HASYUDA ABADI cenderung kepada
penulisan puisi dalam masa yang sama juga menghasilkan karya-karya lain seperti
cerpen, esei sastera, esei kritikan dan drama. Karya pertama Hasyuda merupakan
sebuah karya protes bertajuk ‘Menapa oh Mengapa’ tersiar di Sabah Times pada 13
Disember 1980.
Pada peringkat awal, bentuk
tulisan Hasyuda begitu dipengaruhi karya-karya Datuk Hajah Zaiton Ajamain,
kerana beliaulah guru Hasyuda di peringkat awal ketika mengikuti kegiatan-kegiatan
kesenian Kumpulan Anak Seni bermula pada 1979. Selepas itu beliau berjaya
membina dunia persuratan mengikut acuan dan bentuknya sendiri.
Karya-karya Hasyuda Abadi
banyak tersiar di media massa di Sabah seperti Harian Ekspress, Sabah Times,
Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo. Hasyuda amat prolifik mulai tahun
1981 apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar di media massa di Sabah.
Pada 1985, sebuah karyanya bertajuk Salam Buat Kekasih yang tersiar di
Harian Ekspres pada 17 November 1985 telah terpilih menerima Hadiah Sastera
Malaysia pada 1985. Kemenangan puisi Hasyuda Abadi ini merupakan kesinambungan
penulis-penulis terdahulu seperti Jamdin Buyung, Hasyim Jeffri dan S. Mala
dengan tempoh yang sangat langka.
Pada tahun 1987, beliau
mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah
pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah
(Kemala). Pada tahun 1997, Hasyuda bernasib baik kerana terpilih menyertai
Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat
Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997. Program anjuran Mastera ini
dibimbing oleh di bawah Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq
Ismail.
Hasil daripada Program Penulis
Anak Angkat telah melahirkan buku puisi sejarahnya berjudul Balada Paduka
Mat Salleh. Buku puisi panjang ini berlatar belakangkan sejarah perjuangan
seorang pahlawan Negeri Sabah menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini
dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan
Malaysia ketika itu.
Kegiatan persuratan yang
rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda
Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa merasa jemu. Hasyuda
sering memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal
Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Setiap
tahun kegiatan ini berlangsung bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi
Berunsur Islam di Negeri Sabah.
Hasyuda menjadi penerima
Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008,
2012, 2014 2016, 2018 dan 2020 bagi genre puisi dan cerpen. Selepas Hadiah
Sastera Malaysia 1984/1985, Hasyuda Abadi meraih Hadiah Sastera Sastera Perdana Malaysia pada 2008 dan 2019.
Hasyuda merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam
2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan
Cinta'. Hasyuda juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib
Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena
Karnival Kesenian Islam 2011. Skrip
drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua
dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun
1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak
Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004) dan Hadiah
Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 45 buah
cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas/radio. Puisi-puisi
Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’
(DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS,
1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (Iris, 2008), 'Suara yang
Terbuka' (ITBM, 2014), ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ (Iris, 2020), 'Musim Perubahan di Negeri Kami' (Iris, 2021), 'Hutan Ayah' (IPS, 2023) dan 'Melawan Kebiasaan' (DBP, 2023).
Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap
Jelita' (Inpes, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga
diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Puisi-puisi
Hasyuda juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain melalui 75 buah antologi puisi, antologi cerpen (2 buah), antologi skrip drama pentas
(1 buah) dan antologi esei sastera (2 buah).
Puisi Hasyuda Abadi pernah
dibacakan semasa majlis perbarisan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kota
Kinabalu. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga sering diundang
menjadi pembimbing bengkel-bengkel penulisan baik daripada DBP Cawangan Sabah,
Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Univesiti Malaysia Sabah dan
Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) di Sabah. Beliau juga pernah
terlibat sebagai Ketua fasilitator dan fasilitator Program Penghayatan Sastera
dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah. Hasyuda Abadi juga merupakan
pemula untuk progam SUNTIK yang diusahakan oleh beberapa orang penulis dengan
kerjasama DBP Cawangan Sabah.
