Sabtu, Februari 07, 2009

Belot Belut

licik menerobos segala lorong
belut-belut lupakan selut
berpindah gembira pada jernih kuala

licik belut belot
negeri lumpur terus digempur
bah yang angkuh melebarkan angkara

Rumah Maya

Sejak pertengahan tahun 1990-an saya memang gembar membuat laman web melalui pengamatan laman-laman yang saya lawati. Saya pernah mengikuti kuliah peringkat Sijil Pengaturcaraan di UiTM ketika itu tapi belum sampai kepada bab pembinaan laman web. Membaca skrip melalui view source setiap web yang dilawati saya menyalin dan meletakkan pada program front page, saya ubahsuai hingga bolehlah dilihat seperti sebuah laman web. Namun apa yang saya buat itu tidak menepati citarasa saya yang memang sangat suka mencuba. Saya menemui laman web lycos atau tripod, di sana boleh dibina sebuah laman web tumpang dengan hanya menyediakan 20MB secara percuma untuk menempatkan bahan-bahan yang dipaparkan. Maka jadilah apa yang barangkali anda pernah lihat Laman Akar Cahaya (http://webhasyuda.tripod.com). Lepas itu saya membina sebuah laman untuk Ikatan Penulis Sabah (http://webips.tripod.com). Kini laman-laman itu sudah lama saya tidak kemaskinikan, tapi masih boleh dilayari kerana banyak bahan yang menarik di sana. Saya pernah mereka sebuah jurnal iaitu Komposisi Online menerusi Branvenet.com. Jurnal ini sepatutnya menjadi salah satu aktiviti IPS menyiarkan karya sastera ahli-ahlinya dalam bentuk maya. Betul bahawa melakukan kerja-kerja penulisan skrip pembinaan laman web ini memerlukan pengetahuan, kreativiti, gigih dan komited walaupun sebenarnya rumit.

Cita-cita saya memang melambung tinggi, sebagai aktivitis sastera yang berhasrat memberikan ruang kepada orang ramai mengetahui sastera, bahasa, budaya dan juga mengenali tokoh-tokoh sastera tempatan khususnya, saya cukup lama menyimpan impian agar suatu hari nanti saya ingin merealisasikannya. Saya ingin sekali membantu agensi-agensi yang barangkali tidak punya waktu untuk itu. Apatah lagi dunia hari ini, mayarakatnya memerlukan bahan-bahan berkaitan dengan cepat. Kerana itu dunia maya harus dijadikan alatnya.

Jika anda mencari nama saya di Google atau apa saja penjana carian, anda akan mengakses pebagai jenama laman yang saya buat. Memang ada yang menjadi tapi banyak juga yang ditinggalkan begitu sahaja. Dunia maya mula saya sertai semenjak menyertai Kelab Maya Sastera Malaysia (KMSM) sebuah milis yang dijana oleh Yahoogroups, sebelum itu juga menyertai Penyair yang dipelopori oleh rakan-rakan maya di Indonesia seperti Nanang Suryadi. Sehingga saya dipelawa mengisi sebuah buku Antologi Puisi Graffiti. Di Sabah, saya mengaktifkan Kemsas (Kelab Maya Sastera Sabah) yang diakui berkesan membicarakan isu-isu sastera dan pengurusan sastera di Sabah.

Saya masih tidak berpuas hati tanpa memiliki wacana peribadi yang bakal menjadi alat menyalur tulisan saya yang lebih bebas terhadap beberapa isu yang saya rasakan penting. Sebab itu saya mengaktifkan sebuah blog apabila ketika itu aktiviti menerusi weblog begitu digemari ramai. Mengenali seorang sahabat menerui blogdrive.com saya membina Kreatif Hasyuda Abadi. Bagaimanapun saya dapati mengurus blogdrive.com sedikit rumit berbanding blogspot.com, maka terbinalah 'rumah lain' yang anda kenali sebagai Membelah Kabut. Wajah blog saya yang terkini ini pun telah bertukar berkali-kali lantaran inginkan paparan maklumat yang pelbagai. Syukurlah juga dari hari ke hari, ilmu yang ditemui menerusi pengamatan dan usaha ingin belajar saya dapat melakukan walaupun masih banyak kelemahannya.

Dengan lahirnya laman web rasmi saya yang sedang dibina masa ini, sedikit masa nanti mudah-mudahan dapat mengisi keperluan yang saya bayangkan demi kelangsungan aktiviti sastera, bahasa dan budaya di Sabah khususnya. Di samping dapat mendekatkan ramai sasterawan, penggiat dan peminat sastera dalam sebuah 'rumah maya'. Malah dapat pula menjadikannya sebagai punca rujukan alternatif kita bersama.

Jumaat, Februari 06, 2009

E k o R

ANDA tentu pernah melihat ekor cicak yang terpenggal. Ceritakan kepada saya tentang ekor cicak yang malang itu begini: saya agak nakal pada setiap malam jumaat untuk mengumpul sebanyak empat puluh ekor cicak, hidup mahupun mati. Kesemua cicak itu sudah tak berekor ketika mahu dipersembahkan kepada kerajaan tanah. Begitu juga kepada sungai di bawah rumah atau di dalam tong sampah yang esoknya akan dipunggah oleh pekerja Dewan Bandar Raya. Saya memikirkan tentang ekor cicak itu. Dan tidak lagi cicaknya tapi ekornya. Ekor saja. Kepala saya berligar-ligar membayangkan ekor yang lebih besar, panjang dan mengikat kepada sesiapa saja. Orang kecil atau orang besar. Orang kecil-kecil atau orang besar-besar.

Mengapa binatang ada ekor. Manusia tak ada ekor. Harimau ada ekor. Gajah ada ekor. Begitu juga musang. Tidak kepada katak. Tapi tak tidak kepada monyet, kambing, beruang, babi, singa atau tupai. Rupanya manusia juga ada ekor sebenarnya. Saya mula diingatkan oleh otak yang kekadang kering yang mendekatkan kepada lupa. Benar manusia juga ada ekor. Inilah saya hendak menyampaikan idea tentang ekor. Kepala saya selalu pening kerana kerap mencari ekor di medan selera. Sup ekor yang berkhasiat itu kononnya. Semangat yang bakal menyala dan membara. Namun pusing kepala saya tidak kerana supkan ekor tetapi ekor yang lain. Ekor yang dimanusiakan. Ekor yang juga memanusiakan. Ekor yang sentiasa berada di belakang tak mungkin di hadapan tetapi ada kalanya di depan. Ada beza antara ‘hadapan’ dan ‘depan’. Boss di pejabat saya tunggang langgang melaksanakan tugasan juga ada ekornya. Sahabat-sahabat saya yang punya sedikit wang dan pengaruh juga punya ekornya. Santai di meja mamak sambil dikelilingi ekor-ekor yang berekor-ekor. Tanpa segan dan malu menjadi ekor. Ekor demi ekor keluar daripada tong-tong sampah!

Ekor mencari badannya yang terpenggal. Entah kalangan yang asyik masyuk di meja mamak itu mungkin tidak menyedari mereka sudah kehilangan ekor. Kerana begitu asyik tak sedar ekor mereka terpenggal. Mereka sudah lupa bahawa mereka sebenarnya punya ekor mereka sendiri. Walaupun mereka itu menjadi ekor kepada badan yang lain. Sesekali mereka keliru bila dibicarakan tentang ekor. Milik siapakah ekor-ekor yang tak henti-henti ke sana ke mari memadankan kesesuaian mereka. Ada ekor yang panjang, pendek kontot, ada yang bercabang-cabang, berwarni-warni, berkulit keras kematu dan sebagainya kerana tidak dapat dipastikan jenis apakah ekor-ekor itu. Boleh jadi binatang buas atau binatang separuh buas atau kurang buasnya. Walaupun kenyataannya kebuasan akan menentukan bagaimanakah jenis ekor itu. Namun pada saat-saat yang genting kebuasan tidak dianggap penting. Apa yang penting sewaktu genting ialah ekor.

Tidak terkecuali ekor si orang alim dan para ulama yang punya ciri yang lain pula. Mereka menjadi ekor saja dan ikut kepala. Sama ada kepala itu berotak ok atau berotak tak ok, ekor itu ikut. Susah atau senang ekor tak pernah mengisahkannya kepada sesiapa. Ekor patuh dan harus akur. Tidak seperti kepala kerita api. Ada waktunya menjadi kepala, ada waktunya menjadi ekor. Sebentar tadi ekor menjadi kepala untuk ke hadapan. Sejam kemudian ekor yang menjadi kepala itu bertugas menjadi ekor pula. Ekor, kepala. Kepala ekor. Analogi ini barangkali lebih mulia malah realistik kerana kepala dan ekor saling bekerja. Ekor sudah melihat kepala lebih arif tentang arah jalan di hadapan mahupun di belakang

