Memaparkan catatan dengan label Jasni Matlani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jasni Matlani. Papar semua catatan

Jumaat, April 12, 2019

Rasa-Fenomenologi dalam 'Sepasang Sayap Jelita' - Satu Analisis Awal

Oleh: Jasni Matlani

KUMPULAN cerpen ‘Sepasang Sayap Jelita’ memuatkan 20 buah cerpen yang dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah bahagian Sepasang Sayap Jelita yang memuatkan sebelas buah cerpen dan bahagian kedua ialah bahagian Seberkas Idea tentang Pohon yang memuatkan 9 buah cerpen. Hampir keseluruhan cerpen dalam buku ini melahirkan kesan emosi tertentu. Kesan emosi ini bukan sahaja kepada pembaca dan karya, tetapi juga kepada pengarang.

Terdapat sekurang-kurangnya 9 emosi yang diberi tumpuan dalam teori rasa-fenomenologi. Dalam kehidupan biasanya dikenali sebagai rasa kasih, riang, sedih, marah, bertenaga, takut, jijik, hairan dan tenteram. Tetapi apabila emosi ini dirakam oleh seorang pengarang dalam karyanya, maka emosi ini menjadi Ekspresi sastera, yang kemudiannya dikenali sebagai rasa berahi, rasa lucu, rasa berang, rasa wira, rasa dahsyat, rasa benci, rasa kagum dan rasa tenang. Tujuh daripada unsur rasa yang dinyatakan terdapat dalam cerpen-cerpen Hasyuda Abadi yang termuat di dalam Kumpulan Cerpen  Sepasang Sayap Jelita. Tujuh unsur ini ialah rasa dahsyat, rasa kagum, rasa duka, rasa berang, rasa wira, rasa berahi dan rasa benci. Ketujuh-tujuh unsur rasa ini akan diperikan. 

Rasa Dahsyat

Rasa dahsyat dalam teori rasa-fenomenologi dikaitkan dengan sesuatu pengalaman pengarang yang amat tragik dan pengalaman ini kemudiannya dituangkan ke dalam karya yang akhirnya  dihayati sebagai suatu pengalaman  amat dahsyat oleh pembaca. Apakah pengalaman dahsyat yang pernah dialami oleh Hasyuda Abadi yang akhirnya dirakamkan dalam karyanya  yang berbentuk cerpen? Cerpen ‘Citra Tidak Berakhir di sini’ mempunyai salah satu unsur emosi yang terdapat dalam teori rasa-fenomenologi iaitu rasa dahsyat. Walau pun cerpen ini tidak mencitrakan penerangan seperti yang dilakukan oleh A.Samad Said tetapi ia turut menceritakan tentang kekejaman dan penindasan yang dilakukan penjajah Inggeris terhadap penduduk peribumi. Tidak ada kebaikan yang terdapat dalam sesuatu penjajahan kerana penjajahan juga selalu diiringi peperangan. Oleh itu, ia juga menagih pengorbanan, ramai yang akan menjadi korban sia-sia daripada kerakusan penjajah untuk menjajah. Peperangan yang terhasil daripada penjajahan akan mengakibatkan manusia membunuh dan terbunuh dengan kejam.

Penjajahan akan memberikan kesan kepada manusia sama ada dari segi fizikal atau pun mental. Penjajahan membawa implikasi di luar jangkaan manusia. Penjajahan menyebabkan manusia lupa kepada hakikat dirinya, lupa kepada persekitaran dan lupa kepada segala-galanya. Manusia hilang pertimbangan dan menjadi terlalu tamak haloba. Manusia hilang kewarasan. Manusia hilang segala-galanya. Yang ada hanyalah penderitaan, kesengsaraan dan pembunuhan yang dilakukan terhadap masyarakat peribumi. Dalam cerpen ‘Citra Tidak Berakhir di Sini’ pengarang menyatakan hal ini: 

Tok Wah banyak bercerita tentang kezaliman, penganiayaan dan sikap tamak orang-orang Eropah. Tok Wah mengisahkan bagaimana kedatangan Inggeris di kampng halamannya di Tibabar. Orang-orang kampng termasuk ayah dan abangnya serta adik kembarnya bangun menentang. Tetapi mereka gugur. Beberapa orang tali barut Inggeris telah menyiksa dan membunuh apabila orang-orang kampung gagal menyerahkan cukai. (Hlm. 24)

Penyeksaan dan pembunuhan dilakukan oleh tali barut Inggeris terhadap orang-orang kampung termasuk keluarga Tok Wah hanya semata-mata kerana tidak membayar cukai memang memeritkan. Tok Wah tidak terbunuh. Tok Wah terselamat tetapi jiwanya terus memberontak, pendedahan yang dibuat oleh Toh Wah memerlihatkan bagaimana masa dan keadaan menjadikan manusia mangsanya. Ayahnya terbunuh. Begitu juga abang dan adik kembarnya. Semua itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup Tok Wah. Sungguhpun Toh Wah terselamat, tetapi jiwanya terus dipenuhi dendam dan pemberontakan. Dia sangat membenci penjajah dan sentiasa mengingati segala kekejaman serta penindasan yang dilakukan penjajah dan konco-kononya. Berikut gambaran tentang Tok Wah dalam cerpen tersebut:

Tok Wah terselamat namun jiwanya tetap memberontak. Dia telah mengenal makna kekejaman dan penindasan. Jiwa halusnya mengenal siapa penjajah, siapa bangsa yang bertamadun dan siapa bangsa yang berperibadi mulia.”(Hlm. 24)

Sesungguhnaya pemerian perwatakan yang diasosiasikan pula dengan teknik pengkisahan nasib seseorang yang trauma terhadap kekejaman penjajah ini menjadi satu unsur dialogik yang berkesan untuk pembaca berimaginasi dan berempati dengan korelatif objektif yang dihidupkan oleh pengarang. Emosi pembaca tetap terus berubah dan berubah ke arah emosi estetik. Objektif estetik semakin menyerlahkan dirinya dalam minda pembaca.

Toh Wah kemudian digambarkan sebagai sangat benci terhadap penjajah, sikap ini juga menular ke dalam diri watak “Saya”. Malah tidak mustahil rasa tersebut turut dialami dalam imaginasi dan proses berempati pembaca:

Tok Wah benci kepada penjajah dan penjajahan. Sampa saya menjangkau usia enam belas tahun Tok Wah masih tidak berubah. Ceritanya sama sehingga saya turut membenci merera. Entahlah, rupa-rupanya segala cerita Toh Wah memberi kesan dalaman yang membawa keinginan-keinginan untuk berhadapan dengan orang-orang yang telah merampas kasih sayangnya. Penjajah telah merampas kasih sayang keluarganya. Kematian telah mengasingkan belaian mesra yang diimpikannya. (Hlm.24) 

Daripada perspektif determinisme, perwatakan Tok Wah ini ternyata dicorak oleh kesan kekejaman dan penindasan penjajahan. Kekejaman dan penindasan penjajahan telah memusnahkan hidupnya, telah menghilangkan sinar hidupnya dan telah menghitamkan kanvas hatinya. Implikasi penjajahan terhadapnya memang amat buruk. Pembaca dapat merasakan betapa pengarang telah mengungkayahkan kembali pengalamannya dengan begitu berkesan. Memahami falsafah yang mendasari cerpen ini merupakan proses memantapkan pemahaman pembaca melalui pengkonkritan estetik.

Pembaca mungkin tidak pernah mengalami secara langsung atau hidup pada zaman penjajahan British di negara ini. Tidak pernah mengalami segala bentuk kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh satu  bangsa yang menjajah. Tetapi keadaan ini tidak bermakna pembaca tidak dapat menghayati kekejaman dan penindasan penjajah sebagai korelatif objektif yang dirakam dalam karya. Hal ini kerana terdapat banyak buku yang ditulis mengenai keburukan penjajahan dan peperangan yang berlaku hanya semata-mata kerana hendak mengusai sesuatu wilayah. Banyak novel yang ditulis mengenai penjajahan dan kesannya terhadap masyarakat peribumi. Begitu juga media massa yang sering memaparkan kisah suatu bangsa atau suatu negara memerangi dan menjajh suatu bangsa dan suatu negara yang lain.

Melalui pengalaman secara tidak langsung ini, pembaca didedahkan kepada erti penjajahan dan peperangan. Akhirnya, ini membantu penghayatan pembaca terhadap karya yang berkaitan dengan kekejaman dan penindasan yang terlahir daripada penjajahan dan peperangan. Pembaca dengan pengalaman yang secara tidak langsung itu berdialog dengan pengarang melalui karya. Unsur dialogik berlaku di sini dan unsur menjadi salah satu faktor penting membolehkan pembaca melakukan proses praestetik bagi membina pemahaman awal pembaca terhadap sesebuah karya. Justeru itu pembaca bersedia ditransformasikan oleh karya yang dibacanya.

Rasa Kagum

Menurut Sohaimi Abdul Aziz lagi, rasa kagum ialah satu situasi ataupun peristiwa yang berhubung dengan sesuatu yang luar biasa. Dalam konteks karya sastera, keluarbiasaannya itu ada hubungannya dengan perwatakan watak tertentu. Misalnya di tengah-tengah penjajahan terdapat kemuliaan. Di tengah-tengah kesengsaraan ada manusia yang berhati murni. Di tengah-tengah manusia yang terdesak dan mendesak ada manusia yang istimewa. Di tengah-tengah noda dan dosa ada kesucian.

Melalui cerpen Laut Masih Bercahaya Hasyuda Abadi memaparkan bagaimana seorang anak yang derhaka terhadap orang tua, menghalau ibu sendiri, suka berfoya-foya dan tidak pandai mengurus perniagaan keluarga, rupa-rupanya seorang yang sangat bijak dan baik. Berbanding Ishak (menantu yang kononnya baik) tetapi sebenarnya seorang penyangak, menyelewengkan  dan menggelapkan duit/harta keluarga dan duit parti. Dia menipu dan tidak membayar gaji pekerja, malah menghabiskan duit dan harga bapa mentuanya sahaja.

Dalam cerpen Hanya Namanya Khartizah, pengarang menggambarkan pula bagaimana watak utama dalam cerpen ini iaitu Khartizah sebagai seorang wanita yang dibenci kerana memusnahkan kemanusiaannya sendiri dan secara terang-terangan melanggar hukum agama. Tetapi, di tengah-tengah semua keburukan itulah dia digambarkan juga sebagai seorang wanita yang mempunyai kebaikan, boleh memimpin dan seorang ketua masyarakat. Seorang hawa yang mengepalai sebuah kariah.

Saya jadi benci kerana manusia Khartizah ini telah memusnahkan kemanusiaannya sendiri yang dengan terang-tenang melanggar hukum agama. Dia tidak menyedari rupanya di pundaknya terpikul satu tanggungjawab yang besar lagi mulia. Dia ketua masyarakat. Dia seorang hawa yang mengepalai sebuah kariah. (Hlm.136)

Sementara dalam cerpen Sahabat Saya yang Hilang, Hasyuda Abadi menggambarkan pula bagaimana sahabat yang dikatakannya sebagai seorang yang berfoya-foya dan kaki perempuan, tetapi pada waktu yang sama dia juga seorang kutu buku. Pembaca dapat merasakan bahawa perangai atau tabiat “kutu buku” itu sudah pasti sangat kontradiksi dengan tabiat suka berpeleseran dengan wanita, tetapi di tengah-tengah sikap buruk atau perwatakan watak “sahabat” itu tadi, pembaca juga masih dapat mengesan kemuliaan, nilai hidup atau perwatakan yang baik iaitu perwatakan menghargai ilmu.