Dalam aktiviti
antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur,
Korean-Asean Poet and Literature Festival di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi
Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu Sastra Indonesia-Malaysia (2015) dan
Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun di Jogjakarta (2016).
Hasyuda juga turut
menyumbang dalam penulisan esei kritikan. Pada sisi ini, beliau pernah menjadi
kolumnis di Utusan Borneo Sabah yang disiarkan pada setiap hari Ahad. Ruang
pojok beliau ‘Sesekali Menoleh ke Belakang’ memaparkan pemikiran, ulasan dan
apresiasi dunia kesusasteraan semasa. Hasyuda juga terlibat menulis puisi sempena
perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Negeri Sabah iaitu Kemerdekaan
Adalah Cinta (2017) dan Prihatin Bangsa Dirgahayu Malaysia (2021).
Hasyuda Abadi merupakan ahli
Ikatan Penulis Sabah sejak 1992, menjadi ahli sepanjang hayat Persatuan Penulis
Nasional (PENA), ahli sepanjang hayat Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)
dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Pada masa ini Hasyuda sedang
mengikuti pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM), Negeri Sabah dalam
pengkhususan Pengajian Melayu dengan Kepujian. Kini beliau mengurus
Akademi RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi), Pustaka Iqbal Nazim dan Rumah Ngaji
Baitul Muqaddam. Beliau memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) selama 2 dekad
sebelum menjadi Ketua Majlis Penasihat IPS.
Atas keprolifikan dan
ketekalan Hasyuda dalam dunia penulisan, Hasyuda telah dianugerahkan Tokoh
Penyair Islam Sabah pada tahun 2008. Anugerah ini telah disampaikan oleh Tuan
Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah. Pada tahun 2022, Hasyuda Abadi diperakui
sebagai penerima Tokoh Seni Sastera Islam Sabah menerusi Anugerah Seniman Islam
Sabah anjuran Kementerian Tugas-tugas Khas & Penyelarasan Sabah, Majlis
Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sabah. Pada 2022 juga, Hasyuda Abadi
dinobatkan sebagai penerima pengiktirafan tertinggi sepanjanga karirnya sebagai
penulis iaitu Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3 daripada Kerajaan Negeri
Sabah.
Hasyuda Abadi juga penerima bintang-bintang kebesaran di peringkat persekutuan – Pingat Pangkuan Negara daripada Yang DiPertuan Agong pada 2008 dan daripada Yang DiPertua Negeri Sabah – Bintang Kinabalu (B.K) pada 2005 dan Bintang Seri Kinabalu (B.S.K) pada tahun 2013.
SALAH
seorang penulis
yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah ialah Hasyuda Abadi. Penulis ini mencipta rekod dalam
sejarah sastera Sabah sebagai penulis yang amat menyerlah dalam genre puisi
selama 40 tahun secara berterusan.
Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi
mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari
yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi
keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisi-puisinya yang bervariasi, dengan
permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia
dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun
kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan
berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini,
matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain
dengan begitu indah dan mengagumkan.
