Rabu, September 06, 2023

Buku Baharu HA




Hasyuda Abadi sekali lagi tampil meneruskan kepenyairannya yang menggunakan perbendaharaan dan ungkapan kata yang segar. Beliau terus mengisahkan dirinya, masyarakatnya dan menyampaikan amanat yang menguatkan lagi keyakinan kita bahawa pengarang ini sentiasa menyatakan sesuatu yang hidup bersamanya.

Hasyuda Abadi telah menulis puisi lebih daripada empat dekad. Sepanjang tempoh itu penyair ini telah melalui pelbagai getar pengalaman dan peristiwa yang akhirnya mematangkan kehidupannya. Beliau telah merempuh kisah suka duka, pertemuan dan perpisahan, kebencian dan kerinduan, seperti juga pengalaman yang pernah dilalui oleh manusia lainnya. Di tengah-tengah kepelbagaian rentak kehidupan itulah terjelma kata-kata dalam segala kehalusan susunannya, keindahannya dan kedalaman maknanya. 

Ahad, September 03, 2023

Judul Buku Atas Baju


MENULIS KARYA SASTERA YANG BAIK


SETIAP karya sastera pastinya mengandungi hal yang baik. Dalam bahasa Sanskret, sastera atau susastera berasal dari kata ‘su’ yang bererti ‘baik’ dan ‘sastera’ yang bererti ajaran, sehingga dapat diertikan bahawa susastera itu adalah sebuah ajaran yang berisi kebaikan yang ditujukan kepada manusia dengan tujuan kebaikan pula.
Sastera dalam bahasa lain sering kita sebut sebagai ‘literature’. ‘Literature’ berasal dari bahasa Latin iaitu ‘litera’ yang bererti tulisan. Literature dapat diertikan sebagai sesuatu hal yang berkaitan dengan tulisan. Akan tetapi tidak setiap tulisan dapat dikatakan sebagai sebuah karya sastera.
Karya sastera terbahagi menjadi beberapa genre atau jenis. Menurut Aristotle dalam bukunya ‘Poetica’, karya sastera berdasar ragam perwujudannya terdiri atas tiga macam, iaitu epik, lirik, dan drama. Epik adalah teks yang sebahagian berisi deskripsi (paparan kisah), dan sebahagian lainnya berisi ujaran tokoh (cakapan). Epik ini bisa disebut prosa. Dalam perkembangannya, prosa terbahagi menjadi beberapa jenis iaitu cerpen, cerpan, novel, roman, novelette, dan cerita bersambung. Lirik adalah ungkapan atau idea pengarang. Dalam hal ini yang berbicara adalah “aku”, yang biasa disebut penyair. Lirik ini yang sekarang disebut puisi atau sajak. Drama adalah karya sastera yang didominasi oleh percakapan para tokoh (Noor, 2005:24).
Dalam perkembangannya karya sastera tidak hanya terbahagi menjadi tiga saja. Kritik sastera menjadi genre terakhir dalam karya sastera. Literary has a relationship with the other knowledge (Helcombe: 2007). Karya sastera bukan suatu objek yang netral, melainkan sebuah objek yang eksistensinya terikat pada beberapa variabel. Setiap teks sastera terikat pada pengarang dan pembaca. (Noor: 2005:4). Keterikatan tersebut melahirkan penilaian sastera atau yang sering disebut kritik sastera.
Sedangkan menurut medianya, karya sastera terbahagi menjadi dua jenis iaitu sastera ujar dan sastera tulis. Sastera ujar adalah karya sastera yang dalam penyampaiannya menggunakan mulut atau lisan berupa ucapan. Karya sastera ini antara lain berupa dongeng, fable, epos, legenda, sage, mite, dan hikayat. Sedang karya sastera tulis adalah karya sastera yang dalam penyampaiannya menggunakan tulisan. Karya sastera ini antara lain berupa puisi, prosa, dan naskah drama.
Selanjutnya, karya sastera yang baik itu yang seperti bagaimana? Karya sastera yang baik memiliki berbagai macam aspek di dalamnya. Ikuti bebrapa catatan di bawah:
1. Hakikat
Apakah sesungguhnya karya sastera itu? Karya sastera adalah karya yang bersifat imaginatif. Karya sastera bersifat fiktif (rekaan). Meskipun karya sastera memiliki bahan (inspirasi) dari dunia nyata namun telah diolah oleh pengarang melalui imaginasinya. Realiti dalam dunia sastera telah ditambah “sesuatu” oleh pengarang sehingga kebenaran karya sastera adalah kebenaran yang dianggap ideal oleh pengarang. Menurut Luxemburg, karya sastera adalah pencerminan masyarakat. Dalam hal ini penggambaran kenyataan. Akan tetapi karya sastera menciptakan dunianya sendiri iaitu dunia yang lepas dari kenyataan (1984).
Menurut Redyanto Noor, hakikat karya sastera ada tiga, iaitu:
• Karya sastera merupakan struktur dunia rekaan, ertinya realiti dalam karya sastera adalah realiti rekaan yang tidak sama dengan realiti dunia nyata.
• Sebagai pencerminan kehidupan tidak bererti karya sastera merupakan gambaran tentang kehidupan, akan tetapi pendapat pengarang tentang keseluruhan kehidupan.
• Karya sastera meskipun bersifat rekaan, tetapi tetap mengacu kepada realiti dalam dunia nyata.
2. Fungsi
Secara keseluruhan, karya sastera mempunyai fungsi seperti yang diungkapkan oleh ahli falsafah Yunani, Horatius, iaitu dulce et utile (menyenangkan dan berguna). Menyenangkan kerana karya sastera memberikan kenikmatan, tidak memaksa siapapun; berguna kerana mengisyaratkan pada suatu yang pantas diperhatikan secara sungguh-sungguh.
Aristotle menyatakan bahawa sastera berfungsi katarsis (pencucian emosi), iaitu membebaskan pembaca sekaligus pengarang dari tekanan emosi, batin dan perasaan.
Sastera tidak terlepas daripada ilmu-ilmu lain. Sastera adalah salah satu bentuk karya seni. Sebuah karya seni yang baik adalah seni yang sebesar-besarnya bermanfaat untuk masyarakat. Karya seni diciptakan untuk tujuan kepentingan masyarakat agar dapat meningkatkan kehidupan yang lebih baik. Menurut Dr. Yusuf Qardhawi, syarat-syarat sesuatu menjadi karya seni iaitu memberi manfaat, bukannya mendatangkan mudharat; membangun, bukan malah merosak (1998:22)
Bahkan Presiden John F. Kennedy mengatakan bahawa jika kekuasaan bengkok maka puisilah yang harus meluruskan. Hal ini menyatakan bahawa puisi sebagai salah satu karya sastera mempunyai peranan dalam mempengaruhi seorang pemimpin dalam menjalankan pemerintahan untuk mengeluarkan kebijakan-kebijakan yang memihak kepada masyarakatnya.
3. Estetika
Estetika adalah bahagian daripada filsafat seni. Yakni filsafat yang mengkaji nilai-nilai berkaitan dengan keindahan. Selain unsur imaginatif, unsur keindahan memiliki peranan penting dalam penciptaan karya sastera. Karya sastera yang baik mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Menurut Thomas Aquinas, keindahan memiliki syarat iaitu:
• Memiliki keutuhan (kesempurnaan).
• Memilki keselarasan (keseimbangan) bentuk.
• Memiliki sinar kejelasan.
Berdasarkan tiga syarat tersebut dapat disimpulkan bahawa apapun yang memberi kita rasa puas itu sesugguhnya indah. Hal ini menjadi fitrah manusia iaitu menyukai hal-hal yang indah (Qardhawi 1998:10).
Keindahan dalam karya sastera dapat dilihat dari segi intrinsik (unsur dalaman) yang terkandung dalam karya tersebut. Jadi, dapat disimpulkan bahawa karya sastera yang baik itu mempunyai unsur hakikat, fungsi dan estetika. Apabila dalam sebuah karya sastera tidak ada salah satu atau semua dari unsur tersebut, maka karya sastera tersebut tidak dapat disebut sebagai karya sastera yang baik.

Sastera Harus Dipandang Banyak Mata

Apa yang ingin disampaikan penulis kepada khalayaknya? Siapakah khalayak tersebut? 

Kita selalu bermimpi seorang raja mendeklamasikan sajak-sajaknya di hadapan rakyat jelata. Rupanya para penyair itu hanya sebesar debu yang diambil tahu oleh segelintir orang. Segelintir orang itu pun mereka yang sama. Deklamator didengari para deklamator, yakni khalayaknya hanya dalam kalangan penggiat serta peminat yang bilangannya amat terhad. Buku sajak dibeli dan dibaca oleh komuniti yang sama. Penulis bertukar buku seperti bertukar cenderamata sesama sendiri. Penulis junior hadiahkan bukunya kepada sang senior agar sang senior tahu kehadirannya. Paling tidak nantinya diapresiasi dalam makalah dan sebagainya. Agar senario ini terus berkembang malah perlu dipalu genderang sastera lebih mendunia, ia harus tak terhad dari segi khalayak. 

Apresiasi karya sastera diperhebat ke seluruh pelusuk jagad bersesuaian dengan keperluannya. Kelab sastera harus diwujudkan di setiap sekolah dengan mewajibkan pelajar menghasilkan karya kreatif masing-masing. Apresiasi karya diperkasa melalui seminar di peringkat institusi pendidikan. Tentu tidak bersalahan sastera diperkasakan di peringkat kampung, kawasan taman perumahan menerusi aktiviti-aktiviti komuniti rukun tetangga dan seumpama dengannya. Di media elektronik seperti radio harus memantapkan lagi ruangan seni sastera seperti penyiaran cerpen dan pengucapan puisi diperhebatkan lagi dengan apresiasi mengikut masa yang bersesuaian buat pendengar. Para penyiar wajar kreatif supaya ruangan seni sastera itu tidak membebankan pendengar. 

Nah apa yang sering menjadi halangan adalah soal dana untuk semua ini. Mungkin segelintir pengurus media tidak mengambil berat soal kepentingan sastera dalam kehidupan manusia. Hinggakan nilai sastera hanya layak disiarkan tanpa menghargai jerih perih para penulis. Penggiat sastera dipandang sebelah mata atau tak memandang sebagai sebuah profesi yang dihormati. Sasterawan hanya untuk sasterawan. Ya, Tuhan!

Sastera sebagai warisan, sastera sebagai wacana atau pentas, sastera sebagai pendidikan akal budi, sastera sebagai hiburan, sastera sebagai jati diri, sastera sebagai jambatan hubungan etnik dan apa jua ungkapan, motto, kalimah - isunya sastera harus berada di mana-mana. Khalayaknya juga berada di mana-mana yang memahami aksara, makna, bunyi, rasa, hidu, dengar dan nikmat, semuanya tergalas pada kita, samada mahu atau tidak mahu, samada sedar atau tidak sedar, samada mahu mempertanggungjawabkan atau sebaliknya. 

Pustaka Iqbal Nazim RupHA 
Kg Gudon Kota Kinabalu 
Sabah