Sabtu, Ogos 28, 2010

Semangat patriotik biar mekar sepanjang masa

Oleh Mohd Yusoff Hassan
2010/08/28 (Berita Harian Online)



Generasi muda perlu miliki ketahanan mental, jati diri elak negara diceroboh anasir luar


SABAN tahun, apabila menjelangnya sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos, semua pihak membicarakan mengenai semangat cintakan negara atau semangat patriotik. Sehubungan itu, badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pelbagai program dan kempen untuk memeriahkan sambutan ini.

Untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, perayaan ini diadakan dari 16 Ogos hingga 16 September setiap tahun di setiap peringkat, termasuk acara kemuncaknya pada 31 Ogos, yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan membabitkan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama.

Dalam menghayati sambutan yang amat besar ertinya kepada negara dan rakyat ini, pelbagai aktiviti dilaksanakan yang mempamerkan daya kreativiti dan inovasi pelbagai pihak. Ini termasuk menghasilkan bendera terpanjang dalam sejarah, menghiasi Menara Kuala Lumpur dengan Jalur Gemilang dan pembinaan pintu gerbang khas. Keadaan ini amat membanggakan negara kerana semangat patriotik atau kenegaraan jelas terserlah dinyatakan pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan sosioekonomi.

Sebenarnya semangat patriotik perlu mekar di sanubari setiap warga Malaysia sepanjang masa. Malaysia adalah tanah air kita, sejak kita dilahirkan hingga akhir usia. Perayaan atau kempen sambutan hari kemerdekaan diadakan bagi mengingati tarikh atau detik negara ini bebas daripada belenggu penjajahan selama 446 tahun. Keperitan dan kesengsaraan pejuang dan rakyat negara terdahulu perlu dikenang dan disanjung oleh setiap rakyat Malaysia yang kini menikmati hasil perjuangan mereka.

Pejuang terdahulu seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Datuk Maharajalela dan ramai lagi berkorban untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Tekanan demi tekanan dengan kebanyakan tempat memberontak dan menentang penjajahan secara kekerasan, Inggeris mula berlembut hasil beberapa rundingan diketuai pemimpin daripada elit Melayu ketika itu.

Tugas generasi masa kini dan akan datang adalah untuk mempertahankan kemerdekaan negara daripada bentuk penjajahan. Dunia tanpa sempadan dengan pelbagai teknologi moden yang dihasilkan oleh negara maju telah mencetuskan penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan ekonomi dan budaya. Negara maju telah bersaing untuk menguasai ekonomi, budaya dan minda negara membangun dan kurang maju. Ideologi dan acuan negara maju terus menjadi senjata untuk menguasai dunia termasuk rantau ASEAN. Penjajahan bentuk baru yang menguasai ideologi, ekonomi dan budaya amat berbahaya kerana segala kedaulatan, kebebasan dan keputusan akan ditentukan oleh kuasa luar, iaitu penjajah bentuk baru.

Generasi muda perlu memiliki ketahanan mental dan jati diri yang kuat untuk terus mempertahankan negara daripada sebarang bentuk penjajahan. Golongan tidak bertanggungjawab dan kuasa asing sentiasa mengintai peluang untuk mempengaruhi generasi muda supaya mengikut telunjuk atau rentak mereka dalam usaha menguasai negara ini.

Kealpaan kita mengatur perjalanan dan sistem pemerintahan berteraskan semangat kenegaraan lebih memudahkan anasir luar meracuni pemikiran rakyat tempatan supaya melakukan tindakan yang boleh memudaratkan keselamatan dan kedaulatan negara. Semangat cintakan negara adalah benteng paling kukuh dalam mempertahankan kemerdekaan dan maruah negara daripada segala bentuk ancaman.

Oleh itu, ketahanan diri dan semangat sayangkan negara di kalangan rakyat perlu sentiasa dipupuk memandangkan gejala negatif dan sikap tidak menghiraukan kepentingan negara kini semakin menular di kalangan generasi muda.

Akibat terlalu leka dengan hiburan, golongan muda gemar mengamalkan cara hidup bebas yang mengetepikan batas budaya dan agama serta undang-undang menjadi.

Jika ini tidak dibendung, maka lebih mudahlah bagi anasir luar untuk menyelinap masuk dan menjajah negara ini tanpa disedari.

Berbeza dengan sikap golongan muda di Malaysia, rakyat negara jiran terdekat kita iaitu Indonesia dan Thailand terbukti mempunyai semangat kenegaraan dan patriotik yang kukuh. Walaupun negara mereka dihimpit pelbagai kesukaran dan kemiskinan, sifat taat setia dan sayangkan negara amat kukuh dalam kalangan rakyat negara itu.

Berbalik kepada rakyat Malaysia yang mempunyai keselesaan dan dianugerahi Allah pelbagai kemewahan, semangat patriotik mereka amat mengecewakan. Sikap mereka yang tidak menghargai segala nikmat yang dianugerahkan Allah terhadap negara ini amat ketara.

Perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia juga tidak begitu menyerlah di kalangan mereka walaupun pelbagai program dan kempen kenegaraan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Malah kebelakangan ini, perasaan tanggungjawab terhadap negara semakin luntur, terutama di kalangan generasi muda yang lebih gemar berseronok dengan kehidupan bebas dan segala macam jenis hiburan.

Generasi masa kini perlu menghayati sejarah perjuangan generasi terdahulu yang telah berkorban harta dan nyawa untuk memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajah. Sudah terbukti bahawa bangsa yang berjaya dan mencipta tamadun dunia adalah bangsa yang mempelajari serta memahami sejarah perjuangan generasi sebelum mereka. Tugas kita dan generasi akan datang ialah mengekalkan kemerdekaan sedia ada dengan semangat patriotik.

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara Jabatan Penerangan Malaysia

Rabu, Ogos 25, 2010

Catatan Kemerdekaan

Pada 31 Ogos 2010 ini genaplah usia kemerdekaan rasmi Negara yang ke-53. Sepanjang tempoh ini sudah pasti kita sering mengingat peristiwa-peristiwa manis dan pahit para pejuang yang telah memberikan sumbangan baik dalam bentuk kekuatan secara fizikal dan mental sehingga Negara mencapai kemerdekaan. Memang benar kita harus berusaha untuk melangkah lebih jauh ke hadapan namun melihat ke belakang juga akan memberikan ingatan dan perangsang agar kita mampu berusaha lebih gigih menerusi pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan. Seluruh generasi harus mempersiapkan diri meletakkan maruah agama, bangsa dan Negara paling utama dalam kehidupan. Sekiranya kita lemah, tidak mampu membentuk sebuah jati diri yang kental, ampuh dan kukuh ketika menghadapi pelbagai cabaran dunia masa kini, makna kemerdekaan yang telah dikecapi oleh datuk, nenek, ibu dan ayah kita tidak memberikan sebarang makna. Kita semua ibarat akar-akar yang menjalar dan rimba yang mengukuhkan bumi sedangkan bumi itu merupakan adaptasi kepada keutuhanan sebuah Negara yang amat kita cintai.

Kemerdekaan sering kita sebut terutama sekali apabila menjelangnya bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun, memang begitu sinonim dengan kehidupan harian kita. Kemerdekaan yang kita fahami sebagai satu doktrin kebebasan daripada segala bentuk penjajahan. Kemerdekaan yang kerap dinyatakan para pemimpin, guru-guru dan ibu bapa kita sebagai kemenangan daripada kesusahan malah ia dianggap sebagai hijrah atau perpindahan kehidupan yang payah kepada kehidupaan yang selesa. Sesungguhnya kita begitu selesa apabila negara kita ditadbir oleh anak bangsa kita sendiri. Namun, kemerdekaan hanya berada dalam ingatan segelintir masyarakat ketika Ogos menjelma sedangkan pada masa-masa biasa mereka lupa terhadap sejarah, mereka alpa untuk meletakkan kemenangan para pejuang sebagai pemangkin untuk memelihara erti kemerdekaan. Mereka lebih suka memilih kemelut daripada bermusyawarah hingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat pelbagai kaum yang cintakan keharmonian serta kedamaian. Keadaan ini juga menyebabkan segelintir masyarakat kurang memberikan tumpuan kepada pemuliharaan jati diri mereka.

Tanpa memilih tahap generasi, kita harus lebih bertanggungjawab untuk menilai kembali penghayatan kemerdekaan ini. Cuba hayati semula pengorbanan yang ditunjukkan oleh pejuang di medan hadapan seperti Leftenan Adnan, misalnya, yang sanggup berkorban menentang pejajah. Apakah di hati sanubari belia dan beliawanis hari ini mempunyai semangat juang yang kental untuk berhadapan dengan pelbagai serangan zaman moden ini? Jika kita perhatikan saban hari kita dikhabarkan pelbagai masalah sosial seperti pembuangan bayi, pelajar hamil, penagihan dadah, ponteng sekolah dan pelbagai jenis jenayah yang lain. Keadaan ini ditambah lagi oleh kesan ledakan ICT yang mempunyai pengaruh luar biasa di kalangan masyarakat moden. Apakah perjuangan yang wajar digembelengkan oleh generasi hari ini? Memang diakui bahawa pelbagai pendekatan telah dilakukan agar masalah-masalah sosial berkenaan dapat dibendung namun tanpa penglibatan ahli masyarakat semua, hasil yang diharapkan sudah pasti tidak sehebat mana. Kerana itu juga, semua kaum yang terdapat di negara kita ini harus sama-sama berganding bahu ke arah itu. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Saran ini sudah pasti amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 1 Malaysia Menjana Transformasi.

Kita sebenarnya harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana, negara kita tidak ditimpa pelbagai musibah alam yang keterlaluan seperti gempa bumi, banjir dan sebagainya berbanding beberapa negara lain seperti Pakistan dan China. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berdoa agar negara kita yang tercinta ini terus diberikan rahmat, aman damai dan kemerdekaan yang berterusan. Agar dijauhkan juga ancaman manusia yang khianat dan ancaman alam yang menyebabkan kita menghadapi masalah.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, Ogos 24, 2010

Di Bawah Kolong Langit Kuala Lumpur

- 'ain mawaddahku

kedegilan membeku ketika sunyi
tapi di sini apakah makna sunyi
di dalam pengawasan diri
membaca setiap desir
sedang tak pernah mampu
menemu titiknoktah tingkahmu
menembusi hitam langit

aksiku mudah
berjalan tak henti dari lorong
ke arah jalan yang tak mengenali
siapakah aku di bawah langitMu
tempias hujan meredah gelisah
sahabat bergetar menghantar berita
kekasih meraung dalam rindu
anak-anak menghafaz menyatakan syukur

memang tak pernah mengerti
ketika berjalan di bawah kolong langit
di kotaraya bangsaku
bersapa pada peribadi sendiri
mengenalinya dan memahami
kami hanya tahu sebuah perjalanan
yang akhirnya menemui antara satu
pada titiknya
tapi seluruh fikirku tetap satu
'ain mawaddahku menterjemah seluruh liku
hela nafas luka dan ranum impian

hasyuda, katahati
'ain mawaddah, katakasih
menjadi alun peribadi mengepal hafal
bahtera asmaraloka belayar di bawah langitMu
dan Kuala Lumpur menyaksikan padu kalbu.

Putrajaya,
Kuala Lumpur.
13 Jun 2002.

Beburung Yang Bersahabat

Keranamu nafasku kembali
kepada pintu cuaca
yang diarak awan
angkasa bersayap memeluk
setiap sirna kunang-kunang
jangan silap ketika bersua
sekali nanti
aku burung yang bersahabat
dengan gunungganang
gua dan puteri-puteri mereka
mimpiku keranamu telah terhukum
membiarkan lautan tiada gelora
dan bulan tidak lagi memahami
dataran itu bumi.
jalan-jalan telah terbelah
menanti halkum rimbunan suara
dan seluruh buana
tergamam terhadap rahsia
sebenarnya telah diceritakan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hak asasi dalam Islam tak sama fahaman Barat

(Berita Harian Online - 24/18/2010)

SUATU keadaan yang sukar kepada umat Islam ketika ini ialah mereka menurut saja tamadun atau fahaman Barat. Tamadun atau fahaman yang saya maksudkan di sini ialah tamadun atau fahaman yang mementingkan materialisme dan meninggalkan nilai keagamaan dan kerohanian.

Masyarakat Islam yang gagal memahami nilai yang ada dalam Islam ini cuba mengadaptasikan ajaran Islam kepada fahaman Barat itu. Mereka cuba mencari titik pertemuan antara falsafah Islam dan Barat. Malah ada ketikanya keadaan menjadi lebih teruk selepas golongan Islam ini cuba menggantikan sistem Islam dengan sistem Barat. Keadaan ini melahirkan situasi mengambil hati, mengagungkan nilai Barat dan hasilnya membuahkan sikap diplomatik dan apologetik umat Islam terhadap Barat walaupun Islam adalah sebahagian daripada fabrik masyarakat dunia.

Sikap sebegini amat jelas dalam hal berkaitan hak asasi yang mana nilai hak asasi Barat dikagumi dan diagungkan umat Islam. Ramai ahli akademik Islam yang berusaha mencari sumber hak asasi Islam yang boleh diselaraskan atau diserasikan dengan nilai hak asasi Barat. Sikap ini menjadikan mereka terlalu berdiplomasi dan apologetik terhadap Barat mengenai hak asasi, walaupun sesuatu perlakuan itu sememangnya tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.

Dalam keadaan keliru, ramai intelektual Islam menggunakan terma hak asasi manusia yang disandarkan kepada Islam yang seterusnya membentuk frasa hak asasi manusia di dalam Islam. Frasa ini mengelirukan menurut Islam kerana falsafah hak asasi manusia yang disandarkan kepada Barat tidak meletakkan ketuhanan atau agama sebagai kayu pengukur.

Falsafah hak asasi Barat seperti yang disebut oleh John Locke, adalah bebas daripada Tuhan dan bebas daripada ajaran Tuhan. Locke di dalam The Two Treatises on Government berkata: Men by nature are all free, equal and independent, no one can be put out of this estate subjected to the political power of another without his own consent. Keseluruhan ajaran hak asasi manusia natijah promosi Barat menjadikan keperluan manusia (humanisme), kepentingan individu (individualisme) dan taakulan logik (rationalisme) sebagai dasar hak asasi.

Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat.

Ajaran Islam bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Allah. Semua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah atau penggunaan frasa hak asasi manusia di dalam Islam saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza. Sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanisme, individualisme dan rationalisme seperti fahaman Barat.
Dasar atau sistem hak asasi dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak dalam Islam digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan tertentu saja bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan saja kepada kehendak manusia semata-mata tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi dalam Islam tidak semata-mata hak asasi manusia tetapi sebenarnya merangkumi hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah.

Kebanyakan intelektual Islam semasa tidak membincangkan secara terperinci mengenai perbezaan falsafah hak asasi antara Islam dan Barat. Dalam kebanyakan perbincangan, ramai intelektual Islam gagal menempatkan hak Allah pada tempat sesuai malah kebanyakan mereka gagal menyebut mengenai hak Allah sebagai satu komponen ketika membincangkan perkara berkaitan hak asasi.