Penulis ini sudah memenangi Hadiah
Sastera Perdana Malaysia dalam genre puisi pada tahun 1984 melalui puisi yang berjudul Salam dari
Kekasih. Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera
yang paling prestij di Malaysia itu pada ketika berusia 24 tahun
merupakan sosok penulis
muda yang
mengagumkan. Gaya pengucapan dan teknik penulisan puisi yang ditekuninya amat
berbeza dengan penyair lain di Sabah, malah di Malaysia. Dia menggunakan seni
sebagai satu bentuk pengucapan untuk membawa realiti ke pentasnya. Baginya,
seni puisi bukan sesuatu yang kosong dan tidak berpihak, sebaliknya memihak
secara luar biasa dan dengan penuh pertanggungjawaban terhadap hati nurani
manusia. Nilai estetiknya sudah pasti meresap dalam getar keindahan, pada waktu
yang sama menggalurkan sejumlah pesan dan amanat yang berguna kepada
perkembangan sastera dan proses menyerlahkan nilai-nilai ketamadunan yang
tinggi. Sebahagian daripada amanat dan pesan itu diungkapkan dalam bentuk gaya
bahasa yang indah tetapi kritis. Dalam buku- bukunya seperti Sinar
Sirna, Menginai Badai, Kembali di Lahad Rahsia dan Suara yang Terbuka
mengetengah pemikiran-pemikiran yang kritis dan semula jadi. Hasyuda Abadi juga
menggugah pemikiran pembaca dalam karya-karya Islami malah turut menyertai
kesinambungan para penulis lampau terhadap permasalahan marhaen tanah air.
Melihat senario perkembangannya sebagai
penyair, kita akur bahawa berlaku proses pasang surut yang lumrah dalam konteks
kepenyairannya merentas zaman. Namun daya kreativiti Hasyuda Abadi tetap
konsisten, berterusan dan mengalahkan ramai penulis dari segi kekuatan
estetiknya. Memperkatakan karya puisi Hasyuda Abadi, kadang-kadang kita menghela nafas kagum. Bahasa
dan ungkapannya selalu segar dan memukau. Nuansa dan jangkauan puisinya sangat
luas, puisinya mempunyai beberapa tingkat pengertian yang perlu digali dan
dijernihkan maknanya. Kadang-kadang dipenuhi kejutan dan keajaiban. Puisi-puisi
nya membuka peluang
yang mampu membimbing kita meneruskan kehidupan. Kata Horace, seorang penyair
Roman, sastera itu bersifat “manis
dan berguna”, kita
menganggapnya seperti madu, yang mempunyai khasiat yang banyak, tetapi selalu
tidak dipedulikan orang. Sifat madu biasanya manis, tetapi sukar didapatkan,
apa lagi madu berkualiti tinggi. Sesiapa yang memerlukannya terpaksa memanjat
pohon yang tinggi, dalam hutan tebal yang penuh rintangan. Begitulah analoginya
jika kita hendak menelaah karya puisi yang dihasilkan Hasyuda Abadi.
Sebahagian besarnya dianggap sangat berkualiti dan
mampu menjana ketamadunan bangsa dan negara, proses mendapatkannya atau
menghasilkannya rasanya
bukan mudah. Hutan yang dilalui mungkin terlalu tebal. Ranjaunya mencabar. Masa
yang diperlukan untuk menempuhnya mungkin agak panjang. Malah, kekuatan,
komitmen dan iltizam penyair barangkali telah dieksploitasi sebaik mungkin,
bagi memastikan karya yang dihasilkan tinggi nilai estetiknya, dan penyair
sendiri terus berada di atas landasan yang betul, dalam konteks menyumbang
sesuatu yang bermakna, khususnya melalui penghasilan karya sastera berkualiti,
yang boleh dipertangunggjawabkan segi pemikiran, wacana, wawasan dan nilai
estetiknya. Inilah yang dilakukan Hasyuda Abadi dalam kebanyakan karya puisi
yang dihasilkannya.
Karya
sastera dalam konteks ini puisi, memang subjektif sifatnya, terutama berkaitan
aspek keindahan. Namun, semacam ada konsensus atau persetujuan bersama yang
diterima pakai di mana-mana, yang menegaskan sastera itu mempunyai sisi
kemanusiaannya tersendiri, mempunyai keunggulan tersendiri dalam membangun
peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Hal ini sangat jelas, apatah lagi
jika dihubungkan konsep sastera untuk kebaikan, sastera untuk kebenaran, yang
ditenun melalui bahasa yang indah, yang menyebabkan khalayak dapat mencerna
dengan mudah, akan kebaikan dan kebenaran yang terkandung dalam sesebuah karya
sastera itu keseluruhannya.
Sebagai satu kesinambungan kreatif, Hasyuda juga menulis cerpen, skrip drama pentas, skrip drama radio dan menulis kritikan serta esei sastera. Pada tahun 2020 sehingga 2019 Hasyuda Abadi menulis dalam sebuah pojok di Utusan Borneo Sabah. Hasyuda Abadi seorang tokoh penulis yang begitu disegani di Sabah dan turut dikenali oleh sebahagian besar pada sasterawan di Malaysia dan beberapa negera Asean. Sumbangan pemikiran tokoh ini tidak dapat diketepikan begitu sahaja. Selain daripada mendapat pengiktirafan di peringkat negeri, karyanya juga mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Karyanya berbentuk puisi dan cerpen sering memenangi Hadiah Sastera Sabah dan juga Hadiah Sasteran Perdana Malaysia. Beliau dikatakan antara penulis berbakat besar, prolifik dan menerima pelbagai anugerah seperti Hadiah Tinta Sastera dan Tokoh Penyair Islam Sabah. Hasyuda turut terlibat secara langsung dalam penubuhan Institut Penilaian Sastera atau INPES bersama-sama Datuk Dr. Haji Janathan Kandok dan Abd Naddin Haji Shaiddin menerusi Ikatan Penulis Sabah.
Iltizam dalam Kegiatan Lain ke Arah Pembinaan
dan Pengembangan Sastera Kebangsaan
KEGIATAN
Hasyuda Abadi dalam bidang persuratan sudah tidak asing dalam kalangan
penggiat-penggiat di tanah air. Bermula pada 1979 lagi ketika mula-mula berkecimpung
dalam bidang kesenian melalui seni tari dan teater, beliau banyak melaksanakan
kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan pengembangan sastera. Hasyuda merupakan
Setiausaha Kehormat persatuan tersebut pada tahun 1985 sehingga 1990. Persatuan
ini diketuai oleh YBhg. Datuk Hajah Zaiton Ajamain.
Menerusi
Kumpulan Anak Seni ini, Hasyuda terlibat dalam dunia teater dan penulisan seni
kreatif. Beliau terlibat mengadakan program seperti forum, bicara karya,
pengucapan puisi patriotik, menerbitkan buku antologi stensilan dan merupakan
editor Majalah Api-Api terbitan Kumpulan Anak Seni. Pada tahun 1986, sebuah
karya Hasyuda iaitu puisi berjudul ‘Salam Buat Kekasih’ telah memenangi Hadiah
Sastera Malaysia 1984/1985. Pada tahun 1987, Hasyuda dipilih pula sebagai
Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Program ini merupakan peluangnya
mendalami bidang persuratan khususnya puisi dengan pelantikan YBhg. Dato Dr.
Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) sebagai pembimbing. Hasilnya, beliau telah
berjaya menulis sebuah buku puisi panjang bertajuk ‘Balada Paduka Mat Salleh’.
Hasyuda terus mengembangkan dunia penulisan ini secara berterusan sehingga
membolehkan dirinya dipilih menyertai Program Penulisan Mastera di Jakarta
Indonesia pada tahun 1997.
Penglibatan
Hasyuda Abadi sebagai seorang penulis memperkuatkan lagi sumbangannya terhadap
pengembangan dunia persuratan tanah air. Beliau pernah terlibat dalam gerakan
penulis muda pada awal tahun 1990-an. Pada tahun 1990, Hasyuda menyertai Ikatan
Penulis Sabah (IPS), pada tahun 1992 beliau dipilih menjadi Ketua Dua persatuan
ini. Enam tahun kemudian menjadi Ketua Satu selama 20 tahun. Iltizam Hasyuda
sesungguh amat tinggi melalui pelbagai kegiatan persuratan. Terlibat sebagai
pemimpin persatuan penulis, sudah tentu mengajaknya menyediakan rangka terbaik
selain untuk ahli-ahli persatuan tetapi yang lebih penting membantu agensi
berkaitan seperti DBP Cawangan Sabah, Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah dan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Persekutuan ketika itu. Menerusi IPS, Hasyuda
terlibat sebagai antara penggerak utama penganjuran Khemah Sastera Sabah IPS
pada 1997 dengan mengajak seluruh penulis muda di Sabah bertemu, merangsang
mereka berkarya dan melaksanakan program yang bersesuaian seperti bengkel
penulisan, apresiasi kreatif dan sebagainya.
Sepanjangan
kepimpinannya dalam IPS, Hasyuda menjadikan ‘Wasatiyyah Kesejagatan Sastera’
sebagai teras gerakan yang sifatnya sederhana tetapi yakin kepada kebitaraan
wawasannya, meletakkan IPS bersama pendukung-pendukung persuratan tanah air.
IPS tidak mungkin mampu melaksanakan aktivitinya tanpa adanya pengurus sastera
dan bahasa yang berwibawa. Hala tuju yang jelas mesti berlandaskan suatu
pendekatan yang alami, ikhlas, beramanah dan wastiyyah. DBP pusat dan cawangan
di Sabah merupakan payung untuk menggerakkan aktiviti. Agensi ini amat
penting, dan, DBP Cawangan Sabah telah
memberikan sokongan yang padu dari semasa ke semasa.
Beberapa perkara yang
telah diberikan perhatian oleh IPS. Antara yang penting ialah penubuhan
Institut Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. Institut ini merupakan
usaha yang dilakukan oleh IPS atas idea ahli kehormat IPS, Yang Berbahagia
Datuk Dr Haji Janatan Kandok. INPES
ditubuhkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB) atas perkenan Tuan Yang Terutama
Yang Dipertua Negeri Sabah. Misi INPES antaranya memberikan penilaian terhadap
karya dan penulis dan membuat kajian ilmiah mengenai budaya, bahasa dan
sastera. Salah satu misi INPES dan telah dilaksanakan ialah memberi ruang
kepada penulis melancarkan buku baru mereka di tempat lahir masing-masing
dengan sokongan masyarakat setempat. Pemikiran melalui karya penulis terbabit
diperkenalkan kepada khalayak di tempat berkenaan.
Kedua, IPS memandang
serius terhadap wacana sastera yang harus diberikan perhatian. Bengkel-bengkel
penulisan yang laksanakan bagi IPS, harus diikuti oleh pembitaraan karya.
Bagaimana karya dapat dibitarakan? Penerbitan Majalah Komposisi sebagai salah
satu wadah penyaluran karya, Hasyuda berfikir IPS mampu melaksanakan lebih
sekadar sebuah penerbitan stensilan. Namun begitu, tanpa adanya segelintir ahli
yang hebat dalam merealisasikan Komposisi di peringkat awal dahulu seperti YBhg
Datuk Jasni Matlani, Abd Naddin Shaiddin dan beberapa ahli yang lain, IPS
mungkin hanya dilihat sebagai pertubuhan yang kosong.
Penerbitan buku-buku
sastera selain majalah Komposisi turut diberikan perhatian. IPS pernah
menerbitkan beberapa buah buku tetapi tanpa rujukan ISBN Perpustakaan Negara
Malaysia. Buku-buku yang diusahakan adalah dalam bentuk stensilan seperti
Antologi Puisi ‘Pengantin’, Antologi Puisi ‘Jalan ke Hujung Taman’ dan Antologi
‘Arca’. Sebuah Antologi Cerpen ‘Titian Pertama’ telah diterbitkan dengan
kerjasama DBP Cawangan Sabah. Pada 2013, IPS menerbitkan secara bersama dengan
Asterawani di Negara Brunei Darussalam sempena lawatan ahli-ahli IPS ke negara
tersebut. Pada 2015, IPS menerbitkan antologi puisi ‘Taman Fikir’ bersempena
ulangtahun IPS ke-25. Majlis jubli perak IPS telah diadakan secara sederhana
dengan sokongan DBP Cawangan Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Pada tahun 1997, IPS
yang pernah beroperasi di Asia City Kota Kinabalu telah menerbitkan Kumpulan
Puisi ‘Kabus’ karya Jasni Matlani, Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dan ‘Datang
Kembali’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Tetap Merdeka’ karya Allahyarham
K.Bali dan dua siri buku bimbingan Penulisan Kreatif dan Penulisan Skrip Drama
Radio disusun oleh Robby A. Pada 2013, IPS mendapat mandat menjadi penerbit
buku. Sejak daripada itu, IPS telah menerbitkan Antologi Puisi ‘Menjilbab Cinta’
karya para penulis IPS dan Asterwani Brunei, Kumpulan Pantun ‘ Usul Mengenal
Asal’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Seniman Menangis’ karya Melan
Bujang, Buku ‘Asas Membaca’ dan Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ karya 36 penulis
IPS dan rakan IPS.
Untuk menggerakkan ahli
dalam bentuk pertemuan, Hasyuda Abadi menggerakkan IPS melalui menganjurkan
aktiviti-aktiviti seperti Pertemuan Penulis Muda, Manifestasi Seni, Khemah
Sastera, Malam Nostalgia Sasterawan Sabah, Forum Sabah Baharu, Bicara Umum
Shuhaibun Yussuf dan Bengkel Penulisan Kreatif. Pemerkasaan aktiviti-aktiviti
terus dilaksanakan dengan lahirnya program Santai Minda dan Wacana Sastera. IPS
di bawah pimpinan Hasyuda, telah dinobatkan sebagai persatuan penulis paling
aktif sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2003 daripada Majlis
Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah. Sempena Jubli Perak IPS
pada 2015, Komposisi dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih menarik. Begitu
juga penerbitan Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ yang memuatkan puisi-puisi 36
orang penulis IPS dan rakan-rakan IPS, menjadi dorongan kepada para penulis
Sabah terus berkarya selain menjadikannya khazanah persuratan tanah air.
IPS yakin ia masih
relevan menjadi payung para penulis di Sabah. Pemerkasaan IPS terus dilakukan
pada skala yang amat sederhana. Namun begitu konsep bitara yang diperkenalkan
semasa program motivasi pada bulan Februari 2015 akan menjadi tanda aras
kepadanya terus unggul untuk membina dan membangunkan citra sastera kebangsaan.
Bitara yang membawa maksud pencapaian paling unggul dalam bidangnya, harus
difahami oleh setiap lapisan ahli. Setiap ahli perlu mempunyai impian dan
memantapkan setiap jalur ke arah impian itu dengan iltizam serta tumpuan.
Menjadi terampil dalam dunia persuratan harus memegang prinsip melalui
pemilikan buku sendiri, melibatkan diri dengan serius dalam pelbagai acara
sastera tanah air dan mengambil tahu aktiviti persatuan pada masa yang sama
terlibat dalam aktiviti-aktiviti persatuan.
Selain memimpin
persatuan, Hasyuda sering turut serta dalam kegiatan-kegiatan anjuran DBP baik
di Sabah mahu pun di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain termasuk di Negara
Brunei Darussalam dan Indonesia. Dalam aktiviti antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL
Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur, Korean-Asean Poet and Literature Festival
di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu
Sastra Indonesia-Malaysia (2015) dan Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara
Serumpun di Jogjakarta (2016). Di samping aktif sebagai
penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan
Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat
Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Melalui
program ini, Hasyuda memperkenalkan dunia sastera kepada para wira dan
wirawati. Mereka ditunjuk ajar berdasarkan korikulum yang disediakan oleh DBP
selaku penganjur program.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan