Sabtu, Oktober 20, 2018

Puisi


PANDANGAN DI SEBERANG JALAN
Dua helai daun yang gugur di hadapan pengadilan mencari kebenaran antara timbunan daun-daun kering.

Kedengaran gempa gempita di jalanan bukan tsunami bumi tetapi mereka meniup kemarahan terhadap perubahan cuaca. Ada kejengkelan dan ada kebencian padahal hanya helaian daun yang gugur, yang menerima tamparan angin baharu dari semarak burung-burung di belantara.

Di persekitaran telah lama berdoa agar datang cuaca baharu buat mereka. Pohon besar dan tua di seberang jalan itu harus diratakan dan disirnakan dari pandangan dan ingatan. Ketika serpihan daun-daun ini dikutip cahaya purnama dan para semut serta soldadu ulat di dahannya menyapa dengan tanpa sukma, layu sayu dan pilu.

Apakah masih mampu daun-daun menjadi baja buat pohon-pohon yang bertunas, hanyalah sebuah kepercayaan yang tak mungkin lunas. Mustahil, sergah angin yang berligar di udara. Ini cuaca baharu biarlah lahir dauan-daun baharu yang mulus menuju di puncak dengan aman dan amanah.

Izinkan tumbuhan yang layu dulu ikut mekar bersama mendukung dan menyokong. Matahari menyinari segala kemahuan biar pun ada purnama yang meminjam cahayanya.

Di atas jalan keadilan ini bawakan obor dijulang menjadi sinar meluncurkan siaga perjuangan. Bakar ragam fitnah menjadi sunyi redup hidup sejahtera ukhuwwah bersama.

RupHA, 2018




SUKA-SUKA

Kita suka jika semua suka, lebih suka jika sejujurnya menyapa saat salah, pabila silap masih bisa digilap.

Bukan sokong hanya di lidah, mata liar, hati membakar, niat dicalar. Satu hari pabila jalan mula bersimpang, lidah mula mencabang, merobek-robek busana, mencalar balar jiwa.

Di situ lahir domba-domba diadu dan giuk-giuk iri menjalar. Bagus dihindar, kerana kita suka untuk semua suka bukan mencuka suka yang telah lama luka.

RupHA, 2018






PENUMPANG

Sebelumnya seperti rumputan di jalan, disapa tidak apa lagi melihat kerana hanya rumputan, sama seperti habitatnya yang lain. Apatah tumbuhan yang menumpang. Kau dengar bingarnya. Kini berbeza siapa pula yang menumpang. Dulu rumputan yang melata sekarang menjadi perhatian di atas jalan yang amat berharga. Satu persatu habitatnya dicatat dibela dan dibelai. Habitat manusia dalam menilai dan memberi harga diri.

RupHA, 2018




MENARIK TALI DI AIR

Bertikam lidah bukan berbalah, andai kau belah-belah dengan bilah belati, aku tetap tabah; kadang beralah bukan bererti kalah, sambil mencelahnya cahaya ada indahnya cinta, jika kau mahu memahami makna sedia setia kerana memilih berpada dalam bermadah, tertib ketika bersuara, ibarat menarik tali dalam air, tali tidak putus air tidak berkocak.

RupHA, 2018


  
LIDI

Hanyalah sebatang lidi apalah kuatnya. Kau siapa? Kau bingung bila menjadi lidi kerana tak tahu tak mampu menjadi sapu. Yang kau tahu hanya melukis mimpi di laman yang penuh kesumat. Sekali angin menyiku kau bakal patah! Bersederhanalah tatkala faham kekuatan sebatang lidi bahkan menyatu menjadi ikatan yang padu malah tak bersatu.

RupHA
27.9.2018



DARI KERIKIL KE KERIKIL

Bermain dengan kata-kata sering mengajakku dan kalian semua berkongsi senda. Kami tak ingin ketawa cukuplah sendawa kenyang menelan celoteh sandiwara.

Kelmarin kau kutip kerikil yang berkecai itu tanpa mahu berkata malu. Bahkan dari balut rupa yang pongah menghabiskan bidikan serta bisikan orang-orang yang rungsing. Tiada keberanian untuk berjiwa besar daripada santun jiwa yang kental.

Sebuah kamus aib telah diangkat menjadi kemanusiaan. Tiada berasa pelik apa lagi mencambahkan tunas pendewasaan. Sekadar seekor kepala dikerumuni soldadu yang tunduk angguk mengecap pedih di leliang lukanya.

RupHA
25.9.2018



PENYAIR MARHAEN

Aku duduk di sisi penyair dan penyiar di bawah 
tenda yang suram sambil membaca fikiran 
sama ada akan jatuh ke laut atau terbang ke 
langit. Tongkat ini memandu. Apakah kau 
tahu?
Aku hanya penyair, katamu, selayaknya
menyantuni marhaen yang tidak pernah 
memberitahu deritanya, selidi sate dan 
air kupi itu, kataku, mungkin memadai, kita
pernah menyulam ilmu dari yang tahu, sajilah
setelah kembali tidak hanya bekas angin
mengiring.
Pekat malam ketembusi jalan paling indah
bersama matahariku. Penyiar tak akan berkata
apa yang berlaku di udara. Penyair bahkan 
bisa meraih fikirannya di mana-mana.

Sipitang - Lumadan, 2018


TALI
Antara dua saling bertekak
di sini tidak
di sana juga tidak
jadilah tali penegak
gelora di jiwa berombak
api telagah yang marak
inilah tali yang mengikat
jangan silap menyulam kata
jangan salah memilih lilitannya
ikat jangan sembarang niat
tidak hanya semangat 
tanpa mulia jiwa disemat

jika menjadi tali jadilah pengikat
yang utuh dan tegap
kalau longgar mudahnya terlepas
hilanglah prinsip simpul yang dipegang
sebagai azimat berzaman
jadilah tulang dan tunjang
jangan biarkan pengikat khianat

Penentu siapa menang siapa tewas
berawaslah ketika tali direntang
jangan jauh alihnya dari niat
perjuangan tidak semata pada kuat
tumpuan dan gerakan harus senafas
pinggirkan nafsu hanya mahu
rentap dan beringat tali ini 
bukan digenggam hujungnya
bahkan seluruh siratan kalbunya.

RupHA
13 Sept 2018




















 

Puisi


PESAN SEDERHANA
UNTUK PERMATA BANGSA
Anak-anakku, seperti embun yang jatuh dan tumbuh di hatiku rama-rama yang menjadi taman. Apakah kalian faham? Tentu tidak, begitu rumit dalam mencari makna kehidupan namun dalam kepayahan itulah pesan untuk terus mencari, menggali, belajar dan belayar hingga di hujungnya kejayaan.

Anak-anakku, setiap hari kita semua telah ada tanggjungjawabnya, Cikgu berada di dalam diri melalui setiap sudut rahsia perbuatan dan fikiran. Kalian tidak bermula dari kosong atau tiada langsung, kalian pandai bercakap, kalian boleh bernyanyi, kalian juga suka bermain, kalian mencintai ilmu. Inilah perjuangan.

Anak-anakku, tugas guru bukan semata-mata menggurukan segala ilmunya, tidak, bukan itu tetapi lebih daripada itu. Guru ingin membina jati diri anak-anak didiknya tetapi tidak semudah itu apabila tanggungjawab anak-anakku semua tidak dilakukan padahal kalian tiada yang tidak boleh. Mesti boleh, mesti boleh. Mesti mahu, mesti mahu apabila yang ada dalam hati dan yang ada dalam fikiran adalah niat benar ingin besar oleh ilmu dan berjuang dengan gigih, dengan rajin dan azam.

Anak-anakku, kalian adalah generasi yang terbaik tetapi mesti menjadi pendengar yang baik, mesti menjadi pelajar yang dinamik, tidak mudah kalah serta putus asa. Jadikanlah masa muda sebagai landasan yang kukuh dalam menimba ilmu. Tanamkan di dalam qalbu mahukan kejayaan sampai jauh. Hingga kemana-mana di tanah air ini. Jangan hanya di sini tetapi pada peringkat yang lebih tinggi.

Anak-anakku, jangan berasa kalah sebelum mencuba. Ketika berusaha mencuba laluilah segala ujian dengan tabah. Tekadkan dalam hati tidak ada yang mustahil andai semangat dipadukan dengan tekad.

Cikgu tidak selamanya bersama namun dalam jiwa ingatilah pesan dan didikan, jangan lupa membawanya di mana jua. Cikgu hanyalah pemudah cara agar jelas jalan dalam memilih yang betul dan benar. Agar jelas dihindari mana yang salah. Kalian permata bangsa. Ingatilah pesan yang amat sederhana ini, kata-kata yang membawa perjalanan kalian lebih membuka pintu masa depan yang gemilang dan cemerlang.

RupHA
Kg Gudon Manggatal.
5.10.2018.

Puisi

WAYANG
Memang gigih saat kamera masyarakat merakam segala ragam saling disambut dirai dengan perang.
Tak payah gendang, mata-mata ada dalam peristiwa, ikuti tayangannya, tak perlu sutradara, segala tersedia produksi hidangan perdana momokan biar sekecil kuman.
Kamera masyarakat membuat liputan melipat-lipat bobrok, saat diselak rahsia peristiwa ia menjadi box office, biar tak kelihatan pekerja panggung, pentasnya sukma manusia.
Proses anugerah lima tahun akan diikuti bukan sekarang, maka persiapkan kewibawaan, paparkanlah kewibawaan yang dibawa, jangan sesiakan kesetiaan, sebilangan telah sirna oleh tipu daya.

RupHA
10.10.2018


GHURUR 

Fitnah melawan fitnah apa yang akan terjadi tatkala mahu membuka lorong bohong yang kelihatan hanya keributan. Ya keriuhan kian diperkasai, diisi isi-isi sampah perbahasan, seperti tak ada lagi sinar yang mengangkat ruh ketulenan, telah di mana syurga diri berada seperti dulu gemilang kini digulung-gulung hela helah.

Jika di singgahsana berasa cukup sempurna berada sedikit tinggi, menggalas sedikit kuasa, berbakti beberapa amanah sedikit mencuba, telah berani berkata beza pada buatnya, meninggi diri lebih dari seharusnya. O sungguh terpedaya oleh ghurur yang disangka mahsyur menghumban kepalsuan bersamanya.

Siapa sebenarnya lebih bahagia untuk dihormati, lebih dihargai dari bobroknya harga kejanggalan berbuat kebaikan. Maka yang ditumpu adalah kekalutan. Kekalutan dibalut kulit-kulit yang mulai lari dari kepala.

RupHA
10.10.2018

 SELOKA BERADAB

Bebas boleh bebas asal tidak terlepas dari landas. Bebas boleh bebas asal tidak terbabas dalam tingkah berawas. Bebaslah bebas, harus diurus juga adab yang lurus. Andai patah adab tumpaslah makna bebas. Bebas membawa pedas padah. Mari santunkan bahasa yang sederhana. Tak salah berkias asalkan tidak terkial-kial masa bermadah. Latihi diri pada waspada teman beringat. Kalau jatuh jangan ditimpa tangga. Manalah sempat naik bila tak lagi sempat menempat diri. Akhirnya merempat di anjung sendiri.

RupHa
10.10.2018


SEKAM SUKMA

Tak sulit membaca benci 
begitu ketika suka
hanya sebaris aksara huruf
kutahu di mana sukmamu berpaut

Seperti tak lagi ditemui maksud
dari tabii alam yang kalut
tak diam kalam dan lidah mencarut
inti kejahatan jua dibiar berbalut

Bukan payah melupakan masalah
lebih mudah memelihara bara
dalam sekam parah membarah
kerana pilihan bertahta di mata beraja

RupHA
9.10.2018

Khamis, Oktober 18, 2018

Puisi


PENJAGA RENTA

Ah! Kau tak lagi tahu bagaimana meletakkan huruf-huruf apa lagi menulis sebuah makna. Deria yang mati bersama sukma yang beku. Entah kepalsuan apa yang membawanya menjadi suara ulat. Selesai daunan setaman dan wangiannya. Maka rumah yang agam seperti purba yang ditinggalkan dan kau penjaga renta dan kusam.

RupHA
17.10.2018


 LADANG MINDA
- sebuah adaptasi diri

Hari ini kubelajar tentang harga diri. Apakah yang kau fahami dari dua kata itu? Bukanlah persoalan mahal atau murahnya seperti seseorang memasarkan komoditinya di pasar. Tetapi kau mencabar matahatiku ketika aku sedang menggemburkan ladang minda. Benih telah kucari hanya menunggu masa menyemai di ladang. Saat ini cuaca sangat baik bila bercakap mengenai kesuburan. Iya soal rezeki itu anugerah tetapi usaha dari diri manusia. Aku amat siaga menyiangkan ladang mindaku sejak beberapa minggu. Ada acuan yang tidak ada pada pekebun sastera lain. Di mana pun. Tetapi hari ini kau musnahkan ladang itu tanpa memandang sedikit pun ehsan benih fikir yang sedang mekar akarnya. Lihatlah tunas benih yang sedang merekahkan permukaan bumi. Aku tahu. Bukanlah pekebun yang begitu pandai. Tanamanku pun tidak semuanya mekar namun siapa tak tahu hasil yang kutuai dihayati ramai orang hingga ke negeri asing. Aku takut mengatakan bahawa kau amat bodoh dalam menilai tetapi bukan juga salah jika benar aku hanyalah seperti sampah yang boleh dipungut atau biarkan saja angin senja membawa pergi. Jika begitu benarlah ketika terbangun gedung yang besar itu tidak meletakkan hasill kerja ramai yang senasib sewajarnya. Dengan pandang polos aku mengerti bagaimana pertimbanganmu membawa jentera dari luar yang lebih bertenaga. Kera yang jauh diumpankan susu anak sendiri dibiarkan seperti sampah. Dengan maksud rendah diri biarlah dengan nama pemberi rezeki ladang mindaku sentiasa kubajai. Lukakan meski pedih lakukankah aku takkan melupai. Tak mampu kuruntuhkan gedung itu biarlah ia terus sepi tanpa matahati yang sirna.

RupHA
Kg Gudon
17.0.2018


SUARA YANG MENYALA

Hari ini fikiranku diganggu oleh suara yang menyala, kufikir ia menjadi api, rupanya tak mungkin lebih jauh meratakan singgahsana fikir. Kawan-kawanku menuliskan ayat-ayat besar di dahi. Keteliti menjadi inti qalbu sebelumnya dibawa jauh ke ufuk cakerawala. Aku mahu bersuara lagi bukan bahasa seteru, sebagai mencinta damai, hadirlah mesti duka dan luka, hadirlah meski tikaman maha nyaman, kau tak sanggup bertkam. Ini zaman edan, tikaman bukan permainan, langkah benar dalam ribuan bunga pasti mengikat dangkal pilihan.

Hati ini telah diikat. Siapa lebih berani berlawan, kata dengan kata, sajak dengan sajak atau novel menyiram tubuhmu dengan ambar makna.

RupHA,
16.10.2018




MENCARI ILHAM
dalam sum-sum kata sebelum mencetuskan makna seperti daun-daun yang menetas dari liang cinta. Berbahagialah ketika ilham menyapa, dari syurga.

RupHA
15.10.2018

  

MENCARI
Jika dapat kau lipat saja 
seperti melipat kertas
susun kebaikan dan letak
pada rak-rak waras

Setiap kali kau berawas
tak lepas dari pengawas
yang rajin menyimpan silap
sesiapa saja yang tak bersiap

Digali lagi selagi tak puas
selagi tak kedengaran ngauman
membelah bumi diri
menggulung-gulung isi hati

Begitu disingkap tabir takdir
kau kenal enau dan belukar
ketika dunia meninggalkan maju
di sekeliling masih menilai ajar

Mungkin ingin seribu mahu
di hati membeku dendam membatu.

RupHA
12.10.2018