Selasa, Mac 01, 2005

Pasang Surut Kreaviti Penyair Sabah

SEBAGAIMANA halnya dengan kegiatan hidup manusia yang lain, kegiatan penulisan kreatif juga mengalami pasang surut. Ada saatnya seorang penyair sangat produktif, ada pula saatnya tidak menghasilkan apa-apa. Setelah menciptakan sejumlah karya, ramai penyair menjadi jenuh. Dalam keadaan jenuh demikian, mereka berhenti mencipta. Sama ada kerana desakan masa yang semakin rigid untuk berkarya mahupun atas alasan ‘tidak ada apa-apa’ mahu ditulis. Mungkin juga ada rangsangan-rangsangan yang masuk disimpan di benak, tidak diwujudkan dalam bentuk karya seni. Atas alasan ini sang penyair merasa berada di persimpangan jalan, dan sedang merencana jalan mana yang akan dipilih.

Suatu tantangan yang tak habis-habisnya dihadapi oleh seorang penyair ialah tantangan untuk mencipta, kerana hanya dengan mencipta itulah dia mempertahankan keberadaannya sebagai penyair. Mencipta, bagi penyair ialah menghasilkan sesuatu yang baru, menghasilkan sesuatu yang belum dilakukan oleh sesiapa. Dalam setiap ciptaan itu pula unsur kebaharuan, kekhasan dan ketulenan harus ada. Dengan tidak adanya unsur-unsur ini akan mengurangi nilai ciptaan itu dan boleh menyebabkan penyair itu sendiri tidak puas.

Mencipta karya sastera, berbeza dengan aktiviti sebuah industri pembuatan yang menghasilkan barangan dari bahan mentah. Ia juga berbeza dengan kegiatan para pereka kraftangan. Barangkali barang-barang yang dihasilkan oleh kilang atau barang-barang kraf tangan itu lebih berguna, lebih berharga, dan lebih memenuhi keperluan daripada karya-karya yang dihasilkan oleh penyair; namun sebagai karya seni, karya penyair itu lebih bernilai dari barang-barang yang dihasilkan. Dalam setiap ciptaan karya sastera, penyair dengan segala daya upayanya mengekspresikan dirinya. Tidak ada karya seni lain yang sama dengan karya itu kerana setiap ciptaan itu bersifat khas.

Mengingat tantangan yang dihadapi, sesungguhnya menjadi penyair yang kreatif itu memang tidak mudah. Tidak menghairankan apabila ramai penyair yang berhenti di tengah jalan. Ada penyair setelah menulis beberapa buah puisi tidak pernah lagi muncul. Di suatu masa, keupayaannya memang menyerlah. Kemudian kekosongan ini diisi pula oleh para penyair baru yang belum tahu keberadaan mereka sampai bila.

H.B.Jasin, tokoh sasterawan terkenal pernah menyebut “penyair yang bernafas pendek.”. Teeuw pula, ketika membicarakan penyair Sanusi Pane mengatakan bahawa seni itu sebenarnya panjang walaupun hidup itu pendek. Bagi penyair yang bernafas pendek hidup ini bukannya terlalu singkat untuk melakukan kegiatan kesenian, melainkan terlalu panjang kerana kegiatan seninya terlalu singkat.

Negeri Sabah punya ramai penyair yang baik yang memiliki buku-buku puisi persendiriannya walaupun tidak serancak penyair-penyair di Semenanjung. Namun demikian, fenonema pasang surut yang melanda kehidupan telah menghalang usaha mengangkat puisi dan penyairnya sekali gus sebagai aktivis yang gigih, juga berperanan dalam banyak hal. Ramai penyair sudah tutup buku. Simpan mesin taip. Dan melupakan dunia sastera. Ada yang merajuk dan mengatakan: selamat tinggal sastera, dan segala macam walaupun ada kalanya ini hanya gimik bagi orang-orang politik untuk menagih perhatian.

Memang wajar dipertanyakan seberapa jauhkah kesetiaan penyair yang dimaksudkan terhadap puisi. Benarkan secara jujur mereka itu menceburkan dirinya dalam dunia kepenyairan? Apakah mereka itu penyair mapan atau hanya amatur semata, hingga akhir hayat kreatifnya?

Ramai bijak pandai telah menyatakan betapa pentingnya puisi. Ada yang menyatakan bahawa penyair adalah seorang pemikir. Dia bukan hanya mempunyai sepasang mata yang terang dan tajam dengan otaknya yang berfikiran tinggi, juga mempunyai pendirian dan pandangan dunia yang tepat. Sedangkan puisi itu sendiri memberi penjelasan tentang diri seseorang, penyair misalnya, kerana bahasa puisi berhubung erat dengan gaya penyair, pembentukan gaya adalah berhubung dengan jumlah pengalaman kehidupan, pemupukan kesenian, perasaan dan fikiran serta tabiat perseorangan.

Jelas, di mata penyair sendiri puisi itu penting. Setiap tahun Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan diadakan menjelang perayaan Hari Kebangsaan. Acara gemilang ini berjaya menyemai rasa cintakan negara di samping mencungkil bakat deklamator yang terbaik. Demikian juga, Mahrajan Sastera Islam yang mendominasikan puisi sebagai aktiviti utamanya juga diadakan saban tahun dan kini sudah berusia hampir sedekad. Menerusi aktiviti ini, buku puisi diterbitkan sambil mengumpul sejumlah puisi daripada para penyair menerusi sayembara menulis puisi berunsur Islam.

Puisi juga sering diambil sebagai bahagian daripada acara sesuatu majlis rasmi. Masalahnya, jika puisi itu penting, mengapa mereka meninggalkan puisi dalam erti kata tidak menulis puisi lagi? Mengapa penyair-penyair itu tidak terus berpuisi, mengapa mereka berpaling dari puisi? Ada pelukis yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk seni lukis; ada pemuzik yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk seni muzik. Penyair, bagaimana?

Hakikatnya, menjadi penyair memang tidak dapat menjanjikan profesi, lain halnya dengan menjadi pelukis, pemuzik, penyanyi atau pelakon filem. Berprofesi sebagai penyair dalam erti menggantungkan hidup semata-mata dari pekerjaan menulis puisi memang tidak mungkin. Pertama, tidak mungkin ada penerbit yang mahu membeli puisi dengan harga yang mahal. Jika mahu diterbitkan pun, tidaklah sekerap atau sebanyak bilangan novel-novel remaja. DBP misalnya hanya akan menerbitkan dua naskah buku puisi setiap tahun. Ini soal koata, dana dan keuntungan (yang tidak diharapkan). Kedua, penyair tidak mungkin menulis puisi sekali gus dalam jumlah yang banyak, misalnya menulis sepuluh buah sehari.

Menulis puisi tidak dapat dipaksakan. Saya tidak pasti kebenarannya, kerana ada juga kepercayaan bahawa pemaksaan boleh membuahkan hasil yang baik. Dapat menyelesaikan matlamat seperti yang dikehendaki, melalui sayembara sebagai contoh. Yang pasti, penyair hanya menulis puisi kalau dalam dirinya ada sesuatu yang mendorong untuk menulis. Penyair menulis puisi kerana ada sesuatu yang harus diungkapkannya. Penyair menulis kerana ada inspirasi. Oleh kerana itu menulis puisi tidak dapat ditentukan, misalnya harus sekian sehari atau sekian sebulan. Apa lagi, penyair tidak dapat menggantungkan nafkah hidupnya dari menjual puisi.

Dengan menjual lukisan, seorang pelukis mungkin dapat memenuhi keperluan hidupnya selama satu bulan. Dengan sepuluh buah puisi seorang penyair mustahil dapat memenuhi apa-apa, kerana bayarannya yang kecil dan dalam banyak hal tidak mendapat apa-apa bayaran langsung. Oleh sebab itulah, bagi kebanyakan penyair di negara kita ini, mengarang puisi bukanlah pekerjaan yang menjaminkan sesuatu. Di samping terkenal sebagai penyair, mungkin dia seorang guru sekolah, pensyarah, seorang wartawan, seorang penyanyi, seorang pelukis, seorang pegawai atau kakitangan kerajaan dan sebagainya.

Meskipun menjadi penyair itu bukan pekerjaan yang tetap, itu bukan bermakna mengurangi kesetiaan atau keterikatan penyair pada puisi. Ini terletak kepada komitmen seseorang. Masing-masing mempunyai falsafah hidup, sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menulis kerana ingin menganggap kerjaya ini sebagai suatu ibadah, pegangan ini akan membawa makna yang tidak dapat dinilai oleh sesiapa pun kecuali Tuhan. Tetapi jika kerana tidak mendapat apa-apa daripada keterlibatannya dalam penulisan puisi, tiada siapa juga boleh mempertahankan pegangan seperti ini. Itu hak individu.

Secara peribadi, saya merindui puisi-puisi para penyair yang telah ‘menguburkan’ kreativiti mereka tetapi mengalu-alukan kehadiran mereka. Tanpa niat merendahkan sesiapa, kepenyairan menerusi puisi-puisi yang menghiasi ruangan sastera di surat-surat khabar tempatan hari ini belum dapat menandingi kepenyairan para penyair sebelumnya. Sehingga hampir di penghujung dekad 90-an sekarang ini, sukar untuk disebut nama-nama penyair yang benar-benar kukuh khususnya dari kalangan penyair yang menulis lebih lima tahun secara berterusan. Beberapa kemungkian keadaan ini berlaku, antaranya, ialah kurangnya minat membaca karya-karya penyair-penyair terkenal; kedua tidak ada iltizam yang tinggi mencari kelainan yang memungkinkan sesebuah karya itu kelihatan mantap, baru dan bertenaga, dan ketiga, ketidak kerapan mereka menulis dan penyiaran karya-karya yang tidak konsisten.

Nama-nama yang pernah dikenal seperti Ismaily Bongsu, Pena Kota, Mahmud Jahar, Anas Ayu Ansayu Ogos, Mohd Zain A.H., Nas Achtan, Mohd Hadie Nor D, Alipah Jambuan, Rahim Tapah, Mohd. Zain Abdullah, Ailin Nor, Jaafar Abdul Wahid, Mariam Omar, Ariah Judah, Sukri Saifudin, Masdini Mohamad, A.Karim Kadir, Matlin Dullah, N.R.Rahim, Anisul Jalis, Siba Nita A.S., Saibil Madun, Masrani Madun,, R.Syad Hussin, dan lain-lain lagi sudah jarang kita jumpai puisi-puisi mereka yang baru. Namun dengan pelbagai aktiviti sastera seperti Dondang Puisi Anjung anjuran Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama DBP Cawangan Sabah dan juga Majlis Bahasa dan Sastea Sabah (MBSS) sering berusaha mendatangkan semula para penyair yang disebutkan di atas.

Memang ada sedikit kelesuan khususnya di Kota Kinabalu apatah lagi bandar-bandar utama yang lain seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau. Ini sering diutarakan oleh penulis-penulis baru di daerah-daerah itu. Aktiviti baca puisi pada saya hendaklah kerap diadakan sekurang-kurangnya selang tiga bulan apabila terjadinya kendala pendanaan. Demikian juga bicara puisi sebagai suatu aktiviti telaah sastera yang memberi faedah besar kepada dunia sastera itu sendiri. Mungkin boleh dicadangkan begini: adakan acara apresiasi puisi di mana keterlibatan ramai pihak termasuklah penyair, pengkritik, pencipta lagu, penyanyi lagu puisi, siswa, pelajar sekolah dan orang ramai. Di situ akan berlangsung pembacaan dan pembicaraan karya. Kita jemput penyair-penyair terkenal di Sabah dan sesekali dari Semenanjung dan Sarawak atau negara jiran Brunei Darussalam dan Indonesia. Kita perkenalkan penyair-penyair kita kepada khalayak. Kita hidupkan suasana bersastera selain dalam pertemuan sastera besar seperti Dialog Borneo, Dialog Teluk, Pertemuan Budayawan BIMP-EAGA, Perkampungan Sasterawan dan sebagainya.

Soalnya, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan supaya aktviti begitu dilakukan secara berterusan, bukan bermusim? Kita juga belum pernah mendengar ada Jabatan-jabatan Kerajaan ataupun swasta menubuhkan kelab atau kumpulannya sendiri yang relatif kepada pembinaan budaya menerusi apresiasi puisi. Bagaimanapun, acara-acara selitan yang diadakan dalam pelbagai majlis rasmi amat positif jika dilihat sebagai salah satu usaha mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di samping mendekatkan aktiviti seni seperti deklamasi puisi, lagu-lagu puisi rakyat dan sebagainya kepada orang ramai.

Memang penyair bukan hanya sasterawan dan sasterawan bukan hanya penyair. Dari sasterawan orang boleh berpindah menjadi sutradara filem atau drama tv malah ada yang terpanggil menjadi ahli politik akhirnya menjadi wakil rakyat. Ada juga penyair yang mempelbagaikan aktiviti sasteranya misalnya dia juga menulis cerpen, drama dan novel. Di samping menyajak dia juga merupakan seorang penulis kritik atau telaah sastera.

Soalnya, mengapa berpaling dari puisi? Apakah kerana puisi itu diberi erti terlalu tinggi yang sehingga harus disamakan seumpama seorang sufi? Kehidupan ini sendiri, yang menjadi sumber inspirasi puisi tidak selamanya puitis. Terlalu banyak hiruk pikuk yang menyebabkan kehidupan kita ini untuk sebahagian besarnya bersifat prosais. Oleh sebab itu, wajarlah ditempatkan kepelbagaian genre dibahui para penyair atau sasterawan yang lain; pada waktu-waktu tertentu mereka berpuisi dan pada kesempatan lain mereka menulis prosa. Tetapi pada waktu yang lain mereka menulis kedua-duanya sekali gus. Dengan upaya sebegini, setidak-tidaknya kreativiti mereka tidak luntur, beku apalagi berkubur begitu saja.

Tiada ulasan: