Isnin, April 25, 2011

Sastera di Arus Perdana: Bukan Sekadar Monolog




MENGAPAKAH kita masih bercakap tentang hala tuju; apakah selama ini sastera Melayu di Sabah khususnya tidak menemukan sasarannya, gagal mengenengahkan misi sastera dan intipatinya kepada masyarakat, nilai seninya tidak dinikmati, penulis syok sendiri tanpa visi, misi percetakan yang ikut cuaca kepimpinan organisasi percetakan berkenaan, atau disebabkan penulis Sabah dipinggirkan dalam arus sastera perdana?

Apabila membicarakan tentang masa depan atau hala tuju (?) mahu tidak mahu hal-hal berkaitan dengannya ialah soal masa sudah. Masa sudah yang panjang pernah menjadi kebanggaan dalam konteks sastera dan perkembangannya. Lahir pada zaman-zaman gemilang penulis-penulis hebat diikuti generasi seterusnya juga melahirkan barisan penulis yang disegani. Malangnya di Sabah keriuhan itu terhenti di akhir abad 20. Dunia sastera di Sabah hanya digahkan oleh promosi sejarah masa sudah. Bukan bererti melupakan masa sudah yang bergema emas, generasi malah wajar mengetahui, memahami, mendalami warna sastera, warna fikrah generasi penulis yang kini telah meninggalkan masa lalu mereka. Namun dampak kecetekan dalam memaudukkan citra jika tanpa mengaitkan hal-hal lapuk yang telah pun damai bersama sejarahnya. Sekarang kita sepatutnya menggarap mauduk bernas sastera mutakhir. Paling tidak abad 21 ini, sepatutnya kita boleh dengan bangga mengangkat sasterawan Sabah bersama kejayaan karya mereka sebagai khazanah sastera yang diakui perkasa di Nusantara.

Namun setelah 10 tahun berlalu, cuba buktikan berapa ramaikah sasterawan Sabah yang telah dilahirkan, berapa buah buku terbaik yang telah diterbitkan dan diperkasakan? Dalam tempoh dekad yang sama ini, buktikan juga program penataran sastera yang konsisten bagi melahirkan penulis sebagaimana meriahnya penataran sastera sebelum ini melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) dan yang seumpama dengannya yang diakui berjaya. MPR telah hilang begitu sahaja, begitu juga Program Penulis Anak Angkat. Sayang sekali.

Penulis datang dan pergi, itu bagi insan yang tidak berhala tuju kerana satu ketika ia menjadikan medan penulisan sebagai katarsis diri semata-mata. Realitinya begitulah, nilai sastera telah jauh menyimpang, pada zaman awal semangat bersastera berorientasikan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat' sebagaimana angkatan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kini ia kian tumpul, soal seni dan masyarakat tidak lagi bernaung sebagai niat atau moral tetapi lebih kepada nilai material, atas alasan keperluan zaman. Penulis menunggu peraduan, penulis menunggu honororium, bila semua ini tiada mereka kurang berkarya. Media massa diisi oleh penulis generasi baru tetapi tidak diimbangi kehadiran penulis-penulis mapan. Pertemuan penulis jauh berjarak, penulis juga jarang berjumpa, jarang mengikuti program-program serasehan yang jarang dilakukan menjadi bahagian-bahagian kecil senario sastera di Sabah bergerak perlahan.