Ada kalanya kepala terlalu berkuasa. Namun anda sudah tentu pernah mendengar ekor juga lebih besar kuasanya daripada kepala. Ekor ini bukan sebarang ekor. Tidak kisah di abad mana atau di alaf yang mana dan musim-musim yang bagaimana anda akan bayangkan. Ekorlah yang memanjangkan usia kepala. Sebab itu kepala juga sering saja pusing kerana ekor yang terlalu panjang. Di mana kepala di situlah ekor. Ekor juga akan menentukan kepala harus ke mana dan di mana. Kemana-mana saja ekor dan kepala ada bersama. Di mana-mana juga kepala dan ekor bersahabat baik. Baik dalam pengertian yang berbeza daripada pengertian yang biasa difahami. Baik juga dianggap tidak baik apabila kebaikan itu bermotifkan kepentingan sehala. Apa tah lagi jika kebaikan itu bermakna putaran kehidupan kepala akan berlaku apabila kepala akhirnya menjadi ekor kerana ekor sudah pasti menunggu masa menjadi kepala. Jangan tidak berwaspada. Ekor yang pernah anda injak dan biarkan di dalam keluarga sampah saraf akan melakukan hal yang sama suatu waktu yang lain apabila sampah saraf menjadi negeri yang membanggakannya. Sampah dan saraf melambangkan kedaifan yang tidak selamanya daif. Di negeri sampah dan saraf ekor sudah pasti mempelajari segala bau memberi makna bagaimana bau itu boleh diubah menjadi bau yang enak dihidu. Segala ulat, bangkai, raungan lalat, rakusnya anjing-anjing dan malu-malu tikus akan mengubah senario negeri sampah dan saraf itu. Ekor yang berada di situ menjadikan pengajaran bau sebagai amaran kepada kepala-kepala yang selalu lupa bahawa di dalam kepalanya itu tidak semestinya otak tetapi lain misalnya batu atau kayu.

Benar, anda adalah ekor. Barangkali pada masa ini anda juga kepala. Sekali gus anda kepala dan juga ekor kepada kepala anda. Bagaimanakan ini? Kepala yang mengepalai ekor anda adalah ekor yang mengepala batukan kepala anda. Mengepala kayukan juga sekali-sekala kepala anda sendiri. Kepala anda itu batu yang selalu disebut kepala batu. Di dalam kepala, kepala ekor yang anda punyai terlalu digambarkan seribu satu persoalan yang mahu dihuraikan. Sering juga digambarkannya bahawa ada orang yang disangkakannya lupa tetapi sebenarnya andalah yang lupa. Kepala anda sudah telalu tua. Kepala anda terlalu dipengaruhi usia tua anda itu. Tua kepala anda kerana ketuaan anda sahaja bukan tua kematangan anda. Anda tahu? Begitulah ekor anda. Ekor anda ikut kepala. Kepala juga ikut ekor anda. Kepala dan ekor sama saja. Ke hulu dan ke hilir tak ada beza. Kepala walaupun lebih tinggi daripada ekor, ini bukan persoalan yang harus ditimbulkan. Ekor selamanya memang di bawah. Kepala juga selamanya di atas. Itulah lambang kuasa.. Maka harus diingatkan bahawa kepala apabila menjadi ekor selamanya dia mungkin kehilangan kepalanya. Otaknya sudah berpindah ke buku lali. Atau menjadi perhiasan semata-mata di dalam lakaran para pelukis atau seorang sasterawan sezaman. Mungkin saja dihias di dalam bingkai dan diletakkan di dalam muzium kebangsaan. Hanya menjadi sejarah yang akhirnya menjadi bualan sekurang-kurangnya berbunyi begitu: kasihan, inilah kepala yang hilang!.

Saya bukan penentang kepada kepala saya sendiri! Ini amaran untuk kepala yang matanya digayai hantu dan tua bangka!. Maksud saya hatinya juga sudah membeku. Jika pernah saya tekankan bahawa kumat kamit mulut kepala yang ini hanya tahu memberi amaran kepada kepala kepada ekor-ekor yang padanya mudah diinjak-injak (maksud saya ideanya mudah dikesampingkan kerana keekorannya), memang benarlah demikian. Kepala yang ini tahunya mengepalakan kepalanya tidak lagi ekornya. Pergi jahanam dengan ekornya. Dialah kepala segala kepala. Bukan kepada kepada segala ekor. Ekor tidak memberi apa-apa konotasi yang mulia untuknya. Kepalalah untuk kepalanya. Ekor untuknya hanya tahu duduk di sebalik cermin dan berkata-kata tanpa didengarinya. Kepala mereka itu sebenarnya kepala hantu yang berkepala-kepala dungu sebenarnya.

Sayalah ekor untuk kepala saya. Anda fikirkanlah bahawa saya ini hanya ekor dan juga kepala untuk diri sendiri. Jika saya kepala dan sayalah ekor mudah-mudahan ekor dan kepala berjalan seiring. Kepala tidak mengkotak-katikkan kepala-kepala yang punya ekor-ekor yang bebal dan kerbau. Apalah namanya kerbau tanduknya tak berguna langsung. Ekornya juga yang memberi khidmat menghalau lalat atau bangau. Apabila hidungnya dicucuk apakah peranan tanduk dan ekornya? Inilah dia yang tidak wajar dicontohi. Masyarakat kerbau memang tidak boleh memberi contoh kepada para kepala dan para ekor yang tahu nilai diri dan tahu menghargai ekor atau kepalanya.