Anda tahu, sahabat saya ini suka melakukan sesuatu yang aneh-aneh. Dia seorang kutu buku. Dia juga kutu perempuan. Kutu embun. Kutu kata-kata.

Perkataan “anda” di awal petikan ini juga menunjukkan interaksi secara langsung antara pembaca, pengarang dengan karyanya, yang turut membantu penerokaan pembaca terhadap persoalan yang hendak diketengahkan pengarang, melalui perwatakan watak yang diwujudkannya.

Sementara itu, dalam satu petikan lain, Hasyuda juga menggambarkan perwatakan “sahabat” itu sebagai seorang yang samseng boleh bertindak seperti seekor serigala apabila marah. Tetapi pada ketika yang lain dia juga terkenal dan istimewa kepada kelembutannya. Hal ini turut dirasai oleh pembaca dan ia berubah daripada pengalaman emosi tetap pembaca kepada pengalaman emosi estetik pembaca.

Justeru emosi rasa kagum ini juga terdapat dalam beberapa buah cerpen Hasyuda Abadi yang ada dalam buku ini. Unsur rasa kagum diperlihatkan oleh pengarang melalui pemaparan watak istimewa dan menggunakan teknik persetentangan. Pemaparan watak seperti ini telah memberikan kesan kepada penghayatan pembaca kerana ia memberikan ruang kepada proses estetik intertekstual dan proses pengkonkritan estetik. 

Rasa Duka

Rasa duka juga merupakan satu unsur emosi dalam teori rasa-fenomenologi. Rasa duka ialah peristiwa atau suasana yang membawa kepada kedukaan dan kesengsaraan, seperti kemalangan, kecelakaan, perpisahan, penjajahan dan peperangan. Dalam cerpen Di manakah Laila? pengarang antara lain menceritakan kedukaannya selepas berpisah dan kehilangan Laila. Pengarang tidak memerikan perpisahan atau kehilangan itu secara konkrit, sebaliknya membawa pembaca merasai pengalaman dukanya secara langsung. Dia membawa pembaca turut menghayati mendapan duka yang bertaut pada emosi tetapnya. Emosi ini, setelah dirangsang dan ditransformasikan, maka menjadi satu tenaga kreatif yang kuat sehingga terhasilnya sebuah karya yang mempunyai nilai estetik yang tertentu. Perhatikan petikan yang dirakamkan pengarang ini:

Begitulah ketika ingin memulakan sebuah cerita sebagai kebiasaanku, bukan mudah memulakannya. Barangkali aku akan berkata begini: aku ingin bercerita tentang kedukaanku kerana kehilangan Laila. (Hlm.60)

Seterusnya pengarang mengajak pembaca untuk mempercayai kematangan dan kedewasannya pula. Namun, kematangan dan kedewasaan itu juga diperoleh pengarang selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit dan duka. Kegetiran demi kegetiran. Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma. Perhatikan pemerian pengarang dalam petikan berikut:

Tapi percayalah aku semakin memperoleh kematangan yang lain, kedewasaan yang baharu tentunya. Selepas melaluinya. Kegetiran demi kegetiran. Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma. Sedangkan aku tidak pernah mengaku kalah meski apa pun akan berlaku. (Hlm. 60)

Begitu juga dalam cerpen Aduhai Dayang Sarah watak Pak Brahim berdukacita kerana terpaksa berpisah dengan Dayang Sarah akibat desakan yang kuat dalam hatinya untuk merantau. Mula-mula Pak Brahim merantau ke Sarawak kemudian ke Utara Semenanjung Tanah Melayu. Dia kemudiannya berkahwin di perantauan dan mendapat dua orang anak lelaki. Kedua-dua anaknya itu meninggal dunia selepas terlibat dalam satu tragedi kemalangan jalan raya.

Selain itu, rasa duka juga terdapat dalam cerpen Sepasang Sayap Jelita yang menjadi tajuk buku kumpulan cerpen Hasyuda Abadi ini. Welin watak utama cerpen ini hidup dalam suasana duka terpaksa bergantung hidup dengan kerusi roda untuk bergerak di dalam dan di luar rumahnya. Kedua-dua belah kakinya lumpuh. Namun, kerana imaginasi pengarang, maka Welin tiba-tiba dikurniakan sepasang sayap yang membolehkannya bergerak dan terbang dari satu tempat ke satu tempat seperti burung.

Cerpen Seniman juga ada unsur dua - terutama apabila watak seniman dalam cerpen ini terpasa hidup penuh penderitaan dan duka nestapa setelah tinggal di rumah orang tua pada penghujung usianya dan dianggap sebagai seniman nyanyuk. Sementara  di dalam cerpem Sireggi, Kekasihku, rasa duka ini digambarkan oleh pengarang seperti dalam petikan berikut:

Rintan seperti melihat seseorang dalam genangan minyak yang berkilauan. Lambat laun mengabur. Pendengarannya hanya menangkap suara samar-samar. Mirip khutbah yang datar dari seseorang yang berjalan menjauh. Ini memang hari yang ditakutkan. Hari yang mengingatkan trauma itu, ketika Sireggi tewas dalam sebuah kemalangan. (Hlm. 93)

Pemerian pengarang tentang pengalaman duka dalam beberapa cerpen yang terdapat dalam buku kumpulan cerpen in memang merangsang imaginasi pembaca untuk menghayati suasana yang tegang, resah gelisah dan menakutkan. Rasa duka sebagai satu Ekspresi sastera telah dieksploitasi oleh pengarang sebaik mungkin bagi melahirkan kesan-kesan tertentu kepada pembaca. Sesuatu yang berkaitan dengan penderitaan dan kesengsaraan bukanlah sesuatu yang asing pula kepada pembaca, kerana mereka juga mengalami pelbagai pengalaman penderitaan dan kesengsaraan proses kehidupannya. Justeru ini sudah tentu membantu mereka menghayati karya yang memaparkan unsur emosi duka melalui dua proses iaitu estetik intertekstual  dan proses pengkonkritan estetik.

Rasa Berang

Rasa berang ialah paparan peristiwa atau situasi yang berhubungan dengan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan dan diperlihatkan dengan tindakan seperti membalas dendam, cemburu, memfitnah, menghina dan sebagainya. Hasyuda Abadi melalui beberapa buah cerpen yang termuat dalam buku ini juga turut mengetengahkan karya yang mempunyai unsur rasa berang. Dalam cerpen Bagai Dedalu misalnya, masyarakat Kampung Bahagia marah atau berang kepada ketua kampung mereka yang baharu iaitu Othman, kerana membuat keputusan yang melibatkan kepentingan masyarakat Kampung Bahagia tanpa merujuk dan berbincang dengan penduduk kampung berkenaan terlebih dahulu:

“Kampung Bahagia ni dah tak bahagia lagi Pak Tua. Orang luar dah duduk sana dan duduk sini. Semua ini angkara KK Othman. Mereka tu punya tujuan, ada udang di sebalik batu. Ketua kita tu dah kena penyakit!” Ramlin menekan suaranya. (Hlm. 49)

 

Petikan di atas menjelaskan pandangn Hasyuda Abadi terhadap masalah pendatang tanpa izin yang berlaku secara berleluasa di Negerinya. Masalah pendatang tanpa izin yang sebahagiannya mendapat restu penduduk tempatan ini menjadi satu isu yang amat kompleks dan kompleksiti ini ada hubung kait dengan “penyakit”. Penyakit sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat dan negara. Justeru, kita yakin bahawa Hasyuda Abadi sebelum menulis cerpen Bagai Dedalu ini telah melalui proses estetik intertekstual yang akhirnya terjelma dalam sebuah karya dan membawa kepada ufuk pemahaman, tanggapan dan penghayatan yang mudah bagi pembaca. Unsur dialogik begini memang sangat relatif dalam teori rasa-fenomenologi pada peringat praestetik.

Rasa Wira

Rasa wira pula ialah satu unsur emosi yang menunjukkan bagaimana Ekspresi dibangunkan oleh korelatif objektif dan kemudiannya memperlihatkan semacam satu semangat atau tenaga yang menguasainya. Cerpen Bagai Dedalu sekali lagi bukan hanya menyelitkan ‘rasa berang’ tetapi terdapat juga ‘rasa wira’.

Haji Sadikin dan Ramlin misalnya, adalah contoh dua watak yang memperlihatkan semangat kewiraan dalam cerpen ini. Mereka mempertahankan kampung halaman mereka iaitu Kampung Bahagia daripada terus dipenuhi oleh pendatang asing tanpa izin. KK Othman yang bertanggungjawab membawa dan membenarkan mereka tinggal dan mengusahakan tanah terbiar di Kampung Bahagia itu mesti disingkirkan. Jika tidak, orang-orang kampung sudah pasti akan berhijrah dan lebuh buruk lagi pertumpahan darah mungkin berlaku.

“Saya tidak tahu apa sudah jadi dengan Othman. Pada hal dialah orang harapan kita. Sekarang dia pula yang melakukan angkara ini. Jika benar, seperti cakap kamu, kita akan susah!” Tiba-tiba Haji Sadikin bersemangat.

“Benar Pak Tua. Lihat saja berapa ramai orang kampung yang meninggalkan kampung ini. Pak Tua tahu puncanya? Tanya Ramlin. Haji Sadikin tidak bersuara tetapi mengangguk-anggukkan kepalanya yang sudah penuh dengan uban tanda mengerti. (Hlm. 50)

 

Petikan ini menunjukkan rasa tidak berpuas hati masyarakat Kampung Bahagia yang dipelopori oleh Haji Sadikin dan Ramlin. Pembaca memang dapat merasakan gelodak dan kegusaran yang berlaku dalam jiwa kedua-dua watak ini kerana fenomena ini sering berlaku di sekeliling mereka. Sekali lagi ia ialah proses estetik intertektual yakni sesuatu yang berlaku dalam masyaraat dan akhirnya menjelma dalam bentuk karya dan turut bertelora dalam pengamatan, pengalaman dan imaginasi pembaca.

Sementara itu dalam cerpen Citra Tidak Berakhir di Sini watak Salim pula memperlihatkan semangat dan tenaga untuk melawan penjajah kerana pengaruh perjuangan Tok Wah seperti dalam petikan berikut:

“Saya mahu merantau macam pak cik. Saya nak… nak…” ungkapan saya terhenti seketika untuk berfikir. Kemudian menyambung, “Saya nak lawan penjajah!”

…

“Guru saya pernah kata lawan penjajah bagus. Kita mesti hidup bebas. Eh, kenapa pak cik terkejut? Kawan-kawan saya juga suka jadi pahlawan menentang penjajah. Kami mahu jadi macam Mat Salleh, Antanom…” ujar saya. Tok Wah tiak berkata apa-apa.