Kegagalan memberi gambaran sebenar mengenai falsafah dan kedudukan hak dalam Islam akan menghasilkan fahaman yang salah berkaitan hak di sisi Islam. Ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa Islam mempunyai pandangan yang sama berkaitan tujuan penciptaan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini, sedangkan Islam menggariskan tujuan kehidupan yang berbeza. Sebagai contoh, hak asasi yang disandarkan kepada logik akal tidak akan mengiktiraf kedudukan agama dan tidak dapat melihat sekatan terhadap perbuatan untuk menukar agama. Begitu juga sekatan yang perlu terhadap hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat.

Dalam sebarang penulisan berkaitan hak asasi, intelektual Islam seharusnya menjelaskan mengenai perbezaan mengenai falsafah hak asasi dalam Islam dan fahaman Barat. Perbezaan yang amat perlu dibincangkan termasuk tujuan kehidupan, perkara berkaitan sumber hak dalam Islam, jenis hak dan juga tujuan sesuatu hak di dalam Islam. Perkara ini adalah perkara dasar yang melatari perbincangan mengenai hak asasi seterusnya akan dapat memberikan kefahaman lebih jelas mengenai kedudukan hak asasi dalam Islam dan meletakkan hak asasi menurut perspektif Islam di tempat berbeza daripada hak asasi.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hadiah Sastera Perdana Malaysia dicabar

Oleh Nazmi Yaakub
(Berita Harian Online 23/8/2010)

DIALOG Orang Muda (DOM): Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Perdana@Tidak? meminta status perdana pada HSPM oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dibuktikan melalui pemerolehan karya daripada media perdana sastera, penilaian yang berbobot dan mengambil kira pembaharuan serta pemikiran yang tinggi dalam karya.

Dialog anjuran Biro Penulis Muda PENA itu juga, menyarankan nilai hadiah terutama karya eceran dinaikkan kepada hadiah lebih lumayan berbanding RM1,000 ekoran wujudnya hadiah seumpama anjuran pihak swasta yang menawarkan hadiah lebih tinggi.

Malah dialog yang dihadiri 20 peserta itu, turut mencadangkan PENA dan penerbit swasta mewujudkan hadiah sastera masing-masing tanpa perlu bergantung kepada badan kerajaan terbabit sama ada melalui penganugerahan berbentuk wang atau sijil penghargaan.

Penyair yang juga Editor Pentas, Istana Budaya, Rahimidin Zahari, berkata konsep perdana yang bermaksud besar, hebat dan luar biasa dalam menggambarkan jati diri sastera Melayu dan Malaysia tidak berlaku dalam realiti pelaksanaan dan penganugerahan HSPM.

Takkan nilai HSPM yang diberikan oleh kerajaan untuk puisi dan cerpen hanya RM1,000 sedangkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bernilai RM2,500 untuk cerpen. Lebih baik saja kita masuk program realiti televisyen yang menawarkan hadiah jauh lebih tinggi.

Selain itu, kita juga melihat ada cerpen yang memenangi sagu hati dalam HSKU, menggondol HSPM, manakala cerpen yang memenangi hadiah utama tidak berjaya sedangkan panel hakim dua hadiah berkenaan adalah individu serupa,di Rumah

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Rahimidin berkata, penentuan status karya dan pemilihan panel penilai itu berpunca daripada masalah besar dalam dunia sastera yang menghadapi krisis kredibiliti terhadap sarjana di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kita boleh ambil contoh analisis karya dalam Dewan Sastera yang pengulas cerpen menganggap semua cerpen adalah baik sehingga penulis muda tidak ada cara untuk meningkatkan diri dalam melahirkan karya lebih baik dan menerbitkan buku yang berwibawa.

Begitu juga panel penilai yang tidak membaca karya pengarang muda sehingga menimbulkan kesulitan bagaimana mereka mahu meletakkan neraca untuk menilai karya yang layak untuk HSPM, katanya pada dialog yang dipengerusikan AJK PENA, Muhammad Lutfi Ishak.

Rahimidin memberi perbandingan, kegagalan itu boleh dilihat pada pemilihan memoir kedua Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari memenangi HSPM 2006/2007 sedangkan siri pertama memoirnya, Meniti Laut Gelora yang lebih bagus dan menyeluruh gagal meraih hadiah berkenaan.

Justeru, PENA disaran mengambil langkah drastik dengan menganjurkan hadiah sastera sendiri seperti yang pernah dilakukan pada dekad 1970-an dan sekiranya tidak mempunyai dana, cukup sekadar sijil penghargaan, selain penerbit swasta juga turut berbuat demikian.

Penulis muda, Norbulsalman Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Salman Sulaiman, berkata kelemahan ketara yang merendahkan nilai perdana pada HSPM ialah permintaan agar pengarang menghantar karya, sekali gus menyebabkan penilaiannya tidak menyeluruh apabila ada pengarang yang gagal atau enggan berbuat demikian.

Mungkin permintaan itu mengambil kira faktor HSPM menilai semua karya sehingga timbul kesulitan kepada urus setia untuk mendapatkan karya yang diterbitkan dalam pelbagai medium, tetapi masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan melantik lebih ramai ahli jawatankuasa (AJK) untuk mendokumentasikan karya sastera.

Faktor yang merendahkan nilai perdananya juga ialah kelemahan pembukuan karya yang pernah memenangi HSPM sehingga hanya baru-baru ini saja karya berkenaan dibukukan dan itu pun membabitkan koleksi bertahun-tahun, katanya.

Salman berkata, pembukuan dan penerbitan karya yang dianggap perdana dan berprestij itu sangat penting sebagai proses dokumentasi dan rujukan termasuk sebagai kayu ukur yang boleh diambil oleh penulis baru dan muda untuk mengenai karya yang diangkat sebagai karya perdana dalam ranah sastera.

Pemenang HSPM 2002/2003, Raihani Mohd Saaid melihat sifat tidak konsisten dan tiada publisiti pada penganjuran HSPM juga menyebabkan karya pemenang tidak dijadikan rujukan, terutama apabila ada pihak yang mahu menghasilkan kajian.

Karya yang menang HSPM memang bagus, tetapi masalah tidak ada orang membacanya kerana ia tidak dibukukan berbanding hadiah lain yang lebih konsisten dan diberi publisiti.

Saya pun baru tahu puisi saya yang menang pada HSPM 2002/2003 baru dibukukan dan itu pun satu lagi masalah apabila hal itu tidak diberitahu kepada pengarang, selain karya HSPM juga tidak dijadikan teks sastera atau Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS), katanya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Ogos 23, 2010

Syajaratul Mahabah

GERIMIS SYAJARATUL MAHABAH

memahamimu aku lebih kembali

mengutip ranting daunan sepanjang jalan ke desa purba

gemuruhpun mula reda selepas bulan buram berlalu

langit menghulur tangan menyulam gerimis

membasah kalbu


memahamimu aku lebih abadi

menjadimu lebih berdiri mengayuh tenang berpedoman

Nur-Nya

meratip makna lebih pasrah dalam gelung rububiyah

memahami syajaratul mahabbah lebih menebarkan akaliah

memahamimu aku lebih kerap berjalan

mengendara sunyi yang bersembunyi

memelihara tebaran insaf menyatu sambil berlalu

dalam gerimis-Nya di bawah lampu bisu


HASYUDA ABADI




NUR SYAJATARUL MAHABAH

Mengakrabimu aku lebih insan
memperindah maaf dalam redha membersihkan alpa
wanginya merentasi tujuh lapisan taman nyanyi rahsia
melestarikan kebenaran yang puncak ke akar akal
menyusur kembara waras cekal di padang akidah
mewajahkan fitrah insani
putih peribadi seorang Fatimah Al Khattab

mengakrabimu aku lebih ihsan
membaca gelora lautan wajah kehidupan
memahami pelangi jawapan pada setiap resah pertanyaan
menterjemah putih cahaya bulan dan kelip bintang yang mengasyikkan
mengujanakan asrar kunjungan nur syajaratul mahabah
di sahara mujahadah
mengabadikan aku ke mawaddah keperibadianku

megakrabimu aku lebih kasih
mengungkapkan makna firman, mewadahkan sabda
merafakkan syahdu munajat di mihrab taqarrub
mendiamkan saujana Kun Nya dalam manis taqwa
memelihara rimbun mawar ukhuwah
sambil menqiamkan segala insaf
dalam nur kasih Nya
cahaya berlapis cahaya.


SAHARA JAIS

*syajaratul mahabbah = pohon cinta

Sebelum Diisytiharkan Perang

mengasah pedangkhusyukku
tajamfananya menghiris-hiris kalbu
kudahagakan riuhsepi itu
kulaparkan lazatrindu begitu

sebersit cahaya mula memukau
menjalar akarnya
ke seluruh ceruk sukma
siaga sedia
berjuang di luas alam
mengepung hanya titikku

kuserah jiwa
meski perang belum bermula.



PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Ogos 22, 2010

Katamu Perjuangan

tentu kau silap saat memberiku api
katamu itulah cahaya membuka
lorong jalan kebenaran
mengajak hati-hati putih ke hadapan
menyonsong panji-panji perjuangan

tentu kau silap saat memberiku mimpi
katamu itulah ruang menterjemah
bayang-bayang masa hadapan
gerbang jaya impian kebahagiaan
jangan henti, katamu lagi, ini perjuangan!

tentu kau silap saat memberiku nafiri
katamu itu suara jati diri
kuasa menenggelam kepalsuan duniawi
berkumpullah sekalian bijaksana
atur gerak semarakkan mara berjuang

telah sekian kali perjuangan dilafazkan
menidakkan hak yang benar
membenarkan batil yang nanar
kebenaran telah tak berharga
menjadi alat-alatan perjuangan buta

tentu kau silap apabila setiap senyap
tak pernah siap dan kata-kata tak pernah lenyap
api, mimpi dan nafiri disaji menggarap malap
perjuangan slogan yang membeku
kering dan layu.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.
8 Feb 2009.

Membaca Puisi Hari Kebangsaan


mengulang-ulangkan lafaz
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka

mengulang-ulangkan perarakan
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
gemilang di seluruh pelusuk rusuk negara

mengulang-ulangkan seruan
mengulang-ulangkan harapan
mengulang-ulangkan gambaran
merdekakan mereka yang tak merdeka
merdekakan mereka yang tak memerdekakan
merdekakan mereka yang tak memerdekakan kemerdekaan
mengenangkan mereka yang bangun memerdekakan

memerdekakan fikiran
memerdekakan harapan
memerdekakan gambaran
memerdekakan seruan
memerdekakan kuasa
memerdekakan hamba
memerdekakan kamukamu
memerdekakan akuaku
memerdekakan perpaduan
memerdekakan belenggu
memerdekakan pisau
memerdekakan sasau
memerdekakan diam

mengenangkan jasasasa mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan keringatdarah mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan taksiapasiapa mereka yang bangun memerdekakan
selepas membaca puisi hari kemerdekaan
selepas mendengar amanat tentang hari-hari kemerdekaan
selepas mencatat matlamat berkenaan sebuah kemerdekaan
dewan yang meruangkan suara
tinggal menyepi yang akan didatangi lagi
setiap tahun dan sekali
jalurjalur gemilang berkibar sendiri
lafaz merdeka tinggal di telinga hingga didengar
nanti tahun kemudiannya berulang diulangkan lagi
habis di sini!


-HASYUDA ABADI,
IPS, 23 Ogos 2001