Rupanya anda tidak memahami idea yang mudah ini. Mudah lagi kata seseorang meminta pelayan semangkuk sup ekor atau kari kepala ikan! Namun awas, ekor yang ini tidak memberi kebaikan yang baik seperti juga kepala yang beraroma itu. Anda mungkin tidak mati kebulur atau mengeringkan erti otak sebenar. Sebab itu kembalilah menjadi ekor setelah menjadi kepala. Kepala anda barangkali sudah besar, punya kuasa dan berkaliber yang menghakmilikkan suara yang besar, tingkah yang besar dan membosankan. Inilah yang melupakan akal anda terhadap ekor yang di bawah itu. Menjadi haiwan lebih senang daripada menjadi manusia. Menjadi manusia lebih mudah ketimbang menjadi insan yang menghargai daripada meminta dihargai. Maka nyatakanlah pendirian ada apakah anda sekarang ini kepala atau ekor?


Kota Kinabalu-Beaufort

Khamis, Februari 05, 2009

Resam Bangsa

begitulah lazimnya bangsaku
sudah terhantuk barulah terpinga-pinga
melihat kekosongan di hadapan mereka
setelah berlaku dan terangguk-angguk hanya

begitulah biasanya bangsaku
sudah menjadi bubur barulah menyalahi padi
sudah menjadi mayat barulah mencurigai tingkah diri
sudah menjadi abu barulah mempercayai mamahan api

begitulah resamnya bangsaku
dihantuk barulah tahu ada makna hari kelmarin
diketuk barulah faham ada hikmah pengalaman semalam
dilentur barulah tersipu ada malu terpaksa ditelanjangkan

seperti perli orang lama
sudah terhantuk barulah terngadah
seperti masa lalu berupa peristiwa kitar semula
bangsaku gigih menuju maju tetapi teruja juga ujiannya.

Rabu, Februari 04, 2009

Seekor Binatang di Lorong Diri

Kulihat sesuatu yang datar ketika seekor binatang masuk
ke lorong diri. kupegang nafasnya. kuletakkan di kaki hati.
ia menjadi arnab yang berbulu lembut. sewaktu menjadi sutera
salju kalbu meniduri mimpi-mimpi yang semakin gelora

dataran itu selimut yang kering. seekor binatang itu kian mencakar
cakar sunyi. hatiku semakin dibawa berjuang. berjalan ke hilir
yang berakhir di puncak yang retak. melankolisnya menjadi
awan-awan hitam menenggelamkan angin dingin

seekor binatang di lorong diri tak mungkin mampu keluar
tatkala enggan kubongkar kesasar walau galau sering mengiring
kembara yang menyalakan api di diri.

Kota Kinabalu,
12 April 2004.

Selasa, Februari 03, 2009

Sebuah Tazkirah

Oleh Adi H.Abadi

ISLAM adalah agama yang sangat menitikberatkan kesejahteraan manusia dan seluruh isi alam ini, sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam. Untuk itu Islam sentiasa mempastikan golongan yang kurang mampu, tertindas, kebuluran dan menderita mendapat pembelaan yang sewajarnya. Islam juga mengambil berat masalah anak-anak yatim, orang-orang tua, para musafir, orang-orang miskin yang berjihad di jalan Allah S.W.T., para pendakwah dan orang yang berusaha mendalami ilmu pengetahuan.

Berdasarkan kepada semangat ini, Islam memudahkan sesuatu perkara dan tidak mahu menyulitkan manusia khususnya dalam menghayati ajaran agama atau dalam melaksanakan urusan seharian. Bagi mereka yang beriman, hukum-hukum mahupun ajaran-ajaran dalam Islam merasai bagaimana makna mudah yang dimaksudkan. Dengan menghayati, memperdalami dan mengamalkan seterusnya melaksanakan segala kewajipan dengan ikhlas, amanah, jujur dan yakin nescaya apa jua tanggungan yang dianggap mencabar itu akan menghasilkan perolehan yang sempurna dan dirahmati. Para majikan atau ketua sesebuah organisasi, misalnya, yang turut berada di dalam suasana kerja orang-orang bawahannya akan meringankan beban atau tekanan pekerja-pekerja mereka. Para majikan yang sentiasa berusaha mengambil tahu kebajikan, suasana kerja dan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja mereka akan melahirkan rasa kasih sayang, hormat-menghormati, harmoni dan suasana yang menarik dan mesra.

Sehubungan dengan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: Permudahkanlah dan janganlah menyukarkan, berilah khabar yang menggembirakan hati dan jangan menyusahkan hati dan hendaklah patuh mematuhi dan janganlah berselisih faham. (Riwayat Ahmad)

Menghayati Ajaran Islam
Kenyataan bahawa Islam agama yang mudah hendaklah difahami secara wajar supaya ajaran-ajaran Islam itu tidak pula dipermudah-mudahkan atau dipermain-mainkan. Apa yang dimaksudkan Islam agama yang mudah sebenarnya ialah bahawa ajaran-ajaran Islam itu praktis dan dapat dihayati dalam lingkungan keupayaan manusia. Ajaran Islam itu tidak bertentangan dengan fitrah manusia kerana potensi dalaman manusia itu mampan untuk menggerakkan penghayatan Islam apabila ia dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ajaran Islam bersifat anjal apabila bertembung dengan keadaan yang bertentangan atau berlawanan dengan fitrahnya dan menuntut keupayaan yang melebihi potensi dalaman manusia. Dalam kaedah fiqh telah digariskan prinsip keanjalan ini, yang bererti, apabila sesuatu urusan itu menjadi buntu, ia dengan sendiri membuka ruang untuk dilonggarkan. Sebagai contoh, jika seseorang itu sedang berhadapan dengan keadaan yang sangat dahaga, boleh menggugat nyawanya, sedangkan air tiada kecuali arak, maka arak yang haram itu menjadi halal dalam keadaan tersebut. Tetapi apabila keadaan yang terdesak itu telah pulih, maka arak itu kembali kepada hukumnya yang awal iaitu haram diminum.

Dalam keadaan yang lain, diharuskan orang berbuka puasa Ramadhan jika uzur, dan boleh diganti pada masa lain apabila keadaan kesihatannya mengizinkan. Demikian juga sembahyang boleh dipendek dan dijamakkan apabila seseorang itu sedang dalam keadaan musfir. Semua ini menunjukkan bahawa Islam berpegang kepada prinsip memudahkan dan sentiasa anjal dalam pelaksanaan ajaran-ajarannya.

Bagimanapun keanjalan itu tidak berlaku secara sewenang-wenangnya, sebaliknya ia berlaku dalam disiplin dan tunduk kepada kaedah-kaedah yang tertentu. Umpamanya, keadaan darurat mengharuskan yang haram, tidaklah boleh dipakai sesuka hati, Ini kerana darurat itu dinilai mengikut kadar-kadar yang telah ditentukan.

Islam menghormati kehendak fitrah manusia. Fitrah manusia cenderung untuk melakukan yang mudah. Oleh kerana itu jika ada pilihan untuk mencapai sesuatu tujuan, yang mudah itulah menjadi pilihan. Fitrah ini diakui oleh Islam. Dalam satu riwayat disebutkan: Adapun Rasulullah s.a.w. apabila diberi pilihan antara dua perkara Baginda memilih yang lebih mudah selagi tidak melakukan dosa. (Riwayat Al- Bukhari)

Sudah tentu pilihan itu tertakluk kepada hukum. Pilihan dalam dua perkara yang halal. Tetapi jika pilihan itu antara yang halal dengan yang haram, sudah tentu ukuran mudah tidak diambil kira, sebaliknya perkara yang halallah yang menjadi pilihan.

Ajaran Islam Dalam Pengurusan
Bagaimanakah prinsip yang diperkatakan tadi dapat diterapkan dalam pengurusan? Kita ambil misalnya, dalam hubungan antara ketua dengan pegawai serta kakitangan bawahannya. Seseorang ketua yang bijaksana sentiasa mengambil kira kebolehan dan keupayaan orang bawahannya sehingga tidak membebankan mereka. Bebanan itu akan melambatkan kerja dan menimbulkan rasa bosan dan tidak ceria dalam diri pegwai itu. Jika ia hendak diserahkan tugas baru, ia hendaklah terlebih dahulu menjalani latihan dan dibimbing supaya kerja-kerja yang diserahkan tidak tergendala dan semangat bekerja dalam diri pegawai itu juga tidak luntur.

Alah bisa tegal biasa. Kerja yang payah akan menjadi mudah jika ia dibiasakan, disertai dengan kemahiran dalam diri pekerja. Oleh sebab itu, konsep memudahkan perlu diiringi dengan kemahiran dan kebiasaan sehingga perkara yang payah boleh menjadi mudah. Sembahyang, umpamanya, adalah susah bagi orang yang tidak dilatih atau dibiasakan sejak kecil. Bagi orang yang dilatih sembahyangnya daripada kecil dan melakukan ibadat tersebut dengan tekun serta khusyu’, tentulah sembahyang bukan merupakan beban bagi dirinya kerana ia adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud: Sesungguhnya, sembahyang itu berat, melainkan bagi orang yang khusyu’. (Al-Baqarah: 45)

Faktor latihan, kebiasaan, kemahiran dan dilaksanakan dengan penuh perhatian menjadi penentu sesuatu amalan atau tanggungjawab itu bertukar menjadi mudah. Prinsip memudahkan, dalam penghayatannya mempunyai kaitan dengan kebijaksanaan. Mencari langkah atau cara yang mudah untuk melaksanakan sesuatu tugas menggambarkan kebijaksanaan dan kemajuan. Ia melibatkan usaha rekacipta sama ada dalam mencipta kaedah-kaedah dan metodologi atau dalam mencipta dan meneroka teknologi-teknologi baru.

Memanfaatkan akal fikiran dan berusaha mencari kesejahteraan hidup adalah tuntutan Islam yang sangat fundamental. Ia adalah asas kemajuan dan ketrampilan. Jestru itu, usaha-usaha yang berkaitan dengan kajian, penyelidikan dan mencari sesuatu yang membawa kebaikan, kemudahan dan kesejahteraan kepada manusia, adalah antara perkara yang tergolong dalam kerja-kerja ibadah jika dilakukan dalam lingkungan ibadah.

Pengurusan yang baik tidak akan mengabaikan penggunaan akal fikiran malah usaha sentiasa digerakkan untuk mencari kaedah-kaedah termudah bagi melaksanakan sesuatu kerja. Apabila kaedah yang mudah diperolehi, kos dan tenaga dapat dikurangkan, Ini membawa kebaikan kepada organisasi tersebut kerana berjaya mengelak berlakunya pembaziran, sekaligus dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan tidak membebankan orang ramai.

Mepermudah Ketika Berdakwah
Salah satu daripada prinsip hidup Islam yang penting ialah bahawa dakwah merupakan suatu tanggungjawab. Dakwah diertikan sebagai mengajak dan mendorong diri sendiri dan orang lain suypaya membuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, mengajak orang kepada kebenaran dan meninggalkan kepalsuan. Peranan dakwah cukup penting. Ia tidak hanya wajib dilakukan oleh para khatib atau mubaligh semata-mata, tetapi menjadi kewajipan juga kepada semua orang. Malah melibatkan tanggungjawab pengurusan.

Dalam menyediakan perkhidmatan, konsep dakwah wajib diterapkan. Perkhidmatan yang dipilih hendaklah untuk kebaikan dan bukan untuk menggalakkan keburukan. Begitu juga dalam bidang pengurusan. Pengurusan yang baik sentiasa mendorong kakitangannya ke arah kebaikan dalam semua perkara.

Pendakwah yang berusaha ke arah menerapkan konsep dakwah dalam semua urusan kehidupan mestilah mengamalkan prinsip memudahkan dan tidak menyukarkan. Ia hendaklah mengutamakan amalan yang termudah supaya dakwah itu dikembangkan. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: Permudah dan jangan menyukarkan. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Maka, gunakanlah bahasa yang mudah dalam menyampaikan mesej supaya kehendak mesej itu mudah difahami dan mencapai tujuan yang dikehendaki.

Penutup
Kesempurnaan dalam menghayati nilai-nilai dan dasar-dasar Islam, tidak mungkin dilaksanakan serentak dan sekali gus. Hidangkanlah nilai-nilai yang mudah difahami dan mudah diterima, yang jelas dan terang kepada setiap orang. Dengan itu mudah pula nilai-nilai itu diserapkan sebagai peraturan dan arahan. Tetapi jika yang sukar difahami dan suka diterima, dikemukakan sebagai keutamaan, tentulah akan tertanam sikap penolakan. Lama-kelamaan apa sahaja yang dikemukakan atas nama Islam dianggap sukar dan payah yang menyebabkan tertanam kecenderungan untuk menolak apa sahaja yang dianjurkan oleh Islam. Imej sukar, payah, ganas, ekstrim dan sebagainya dilabelkan kepada Islam menjadi penghalang besar untuk orang Islam dan bukan Islam menerima Islam sebagai mudah.

Oleh yang demikian, bentangkanlah jalan dan kaedah yang mudah diterima, mudah difahami, mudah dilaksanakan, agar kerja-kerja dan tanggungjawab dapat diselesaikan pada jangka masa yang singkat, dengan kos yang munasabah dan berpatutan tetapi tidak membosankan atau timbul kecenderungan untuk mengelak dan mengabaikan tanggungjawab yang diajukan.

Wallahu a’lam.

Ahad, Februari 01, 2009

YANG

yang membezakan kita ialah lurah tapi kau lorong
menyimpan rahsia peristiwa tatkala kutergelincir

yang meletakkan kedudukanmu ialah nikmat manis
saat membebat retak wangi anugerahNya tapi aku
tenggelam dalam gemilang tenang

yang menyelamatkan pohon masih juga keakraban musim
apabila pohon lebih faham tentang arah langit
tetap saja runduk subur mengucap syukur
tapi aku kembali ke daerah asal melerai sesal
di hadapan cermin batin.

Aktiviti HA

TAHUN 2009

1. Ceramah Pendidikan Pengundi - 6/2/2009

2. Taklimat PPSB di DBP Sabah - 8/2/2009

3. Perjumpaan dengan Ketua Bahagian

UMNO Kota Kinabalu - 13/2/2009

4. PPSB di Kem PLKN Tanaki - 22-24/2/2009

5. Seminar Persuratan - 6-8/3/2009

6. Upacara Penutupan PLKN Tanaki - 11/3/2009

7. Kursus Persempadanan di Pulau Pinang- 17-20/3/2009

8.Malam Penghayatan Puisi MaulidurRasul - 28/3/2009

9.Pilihan raya Kecil Bukit Selambau, Kedah - 5/4-8/4/2009

10.Pelancaran Laman Informasi SPR Sabah - 16/4/2009 (Ditangguhkan)

11.Majlis Penulis bersama Ketua Pengarah DBP di DBP Cawangan Sabah - 22/4/2009

12.Bengkel Penulisan Cerpen di SMK Agama Inanam, Kota Kinabalu - 25/4/2009

13.Kursus Training of Trainers di INTAN Kampus Sabah -.

14.Menjalani Ibadah Umrah - 24/5 hingga 2/6/2009

15.Kursus Penyeliaan Berkesan Anjuran SPR di De Rhu Beach Resort, Beserah, Kuantan, Pahang - 15/6 hingga 18/6/2009

16.Kursus Analisis Keperluan Latihan di INTAN Kampus Sabah, Kota Kinabalu - 23 hingga 25/6/2009

17.Kursus Kefahaman Islam Fasa 1 di Mimpian Jadi Resort Tuaran - 3/7 hingga 5/7/2009

18.Ceramah Sistem Pilihan Raya di Malaysia di Politeknik Kota Kinabalu - 11 Julai 2009

19.Ceramah Pendidikan Pengundi di Almacrest International College Kota Kinabalu - 17 Julai 2009

20.Pameran SPR di Pekan Tamparuli - 14 Julai 2009

21.Baca Puisi Teluk Likas di Kantin DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu - 18 Julai 2009

22.Panel Hakim Sayembara Deklamasi Puisi sempena Karnival Kesenian Islam Kali Ke-2 di Wisma MUIS - 21 Julai 2009

23.Pameran SPR di Pekan Beaufort - 24 Julai hingga 26 Julai 2009

24.Program Pendidikan Pengundi di PLKN Kem di Bawah Bayu, Kota Belud, Sabah - 3 Ogos 2009

25.Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di Kem PLKN Tanaki, Tambunan, Sabah - 12 Ogos hingga 14 Ogos 2009.

26. Pilihan raya Kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang - 23/8-26/8/2009.

27. Pameran SPR di Bandar Lahad Datu - 17 Oktober hingga 18 Oktober 2009

28. Kursus Pendidikan Pengundi di Bilik Seminar Terengganu, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Pesekutuan Sabah - 23 November hingga 25 November 2009.

29. Ceramah Pendidikan Pengundi di Bank Simpanan Nasional Kota Kinabalu - 30 November 2009 masa: 2.30 petang.

30. Majlis Penyampaian Hadiah Cerpen Sedco-Bahasa di Bangunan Sedco, Kota Kinabalu - 2 Disember 2009 masa: 9 pagi.

31. Perkampungan Pengarang Sarawak di Miri, Sarawak - 5 Disember hingga 6 Disember 2009.

32. Ceramah Pendidikan Pengundi di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kota Kinabalu - 8 Disember 2009 masa: 9.30 pagi.

33. Program Out-Reach SPR di Pekan Kudat, sabah - 18 Disember 2009 hingga 20 Disember 2009 masa: 9.00 pagi hingga 5 petang.

34. Pengucapan Puisi Ambang 2010 di Dewan Serba Guna Likas, Kota Kinabalu ~ 31 Disember 2009.

35. Pencapaian Terbaik 2009"

1. Menang Hadiah Johan Menulis Puisi Berunsur Ilam (Sutera Pemakaman Putih Cinta) anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sabah.

2. Menang Hadiah Saguhati Menulis Cerpen Berunsur Islam (Kembali Aku KepadaMU) anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sabah.



TAHUN 2010

1. Aktiviti Outreach SPR di Kg Sapat Papar - 2/1/2010 masa: 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

2. Aktiviti Outreach SPR di Kg Bangka-Bangka Likas - 3/1/2010 masa: 8.00 pagi hingga 1.00 petang.

4. Majlis Makan Malam Tahunan SPR Sabah di Hotel Promenade, Kota Kinabalu - 9/1/2010 masa: 7.30 malam hingga 11.00 malam.

5. Mesyuarat Penaja Koperasi Penulis Sabah (Ko-PEN) di Likas Plaza, Kota Kinabalu pada 10/1/2010 masa: 9.00 pagi.

6. Lawatan Staf PPN Kedah pada 14-17 Januari 2010.

7. Taklimat 5S PPN Sabah kepada rombongan Staf PPN Kedah di Bilik Mesyuarat PPN Sabah - 14 Januari 2010.

8. Bengkel Pengenalan MS-ISO 9002:2008 di Bilik Seminar Aras 2, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah pada 18-21/1/2010 masa: 8.00 pagi hingga 4.30 petang.

9. Taklimat SPR di Dewan Serba Guna Tebobon - 20 Januari 2010 masa: 2.00 petang - 4.00 petang.

10.Penataran Sastera IPS di Likas Plaza, Kota Kinabalu - 24 Januari (Ahad) 2010 masa:9.00 pagi - 12 t/hari.

11. Gabi bagi meraikan Pegawai Akademi Pilihan Raya, Encik Mokhtar Ahmad - 27 Januari 2o1o masa: 7.30 malam.

12. Mesyuarat dengan INTAN Sabah di Kompleks INTAN SABAH - 28 Januari 2010 masa: 9.00 pagi.

13. Kursus Pengucapan Awam di INTAN Sabah - 9 Februari hingga 12 Februari 2010 masa: 8.00 pagi - 4.30 petang.

14. Pameran SPR dan Pendaftaran Pemilih di Intan Kampus Sabah - 5 Februari 2010 masa: 8.00 pagi - 11.30 pagi.

15. Pelancaran Antologi Cerpen dan Puisi 'Menggapai Sinar' dan pementasan teater budaya 'Kembara' anjuran Pelajar PISMP Bahasa Melayu IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu. Tarikh: 5 Februari 2010 Tempat: Dewan IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu Masa: 8.00 malam.

16. Aktiviti Outreach SPR di Kg Contoh Suang Parai, Kota Kinabalu - 6 Februari 2010 masa: 8.00 pagi - 1.00 petang.

17. Taklimat PPSB di DBP Cawangan Sabah - 13 Februari 2010 masa: 9.00 pagi.

18. Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di Kem PLKN Tanaki, Tambunan, Sabah - 17 Februari hingga 19 Februari 2010.

19. Pendidikan Pengundi SMK Agama Limauan, Kimanis di Bilik Gerakan SPR Sabah Kota Kinabalu - 22 Februari 2010 masa: 10.00 pagi.

20. Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di Kem PLKN KK Di Bawah Bayu, Tuaran, Sabah - 22 Februari hingga 24 Februari 2010.

21. Pementasan 'Protes' karya Dinsman oleh Ten Sense Lab IPS di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan Sulaman, Kota Kinabalu - 24 Februari 2010 masa: 8.00 malam.

22. Pementasan Puisidra Balada Paduka Mat Salleh oleh pelajar SMK Likas di Dewan Resital UMS, Kota Kinabalu - 24 Mac 2010 masa: 2.00 petang.

23.Program Juara Rakyat di Lahad Datu - 25 Mac 2010 hingga 28 Mac 2010.

24.Setiap hari Sabtu menyertai Kursus Haji di Masjid Negeri Kota Kinabalu.

25.Program Pemimpin bersama rakyat di Pulau Mantanani - 12 hingga 14 April 2010.

26. Dilantik menjadi panel hakim Peraduan Menulis Puisi karya banduan anjuran DBP Cawangan Sabah dan Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu.

27. Bertugas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen P.094 Hulu Selangor - 23 hingga 26 April 2010.

28. Ceramah Pendidikan Pengundi anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tuaran, Sabah di Dewan Giat Mara, Tamparuli, Tuaran - 28 April 2010.

29. Kursus Penulisan Laporan dan Kertas Cadangan anjuran Kampus INTAN Sabah - 4 Mei hingga 6 Mei 2010.

30. Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di Kem PLKN Tanaki, Tambunan, Sabah - 20 Mei hingga 22 Mei 2010.

31. Pameran Pendidikan Pengundi sempena Majlis Tilawah Al-Quran di Wisma MUIS pada 28 Jun hingga 3 Julai 2010.

32. Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di Kem PLKN Tanaki, Tambunan, Sabah - 4 Ogos hingga 6 Ogos 2010.

~ Hasyuda Abadi ~