Petikan ini menunjukkan bahawa pengarang dikuasai oleh semangat luar biasa dalam menentang dan melawan penjajah Inggeris. Perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah merupakan sesuatu yang baik. Tidak mahu tunduk dan akur kepada telunjuk penjajah bermakna dia harus berjuang menentang. Mungkin pengarang tidak mengalami atau tidak pernah hidup pada zaman penjajahan Inggeris, tetapi pembacaan dan penceritaan orang lain sangat membantu, Pengkaji perlu menyingkap latar belakang pengarang dan hubungannya dengan karya yang dihasilkannya kerana ia merupakan kajian pada peringkat praestetik menurut Sohaimi Abdul Aziz lagi, begitu penting untuk merekontruksi karya pengarang supaya proses pengkonkritan estetik akan berpandu dan terkawal.

Rasa wira ini juga dapat dilihat dalam cerpen Memilih Diam. Watak ‘aku’ dalam cerpen berkenaan merupakan seorang yang berpendirian teguh dan berani melalui pelbagai kesukaran hidup demi mengukuhkan peribadi dan pemikirannya. Perhatian monolog berikut:

Memang, aku harus memiliki pendirian. Aku mesti mengekalkan pendirian itu. Aku telah berani melaluinya. Sambil pada waktu yang sama meninggalkan yang lain. Walaupun tak ada kesedihan tetapi kenangan selalu mengajar dan mengingatkan kesiapaan aku itu. Kehadiran aku di antara sesiapa yang membentuk peribadi, pemikiran dan pendirianku.

Justeru, tidak dinafikan bahawa unsur emosi rasa wira ini memang terdapat dan agak dominan dalam beberapa buah karya Hasyuda Abadi yang termuat dalam buku kumpulan cerpen ini. Pembaca dapat merasakan keberanian dan kewiraan pengarang dipaparkan secara berkesan melalui perlukisanwatak-wataknya terutama dalam cerpen Bagai Dedalu, Citra Tidak Berakhir di Sini dan Memilih Diam. Memang ada korelatif objektif rasa wira dalam cerpen Hasyuda Abadi yang disebutkan ini bersifat personal tetapi ada juga yang berkaitan dengan peristiwa ataupun situasi yang ada hubung kaitnya dengan watak yang memperlihatan semangat perjuangan kebangsaan. Menentang penjajah dan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.

Rasa Berahi

Rasa berahi berkembang daripada dua korelatif objektif iaitu pertemuan dan perpisahan. Pertemuan kebiasannya digambarkan seperti menikmati kenyamanan musim, keindahan kalungan bunga, bersiar-siar di dalam sebuah taman, bersenang-senang diri melihat orang yang tercinta, mendengar  suaranya, bergurau senda dan berseronok-seronok. Manakala korelatif objektif yang berhubung dengan perpisahan pula merakamkan situasi ataupun peristiwa yang berkaita rapat dengan adanya harapan yang disandarkan selepas perpisahan itu. Apabila berpisah seorang gadis misalnya mengharapkan satu pertemuan lain atau memperlihatkan kerinduannya semasa berpisah.

Menurut Sohaimi Abdul Aziz, terdapat perbezaan ketara antara perpisahan ang menjadi korelatif objektif dalam rasa berani dan rasa duka. Perpisahan dalam rasa berani diiringi semacam harapan. Tetapi dalam rasa duka perpisahan kebiasaannya diiringi keadaan putus asa dan rasa berdukacita.

Hasyuda Abadi menerapkan unsur emosi rasa berahi ini amat jelas dalam cerpen Aduhai Dayang Sarah. Pengarang memaparkan bagaimana Pak Brahim yang berpisah beberapa dekad dengan Dayang Sarah akhirnya mengharapkan pertemuan yang lain dengan Dayang Sarah. Perhatikan petikan ini:

Pak Brahim tidak kecewa kalau dia tidak bertemu dengan Mansur. Yang penting baginya sekarang ialah Dayang Sarah. Dayang Sarah yang pernah berlakon sebagai heroin di dalam sebuah cerita bangsawan di Kampung Air pada tahun 1950-an dahulu. (Hlm. 1)

Kerinduan Pak Brahim untuk bertemu Dayang Sarah ini ialah korelatif objektif yang berkait rapat dengan perpisahan dalam kajian unsur rasa berahi teori rasa-fenomenologi. Sementara dalam cerpen Sepasang Sayap Jelita, pengarang memaparkan watak Welin yang sentiasa mengharapkan sebuah pertemuan dengan lelaki yang dirinduinya setelah berpisah dengan lelaki itu setelah perhubungan mereka mendapat halangnan daripada ibu Welin sendiri. Setelah perpisahan itu, Welin dikatakan hidup dibelenggu kesedihan dand menanggung beban rindu yang amat berat. Perhatikan petikan berikut:

Kesedihan Welin semakin menjadi-jadi ketika ia ingat laki-laki di seberang jalan itu. Welin rindu ingin ketemu lelaki itu. Welin ingin menatap mata laki-laki itu yang lembut menggetarkan, mampu memberinya ketenteraman. Welin ingin bercanda, tertawa dan … ups! (Hlm. 82)

Sesungguhnya, pembaca yang membaca cerpen Hasyuda Abadi bertajuk Sepasang Sayap Jelita  ini memang dapat merasakan kesedihan yang dipaparkan melalui perlukisan wataknya. Pengarang telah berjaya merakamkan suasana sedih dan keinginannya untuk bertemu dengan lelaki pujaannya. Dua elemen ini menjadi mekanisme yang cukup bertenaga bagi pembaca berinteraksi  dengan karyanya. Unsur dialogik yang terdapat dalam cerpen ini membuka ruang pula kepada pembaca melakukan proses estetik intertekstual dan seterusnya proses penkontritan estetik.

Rasa Benci

Rasa benci, unsur terakhir dalam penilaian cerpen-cerpen Hasyuda Abadi ini ialah satu Ekspresi sastera yang turut menjadi kajian dalam teori rasa-fenomenologi. Ia ada hubung kait dengan situasi  yang memaparkan perkara  yang tidak enak, jijik, palsu atau yang memudaratkan. Ekspresi ini dalam sastera biasanya diperlihatkan melalui paparan  peristiwa dengan penglihatan, merasa, menghidu, menyentuh, dan mendengar perkara yang tidak menyenangkan.

Sebagai contoh rasa benci dapat dilihat dalam cerpen Bagai Dedalu. Dalam cerpen ini rasa benci diperlihatkan oleh Ramlin terhadap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk oleh KK Othman di kampungnya. Namun jika matlamat pembaca adalah untuk melihat paparan peristiwa atau gambaran latar yang menjijikkan atau memualkan dalam cerpen Hasyuda Abadi seperti yang terdapat dalam kebanyakan cerpen A.Samad Said atau Shahnon Ahmad, hal ini mungkin tidak kesampaian. Tetapi, Hasyuda Abadi jelas turut mengungkapkan rasa benci ini sebagai Ekspresi sastera dalam karya cerpennya ini.

Kesimpulan

Sesungguhnya cerpen-cerpen yang termuat dalam Kumpulan Cerpen Sepasang Sayap Jelita ini memang memperlihatkan kekuatan Hasyuda Abadi sebagai cerpenis yang berpotensi di negeri Sabah khasnya dan Malaysia umumnya. Walaupun ada beberapa cerpen tidak dapat diperkatakan kerana pengkaji beranggapan ia tidak sesuai untuk dikaji menggunakan pendekatan rasa-fenomenologi, tetapi cerpen-cerpen ini tetap menarik dan membawa kelainan. Cerpen-cerpen  berkenaan walaupun lebih cenderung dianggap sebagai cerpen eksperimen yang mengenepikan unsur konvensional sesebuah cerpen, dengan pemaparan watak yang tidak jelas dan tidak ada pemerian tertentu tentang watak, tetapi cerpen-cerpen tersebut tetap merupakan sebuah karya sastera yang menarik.

Ada juga cerpen yang hanya menggunakan simbol-simbol seperti cerpen bertajuk Ekor, Kepala-kepala, Diideakan tentang Sesuatu yang Melompat, Seberkas Idea tentang Pohon, Besi @ Debu @ Sebuah Kebosanan dan beberapa buah yang lain lagi yang tidak mempunya unsur latar dan plot yang jelas malah hanya merupakan pernyataan-pernyataan pengarang terhadap sesuatu isu, tetapi ia bukanlah cerpen-cerpen yang gagal sepenuhnya. Pada tanggapan pengkaji ia hanya tidak begitu sesuai untuk dibincangkan menggunakan pendekatan rasa-fenomenologi.

Walaupun terdapat dua lagi unsur yang tidak dapat diperkatakan iaitu unsur rasa lucu dan rasa tenang tetapi tulisan awal pengaplikasian teori rasa-fenomenologi ini diharapkan masih dapat membuka satu dimensi baharu berkaitan konsep keindahan dan kritikan sastera moden di negeri Sabah selepas ini.





Jumaat, Januari 30, 2009

Tulisan Dr. Mahathir mengguris hati rakyat Sabah


**Oleh Jasni Matlani

DR. MAHATHIR bukanlah tokoh yang asing di Malaysia malah di peringkat global. Saya masih ingat pada tahun 1990-an apabila seorang rakyat Malaysia sesat di China, tidak ada sesiapa yang menghiraukannya, sehinggalah orang itu menunjukkan gambar Dr. Mahathir. Waktu itu beliau menjadi Perdana Menteri dan banyak perubahan yang dilakukannya di Malaysia. Begitu juga dasar luarnya seolah-olah memperlihatkan bahawa beliau adalah memimpin negara besar dunia, bukan sebuah negara kecil Malaysia.

Itulah Dr. Mahathir, banyak tindakannya menimbulkan kontroversi, tetapi Dr. Mahathir bukanlah seorang pemimpin yang melakukan sesuatu perkara yang popular di peringkat permulaan tetapi di penghujungnya. Dia tidak diadili dengan baik ketika berlepas digaris permulaan, tetapi di garisan penamat. Dia disukai, tetapi tidak kurang yang membencinya. Bagaimana pun, untuk negara, Dr. Mahathir, selalu mendengar suara hatinya. Dia percaya bahawa dia tidak mungkin memuaskan hati semua orang, mengembirakan mereka dalam semua perkara, tetapi kebenciaan pun membawa makna besar dalam hidupnya. Ia seperti kuasa yang mendorongnya bergerak laju dan lebih jauh kehadapan. Lebih jauh daripada jangkauan sesiapa pun di negaranya dan malah di luar negara.

Dr. Mahathir adalah tokoh yang perlu diberi perhatian sama ada ketika beliau menjadi Perdana Menteri, atau selepas menjadi Perdana Menteri. Beliau juga adalah antara pemimpin yang banyak menulis buku, lebih menghormati ilmu dan mengetahui fadilat buku dalam sejarah manusia lebih baik daripada beberapa pemimpin lain di dunia. Kata A. Kadir Jasin (2008), sehingga kini Dr. Mahathir telah menghasilkan lebih 20 buah buku. Beliau juga merupakan seorang pemikir dan penulis yang ulung. Daripada menulis menggunakan mesin taip untuk bukunya Malay Dilemma dan mengedarkannya dalam bentuk stensilan,beliau akhirnya menerajui revolusi ICT di Malaysia dan ia bermula dengan kegemarannya melawat pameran komputer terbesar di Hanover, Germany dan akhirnya membawa teknologi itu ke Malaysia.

Itulah Dr. Mahathir dan kini beliau adalah antara penulis blog yang paling popular di Malaysia dan blognya chedet.com merupakan blogger yang paling banyak menerima pembaca di dalam negara dan mungkin juga yang paling dicari pembaca di alam siber. Sehingga A. Kadir Jasin menganggap kejayaan blog itu sebagai satu fenomena di Malaysia. Tulisan-tulisan dalam blog itu kemudiannya dibukukan dalam sebuah buku bertajuk Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.

Saya membeli buku tersebut beberapa minggu lalu di sebuah kedai buku di Kota Kinabalu, dan membaca pelbagai isu semasa yang diketengahkan Dr. Mahathir, yang berlaku di dalam negara ini. Sama ada ia berkaitan isu kehakiman, kegagalan Barisan Nasional di Semenanjung pada pilihan raya lalu, isu Jambatan bengkok, harga minyak dan Petronas, tentang Ketuanan Melayu dan kontrak sosial di Malaysia, tentang Anwar Ibrahim, tentang UMNO, tentang Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi saya membuat kesimpulan, apa juga isu yang diketengahkannya, ia adalah tentang usaha Dr. Mahathir menolak kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi dan mendesak agar beliau meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara ini kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.

Kenapa Dr. Mahathir mahu Dato’ Seri Abdullah Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri secepat mungkin? Kenapa masa yang panjang tidak relevan dengan pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Badawi?

Tulisan Dr. Mahathir dan pandangan yang dikemukakannya di dalam buku beliau yang terbaharu itu ternyata menjawab segala-galanya. Banyak pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir lebih menjurus kepada konklusi, dengan mengatakan bahawa lebih lama Datuk Seri Abdullah Badawi memimpin kerajaan dan UMNO, lebih banyak kerosakan yang berlaku dalam parti dan kerajaan.

Ketika menulis tentang keperihalan kepimpinan di negara ini, Dr. Mahathir menyimpulkan sebagai berikut; Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi setelah lima tahun Dato’ Seri Abdullah menerajui parti dan Kerajaan…kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat (selepas pilihan raya ke 12) dan sebelum pilihanraya umum ke 13 memerlukan masa yang panjang. Tetapi, masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu…masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulihkan semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

Inilah komentar Dr. Mahathir tentang Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi apabila beliau menyebut Sabah dan Sarawak, saya teringat tentang beberapa tindakan beliau yang tidak menggembirakan rakyat Sabah dan saya pernah menyatakan ini dalam beberapa tulisan yang terdahulu. Ketika beliau memutuskan untuk menggilir-gilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah setiap dua tahun kepada tiga suku kaum tertentu di Sabah, saya menulis bahawa ia adalah satu sistem yang gagal. Ketika itu ekonomi Sabah menjunam hingga ke peringkat paling kritikal, pelaburan kerajaan menerima pulangan yang minimum, simpanan negeri semakin mengecut dan banyak agensi dan syarikat dimana kerajaan berkepentingan memerlukan bantuan.

Ekonomi Sabah sepanjang sistem penggiliran Ketua Menteri itu dijalankan, adalah sangat kritikal, peluang pekerjaan terhad, kadar kemiskinan terlalu tinggi, penduduk luar bandar kekurangan prasarana dan sebagainya. Malah, peratus kemiskinan di Sabah ketika itu ialah 20 peratus dan tidak dapat diturunkan dengan drastik, kerana pemimpin kerajaan ketika itu hanya menumpu kepada isu penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Saya bertegas mengatakan sistem penggiliran Ketua Menteri itu samalah dengan sistem dan amalan politik di Jepun yang mengganti tampuk kerajaan dan pemerintahan dalam jangka masa yang singkat. Kebanyakan Perdana Menteri Jepun hanya berkhidmat selama dua tahun. Tempoh yang pendek itu menghalang Perdana Menteri dan kerajaan negara itu daripada menjadi sebuah kerajaan yang efektif, kerana sepatutnya masa yang panjang diperlukan untuk menggubal dasar, melaksanakan dan melihat hasilnya.

Tetapi apa yang saya dapat simpulkan, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mahu melihat rakyat Sabah terus ketinggalan. Secara tersirat beliau seperti hendak mengatakan, biarlah rakyat Sabah saling berebut jawatan Ketua Menteri, menukar Ketua Menteri dan kerajaan dua tahun sekali. Dengan demikian, ia memudahkan beliau mengawal Sabah, melalui satu bentuk penjajahan baharu yang tidak diisytiharkan.

Saya hendak mengatakan bahawa Dr. Mahathir tidak melayan negeri Sabah dan rakyat Sabah sebagaimana sepatutnyan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Ini yang Dr. Mahathir lakukan untuk membolehkan Sabah terus kekal dalam Malaysia. Dr. Mahathir mahu memberikan Sabah kemunduran dan perpecahan yang berterusan untuk memudahkannya mengawal dan menekan remote control apabila diperlukan.

Saya mengagumi Dr. Mahathir kerana keberanian dan usaha beliau untuk membawa kemajuan dan pemodenan Malaysia. Tetapi kemajuan dan pemodenan itu bukan untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah diluar agenda kepimpinan era Dr. Mahathir.

