Rabu, Jun 12, 2024

MENGENALI PENULIS SABAH MUTAKHIR DALAM SASTERA MALAYSIA

Buku-buku Puisi karya
para penulis Negeri Sabah

SABAH telah melahirkan ramai penulis yang berjaya dalam bidang masing-masing baik yang bersifat kreatif mahupun tidak kreatif. Dalam dunia literasi kreatif, ratusan buku telah berhasil diterbitkan untuk tatapan pembaca dan penelaah sastera. Penulis-penulis berkenaan dari semasa ke semasa terus berkembang sebagaimana rancaknya kegiatan persuratan para penulis di tempat-tempat lain di wilayah Borneo ini. Keriuhan ini turut dipandu dan dipandu oleh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta persatuan-persatuan penulis yang sangat aktif. Karya-karya sastera tumbuh subur atas ungkayah para penulis mapan dan penulis baharu. Puncak kepada peranan para penulis dan juga para pengurus persuratan ini ialah dengan pengiktirafan. Prasarana serta medan penulisan yang ada telah memudahkan penilaian dilakukan untuk pemberian penghargaan kepada para penulis termasuk penulis muda yang memiliki karya yang bermutu menerusi Hadiah Sastera Sabah[i] yang diadakan selang dua tahun dan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah[ii] di samping peraduan menulis di surat khabar tempatan.  

Puisi menjadi genre sastera yang amat popular di Sabah dan menjadi kegemaran ramai penulis. Mereka berasal dari merata daerah negeri Sabah. Bagaimana pun peluang mereka melihat karya mereka diterbitkan di dada akhbar tempatan dan nasional amat terbatas. Persaingan yang berlaku antara mereka dengan penulis-penulis mapan menyebabkan penampilan mereka amat perlahan. Disebabkan hal ini kita melihat bahawa hanya kegigihan yang berterusan sahaja yang boleh membuktikan kelahiran mereka sebagai penulis berwibawa mewakili generasi dan usia mereka.

Penulis-penulis di sekitar awal 80-an dan era 90-an timbul dan tenggelam diganti dengan lahirnya penulis-penulis mutakhir yang lebih segar dalam penciptaan mereka. Karya dan wajah penulis 80-an biasanya hanya kelihatan dalam penerbitan buku-buku antologi puisi yang disebutkan di atas. Bagaimanapun para penulis mapan seperti Saibil Madun, Hasyuda Abadi, (Datuk) Jasni Matlani, Dr Raymond Majumah, Juri Durabi, Siba Nita A.S., (Datuk) Dr. Mohd Ariffin Arif, Mabulmaddin Shaiddin, Jamail Masador, Ramli AR, Siti Rahmah G. Ibrahim, Norjannah Mohd Adnan, Sharifah AM Nordin, Dr. Norawi Haji Kata, Dr. Mohd Puad Bebit (sekadar menyebut beberapa nama) istiqomah menelusurkan mata pena mereka di persada kesusasteraan tanah air.

Selain media massa, peranan persatuan penulis juga perlu diambil kira dalam usaha pengembangan keterampilan para penulis muda di Sabah. Terdapat lima persatuan penulis yang aktif di Sabah kebelakangan ini iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah[iii] (IPS), Kelab Penulis KDM Malaysia (MOMOGUNSIA), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dan Pemuisi D’Bayu.

Keupayaan seseorang penulis dalam menghasilkan suatu karya dinilai dalam aspek pemikiran selain nilai estetika keindahnnya kerana pemikiran adalah teras tamadun sesuatu bangsa. Hal ini membuktikan bahawa pemikiran menjadi inti dan unsur paling dasar dalam kehidupan termasuk hubungan manusia dengan penciptanya. Sehubungan itu seseorang penyair tidak terlepas daripada mengutarakan pemikirannya secara berseni melalui karya puisi. Pemikiran dan keindahan tidak dapat dipisahkan dalam sesebuah karya khususnya puisi. Menurut Hassan Ahmad (2004),pemikiran ialah proses kognisi atau akal yang sifatnya sejagat,yakni dimiliki oleh manusia tidak kira bangsa,justeru itulah manusia dikatakan makhluk yang rasional dan berakal,berbeza daripada haiwan. Beliau memberi contoh pemikiran Melayu cukukup analogis sifatnya kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan,kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan,kegeligaan dan bijaksana minda Melayu. Oleh itu, aspek keindahan dan pemikiran dalam puisi sangat penting dibincangkan bagi mengetengahkan kekuatan karya tersebut. Penyair yang kreatif harus bijak menggunakan gaya bahasa dalam menyuarakan pemikirannya serta pemikiran itu perlu ada kaitannya dengan perutusan agama dan perutusan realiti kehidupan. Kesepaduan unsur gaya bahasa dan pemikiran ini disebut stail, manakala perutusan agama perlu ada terkandung dalam al-Quran dan Hadis. Hasil kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran ini dikatakan melahiran keindahan dalam sesebuah karya, misalnya puisi. 



[i] Penilaian ini diadakan tahun sejak tahun 1990 ke atas karya-karya yang bermutu, diberikan kepada para  penulis yang berasal dari Negeri Sabah berdasarkan karya-karya sastera yang tersiar di mana-mana media di   Malaysia

[ii] Hadiah ini diberikan kepada para penulis mapan dan penulis baru berdasarkan keprolifikan mereka berkarya. Karya-karya sastera dalam bentuk puisi, cerpen dan esei sastera akan dinilai. Program ini dianjur oleh DBP Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS).

[iii] Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada tahun 1990 dan didaftarkan melalui Pendaftar Pertubuhan pada  24 Mac 1992. Latarbelakang IPS boleh dilihat dalam laman webnya https://www.ikatanpenulissabah.org/latar-belakang/sejarah


Tiada ulasan: