Rabu, Jun 21, 2023

Retrospesktif Karya-Karya Amil Jaya

SALAH satu dewan tertutup yang sentiasa digunakan orang ramai di Kota Kinabalu adalah Dewan Amil Jaya yang terletak dalam Kompleks DBP Cawangan Sabah. Amil Jaya atau nama sebenarnya Datuk Haji Ismail Abbas sudah tidak perlu diperkenalkan kerana nama besar ini telah termaktub dalam sejarah kesusasteraan tanah air. Beliau merupakan seorang sasterawan di antara ratusan penulis watan yang terkemuka yang banyak menyebarkan ilmu serta buah fikiran menerusi karya-karya kreatif dan bukan kreatif sejak sebelum merdeka lagi. Disebabkan minat dan bakat besarnya, apatah lagi secara kebetulan beliau pernah berkhidmat sebagai guru sebelum bergulat sepenuh waktunya dengan kegiatan bahasa dan sastera, nama Amil Jaya sentiasa menerangi ujana sastera Negeri di Bawah Bayu. Keterlibatan sepenuh masanya dengan dunia persuratan apabila menyertai Biro Kesusastearan Borneo cawangan Sabah pada tahun 1974 dan seterusnya dilantik sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1977 menjadikan Amil Jaya konsisten di cakerawala sastera dalam kehidupannya. Amil Jaya amat sinonim dengan pergerakan sastera di Sabah, walaupun hanya dengan 5 buah novel, lebih kurang 30 buah cerpen dan 24 kuntum puisi hasil kalamnya dalam suatu jangka masa yang panjang, namun begitu kuantiti bagi seorang sasterawan yang
hebat
bukan merupakan syarat untuk memberikan pandangan ataupun buah fikiran yang terpendam di dalam mindanya. Isu dan tema yang sering diungkapkan Amil Jaya amat pelbagai dan lebih penting lagi karya-karya beliau tidak mudah berkarat oleh peredaran masa.
Catatan ini berusaha membawa perbincangan terhadap pemikiran Amil Jaya menerusi karya-karya puisi beliau. Jika dibanding karya-karya berbentuk prosa, puisi-puisi Amil Jaya tidak dapat menandingi karya penyair-penyair yang lain di Sabah khususnya yang mutakhir. Namun begitu sekali lagi ditegaskan bahawa untuk menelusuri kehebatan sasterawan Amil Jaya kuantiti bukanlah aspek yang amat penting. Namun begitu apakah kualiti yang terdapat dalam pemikiran Amil Jaya memberikan impak yang besar seganding dengan karya-karya novelnya seperti Cerah (1976), Ngayau (1977), Bagaton (1987), Mariga (2012) dan Ngayau 2 (2015)?
Catatan ini juga akan mendekati persoalan puisi yang harus dilihat secara positif kerana persoalan dalam sesebuah karya sastera menjadi nadi yang amat penting. Menurut Kemala, persoalan sangatlah luas untuk dibincangkan, seluas cakerawala, seluas kehidupan lahir dan batin. Persoalan boleh sahaja terungkap daripada soal-soal lahirian dalam kehidupan daripada persoalan peribadi, keluarga, politik, patriotisme dan sebagainya. Jika mahu disorot satu persatu persoalan dalam puisi-puisi Melayu kita akan berjumpa dengan tema-tema yang disebutkan, bezanya barangkali hanyalah pendekatan masing-masing penyair ketika mengungkapkannya menjadi sebuah karya sastera yang besar.
Meneliti puisi-puisi Amil Jaya, kita sebenarnya dapat merasakan ketebalan unsur-unsur moral yang bersembunyi di sebalik umbut diksi yang dipilih. Meskipun puisi-puisinya memperincikan gambaran tentang masyarakatnya dengan jelas, matang dan terperinci tetapi kita boleh rasakan unsur-unsur moral seakan menjadi premis penting bagi setiap karyanya. Dan yang paling nyata lagi ialah keakraban Amil Jaya dengan tema-tema nasionalisme dan cintakan tanah air.
Amil Jaya amat juga peka dengan persoalan alam sekeliling yang lebih luas. Penyair ini didedahkan peristiwa-peristiwa masa lalu dan semasa kemudian dihubungkannya dengan dalaman dirinya sendiri. Dari situ terpancarlah beberapa pandangan hidupnya mengenai alam yang dibincangkan. Tanpa disedari secara langsung atau tidak, karya-karyanya menyelitkan unsur-unsur moral yang menarik. Ternyata Amil Jaya tidak sahaja melihat sesuatu itu dengan pandangan yang kosong tetapi dicerna dan kemudian dihiaskannya dengan falsafah serta nasihat yang wajar.
Dalam menyemarakkan unsur-unsur nasionalisme dan cintakan tanah air, Amil Jaya seperti rakan-rakan penyair sezaman dengannya mencetuskan rasa cinta yang amat mendalam sebuah kebebasan daripada sebarang penindasan dan penjajahan. Era penjajahan sentiasa menggugat kewibawaan seorang warga. Penyair menyampaikan hasrat rakyat untuk memerdekakan tanah air, bangsa dan agamanya sebagaimana dalam puisi Kita Harus Iri Hati. Beliau menyeru para pemuda dan pemudi supaya bangun dan memandang jauh ke hadapan. Mereka harus mencontohi negara-negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah.
Amil Jaya memikirkan masa depan bangsanya kerana itu penyair ini memperagakan bahawa hanya peredaran zaman sahaja yang akan menentukan kemenangan di pihaknya. Ini dicetuskannya dalam Sabah Nan Indah yang dihasilkannya pada masa yang sama dengan puisi Kita Harus Iri Hati iaitu tiga tahun sebelum kemerdekaan Sabah menerusi penubuhan Malaysia.
Melalui kepekaan yang tajam dan berlanjutan, seorang penyair boleh menterjemah kehalusan moral secara positif. Dalam Orang Kota, Orang Desa, Amil Jaya menggambarkan nada melankolis terhadap manusia yang menyalahgunakan kuasa di tengah arus pembangunan yang berlangsung. Hakikat seumpama ini memang lumrah tanpa mengira tempat. Lazimnya gambaran sedemikian sering tercampak daripada sikap lupa diri dan kurangnya sifat-sifat integriti dan amanah di kalangan mereka yang mempunyai sedikit kuasa. Mereka malah gemar memanupilasi kata-kata manis sewaktu memerlukan demi mencapai cita-cita atau kepentingan peribadi semata-mata. Dan ini kerap kita lihat waima pada hari ini sekali pun.
Protes sosial begini menampilkan pesanan atau amanat kepada insan yang hipokrit atau mementingkan diri bahawa sikap tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, kepercayaan yang dibahukan kepadanya untuk mewakili rakyat di peringkat tertinggi dalam negara atau negeri hendaklah dijalankan dengan betul, adil, jujur, saksama dan sesama sejajar dengan nilai-nilai murni sesuatu bangsa yang bertamadun dan merdeka.
Pengalaman merupakan sumber utama bahan karya. Ia merupakan ilmu alami dan abadi. Ilham bukannya seperti air hujan yang gugur dari langit. Ia mesti dikejar dan dibina sendiri. Melalui pengalaman segala peristiwa yang ditemui akan menjadi bahan utama yang hidup, bersih dan asli. Hakikat ini tidak akan dinafikan oleh sesiapa, sama ada penyair terkemuka atau penyair mutakhir, kerana jika anda memulakan penulisan dengan pembinaan ayat yang indah tetapi tidak lebih daripada intipati yang kosong apalah ertinya.
Menghubungkan pengalaman dengan insan Amil Jaya, kita tidak perlu terpegun lebih lama. Amil Jaya adalah satu-satunya idola yang sering mengutarakan bahan-bahan karya berteraskan asas-asas ilmu yang asli. Ini terbukti apabila kita menganalisis karya-karya Amil Jaya yang ternyata bukan bersumberkan bahan yang remeh-temeh. Beliau tidak sekadar melihat bahkan merasa dan menghayati setiap fenomena alam sedalam-dalamnya. Ia mengkaji sehabis utuh agar setiap amanah yang mahu dipancarkan itu merupakan perolehan yang luas dengan maksud pandangan yang menyeluruh.

Walaupun kita harus meletakkan tanggapan di manakah aras Amil Jaya sebagai penyair di tengah-tengah ribuan puisi hasil tulisan generasi baru mutakhir, saya beranggapan bahawa Amil Jaya memang mempunyai pemikiran yang besar sesuai dalam zamannya. Saya juga berpendapat setiap zaman perlu lahir seorang yang tidak akan ada lagi selepasnya dengan ciri-ciri kepenyairan yang asli baik dari segi sikap, fikiran, dan keindahan karya-karyanya. Selepasnya nanti ialah generasi yang akan menjadikannya idola berdasarkan pengalaman besar beliau dalam dunia sastera dan budaya tanah air sehingga akhirnya Amil Jaya menerima anugerah berprestij di Asia Tenggara menerusi ‘SEA Write Award’ yang diterimanya di Bangkok Thailand pada tahun 1992. Amil Jaya menjadi kebanggaan kita kerana beliau telah membuktikan kewibawaan dan keupayaannya menjadikan sastera sebagai wahana pemikiran bangsa.
Masa lalu adalah kelmarin yang hidup pada hari ini. Perjalanan hidup yang panjang sebagaimana sering diceritakannya tentulah amat wajar sesuatu itu dinikmatinya. Malah yang lebih bermakna bagi kehidupannya ialah segala khazanah karyanya baik puisi, cerpen mahupun novel menjadi bacaan umum terutama sekali generasi muda yang perlu berkongsi peristiwa masa lalu. Amil Jaya telah berupaya mempesonakan kehidupan bangsanya dengan kata-kata biasa yang hidup. Apa yang penting dalam analisis kehidupan ini ialah amanat dan pemikiran yang jujur. K.Bali pernah berkata, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui apa yang ada dalam kepala Amil Jaya. Setidak-tidaknya sebagai generasi baru, khazanah sastera Amil Jaya khususnya puisi tetap berhasil memancarkan sikap beliau terhadap kehidupan yang mencabar. Kita harus menghargai kehadirannya di persada kesusasteraan tanah air walaupun setelah ketiadaannya sejak 6 tahun lalu.
Ikuti sedutan sebuah puisinya yang berjudul Terima Kasih Pamanku yang amat berbekas dalam ingatan kebanyakan penggemas puisi karya Allahyarham Amil Jaya:
Terima kasih pamanku
kau rintiskan kami
jalan revolusi
dengannya kami tembusi
kemerdekaan peribumi
Dengan kematianmu
membuat kami tidak mati pamanku
namamu terpahat
dalam ruang hati
anak warisanmu.
(Terima Kasih Pamanku,
Berhati Nabi Berwajah Ibu, hal.43)

Tiada ulasan: