Rabu, Disember 03, 2025

Hakikat Kekuasaan yang Sementara

SERING kali manusia berasa besar diri apabila kuasa berdiri di belakangnya. Kata-kata menjadi lebih lantang, langkah menjadi lebih berani dan wajah kehidupan berubah seolah-olah segala pintu telah terbuka. Apabila kuasa menyertai diri, manusia mudah lupa bahawa di belakang kekuatan itu tersembunyi satu hakikat pahit: tiada kuasa yang kekal. Yang tinggal hanyalah masa, dan masa tidak pernah setia kepada sesiapa.


Kuasa, seperti bayang-bayang, hanya setia ketika cahaya memihak. Apabila cahaya beralih, bayang pun lenyap. Begitulah nasib manusia yang menyandarkan harga diri sepenuhnya kepada jawatan, pengaruh, dan perlindungan tertentu. Selagi kuasa di belakang wujud, mereka berasa kebal. Lidah berani, hati menjadi keras dan empati terkikis. Mereka lupa bahawa apa yang sedang dipeluk bukan kekuatan sejati, tetapi pinjaman.


Namun masa ialah pemecah mimpi yang paling kejam dan paling adil. Tiba waktunya, manusia akan terjaga daripada mimpi-mimpi lama. Jawatan berakhir, pengaruh mengecil dan nama tidak lagi disebut. Di saat itulah keterbatasan diri menampakkan wajah sebenar. Ada yang lahir keinsafan, menyusun kembali makna hidup, menebus kesilapan dan belajar rendah hati. Ada pula yang memilih sebaliknya, terus marah, menyalahkan dunia dan mengekalkan keangkuhan walaupun tongkat sudah patah!


Di sinilah perbezaan insan teruji: adakah kejatuhan menjadi sekolah kehidupan, atau sekadar bilik keluhan? Keinsafan bukan hadir secara automatik; ia lahir daripada keberanian mengaku rapuh. Tidak semua yang jatuh akan bangkit sebagai manusia baru. Ada yang jatuh sebagai tubuh tetapi ego kekal berdiri. Ada pula yang jatuh sebagai status tetapi jiwa bangun dengan lebih jujur.


Hakikatnya, kuasa manusia bak salji di tengah panas. Ia mencair tanpa menunggu kebenaran. Apa yang kelihatan teguh hari ini, menjadi sejarah esok pagi. Kuasa yang disangka gunung rupanya hanya buih - sekejap mengembang, cepat menghilang. Yang kekal bukan kuasa, tetapi jejak: adakah ia meninggalkan kebaikan atau parut?


Lebih pedih lagi, kuasa yang tidak ditopang oleh nilai akan berubah menjadi beban. Ia mencipta kawan yang berpura-pura dan musuh yang senyap. Ia membesarkan nama tetapi mengecilkan jiwa. Dan apabila kuasa hilang manusia berhadapan dengan cermin paling jujur iaitu diri sendiri yang kosong daripada sandaran.


Maka, apa pengajaran terbesar dari lakonan kuasa ini? Bahawa nilai mengatasi pengaruh dan akhlak mengatasi pangkat, gelaran atau bintang-bintang kebesaran. Bahawa manusia perlu membina diri pada perkara yang tidak boleh dilucutkan oleh masa: integriti, empati, dan kebijaksanaan. Jawatan boleh ditarik, gelaran boleh dipadam tetapi siapa diri kita akan kekal dalam kenangan orang lain.


Kuasa pada manusia sesungguhnya jumud dan hilang jika disandarkan sebagai identiti. Ia hanya alat, bukan makna. Yang menjadikan manusia besar bukan kerana kuasa di belakangnya, tetapi kerana kebenaran di hadapannya. Dan apabila mimpi kuasa pecah, biarlah yang tinggal ialah kesedaran bahawa menjadi manusia yang baik lebih mulia daripada menjadi manusia yang berkuasa.


Kerana akhirnya, kita tidak akan diingati kerana berapa kuat kita memerintah tetapi kerana berapa jujur kita melayani.


Dangau Sastera

Sepanggar

Tiada ulasan: