehan terhadap banyak perkara, mereka telah mampu berdiri di hadapan dunia dengan bangganya - namun semua itu tidak memberikan kesan terhadap sikap yang sepatutnya turut berubah.

Sebagai Ayah Entah Apakah Yang Pernah Dihargai, Anak

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
dulu membelai manja menjadi majnunnya malah seawal bayi merah, mengawal waktunya, sering juga berjaga waktu matahari tiba sinar pertamanya memberikan cahaya, sederap langkah sebelum itu merangkak di bawah asuhan dan pandai berjalan, berlari sendiri

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
melebihi hayat seorang ibu, ada makna akrab yang mendekatkan naluri kasih lebih daripada insani lebih daripada segalanya, waktu-waktu berlalu dan berarus tanpa pernah berkata apa atau memandang silih berganti hari-hari yang membesarkan melihat suntimu kini lebih daripada itu, bijak memilih pilihan bau cuaca dan kegemaran pada mata seorang anak dara

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus datang dan menghalang, malang atau walang, derita atau ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi, memahami raung ruang remaja, mengerti malah erti cinta biarpun cuma anak-anak hingusan yang baru membesar didewasakan bacaan atau tontonan zaman

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
memandang ada duka yang bertamu di dalamnya, nestapa api yang membakar perih pedih pilu luluh! ungkapan apa lagi, anak suara ini hanya lagu-lagu yang didendangkan tanpa makna bukan sebuah gerakan kasih sayang yang luhur sambil hanya melihat celoteh sentiasa saja terjadi dan terjadi. dan sajak ini terjadi diabadikan di sini dengan derai air mata

sebagai ayah entah apakah yang pernah menghargainya, anak!


:: Tersiar di Akhbar Harian Ekpress, Sabah
:: Salah sebuah puisi yang menerima Hadiah Sastera Sabah 2006-2007
:: Klik ulasan puisi di sini.

Isnin, Disember 01, 2008

Insan Seni Itu Cepat 'Mengaus'

1.
Tentu sahaja bunyinya tidak sama, maksud saya persepsi tentang rasa. Memilih jalan sendiri, diami dunia diri sendiri tanpa memerlukan sesiapa pun. Namun masih juga perlu orang lain sebelum 'ketiadaan' terjadi, sebagai sebuah titik. Selepas inilah baru sepatutnya tak akan ada sesiapa perlu ambil tahu ketika 'ketiadaan' benar-benar ada.

2.
Saya membaca puisi-puisi Utusan Borneo keluaran Isnin (1 Disember 2008) bermula dari bawah. Maha Sabah menulis puisi berjudul 'Pelantar Ekonomi', disusuli puisi Along Nor Hakim (Nilai dan Erti yang Tidak berharga), Hajah Rokiah Hj Abdul Latif (Perjalanan Ini) hinggalah kepada bait-bait pantun penulis veteran kami Hajah Dayang Salmah Salam (Gurindam Jiwa).

Citarasa agak berbeza terhadap puisi-puisi yang disajikan dari segi bentuk dan persembahan, begitu juga dalam pemilihan diksi yang 'kurang menyengat'. Tanpa bermaksud mengulas puisi di ruangan ini, pun begitu makna ataupun intipati puisi-puisi yang disiarkan minggu ini tidak patut dipandang sepintas lalu, perlu direnung dan dihayati maksud yang tersirat. Biar apapun, sesuatu karya itu tetap sarat dengan makna yang tersendiri.

Saya terhenti seketika apabila membaca 5 bait pantun Hajah Dayang Salmah Salam (Ibu Dg Salmah) insan seni yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas, yang pada hemat saya menjelaskan isi hatinya yang begitu nanar oleh masa-masa di usia yang senja. Mengenali penyair ini, saya tahu dan faham apabila segala pergerakan semakin dihadkan oleh keadaan (matanya yang terjejas terutamanya), merasakan bahawa dunia sudah melupakan. Dunia sudah tidak mempedulikan. Dunia juga seakan-akan menyediakan sebuah takdir diri inilah yang paling menderita. Begini bila merasakan kesendirian yang sebenarnya. Padahal tidak begitu kerana ada Dia yang lebih dekat dengan kita. Bagi insan seni yang maha halus jiwanya, yang begitu sensitif dan cepat 'mengaus' barangkali rasa-rasa sedemikian menjadi pilihan sama ada sengaja atau sebaliknya.

Sesungguhnya dunia seni dengan dunia realiti mempunyai batas perbezaan bagi citarasa seorang insan seni. Walaupun dikelilingi anak-anak, cucu dan cicit yang ramai, dia tidak dapat menikmati keindahan dunia seninya yang dibayangi para sasterawan dan penikmat karya sastera tulisannya. Ketika sehat semuanya hebat, ketika tenat tak siapa yang melihat. Laras pertuturan tentu jauh berbeza; antara anak-anak dengan dirinya, antara dirinya dengan cucu dan cicitnya. Mereka tentu amat jauh untuk mengenali apatah lagi mendekati dunia bahasa pantun, syair, gurindam, sajak apatah lagi untuk memahami makna diksi sebuah puisi yang sarat dengan kiasan serta maksud berlapis atau sebuah novel yang kaya dengan falsafah dan sebagainya.

Teman-teman dan sahabat handainya ialah para sasterawan. Dunianya dunia sasterawan. Dan kini setelah jalan penghubungnya sudah semakin kabur, telah merasakan bahawa jambatan ke kesinambungan percakapan seninya kian sirna - hanyalah kata-kata mampu menyuarakan rasa hatinya. Puisi, pantun, cerpen dan kenangan-kenangan kini lebih mengakrabi. Selebihnya harapan dan doa-doa. Seperti doa-doa yang sering kami panjatkan untuknya. Tiada kata secantik bahasa, tiada ingatan seakrab persahabatan yang tulen dan agung.

3.
Saya merasakan apa yang Ibu Dayang Salmah rasakan ketika ini dahkan selamanya. Mari kita sama-sama hayati pantun-pantun beliau yang terkini, saya fikir:

Sungai Papar membelah kota,
Perahu nelayan mudik ke hulu;
Sudah lama saya menderita,
Tiada teman dan menteri ambil tahu.

Laju-laju perahuku laju,
Laju sampai ke Pulau Gaya;
Biar lupa kain dan baju,
Janganla lupa kepada saya.

Ketam padi di sawah Mak Yah,
Sayang parangku tidak berulu;
Sudah lama saya tidak dapat berkarya,
Jiwaku tidak seriang dahulu.

Naik kereta menuju kota,
Singgah Kinarut membeli sayur;
Sejaku diserang penyakit mata,
Kini sudah mengjadi kabur.

Sorong papan tarik papan,
Papan ditarik jatuh di paya;
Mungkin sudah ditakdir Tuhan,
Nasib badan apakan daya.

(Utusan Borneo, 1 Disember 2008)


5 buah Sajak

(1)
Pedang
-kepada diri

kalau sekali ini kau tertusuk pedang
apakah khabar ini tersebar lagi di angkasa
dan memberitahumu sebuah nestapa menyerupai
detak insaf yang tergema di anjung hijrah.


(2)
Di Mata Pedang

apakala telah tiba di puncak jejak kau hantar selendang yang bertukar kepada pedang. bermulalah senandung ramah berubah rima sebagai gumam meredah gelombang pedoman. di manakah pedoman itu, katamu. tidak selendang tapi di mata pedang, ujarku. pedoman ialah tajam pedang menusukkan hikmah menzahir makna yang berhayat di matanya. selendang telah membebat hikmah bukan luka tajam pedang kerana selama kau tau selendang dan pedang tersimpan di anjung kasih sayang, sekali terluka masih tertatang lembut perlindungan.

(3)
Sirna

apabila semua sirna kau tahu makna
suatu ketiadaan berlaku tetapi cahaya
telah menyembunyikan keadaan itu kau
tetap memandangnya dengan jelas selepas
bebas dari alam butamu.


(4)
Gemersik Bisik

kaca-kaca yang kutemui malam ini rupanya cermin yang pecah yang tak sanggup memandang diriku kepada titik sebuah perjalanan panjang. kukumpul kaca-kaca yang berkecai itu dalam resah yang tak terkata dalam derita menaakul citra yang tak tersibak hijabnya. kudengar gemersik bisik sesuatu yang datang menatang kekuatan yang enggan memautkan semula serpihan kaca hingga terungkap ucap silap yang disait-siat pedang hukuman malu memandang wajah yang didewasakan pengalaman. kuberteleku memahami citra di hadapan damai malam menyimpan kaca-kaca di dasar pandangan paling dalam.


(5)
Hanya Dia

yang mendengarmu ialah suara
yang melihatmu ialah pandang
yang menyapamu ialah diam
yang mengingatmu ialah detik
yang memulangkanmu ialah uzlah
yang mengqiamkanmu ialah nur
yang menitikkanku hanya Dia.

Ahad, November 30, 2008

Saat Seperti Ini Tentang Sebuah Puisi

Siapakah yang termakan cili ... teringat cetus erti peribahasa lama yang relevan sekiranya wujud nilai sahsiah diri yang baik tanpa membiarkan setiap aksara dan abjad dipersatu memancarkan makna, meskipun lebih diam dan mendalam. Sebuah puisi sentiasa hidup dengan tanggungjawab kerana apapun juga yang ingin dipersembahkan ia bukan sekadar luahan rasa bahkan mengobjekkan sesuatu agar difahami, dimengerti, dinikmati dan akhirnya apakah sebuah makna itu memberikan 'tusukan' yang tepat. Tentu sahaja sebuah kepuasan tercerna. Puisi juga merupakan kepuasan. Meleraikan kekusutan. Juga, sebuah terapi yang memberikan nikmat. Soalnya, apakah akan berakhir di situ?

Pagi ini saya menghayati sebuah puisi berjudul 'Geluk Rasa' tersiar di media tempatan (Harian Ekspress - Kota Kinabalu, Sabah). Penyairnya terlalu dekat dalam kehidupan yang agak sulit untuk dikongsikan di sini, di saat ini. Jelasnya puisi ini bagaikan sebuah tikaman, bagaikan busur panah yang menembusi ruang kalbu secepat kilat. Namun bagi penyairnya, itulah hakikatnya seperti apa yang dialaminya, tentunya - pedih, kecewa, lara dan rasa-rasa yang seumpamanya.

Tidak mudah melupakan setiap bait yang diungkapkan.

2.
Belajar untuk menghargai. Terkenang ramai orang yang pernah datang dan berusaha untuk menghargai. Hati budi, rupanya bukan semudah mengenal sesuatu secara fizikal. Citra diri tidak mungkin sama dengan sesiapa pun. Nilai kenal lebih banyak pada luaran sambil kehalusan dalaman hanyalah terletak kepada 'kebarangkalian' dan 'kebetulan'. Tidak semua yang ditemui memiliki kesempurnaan yang diperlukan. Waima yang terlalu dekat, masih juga wujud lompang hingga terdorong kepada gambaran yang kabur, keyakinan yang rendah, prasangka yang menggunung.

Akhirnya, merelakan saat-saat indah itu berlalu dan berlalu hingga sampai ke suatu titik yang tiada siapa berani merubahnya kecuali Yang Maha Agung.

3.
Sebuah azam terus terbina. Mudah-mudahan segala langkah dan gerak fikir lahir pada akal zahir dan rahsia mengikut jalan-jalan yang lurus dan kudus. Masa lalu menjadi pedoman yang tidak diingkari sebagai pemuka ke arah perjalanan yang lebih indah dan bahagia. Keindahan dan Kebahagaiaan yang hakiki.

4.
Saat seperti ini...