Ahad, Julai 29, 2018

Klise yang sering membaling diksi


KITA selalu dengar manusia membebel dengan perkataan ‘klise’. Kadang kadang diselangi dengan satu serangan berbunyi ‘stereotaip’.

Apakah definisi klise? Klise bermaksud kata-kata atau frasa yang telah pudar, kurang segar dan kurang asli kerana terlalu sering digunakan atau selalu diulang-ulang sehinggakan pembaca merasakan sesuatu yang baharu atau indah. Ia juga bersifat stereotaip yakni tidak dapat memberi sumbangan besar dalam sesuatu karya. 

Frasa sastera atau perkataan di dalam jurnalistik yang lazim digunakan, bersifat stereotaip atau elektrotaip. Ia boleh jadi tiruan (bukan asli), ungkapan yang sudah terlalu sering digunakan hingga tidak lagi terdapat keistimewaannya atau kesannya.

Dalam kamus stereotaip dihurai sebagai tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri yang baharu atau asli, biasa sahaja sebagaimana yang seringkali kedapatan (kedengaran dsb): pendekatan dan kaedah pengajaran amat ~, terkongkong, dan konvensional; temanya ~ tetapi perutusannya itu dipentingkan.

Dikongsikan beberapa contoh ayat yang dianggap sebagai klise. Misalnya seperti di bawah ini:

 Angin laut segar bertiup.
 Bayu menyampaikan salam.
 Pungguk rindukan bulan.
 Tegak macam kayu.
 Lurus bendul.
 Aku sayang kamu dan sebagainya..

Tidak ada larangan dalam menghasilkan karya yang penuh dan sarat dengan klise. Seperti mana juga tiada larangan tidak mahu ikut tatabahasa. Tapi, sebagai seorang penulis yang cerdik dan kreatif, sepatutnya mencari ruang untuk keluar dari zon klise dan stereotaip. 

Karya klise merupakan suatu bebanan kepada pembaca. Secara peribadi, bagi saya karya klise yang tidak berjaya dibangunkan dengan jayanya akan menjadikan mood membaca jatuh! Menjadikan loya, muak, bosan, geli, geli hati, dan mungkin tanpa perlu membaca habis suatu puisi akan di 'rate'2 atau 1.

Klise selalu berlaku di mana? Soalan ini bagus. Jawapan mudahnya dalam dalam puisi-cerpen-novel jiwang bertahap dinasor! Ya! Genre chenta! Anda tidak akan terbuai dengan karya ini.Walaupun sesetengahnya popular di televisyen. Malah berani saya katakan, ia hanya satu ayat biasa yang bila digunakan untuk mengorat seorang awek, awek yang terhegeh-hegeh dan gedik tahap t-rex sahaja akan terpikat. Maka awek yang sungguh kreatif akan menganggap penulis seperti ini adalah stereotaip

Klise merupakan satu kelebihan. Namun, penulis yang sungguh hebat, bagi saya mampu menggunakan klise dan stereotaip sebagai suatu kelebihan. Menggunakan ayat yang biasa sungguh didengari tapi berjaya menarik hati pembaca. Tapi ini memerlukan kehebatan literasi yang tinggi.

Apabila begitu terpaku oleh tujahan pendapat agar menjauhi klise, soalnya bagaimana menjauhi klise? Satu,  keluar dari kepompong yang tertutup. Itu paling penting. Banyakkan membaca karya kreatif yang tinggi nilai. Lihat bagaimana Usman Awang dalam Puisi Kekasih menggambarkan cinta:

Akan kupintal buih-buih 
menjadi tali 
mengikatmu 
akan kuanyam gelombang-gelombang 
menjadi hamparan 
ranjang tidurmu ...

Selain itu kenali gaya-gaya sastera, apa itu Paradoks, Ambiguiti, Meafora, Simile, Personafikasi, Hiperbola dan sebagainya. Tanpa mengenali semua ini pemikiran kita akan kurang terjana. Kemungkinan rasa bersalah untuk merubah suatu ayat.

Kepada penulis yang sering menghasil karya sudah pasti mampu memahamkan dirinya di mana klise dalam karyanya terjadi. Penulis ini akan mencari kekuatan yang baharu melalui percubaannya yang baharu. Kalau  tidak faham apa itu klise juga, barangkali analogi ini sesuai: Klise merupakan sehelai baju yang dipakai oleh ramai orang dan juga telah bosan dilihat. Ia seakan baju Tommy Hilfilger yang dulu cukup gah, tapi kalau ramai-ramai pakai baju yang sama, kita akan rasa baju itu murah. Malah, orang lagi memandang tinggi baju The Shirt Bar limited edition dari baju kemeja biasa yang dipakai ramai.

Maka, kalau puisi anda ditandai sebagai klise, janganlah rasa tidak bersalah. Malah silalah bertapa dan mencari idea baharu. Buku ‘Nokturna’ karya Karim Mohd eloklah dimiliki, diteliti dan ditelaah. Puisi atau sajak dan quote yakni kata-kata pilihan untuk melepaskan perasaan adalah berbeza.


Tiada ulasan: