Sabtu, Ogos 23, 2008

JATI DIRI BANGSA - PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN NEGARA KE-51

Berhadapan taman madani
yang harus ada di dada bangga adalah nikmat jati diri
bukan semata-mata keharmonian yang ada
yang harus ada di mata kemerdekaan adalah cahaya kepaduan
bukan semata-mata kepuasan

Kemakmuran bermakna keceriaan pada tubuh
kemerdekaan bermakna urat saraf pada tubuh
yang dimiliki bukan saja untuk saat ini
sewaktu pemantapan minda membina sebuah bangsa
membangunkan anak-anak jati yang bernegara
melangit impian dan cita-cita
melakar kekal warna biru di angkasa
dan hijau bumi bertuah
jernih mengalir air sungai dan cantik ombak laut
menakluk gunung-ganang gemilang permai dan asyik
mengorak langkah bersantun
mempasakkan akar jati diri
mara menggerakkan gagasan murni

Tubuh tanah air ini beruratsarafkan perpaduan
bangsaku padu mentautkan akar budaya dan agama
yang menjalar di celah-celah dahan dan belukar kemakmuran
diutuh sepadu umpama aur dan tebing
dierat sejati umpama kuku dan isi
dirungkai serangkai umpama mata dan hati
ditaklid yakin umpama lidah dan kata
disimpul pengajaran umpama sejarah dan fakta

kita semai membaja akarnya
bertunjang membangunkan bangsa yang merdeka tak runtuh
oleh peradaban baru yang sumbang datang
yang datang memburu hingga warganya keliru
kita belai kemakmuran ini
kita belai kemurnian kepercayaan di bahu
wira bangsa yang anggun perkasa dan padu

Ini tanah air yang berdaulat
siapakah berani menyanggahnya? Kita benteng
di hadapan membara sengat belia, kita pelihara
menyongsong ketuanan,
manakah di dunia yang mampu mentautkan
warna aneka di bawah bumbung makmur?
Semua kaum akur
mengeja bangsanya fasih tanpa sengketa
memacu peradaban mengejar masa depan bersama

Lakaran lanskap ini kita lukis setiap tibanya waktu ini
detik malam akhir ogos yang menggemakan janji
menterjemah usia bangsa
kemurnian bangsa
kemerdekaan negara
kemajuan bangsa dan negara
wawasan agama, bangsa dan negara
teradun satu dalam acuan jati diri keutuhan
melangkah segak mengarak bendera kemakmuran
tabah ke mercu impian.

JALUR GEMILANG BENDERA KITA


Saya amat tertarik dengan cadangan ini malah sewajar dikuatkuasakan segera untuk membendung segala perbuatan yang menyalahi etika seluruh warga rakyat Malaysia dengan mengabaikan nilai serta rasa hormat terhadap jalur gemilang bendera kita. Perbuatan meletakkan kedudukan simbol negara melalui bendera negara dalam keadaan songsang sesungguhnya suatu perbuatan yang patut dikutuk. Memadailah mengibarkan bendera negara kita itu separuh tiang jika ingin menyatakan kesedihan dan sebagainya. Isu ini amat menarik dibincangkan bukan hanya apabila diberitahu wujudnya idea-idea yang dianggap 'kurang ajar' oleh Perdana Menteri, tetapi harus juga diterjemahkan lebih meluas lagi. Biasanya isu-isu yang membabitkan pandangan Perdana Menteri menjadi isu besar dan diberikan keutamaan serta liputan yang melebar.

Setiap tahun menjelangnya Bulan Kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia digalakkan untuk memasang bendera tidak kira bendera bersaiz besar atau kecil, diletakkan di premis masing-masing hinggalah kepada pemasangan di kenderaan. Ini merupakan suatu gerak semangat cintakan negara melalui bendera. Sejak lama saya mempunyai pandangan agar tindakan juga diberikan kepada individu yang tidak bertanggungjawab terhadap jalur gemilang termasuklah bendera-bendera kecil yang dipasang di kenderaan jatuh bertempiaran di jalan raya. Semangat cintakan negara tentu sahaja tidak hanya kepada berkobarnya semangat mengibarkan bendera yang sudah menjadi amalan setiap tahun tetapi mengabaikan cara menghormati lambang teragung berkenaan harus juga diambil perhatian.

Apakah anda sanggup melihat bendera tersebut 'diletakkan' (akibat kecuaian yang tidak disengajakan) di atas jalan raya yang digelek kereta hingga seakan-akan ia suatu amalan yang sama apabila benda-benda lain seperti sampah gugur dari kenderaan anda? Dan ini tidak pernah ditimbulkan sebagai isu oleh sesiapapun walaupun pihak yang berwajib. Misalnya tidak lagi membenarkan mengibarkan bendera bersaiz kecil di atas kereta kerana dikhuatiri tidak dapat menjaga kehormatan bendera berkenaan. Begitu juga amalan sesetengah rakyat mejadikan bendera sebagai baju, topi bahkah replika kek dan sebagainya. Berbeza tentunya jika Perdana Menteri sendiri berkata sesuatu tentangnya.

Kuala Lumpur
23 Ogos 2008

Jumaat, Ogos 22, 2008

Yang Mengalir Hanya Nama

Hanya nama yang mengalir
di segala lembah nestapa
tanpa bunyi mendakap sunyi
dimaknai jerit rasa perih ,
faham hanyalah lilin
yang padam setelah siang
menjelang ketika kelam hilang,
bagai kupu-kupu
menyapa ayu wangi kata-kata.
Hanya nama yang mengalir
antara hadir
di titik akhir ungkapan dizahir
tanpa kata mampu diukir
selain terima kasih sebelum pergi.
Hanya nama yang mengalir
hingga tak sesiapa menzahir mungkir.

©HASYUDA ABADi 2008

Khamis, Ogos 21, 2008

MENYANJUNG DUKA

Telah kupadam warna-warni masa sudah
dengan duka, telah kupadam rahsia diri
yang terpendam silam
kerana wujudku menjadi payung ketika perlu
wujudku kunang-kunang membelah kelam.

Hanya ingin mendengar sapa
tapi akhirnya menjelma angan bagai awan-awan
tebal dan hitam. Kututup diari hari-hari lalu
dan tak akan membukanya menenggelamkan
masa silam di lautan dalam.

Segala kitab telah berabad mengingatkan
tapi kusering alpa disapa duka, menikmatinya
meski tak kulihat pelangi, pudar hilang
dimamah usia, berangkatlah segala sejarah
tanpa catatan agar tak ada lagi detik mengenang.


Hotel Mirama/Istana Negara
Kuala Lumpur.

21 Ogos 2008.

Rabu, Ogos 20, 2008

MENJEJAK PELABUHAN

Memandang berang hasil tawar menawar
tidak sama mendengar santun musyawarah
memakna kata sepadu sehati
perjalanan menjadi panjang dan memahami
lain padang memberi beza saujana renungan.

Menyaksikan lorong-lorong yang ramah
hanya mengenal ketika berbalah
segala warga punya tuju dan arah
masa terlalu diperlukan
azam kehidupan perlu diperjuangkan.

Dari jendela fikir
terbentang masa hadapan yang dijanjikan
bangsaku harus memacukan gerak
daripada berbalah dan tawar menawar
bertikam faham membunuh hasrat berzaman
dikejar tak dapat milik kita terancam.

Sejarah telah memancar ajar
betapa sukar menyiangi belukar sengsara
apabila terbuka saujana bebas merdeka
semakin sirna intipatinya
sarat sengketa
berbalah memperaga budaya
siapa lebih berupaya meneraju bahtera bangsa
di samudera kuasa.

Kembali di sisi jendela masa kini
merenung masa sudah
semakin pergi jauh dari segala hari
dihargai dan difahami
anak-anak hanya tahu menghafal
gagal menterjemah wangi dalam akal
memandang cerah bergerak berani
tapi berhujah mudah disanggah
intisari indah hanya di wajah
intipati kontang kosong memilih mudah.

Bahtera bangsaku ditentang gelora
menjejak pelabuhan-pelabuhan yang pudar
dalam kepulan awan-awan
dan kobaran api perbalahan
mari semat segera tiupkan azam
singkap peristiwa mempelajari masalah
esok dan selamanya inilah pelabuhan
pewaris anak-anak yang dewasa
meneruskan perjalanan.

Jalan Petaling/
Istana Negara,
Kuala Lumpur.
19-22 Ogos 2008

Selasa, Ogos 19, 2008

BENARKAN KUBERDUKA

- adinda

benarkan kuberduka meninggalkan pelabuhan
masa sudah menemukan lorong-lorong
di hadapan menerima malam-malam
kosong dengan aman

benarkan kuberduka mendapatkan inti diksi-diksi
yang menyuguh ilusi mengutip pecahan padu
kalbu kelabu di seluruh liku merenjiskan hamis
hempedu dinikmat generasi

benarkan kuberduka jika tanpa sesiapa
tangan-tangan dosa telah merobek jantung nusa
menjadikannya debu-debu yang berakar di angkasa
tanpa suara

benarkan kuberduka menerima segala cerca
kutukan demikian saujana tak juga mengenalinya
tak juga memahaminya tak juga menikmatinya
masa sudah mengalir di lautan nestapa

benarkan kuberduka
begitu tak kupunya air mata
tak kupunya mampu dan kuasa
hanya panjang langkah
menjernihkan kabut kuala.


Kuala Lumpur
19 Ogos 2008

Ahad, Ogos 17, 2008

TEATER PERDANA

Pandangan dari bangku hadapan

KARYA seni perlu wujud dalam hidup insan sebagai pendorong kekuatan dan kepuasan estetik (aesthetic pleasure). Jestru saya amat percaya sebuah kelaziman dalam menzahirkan karya kreatif iatu 'menerima dan mencurahkan kepuasan' semaksimum mungkin. Ramai pengarang menikmati nilai rasa ini apabila karyanya dizahirkan, dinikmati audiens. Apatah lagi apabila karya tersebut diterima umum atau sebahagian daripada masyarakatnya yang kemudiannya memaknakannya secara konkrit sama ada karya yang dimaksudkan mencapai standard yang diperlukan atau sebaliknya.

Secara apresiasif memang ada bezanya ketika menikmati sesebuah genre sastera. Karya puisi misalnya, mediumnya relatif terhad berbanding novel atau drama, apa lagi apabila karya berkaitan diperluaskan ruang mediumnya bersama adunan kreativiti pengarahan, pencahayaan, latar, prop, muzik dan elemen-elemen pentas yang lain. Nilainya bertambah, tidak semata-mata ke titik kepuasan penulis skrip (konteks drama dan teater) tetapi bahkan beruntung buat para pekerja produksi dan yang amat penting ialah kepuasan audiens yang hadir menonton. Sebuah hasil kerja yang menyeluruh dan profesional memberikan lagi nilai tambah kepada aktiviti sastera serta seni bangsa kita. Meskipun wujud kepelbagaian persepsi atau tanggapan audiens tidak bermakna sebuah karya yang disajikan itu gagal atau berjaya hanya disebabkan persepsi audiens tersebut. Gagal atau berjaya bukan persoalan pokok. Hebat, gemilang atau apa sahaja ungkapan pro dan kontra juga tidak harus dijadikan asas kepada kecemerlangan sesuatu produksi. Alasannya, ia sebuah karya seni yang memberikan hiburan. Yang harus ditanyakan ialah apakah audiens terhibur dalam erti kata puas?

Menikmati sesebuah karya kreatif memerlukan jangkauan waktu tertentu. Boleh jadi memakan masa yang minimum tetapi ada juga makna yang tercerna dalam karya berkenaan menghabiskan masa yang panjang. Apa yang penting persiapan ketika berhadapan dengan situasi karya berkenaan dizahirkan dalam mediumnya. Audiens perlu memiliki ilmu setidak-tidaknya faham serba sedikit tentang latar karya berkenaan, misalnya hal-hal berkaitan pentas. Ini mempereratkan lagi hubungan karya-audiens. Sebagai titik awal akan mencapai apa yang diperlukan selepas berada di suatu keadaan yang lain. Mereka akan meletakkan kepuasan dengan mempertaruhkan persembahan pentas mana yang lebih hebat, bermaka dan menghiburkan.

Sebagai skema perbandingan, sudah tentu kita mahu menjawab pertanyaan apakah teater 'Lagenda Sampang Mangazou' (LSM) lebih menyerlah berbanding persembahan-persembahan teater sebelumnya berdasarkan sukatan yang diutarakan? Slot Teater Perdana (TP) yang diungkayahkan khusus sebagai sebahagian program sempena perayaan ulangtahun rasmi hari jadi TYT Yang diPertua Negeri Sabah. Namun pada saya ia lebih daripada itu kerana kelebihan TP begitu ketara dan menjadi tugas tenaga produksi menggunakan apa juga yang disediakan semaksimum mungkin. 'Perdana' memberi makna ‘yang terutama’ (Kamus Dewan Edisi 4, m/s 1182) melebar kepada besar dan istimewa, Ini standard yang sewajarnya ditekankan. Begitu yang diimpikan begitu juga tidak mampu menghalang kelemahan-kelemahan yang terjadi. Sebagai sebuah produksi yang besar sudah pasti segala sudut dan segi produksi telah diperincikan. Begitu pun tidak bererti setiap orang merasa bersih daripada kekurangan sebagaimana kelebihan yang terlahir telah memberikan kredit kepada produksi.

Sebagai pengamal sekaligus peminat seni, saya ingin sekali menikmati produksi TP pada tahap yang amat tinggi. Kerana itu TP harus ditangani secara profesional dengan memahami konsep serta hala hasil yang cemerlang. Semua ini bukan masalah besar atas kapasiti DBP sebagai penganjur dan sebagai sebuah agensi kerajaan yang berwibawa. Sambil disokong dan didukung sekumpulan penggiat teater yang komited. Sementelahan TP bukan sekadar hiburan khas VVIP yang dimaklumi umum semata-mata tetapi mengangkat teater bumi di bawah bayu sebagai produksi seni yang amat dikagumi.

Setiap orang sudah pasti mengharapkan persembahan yang terbaik sebagai buah tangan penggiat teater dari Pitas, Sdr. Maskuji Maturon walaupun di bawah arahan Haji Manchu Kula. Dari bangku hadapan saya masih melihat ‘roh’ kerja Maskuji berbanding Haji Manchu. Begitu juga set yang meletakkan rumah tradisi suku kum Rungus dan juga Ajong Datu Langkap … tidak sedikitpun memberikan ‘wajah baru’ kecuali mem’fotokopi’ pementasan lalu (baca: Festival Teater 2005). Setakat sebuah persembahan, LSM telah memberikan hiburan istimewa dengan penampilan penyanyi Felix AF3. Saya turut merasai lagu Lagenda Sampang Mangazou yang bakal melekat di sanubari kita sekaligus menjadi buah tangan pasca tontonan teater berkenaan. Melainkan berlaku beberapa pembaikan perlu seperti pencahayaan dan kostum watak utama Datu Langkap, sama-sama kita saksikan pementasan sebenar mulai 18 Ogos ini. Jangan lepaskan peluang terbaik untuk mengetahui bagaimana nama 'Simpang Mengayau' memperoleh nama dan dikenali kini sebagai lokasi pelancongan Negara yang sering disalahtafsirkan sebagai sebuah persimpangan.

Tahniah kepada DBP Cawangan Sabah sebagai penggerak utama TP dan seluruh tenaga produksi yang bekerja keras hingga akhirnya LSM menjadi realiti seterusnya disajikan untuk tontonan kita semua.


*LAGENDA SAMPANG MANGAZOU

Di sini bermulanya sebuah cerita cinta
Tentangnya manusia yang berbeda
Dengan disaksikan laut, langit dan udara
Terlahirlah sebuah lagenda

Cahaya gerhana menjadi petanda
Kematian itu pasti akan ada
Menantikan takdir yang tersurat
Namun janjinya tetap digenggam erat

KORUS:
Laksamanaku gugur akhirnya
Meninggalkan cinta
Panas darahnya masih terasa
Meresap di jiwa

Lirik: JASS/FELIX
Penyanyi: Felix Agus

*Lirik lagu tema LSM