Sabtu, Jun 29, 2024

Melawan Kebiasaan sebagai sebuah karya intelek

Nyatakan keistimewaan buku ini, kenapakah setiap audiens yang hadir harus membeli buku "Melawan Kebiasaan"? 

Mengapa "Melawan Kebiasaan" harus dibeli – ketika ramai berpendapat bahawa karya sastera khususnya puisi tidak mendapat sambutan, puisi padahal masih mendapat tempat yang tersendiri. Pada saya biarlah tempatnya hanyalah mereka yang terpilih, ini menjadikan puisi sebagai sebuah karya sastera yang dihormati, bukan disebabkan sukar difahami, puisi bagi saya ia adalah intelek, diterima oleh para intelek. Menulis puisi adalah menulis fikiran. Saya amat optimis apabila melahirkan satu pendekatan ‘Puisi Adalah...’ sebagai sebuah ruang terbaik untuk meletakkan puisi sebaik tempatnya. Pendekatan ini mula diterima dalam kalangan penulis tempatan dan rakan-rakan di luar. Dalam makna yang lain mempunyai sesuatu yang harus kita rai dan perkasakan. Kita mempunyai sesuatu yang telah lama ada jadi tiada sebab besar mengapa apa yang kita telah lama miliki ini ingin dilupakan, bahkan harus terus diperjuangkan, diperkasakan. Tiada masalah jika anda mahu melakukan sesuatu yang baru namun bukan pula menjadi alasan untuk menidakkan apa yang telah kita ada. 

Buku Melawan Kebiasaan mungkin tidak menjanjikan sesuatu yang hebat namun dalam kesederhanaannya ia masih boleh menjadi landasan untuk ditelaah kerana banyak perkara yang boleh dibongkar dari sebuah pemikirann kecil dan sederhana. Mesej yang bersembunyi di sebalik diksi, klausa-klausa yang indah, bahasa alam, bahasa pemikiran, bahasa kata-kata yang jarang didengar atau dibicarakan umum, saya fikir buku ini tetap relevan berada di bilik rumah masing-masing.


Aroma Meja Bula
DBP Cawangan Sabah
29/6/2024

Selera Sastera




Salam semua. Puisi: ramai sangat mencintainya. Berfikir dan menuliskannya. Jika dihitung berdasarkan manusia di dunia tentu saja sangat sedikit namun puisi adalah dunia tertentu dan tersendiri.
Apakah anda berfikir setiap detik dan dalam ruang yang pelbagai masih boleh menekuninya. Mencerakin buah-buah fikir, emosi, ilmu, pengalaman dan seumpamanya menjadi bait-bait yang indah dan segar. Ya, memang ada. Setiap hari menjadi hari puisi, hari sastera.
Hari-hari sastera hidup sebenarnya. Seseorang kata tidak tahu apa benda sastera, sebenarnya dia telah pun memiliki pemikiran sastera secara diam-diam. Jika tidak, mana mungkin seseorang itu mampu berbahasa, beremosi, menilai kehidupan dari sudut seni, bahkan berpolitik.
Jangan risau andai gagal menemui seseorang yang memiliki selera sastera yang tinggi, kita bakal menemui ramai lagi yang 'buta' tetapi percayalah dia sebenarnya mampu memberikan nilai yang lain. Duitnya? Tidak semestinya.
Tidak salah untuk mencari (bukan mencuri) duit seseorang yang berkuasa (sebenarnya dia tidak ada apa-apa pun) kerana yang penting memahami bahawa sastera adalah kehidupan sehariannya.
Kita berhasrat bertemu yang meminjam kuasa Tuhan memberi maklum keberadaan sastera dalam diri rakyatnya. Memang tidaklah (dalam konteks layanan sewajarnya) kecuali yang benar-benar faham kehidupannya tanpa sastera kosong, ya kosong biarpun dirasakan sangat kaya, sangat berkuasa, sangat berpengaruh dan sebagainya. Pernah yang meminjam kuasa itu meminggirkan keindahan sastera memilih ada yang lebih penting - sastera tidak memberikan nilai yang segera demi memperkasa kuasa pinjamannya. Tidaklah mengapa, masih ada yang mencintainya, memilih puisi misalnya.
Tidaklah semestinya perlu tahu puisi, meminati cerita-cerita kreatif apatah lagi menulis novel. Peranan seseorang yang ‘tiada’ selera terhadap sastera tetap wujud. Sebelum wujud pemahaman ini kita perlu faham terlebih dahulu sastera ini apa sebenarnya? Sastera yang pasti bukan milik sekelompok masyarakat. Seperti golongan sasterawan, keberadaannya bukan semata-mata di dalam komunitinya. Mereka berada di tengah-tengah kita. Siapalah manusia sasterawan itu, meski diam dan tidak menjanjikan nilai ekonomi tetapi sesungguhnya kemampuannya tidak mampu dilakukan ramai orang.
Tuan, puan antaranya yang berwibawa.
HA

