DALAM setiap musim pilihan raya, wajah politik sering tampil dengan solekan kata-kata manis. Janji ditabur, visi diangkat setinggi langit, dan lawan politik dilukis sehitam malam. Namun, apabila tirai kempen ditutup dan keputusan diumumkan, kita sering menyaksikan babak paling menyakitkan dalam demokrasi: tohmahan yang dulu dilaungkan kini ditekan sunyi, janji yang dibangga-banggakan kini ditelan kembali, dan seteru semalam bertukar rakan hari ini. Rakyat pun bertanya dengan nada kecewa dan sinis, “Apakah politik memang begitu?”
Realitinya, politik bukan sekadar gelanggang idea, tetapi juga arena kuasa. Dan kuasa, apabila menjadi tujuan utama, mampu melenturkan prinsip sekeras besi. Demi jawatan, demi kedudukan, demi kelangsungan pengaruh, ada yang sanggup menelan kembali kata-katanya sendiri tanpa rasa malu. Hari ini melabel “pengkhianat”, esok berpeluk sebagai “rakan strategik”. Semalam menjerit “rasuah”, hari ini menutup mata demi “stabiliti”. Yang berubah bukan hanya pendirian, tetapi juga makna kebenaran.
Dalam budaya politik seperti ini, prinsip sering menjadi mangsa pertama. Apa yang dahulu dipertahankan sebagai “maruah perjuangan”, kini hanya sekadar slogan lapuk. Janji pula berubah menjadi komoditi perburuan undi, murah, mudah ditawar, dan tidak wajib ditepati. Rakyat dijadikan latar untuk drama pentas kuasa: diperlukan ketika undi dihitung, dilupakan ketika kerusi ditetapkan. Maka tidak hairan, kepercayaan awam semakin nipis, sinisme semakin tebal.
Namun adakah ini takdir politik yang tidak boleh dielakkan? Jawapannya: tidak semestinya. Politik bukan ditentukan oleh sistem semata-mata, tetapi dibentuk oleh watak manusia yang menggerakkannya. Apabila pemimpin mengutamakan kuasa berbanding amanah, politik menjadi kotor. Apabila kejujuran digadai demi kepentingan, politik berubah menjadi sandiwara. Tetapi apabila prinsip memimpin kuasa, dan amanah mengawal cita-cita, politik boleh menjadi seni memakmurkan masyarakat.
Masalahnya, kita sering terpedaya dengan retorik, bukan rekod. Kita terpukau oleh pidato, bukan integriti. Kita mengagungkan personaliti, bukan prinsip. Lalu kita hairan apabila setelah menang, mereka berubah wajah.
Sebenarnya, mereka tidak berubah, kita yang tidak cukup teliti membaca tanda. Politik lupa diri wujud apabila rakyat terlupa kuasa mereka.
Di sinilah tanggungjawab warga menjadi nadi penawar. Demokrasi bukan hanya pada hari mencelup jari, tetapi pada setiap hari menyoal pemimpin. Mengkritik bukan menderhaka, menilai bukan membenci. Rakyat yang diam adalah sekutu terbaik kepada politik yang songsang. Rakyat yang berani bersuara adalah sempadan kepada kuasa yang melampaui batas.
Apakah politik memang begitu? Politik hanya akan begitu jika kita membiarkannya begitu. Jika kita terus meraikan pemimpin tanpa menuntut akauntabiliti, terus memaafkan pengkhianatan tanpa hukuman moral dan terus melupakan janji tanpa catatan ingatan, maka politik akan kekal sebagai seni menipu tanpa rasa bersalah.
Namun jika rakyat bangkit sebagai hakim nurani, menimbang bukan dengan emosi tetapi fakta, menilai bukan dengan benci tetapi akal, politik boleh kembali kepada fitrahnya: mengurus kepentingan awam, membela yang lemah dan membina masa depan bersama. Kuasa sepatutnya alat berkhidmat bukan senjata menindas; sepatutnya amanah bukan perhiasan.
Akhirnya soalan ini tidak harus dijawab oleh pemimpin semata-mata tetapi oleh kita semua. Apakah politik memang begitu?Jawapannya terletak pada keberanian kita untuk menuntut ia menjadi lebih baik. Jika tidak, kita bukan sekadar mangsa politik tetapi realitinya kita adalah penyumbang kepada kejahatannya.
HA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan