Isnin, Disember 23, 2024

Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera Masa Hadapan: Sumbangsih Ikatan Penulis Sabah


Oleh: Awang Abdul Muizz Awang Marusin

SEBAGAI ibu negeri Sabah, Malaysia, Kota Kinabalu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, tetapi juga kekayaan khazanah bahasa dan sastera. Dalam usaha untuk merealisasikan impian menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera di bawah Rangkaian Bandar Kreatif, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembinaan, pengembangan dan pemerkasaan bahasa dan sastera kebangsaan di negeri ini.

Sebelum dibutirkan peranan yang dimaksudkan, harus kita ingat bahawa UNESCO menetapkan beberapa ciri bagi sesebuah bandar untuk diiktiraf sebagai Kota Sastera. Ciri yang dimaksudkan termasuk sejarah dan identiti sastera yang kukuh, infrastruktur sastera yang mantap, komuniti sastera yang aktif, serta penganjuran acara dan aktiviti sastera yang berterusan. Selain itu, penglibatan digital dalam promosi sastera dan kerjasama antarabangsa turut menjadi penanda aras penting dalam memastikan Kota Sastera yang hendak diiktiraf oleh UNESCO menyeiringkan tradisi dengan pemodenan bangsa.

Jakarta sebagai Kota Sastera sejak 2021

UNESCO telah mengiktiraf Jakarta sebagai Kota Sastera pada tahun 2021. Sejarah sastera Indonesia yang panjang dan penuh dengan perjuangan yang dibuktikan dengan karya-karya agung seperti sajak Chairil Anwar dan novel Pramoedya Ananta Toer menjadi sebab utama UNESCO memilih Jakarta sebagai Kota Sastera. Di samping infrastruktur sastera yang kukuh, komuniti sastera yang banyak dan aktif, dan pelaksanaan kegiatan sastera peringkat antarabangsa yang berterusan, kerjasama dan sokongan padu Pemerintah Indonesia dan Pemerintah Daerah, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan para individu berkepentingan menjadi salah satu kunci yang membuka jalan kepada pengiktirafan Jakarta sebagai Kota Sastera oleh UNESCO.

Dalam hal ini, ada satu teladan yang harus kita di dalam dan luar Kota Kinabalu ambil jika mahu menjadi seperti Jakarta: Ketika ada satu pihak yang menjadi penggagas, mesti ada pihak yang menjadi penyumbang yang memudahkan urusan penggagas. Kunci terpenting kepada kejayaan sesebuah kota mahupun pemerintahnya ialah kerjasama. Kemenangan Jakarta dalam perhelatan memasuki Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO merupakan kemenangan semua pihak. Maka, kemenangan yang hendak Kota Kinabalu capai hendaklah bermula dengan kerjasama semua pihak tanpa ada satu pun yang dipinggirkan.

Sumbangsih Ikatan Penulis Sabah

Ikatan Penulis Sabah (IPS) memiliki peranan dan sumbangan yang tersendiri terhadap kejayaan gagasan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera pada masa hadapan. Secara terperinci, IPS menggariskan sumbangsihnya terhadap kejayaan gagasan tersebut melalui enam perkara, iaitu infrastruktur sastera, komuniti sastera, sejarah dan identiti sastera, promosi dan pendidikan sastera, penglibatan digital dalam sastera, dan kerjasama antarabangsa dalam menyemarakkan sastera.

Infrastruktur sastera

Ramai sudah sedia maklum bahawa IPS berpusat di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RuPHA), Kampung Gudon, Manggatal. Walaupun RuPHA milik peribadi Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi, sentiasa menerima kunjungan mereka yang hendak membaca dan mengkaji sejarah panjang Sabah, serta menyumbang kepada pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah. RuPHA bukan hanya sekadar perpustakaan masyarakat bernama Pustaka Iqbal Nazim, tetapi juga Rumah Ngaji Baitul Muqaddam yang melayani permintaan masyarakat untuk mempelajari al-Quran yang menjadi asas utama kepada budaya membaca dan menulis dalam kalangan manusia.

Komuniti sastera

IPS memiliki 140 orang ahli sehingga hari ini (22 Disember 2024). Mereka tidak hanya menetap di Kota Kinabalu, tetapi menetap di daerah-daerah lain di seluruh Sabah. Malah, ada ahli yang berasal dan beralamat di Sabah tetapi menetap di Australia dan Filipina. 77 peratus daripada mereka menyumbang kepada gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah secara langsung dan tidak langsung, baik dalam bentuk pelaksanaan kegiatan; penyelidikan dan pembangunan; penerbitan, penataran dan pengkomersialan karya; tadbir urus pergerakan; pembinaan dan pengukuhan dasar kerajaan; libat urus masyarakat; mahupun kerjasama tempatan dan antarabangsa.

Sejarah dan identiti sastera

Walaupun IPS bermula pada tahun 1990, sejarah bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah bermula seawal Sabah menjadi pihak yang membentuk Malaysia pada tahun 1963, malah lebih awal daripada itu menerusi sejarah yang dicatat oleh sejarawan dunia. IPS mengedepankan identitinya yang wasatiyyah, istiqamah dan berimpak tinggi sehingga dalam apa keadaan sekalipun yang melanda bangsa dan negara, IPS memiliki daya untuk menjadi sebahagian yang menjayakan bahasa dan sastera kebangsaan di dalam dan luar Sabah.

Promosi dan pendidikan sastera

IPS merupakan pelaksana kepada empat inisiatif, iaitu "Puisi Adalah...", "Sepanggar Membaca", "Sepanggar Berpantun" dan "Melukis Senja". Kesemua inisiatif tersebut berperanan mempromosikan keindahan bahasa dan sastera kebangsaan, mengetengahkan kepentingannya kepada pembangunan bangsa dan negara melalui program-program pendidikan sastera, baik bengkel, seminar, wacana mahupun persidangan, tempatan mahupun antarabangsa; dan menggabung jalinkan bahasa dan sastera kebangsaan dengan disiplin ilmu yang lain.

Penglibatan digital dalam sastera

IPS juga merupakan satu-satunya pertubuhan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah yang memiliki kelengkapan digital yang lengkap dan jangkauan digital yang luas. Dengan adanya laman web dan alamat e-mel korporat sendiri, akaun Facebook serta kumpulan-kumpulan WhatsApp, falsafah, kegiatan dan sumbangan IPS kepada bangsa dan negara dapat dijangkau oleh pelbagai pihak di dalam dan luar negara, terutamanya negara-negara Asia Tenggara.

Kerjasama antarabangsa dalam menyemarakkan sastera

IPS memiliki penulis seperti Kathirina Susanna Tati dan Ony Latifah Osman yang bekerjasama langsung dengan penulis antarabangsa dari India dan Rusia dalam membolehkan penulisan mereka diterbitkan dan dibaca di luar negara. IPS juga pada tahun ini (2024) telah berjaya menerbitkan empat buah buku kumpulan sajak dan antologi puisi karya 71 orang penulis dari Indonesia. Buku-buku IPS yang telah diterbitkan pada tahun ini dan tahun lalu juga berjaya dipasarkan ke Amerika Syarikat. Semua itu memperlihatkan IPS sebagai pengeksport sastera dan pengimbang kepada import sastera di Malaysia.

Penyumbangsih Gagasan daripada Ikatan Penulis Sabah

Selain Kathirina Susanna dan Ony Latifah, kita selalu menyebut nama-nama seperti Hasyuda Abadi, Sahara Jais, Abd Naddin Shaiddin, Fauziyah Nurdin, Fauziah Moksin dan Roslan Sohasto dalam pelaksanaan tadbir urus, kegiatan dan penerbitan. Kita juga selalu menyebut nama-nama seperto Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul yang memimpin kumpulan pemikir Kerajaan Negeri Sabah membina dasar yang membina Sabah; Dr. Norawi Haji Kata yang merangsang penerbitan belasan (atau puluhan) karya sastera di Sabah; Mabulmaddin Shaiddin yang giat melaksanakan diplomasi sastera di Indonesia dan Filipina; serta Nelson Dino yang menyemarakkan penggabungjalinan budaya dan sastera antara Malaysia dan Filipina.

Tetapi, jangan kita lupa nama-nama dalam IPS yang sedang bersinar dan berpijar dengan caranya yang tersendiri. Kita masih ada Wan Azzuar Shah Saaing yang menyumbang puisi-puisi yang mengkritik kehidupan masyarakat Sabah pada masa kini; Jaidin Zaineh yang menonjolkan puisi-puisi yang memotivasikan masa depan golongan belia; dan Muhammad Faizhaziq Mohd Sarizam yang menampilkan imej futuristik dalam menerangkan kemanusiaan yang dikehendaki oleh masyarakat di marcapada.

Kita juga jangan lupa nama-nama yang bukan pun sebahagian daripada IPS tetapi menyumbang secara langsung kepada kejayaan IPS yang ramai telah impikan sejak dahulu kala. Ramainya bilangan mereka yang bersama kita, sama ada pada masa tertentu sahaja mahupun sepanjang masa, membuatkan IPS terlihat bersinar dan berpijar di dalam dan luar Sabah. Sebab itulah, IPS mewujudkan Pingat Penulis Sabah untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan sewajarnya kepada ramai penulis, penggiat sastera dan pendukung gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di dalam dan luar negara.

Melangkah ke Hadapan

Secara tuntasnya, peranan dan sumbangan IPS dalam membentuk infrastruktur sastera yang kukuh, komuniti sastera yang utuh, sejarah dan identiti sastera yang bersemangat juang, promosi dan pendidikan sastera yang konsisten, penglibatan digital yang berterusan dan kerjasama antarabangsa yang membuahkan hasil yang memberangsangkan membolehkan Kota Kinabalu didorong menjadi Kota Sastera yang diiktiraf oleh UNESCO pada masa hadapan. Begitulah jua seharusnya dengan organisasi kerajaan dan bukan kerajaan lain.

Jika diiktiraf sebagai Kota Sastera suatu hari nanti, Kota Kinabalu akan memiliki peluang yang lebih besar untuk merangsang pelancongan dan ekonomi kreatif dalam kalangan penduduk tempatan serta mempromosikan pendidikan di semua peringkat yang mengutamakan bahasa kebangsaan dan menghargai bahasa kebangsaan. Pengiktirafan tersebut juga akan membolehkan Malaysia menempa nama sebagai sebuah negara yang memiliki kekayaan alam semulajadi, budaya dan sastera yang mampu menarik lebih ramai pengunjung merasai sendiri keunikannya dan merangsang hubungan diplomatik dua hala dan pelbagai hala yang lebih baik dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia.

Dengan sumbangsih berterusan daripada Ikatan Penulis Sabah dan sokongan daripada pelbagai pihak, Kota Kinabalu mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai Kota Sastera UNESCO pada masa hadapan. Usaha ini bukan sahaja penting dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan Sabah, tetapi turut menyumbang kepada pembinaan dan pengembangan sastera di persada antarabangsa.

Telah diterbitkan dalam Majalah Komposisi, Edisi 4/2024.

Baca Puisi PENA - 18 Disember 2024







KOTA LITERASI

 

Beberapa hal besar
masih sangat mencabar
ketika kotaku hanyalah kotak
di dalamnya tersisa masa sudah
 
pernah disulam sejarah
kota ini harum bermandi masalah
hanyalah bahagian selat
bertepian pokok api-api
akarnya penyokong
 
takdir kota ketika namanya
dipinggirkan kepada nama penjajah
menjadi kota kecil di pinggir Laut China
dijahit luka-luka jahat perang
berliku warga mempertahankan
 
masih bangunkah masa sudahmu
untuk dipelajari tingkah manusia
tidak semata menikmati perubahannya
kota metro dijulang makmur
dicintai sesiapa sahaja mengungsi
melebar diambil bukit diratah rata
tumbuh membangun prasarana
jadi tumpuan dunia
 
apa yang ada di dalam kotak itu
mencari dimesi berbeza dalam pelbagai
tiada paksi pemilikan yang sejati
mencari sesuatu yang asli di perutnya
hanya buih-buih tetapi timbulnya metro
budaya aslinya sekadar warisan
pada pakaian dijahit dari kepelbagaian
 
begitu rencam kota
memilih literasi untuk digantung
di tengahnya sambil suara
didengar hanya sebilangan pencinta
di mana para penguasa
mengangguk tetapi meneguk
saat keruh oportunis selesa
tanpa usul hala apa untuk warga,
kota hanya berharga para borguis
dan proletar, pencatur politikus
kuasa melawan kuasa
soalnya di mana kota apabila kuasa
sering bertingkah
 
kota literasi hebat martabatnya
tetapi bersyarat ketika fikiran bersatu
melihat seluruh daya tanpa prejudis
sangkar retoris
kota bukan berpaut semata wisata
kota harus utuh lanskapnya
dari makna besar literasi
mengangkat kota keluar dari kotaknya.
 
HASYUDA ABADI
RupHA
19 Oktober 2024