Memang benar antara persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemerhatian kita ialah penganalisis khazanah sastera di Sabah. Sayang sekali Sabah mempunyai pusat pengajian yang mengajar sastera, Sabah juga tidak kurang graduan, guru-guru cemerlang namun semua ini tidak memberikan sumbangan yang sungguh-sungguh. Khazanah sastera kita hanya mengisi rak-rak buku dan rak-rak fail di perpustakaan dan pusat dokumentasi. Kita perlu mencari jawapan kerana khazanah sastera itu akan diusik apabila ia diperlukan oleh para pelajar pusat pengajian atau individu yang menyiapkan kerja kuliah. Buku-buku yang bertahun terbit tidak pernah diperkatakan melainkan bagi penulis-penulis yang terpilih. Ironinya lagi bila bercakap tentang karya kreatif terutama oleh sarjana di luar mereka hanya kenal Amil Jaya, Harun Hj Salleh, Azmah Nordin, Jasni Matlani (sekadar menyebut beberapa nama). Padahal kita memiliki nama-nama lain misalnya Emin Madi, Chacho Hj Bullah, Obasiah Hj Osman, Juri Durabi, Soibil Madun, Awang Karim Kadir, Raden Othman (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka merupakan penulis mapan yang dikenali melalui novel, puisi, cerpen dan drama. Namun tiada analisis terperinci dilakukan terhadap karya penulis-penulis ini. Akhir-akhir ini senario peraduan mengembalikan demam sayembara yang turut melahirkan penulis sayembara. Dari segi kehadiran dalam gelanggang sastera ia dilihat amat positif namun keadaan ini tidak boleh merobah kecenderungan moral kepenulisan, jika karya-karya yang diakui terbaik itu tidak dibawa lebih jauh ke dalam sukma penelitian. Dalam dekad terakhir ini kita gagal menentukan karya atau buku yang terbaik dan menyebut sasterawan yang terbaik bagi mewakili dekad atau generasinya. Satu ketikaa dulu saya pernah mempersoalkan karya-karya besar kita dan hingga kini ia hanya sekadar untaian rasa kerana tidak melihat usaha meletakkan tingkat karya para penulis Sabah. Nah, lihat sekarang hasilnya kita hanya hebat pada segala pesta, persidangan, perkampungan dan sebagainya tetapi apakah yang ada ungkapan yang lebih baik daripada itu yakni masa dan wang ringgit yang dihabiskan. Apakah akan berlaku nanti ialah apabila sastera hanya dipandang apabila 'nilai perlu' begitu menguntungkan dan menjadi nilai bantu mencapai hasrat yang tersirat sedangkan kita tidak menyedarinya.


Perjuangan sekarang sudah tidak dapat disekat, misi: mahu mendapatkan hadiah dan anugerah. Ada penulis yang berhempas pulas dalam satu tempoh menghasilkan karyanya, dicetak, dipasarkan dan mendapat anugerah sastera, selepas itu dia bercuti. Mungkin ini hala tuju penulis seperti ini dan pilihannya begitu. Bukan bererti penilaian terhadap produk sastera tidak penting, ia sebagai usaha meletakkan produk sastera menjadi khazanah yang terbaik, namun penilaian tidak memberikan nilai tambah penulis jika sekadar memikirkan satu perkara iaitu wang, nama dan populariti. Bagaimana dengan intipati karya? Begitu juga soal perjuangan. Apakah perjuangan penulis sekarang? Penulis mahu karyanya dihargai, tidak diperlekeh, perlunya gerakan yang relevan dengan kehidupan semasa bukan keperluan politik yang merugikan kreativiti mereka yang memilih menang menang, pengurus sastera yang bijak, berfikiran jauh bukan bermusim atau menanti sekumpulan tenaga kerjanya yang gigih sahaja. Sebab itu kesinambungan gerakan kesusasteraan tidak berlangsung sebagaimana hebatnya gerakan sastera di Indonesia - sasterawan, karya, cetakan buku, pasaran buku berarus selari, ini belum lagi bercakap tentang karya terjemahan. Ada pembaca tegar berkata dia ingin dapatkan karya asal novel dari negara jiran itu walaupun sudah ada terjemahan dalam versi Malaysia. Pengurus sastera, pengkaji, pembuat dasar, para sarjana wajar melakukan terjemahan masa depan lebih jelas. Jika tidak percakapan tentang hala tuju penulis, sastera dan seumpama dengan tiada akhirnya, dan bercakap tentang perkara yang sama hanya membuang masa sahaja apabila perbincangan mengenainya tidak berterusan dengan susulan atau tindakan.


Agenda yang besar memerlukan pelaksana yang mahir, berfikiran jauh, terkini dan komited. Semua orang boleh berubah dalam meningkatkan usah dengan suntikan baru. Inilah situasinya yang menjadi kelaziman. Ditambah lagi dengan enigma modal atau dana, ini juga agak menghairankan. Sebab itu, yang berjaya dihasilkan boleh dikatakan alang-alang dan apa yang selalu saya katakan sebagai asal jadi. Mengapa tidak buat pendekatan untuk mengajak para sarjana, atau sasterawan mapan dan veteran terlibat. Paling tidak mengajak duduk bersama-sama dan bertindak dalam jawatankuasa pelaksana sesebuah program khususnya yang mempunyai kepentingan semasa. Bukan tidak ada, gerakan sedang berlaku, yang kurang hanyalah penglibatan yang dinamik, jelas dan bukan sembunyi-sembunyi, hinggakan aktiviti lebih kepada seronok-seronok atau syok sendiri. Sarat dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Sirnanya elemen profesionalisme. Tidak hairan, akibat jumudnya idea mengundang terjadinya hal-hal yang sama, berulang dan begitu membosankan.

Kebosanan ini boleh diatasi. Kelengangan aktiviti sastera di DBP Cawangan Sabah juga boleh diatasi sekiranya pihak pengurusan menganjurkan program 'Bersama Penulis' setiap bulan. Penulis terpilih pelagai genre secara bergilir-gilir menjadi hos yang bakal menghadirkan para pelajar, insitusi awam dan swasta. Penulis-penulis ini bolehlah berinteraksi dengan pembacanya atau mereka yang ingin tahu proses penciptaan dan hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman sebagai penulis. Program ini amat baik selain menarik minat orang ramai yang mempunyai minat dalam bidang penulisan bahkan salah satu komitmen penulis menyemarakkan dunia sastera itu sendiri.


Sebagai agensi yang mempunyai autoriti terhadap hal-hal kesusasteraan dan bahasa, DBP mempunyai kuasa untuk menentukan aras kemajuan sastera di Sabah malah di mana jua. DBP Sabah misalnya wajar mempunyai galerai penulis. Galeri ini memberikan kemudahan bantu kepada pelawat yang mengunjungi DBP. Kita memerlukan bahan-bahan yang kita nampak. Galeri ini boleh menempatkan peralatan, bahan, artifek para penulis. Kewujudan galeri yang dimaksudkan ini bakal menjadi pemangkin adanya premis yang indah tetapi penuh dengan peluang ilmu. Barulah kita boleh merasa berbangga untuk menyatakan potensi negeri Sabah sebagai dataran sastera di Nusantara.


Program bedah karya juga wajar kerap dilakukan. Betapa perlunya analisi dan perdebatan yang ilmiah selain bersifat alamiah, antara fakta dan persepsi. Saya fikir segala berbincangan harus dibawa keluar, tidak diam dalam kertas, dalam bilik perdebatan malah dalam segala kebiasaan sehabis acara. Mencari dan terus mencari dan tiada sudahnya harus difikirkan kembali. Apa jua dapatan wajar dilestari, misalnya karya-karya terbaik penulis Negeri Sabah kini, apakah masih berada di belakang atau jauh mendahului yang lain, atau lebih berani ia tidak bergerak ke mana-mana bersumberkan fakta yang dikaji. Soalnya apakah kajian telah dilakukan. Saya ikut berfikir wadah inilah sebuah gelanggang yang sesuai merungkai persoalan yang dimaksudkan. Bukan sekadar monolog tetapi kita perlu menuju arus perdana sambil membuka selebarnya andatila persepsi yang lebih luas dan bernas. Kita sama-sama berharap Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan ke 2 anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang dijangka berlangsung hujung bulan Mei disusuli dengan Perkampungan Sasterawan pada bulan Jun depan memberikan anjakan mutakhir literasi kesusasteraan di Sabah.

© PUSTAKA IQBAL NAZIM






Respon...penulis tak bernama

Ehsan seorang sahabat.


Halatuju Sastera Sabah Kabur?
Tidak dapat dipastikan sejak bila sastera Sabah wujud, dan kadang tertanya-tanya adakah terdapat jurang perbezaan di antara sastera Sabah, atau Sarawak, atau Semenanjung? Mungkinkah kerana adanya Malaysia Barat, dan Malaysia Timur menjadi penyebab utamanya? Bukankah Malaysia itu satu sahaja? Mengapa mesti dibelah secara sengaja menjadi dua bahagian sementara dua bahagian tadi berpecah lagi menjadi kelompok-kelompok kecil, dan akhirnya bergelandang seorangan ibarat lelayang putus tali?
"Siapa dia ni?"
"Penuliskah dia?"
"Di mana tulisannya pernah dikeluarkan?"
"Apa sumbangannya?"
"Berapa buah buku dihasilkannya?"
"Dia siapa nak pertikaikan aku?"
"Sepatutnya dia bercermin dahulu sebelum menegur silap itu ini orang itu,"
Ayat di atas pasti akan menjadi pelengkap kata sebaik sahaja membaca coretan yang berbunyi bak beduk nan kurang irama, tetapi tetap jua ia dipalu. Kerana apa? Hanya satu, sebagai cerminan buat insan yang mahu tahu bagaimana irama dengan lagu harus menyatu agar ia seiring, tidak sumbang, dan cacamarba.
Ada baiknya diingatkan bahawa isu membincangkan soal halatuju ini takkan pernah surut. Wacanakanlah, randaukanlah, atau seminarkanlah ia tetapi hasilnya yang didapat tetap sama, atau mungkin lebih banyak mengundang seribu satu persoalan yang sarat, dan akhirnya terpaksa dilanjutkan sesi di masa akan datang yang belum pasti ada atau tidak. Pernahkah diskusi ini berjaya atau berakhir sia-sia?
Sebatang pungar perlu dicabut terus dari akarnya bagi memudahkan proses meratakan tanah sebelum proses penanaman semula apa-apa jenis tanaman dilakukan. Maksudnya mudah, merubah sesuatu keadaan perlu dilakukan daripada akar umbi, bukannya dari batang pungar yang ditebang. Tiadalah telunjuk jari mulus ini mahu menuding sesiapa kerana pasti akan timbul jua ayat "Sehebat manapun jari telunjuk menunjuk ke hadapan, jangan ia terlupa bahawa jari yang tiga lagi menunjuk dirinya sendiri,".
Apakah sebenarnya yang berlaku? Bukankah kita hendak membincangkan soal halatuju, bukannya melempar tuju-tuju tanpa memikirkan baik buruk sebuah persoalan yang selama ini dicari-cari akan ubatnya. Ini tidak, ditambah bengkakkan lagi.
Persoalan konkrit datang dari akar umbi. Cabutlah yang ini dahulu demi memudah, atau meringankan sedikit masalah yang dihadapi. Sebaik sahaja perihal akar ini usai, maka kesulitan yang memberatkan isi kepala pun terlerai. Tidak akan ada lagi bunyi pepatah "Seperti langit hendak runtuh dan guruh berdegar-degar di langit, tetapi tempayan kita sebenarnya kosong tanpa setitis air,". Pepatah ini tidak sesuai diguna pakai andai kiranya kita berjuang di laluan yang sama. Kita tidak pernah bermusuh atau bertelingkah. Sastera seharusnya menyatukan penulis, dan ia bukan gelanggang tempur; apatah lagi seni bergocoh!
Kadang kefahaman dalam pembacaan bisa membuat minda mengarah fikir lebih jauh keluar dari fikrah manusiawi. Sama ada baik atau buruk natijahnya pasti datang dari insan yang memikirkan itu. Begitu jugalah dengan perasaan: hendaklah berusaha dengan sepenuh hati untuk tidak perasan dipersalahkan. Seperti yang telah dinyatakan tadi: sastera bukan gelanggang tempur, apatah lagi seni bergocoh! Apa yang penting sekarang ialah proses melahirkan pengkarya yang baharu (yang menulis artikel camping ini terkecuali) tanpa diskriminasi halus dari akar umbi. Pelik (sebenarnya tidak), hampir setiap kali membahas isu halatuju, akan ada ayat sebegini.
Petikan 1
"Kita hendak melahirkan karya berstatus perdana ...sebagai karya yang bukan penuh dengan warna warni cinta, tetapi kita menegurnya secara kasar dan tidak beradab, tanpa memikirkan dia adalah lebih tua daripada kita dan kita juga nanti akan menjadi tua sepertinya, suatu hari nanti. Tetapi begitulah yang berlaku, takdir sastera kita tidak pernah kabur tetapi kita sendirilah yang meludahnya ke langit sehingga ianya menjadi kabur."
Petikan 2
"Yang hendak membina gunung itu sangat kecil jumlahnya, tetapi yang hendak meruntuhkan gunung itu adalah sangat besar jumlahnya, dan sebahagian besar mereka itu adalah orang bijak pandai dan para ulama belaka,"
Petikan 3"
Apa gunanya kita mewujudkan sekolah seni di Universiti Malaysia Sabah, kalau sekolah itu tidak mampu melahirkan penulis yang boleh berdikari dan bergantung hidup dengan kerja seni dan penulisan mereka?"
Petikan 4
"kita mesti mewujudkan sekolah seni di UMS bagi memenuhi keperluan dalam melahirkan penulis aktivis sastera di negeri Sabah dan Malaysia amnya dan menjadikan bidang penulisan sebagai sumber pendapatan mereka dalam kehidupan."
Petikan 5
"Jangan kata ini bersifat materialistik, hanya semata-mata kerana anda boleh hidup mewah dengan suapan gaji kerajaan, tetapi mahu melihat penulis yang bergantung hidup dengan kerja penulisan mati kebuluran tanpa nisan."
Petikan 6
"Justeru itu, sebenarnya kita sendiri yang mengaburkan hala tuju sastera kita, hanya semata-mata kerana kita hidup selesa berbanding orang lain. Tetapi ingatlah, hidup ini mudah, sesekali kita berada di atas dan kita berada di bawah."
Enam (6) petikan di atas memadai untuk dinaikkan hari ini, sementara yang lainnya sekadar berlegar di ruang lingkup yang sama. Ibarat orang puyeng. Petikan 1 lebih kepada isu hormat insan. Maksudnya menaruh rasa hormat kepada mereka yang lebih senior. Perlukah ia diterangkan lebih lanjut? Pernahkah perang mulut antara orang lama dan baharu berakhir dengan sepak terajang, keroyok dan yang sewaktu dengannya ketika diskusi sedang berjalan? Siapa kurang ajar? Kan lebih baik menjernihkan suasana dari terus mengeruhkannya. Ini tidak, tembak dan terus menembak! Namun agak malang, tembakan tidak langsung mengenai sasaran. Jadi isu hormat harus dikeluarkan daripada topik kerana tidak ada orang yang kurang ajar kepada orang yang lebih dahulu (tua) dalam penulisan.
Petikan 2 pula lebih fokus kepada impian (sekadar pendapat sahaja). Tak perlu digendang lebih. Apa yang kurang kita tambah, yang dah ditambah kita perhalusi lagi dan lagi. Kan mudah begitu? Diskusi kita bukan gelanggang tarung penentu menang sanjung; kalah diusung. Jernihkan fikir, usah keruhkan.
Petikan 3 mengingatkan (yang menulis artikel camping ini) sejarah wujudnya UMS atas nama politik. Perlu diingatkan, dalam mana-mana jabatan, sama ada kerajaan mahupun swasta - akan timbul soal politik. Bila dah masuk bab politik, segala yang kecil akan menjadi besar, sementara yang besar akan ada perkara yang sulit sengaja disembunyikan. Ini perkara biasa. Politik, racun dan penawar ada padanya; andai baik disarung maka baiklah hasilnya, andai buruk disarung maka buruklah hasilnya. Faham-faham sendirilah.
Petikan 4, ini juga sebuah impian. Bunyinya murni namun masih ada kelompangan padanya. Memang pada asalnya tujuan sekolah seni diwujudkan tak lain demi melahirkan mahasiswa yang bisa menghasilkan karya yang ranum, seterusnya menjadikannya sebagai punca pendapatan tanpa bergantung harap dengan makan gaji dengan kerajaan. Apa kata setiap permasalahan melibatkan sesebuah institusi diajukan kepada mereka yang berada di sana kerana kita tidak mengetahui pucuk pangkal cerita. Tanya mahasiswa, tanyalah pensyarahnya tanpa perlu bermuka dua kerana bermuka dua hanya sekadar mahu mengundang sengketa, dan sengketa pula takkan habis sampai bila-bila.
Petikan 5, perlu dirujuk kembali buku arwah Othman Puteh. Benar, tak perlu hipokrit tentang honorarium, royalti, atau sasterawang kerana itu terletak pada diri masing-masing. Mewah dengan suapan gaji kerajaan? Ini namanya emosi. Tidak ada pekerja awam yang mewah dalam kerajaan melainkan melilit keliling pinggang sekalian hutang. Menulis sebagai sumber rezeki? Ya, wajar. Tiada kesalahan padanya. Ia halal. Tetapi apa yang ditulis? Baik atau buruk? Ingat, setiap perkataan dipertanggungjawabkan, bukan sahaja dunia, malah di akhirat jua. Sekarang ini, kita kepingin melahirkan aset baharu dalam bidang penulisan di mana kita kekurangan penulis yang jujur dalam penulisannya. Sebagai contoh, cerpen. Bukan sesuatu yang mudah menghasilkan sebuah cerpen. Ketelitian diperlukan dan kritik karya sendiri wajar dilakukan berulang-ulang kali sebelum karya dihantar untuk diterbitkan. Namun apa terjadi? Asal siap. Kalian bacalah sendiri.
Petikan 6, sekali lagi diingatkan, tidak ada orang yang pernah hidup selesa sebenarnya di dunia ini. Akan ada sahaja benda yang kurang. Yang berumah satu ingin menambah dua, yang berbini satu bernafsu menambah lagi bininya, yang kaya mahu menambah kaya, yang miskin mahu cepat kaya, dan banyak lagi. Susah hendak diterangkan satu persatu. Sama ada berada di atas atau di bawah bukanlah persoalan yang unik. Ia normal. Jangan disangka yang bergolek-golek itu bola selagi belum nyata berhenti ia di hadapan mata, dan mata pula mengesahkan bahawa ia adalah sebiji bola. Kajilah dengan baik dan teliti. Walaupun Allah jadikan kita ini lengkap, namun masih ada kelemahan pada diri kita yang kita tak nampak, orang lain sahaja yang menilai dan akhirnya menunjukkan sebab apa itu ini, perlu begitu begini, dan sebagainya. Apa yang perlu sebenarnya?
Menerima kritikan sebagai suatu rahmat yang akan membina diri kerana kita sendiri tahu kelemahan, dan berharap semoga perjalanan kerja yang seterusnya tidak merencat seperti yang sebelumnya. Alangkah indah kalau hujah ini diterima dek akal sihat.