4 Februari 2024

Jumaat, Jun 28, 2024

Anekdot Membaca Lahad Rahsia

Membaca lahad rahsia jiwa dan raga, bernaung dari dalam kasmaran kesamaran diri. Sambil menzahir seribu satu pertanyaan yang sama namun jawapannya juga tetap sama. Perbualan itu sangat mendatar. Pernahkah berasa ada cabaran memetik bunga daripada ribuan kelopak di taman larangan? Tentu ada pengalaman yang lain tetapi tentang suatu masa menjadi sesiapa bukan mudah. Kebijaksanaan bagaimana meletakkan bunga itu, menaunginya, membajai atau cakna seorang yang berwibawa menyantuni nilai keindahannya. Indah itu ghaib, tak kelihatan tetapi dinikmati tanpa sedar berasa sangat sempurna mempunyai segalanya. Sehingga terlupa bukan apa-apa yang ada, bukan sesiapa yang dianggap sempurna melainkan objek kesementaraan. Saat terlupa, kembalilah ke peribadi asal, mengenyahkan luapan bara yang mewarna legam hitam fikiran, lempar jauh sejauhnya. Dengan raga yang menjati pasak tiang iman melawan tombak-tombak bisikan jahat, rafakkan doa-doa dalam zikrullah dan salawat ke atas Rasul. Pelihara iman dan jiwa yang tenteram. Beranikan kepulangan kepada penghulu diri, perlengkap jurus-jurus langkah pada ucap batin. Iltizamkan damai ketika membuka pintu utama, iaitu diri, istiqomah merawat luka dengan nama-nama Agung Ilahi, akbarkan seluruh ruang dengan kewafatan buruk sangka yang menutupi mata iman. Dirikan tiang agama agung, perkasakan peribadi, perkasakan peribadi, perkasakan peribadi kerana musuh utama bukan sesiapa tetapi diri sendiri!
Akademi Rupha
Dinihari

Fenomena Puisi Adalah...





Tertipu oleh Semangat Sendiri!


Ketika ingin memandang sesuatu dari satu lorong tentu kita tidak mampu melihat keseluruhannya. Saat itu tentu berlaku kegagalan yang tidak disedari sedang berlaku. Melihat kepada yang semakin mengecil, mungkin disebabkan beberapa hal antaranya berasa diri begitu penting sedang yang lain tidak. Sehinggalah barangkali disedarkan betapa rumitnya memiliki sebuah impian besar andai masih berada pada tahap yang sama dan lama. Kita mesti berani berubah. Kita mesti berani melawan kebiasaan yang ada pada diri. Risau untuk memasuki ruang yang lebih besar. Berani menghadapi kegagalan tetapi berani juga menghadapi sesuatu pengalaman. Kerana itu juga, salah satu penawar kepada impian agar tidak menjadi tawar akhirnya adalah keluar dari diri suatu semangat yang merugikan. Semangat ini menyebabkan kita tertipu oleh kecemerlangan yang telah dimiliki. Apabila terlalu percaya kita begitu bagus, terbaik, hebat dan sebagainya menyebabkan kita lalai dan alpa.