Apabila beliau tidak menjadi Perdana Menteri, beliau sekali lagi mengguris hati rakyat Sabah. Saya katakan demkian kerana di dalam buku terbaharunya Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd. (2008) itu, sekurang-kurang dua kali beliau mememperlekehkan tindakan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang memberikan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak, hanya semata-mata kerana pembatalan projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi Keretapi, pembatalan projek Jambatan Bengkok di Semenanjung dan beberapa perkara yang hanya beliau ketahui sendiri.

Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit kepada Sabah dan Sarawak sebagai hadiah pada masa bajet sedang mengalami deficit dan bagaimana sebuah kerajaan (pimpinan beliau) boleh membelanjakan wang rakyat dengan keputusan yang menambah kerugian?

Tetapi saya bertanya, adakah menjadi kesalahan untuk membantu rakyat Sabah dan membebaskan rakyat negeri ini daripada kemiskinan. Sesuatu yang tidak dilakukan Dr. Mahathir pada era kepimpinannya? Adakah hina membangunkan negeri Sabah dan menaburkan berbilion ringgit hanya semata-mata untuk melihat negeri Sabah menikmati kemajuan setanding dengan kemajuan yang dinikmati negeri lain di Malaysia?

Apakah jika duit berbilion ringgit itu ditaburkan untuk membina jambatan bengkok dan landasan berkembar dan Elektrifikasi Keretapi di Semenanjung, maka itu bukan satu kerugian dan berupaya mengatasi masalah deficit yang dialami negara sekarang?

Apakah salahnya Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit ke Sabah dan Sarawak, jika Sabah dan Sarawak yang dianggap moron dalam politik Malaysia inilah, yang akhirnya menjadi penentu politik dan kepimpinan kerajaannya?

Dr.Mahathir berkata lagi, jumlah wang berbilion ringgit yang beliau taburkan di Sabah dan Sarawak itu adalah gula-gula yang Dato’ Seri Abdullah berikan kepada Sabah dan Sarawak akibat keputusan beliau tidak berlaku adil dalam memberi agihan jawatan menteri dalam kabinet persekutuan.

Tetapi mungkin Dato’ Seri Abdullah silap dalam pengangihan jawatan menteri, mungkin juga beliau terikut-ikut dengan cara Dr. Mahathir dalam kepimpinan terdahulu yang tidak pernah meletakkan pemimpin Sabah dan Sarawak menjawat jawatan menteri penting di peringkat persekutuan. Tetapi adakah negeri Sabah dan rakyat Sabah, tidak berhak mendapat haknya, setelah berkorban besar untuk menyertai Malaysia?

Benar, di peringkat awal pasca merdeka, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang ketinggalan dalam serba serbi, tahap pendidikan rakyatnya sangat rendah, selalu dianggap orang Semenanjung sebagai daif, moron dan tinggal di atas pokok, ekonominya belum dieksploitasi sepenuhnya, kekayaan sumber alamnya belum diteroka, tetapi masa telah berubah dan kebanyakan rakyat negeri ini telah menikmati tahap pendidikan yang tinggi, mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan. Jadi apa salahnya mereka diberi peluang menjawat jawatan yang penting dalam parti dan kerajaan.

Dalam UMNO sendiri pun Sabah adalah lubuk UMNO yang kedua terbesar selepas Johor. Justeru itu eloklah Sabah dan Sarawak mendapat sedikit penghormatan dan keadilan sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam persekutuan Malaysia. Anggapan sama ada tersurat atau tersirat menganggap Sabah dan Sarawak adalah negeri jajahan koloni baharu selepas British mesti dihapuskan sama sekali.

Jika kerajaan persekutuan di bawah Dr. Mahathir telah menghabiskan wang rakyat Malaysia dengan membina projek mega yang kesemuanya terdapat di semananjung Malaysia, yang disenarai panjangkan oleh Dr. Mahathir sendiri bermula dengan projek KLIA, Stesen Sentral, jambatan Pulau Pinang, Menara berkembar Petronas, Lebuh raya Utara-Selatan, Projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, Monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar Lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain. Apakah yang kami dapat untuk Sabah dan Sarawak?

Adakah kami hanya berhak untuk mendapatkan jalan raya tarafnya yang paling tercorot di Malaysia? Adakah kami hanya berhak mendapatkan sisa-sisa pembangunan dan terus membiarkan rakyat kami dibelenggu kemiskinan dan serba daif? Kenapa tidak litar Formula 1 atau pelabuhan bertaraf dunia dibina di Sabah? Kenapa tidak menara berkembar Petronas dibina di Sarawak? Adakah kami tidak berhak unutk itu. Adakah kami perlu menunggu keadaan seperti yang berlaku selepas pilihan raya ke 12, baharulah peruntukan datang menurah-curah ke negeri kami?

Sesungguhnya, Malaysia kini telah dan sedang melalui proses transformasi. Sama ada kita akur atau tidak, sudah tiba masanya Dr. Mahathir dan semua pemimpin di Semenanjung baik pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang, melayan kedua negeri yang terakhir dalam pembentukan negara MALAYSIA ini secara adil dan lebih bermaruah. Jangan menunggu sehingga rakyat membuat keputusan, baharulah perubahan hendak dilakukan. Sedangkan ketika itu, segala-galanya sudah terlambat.

**Jasni Matlani, antara sasterawan penting di Sabah. Banyak menulis kritikan sastera di samping menulis novel, cerpen dan puisi. Beliau kini Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Artikel ini pertama kalinya tersiar dalam akhbar Utusan Borneo pada 29 Januari 2009. Atas ehsan dan kebenarannya, saya luncurkan untuk tatapan pelayar blog terutama sekali masyarakat Sabah.