Khamis, Oktober 05, 2023

Catatan Kecil di Putatan




Kupi2 di Putatan bersama dua guru kami. Walaupun jarak antara RupHA dan Putatan  memakan masa 1 jam kami terpanggil yang Datuk Hj Jamdin ingin bertemu terutama dengan sahabat saya Abd Naddin. Rupanya ada sesuatu - pertama mengenai Hari Sastera lalu dan kedua ole-ole mengenai sejarah Putatan. Orang Putatan kena tahu ni, katanya. Sambil bercerita juga sejarah Hari Sastera ke-2 yang beliau bersama Datuk Hj Hussain Kasau terlibat pada tahun 1973. Sungguh nostalgia sekali kerana peristiwa 5 dekad itu telah disertai Tun Datu Mustapha, wakil Presiden Indonesia Tun Adam Malik, Menteri Luar Tan Sri Ghazali Shafie, Prof Ismail Hussein, Tun Sambathan,Datuk Mohd Asri Haji Muda, Datuk Dzulkifli Abdul Hamid, Abdullah Hussain, Arena Wati, S Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Jins Shamsuddin,dan ramai lagi tokoh sastera. Masa itu juga Tun Datu Mustapha menghadiahkan bantuan untuk peraduan menulis novel Gapena-Yayasan Sabah. Sepatutnya Datuk Hussain antara yang masih ada diberikan anugerah sebagaimana ditetima Datuk Jamdin. Biarlah dulu ini  peristiwa telah berlalu, tetapi baru terfikir mengapa tidak diberikan ruang kepada Datuk Jamdin menyampaikan sejarah penting Hari Sastera kedua yang diadakan di Pantai Tg Aru 50 tahun sudah. Opps! Peristiwa ini juga sudah berlalu, hanya jadi cerita di kedai soto saja. Dulu kata Datuk Hussain, Hari Sastera mengangkat sastera terkait kepada pengisian 10 tahun kemerdekaan. Sekarang tentulah lain - dinamika sastera kebangsaan yang tidak kunjung selesai.  Datuk Jamdin menghadiahkan 3 buah bukunya Novelnya untuk saya agihkan kepada kawan-kawan. Semoga kedua-dua tokoh ini diberkati jasa baik mereka kepada gerakan sastera di Sabah.

Rabu, Oktober 04, 2023

Mencari persamaan dan perbezaan masa lalu


Menoleh ke belakang sering mengajak kita memandang semula sesuatu yang barangkali memang ingin dilupakan walaupun sebenarnya tidak demikian. Bahkan masa lalu itu menjadi igauan-igauan untuk datang kembali ke sana. Dengan pertanyaan bahawa pernahkan kita  berfikir tentang masa itu, masa lalu atau beberapa hari yang lalu? Beberapa hari yang telah berlalu dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan, suka dan duka. Meski mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang lalu itu sentiasa memberikan nilainya sendiri. Pengalaman sesungguhnya amat mahal dan untuk membezakan antara insan dengan yang lain inilah iaitu pengalaman. Pengalaman itu pengisian hari-hari yang mungkin biasa, luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu yang bermakna.

Sesiapa sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang penyair sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa sudah orang lain atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam bait-bait peristiwa kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik pelukisan serta penulisan yang berwibawa.

Beberapa hari yang lalu telah mengajar tentang hijrah. Suatu perpindahan ke arah kelebih baikan untuk kehidupan. Memilih jalan yang diyakini benar daripada segala kemungkinan-kemungkinan yang benar. Beberapa hari yang lalu menerima berita tentang banjir di kampung halaman yang menyuntik ingin sekali menyedut air yang tengah membuak-buak menenggelamkam kawasan rendah, ia bertahan beberapa lama kerana tiada jalan keluar hingga menyebabkan kesulitan warganya. Saat ini keperluan untuk menepuk belakang para pembesar agar turun tanah semakin membuak rasa setelah membara sekian lama. Barangkali beberapa hari yang lalu menerima berita gembira kerana permohonan pembelian kereta telah diluluskan pihak bank tetapi pada masa yang sama memikirkan juga  bertambahnya hutang. Beberapa hari yang sama sekaligus menggembirakan apabila menerima cahaya mata baru dalam bulan Muharam malah sekaligus kelahiran cucu pertama dalam keluarga.  Kegembiraan berganda setelah ditawarkan sebagai penerima bintang kebesaran kerana perkhidmatan yang lama dan cemerlang. Beberapa hari yang lalu juga dicerca merbakan oleh isu-isu yang meragam mengangkat menara geram. Orang lain gembira menyambut kemenangan sedangkan orang lain yang berjuang untuknya mula menyumbangkan jurang dendam. Beberapa yang lalu itu juga apa yang kita mahukan tidak menjadi, mahu kita tidak mungkin sama dengan mahu orang, apatah lagi buat yang berkuasa.

Beberapa yang lalu ramai orang begitu taksub memperkatakan masa depan politik yang semakin dicabar dan tercabar. Mereka bangun semata-mata politik, melihat kemakmuran rakyat hanyalah retorik tetapi tidak jelas. Politik terus berada di mana-mana ceruk rantau rimba, desa dan kota, di kantor, di menara gading, di tengah sawah dan ketika lautan banjir menenggelamkan tanaman dan membunuh haiwan ternakan. Beberapa hari yang lalu juga meraikan kemenangan penghiburan tempatan dari daerah yang terpencil sambil pada masa yang sama keriuhan kerana geram dengan pengkritik yang hilang pedoman, akal yang nakal tetapi lebih menanam geram.

Beberapa hari yang lalu tentang dunia yang terus ribut dan retak, terus dibumbui rentak muzika hantu dan citra tahayul di tengah keseronokan manusia menontonnya. Apakah sudah tidak ada wacana yang lebih membina minda, membangunkan citra bangsa yang lebih menjanjikan kekuatan untuk negara bangsanya? Atau barangkali segala yang ada sudah cukup menjelaskan bahawa dunia telah ketandusan keindahan. Retoriknya kepada ciptaan yang mengkhayalkan, manusia begitu senang menerima suntikan candu hiburan hingga ramai yang alpa dan tidak berfikir untuk apa sesebuah citra yang memabukkan itu disogokkan kepada anak-anak bangsanya yang kian lemah kerana terlalu lemah oleh kebendaan dan janji-janji serta habuan wang ringgit hingga nilai perjuangan telah hanyut jauh menanggalkan jati diri yang dipertahankan berzaman.

Seorang penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa hari yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa peristiwa. Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa hari yang baru, akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan tidak indahnya. Biasa bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa berjalan tanpa berhenti, manusia mencari tanpa henti sesuatu yang boleh sahaja menggembirakannya dan boleh jadi mendukacitakannya. Hari-hari yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan dicatatkan, diperindahkan, dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai penghayatan kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak haloba tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar, jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk mencapai impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah takat kemampuan yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.

Sesungguhnya beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar waras dan berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun peristiwa mempunyai wibawanya dalam keadaan yang indah dan sebaliknya. Beberapa hari yang lalu tak pernah berlalu selagi manusia penyair ada dan asas fikiran untuknya wujud. Dengan harapan akan ada pertemuan dan penemuan di hari-hari yang lain, bersiagalah untuk menyiapkan diri, fikiran dan suasana agar kesiap siagaan itu menjadi kekuatan dalam berhadapan dengan keadaan yang baru atau lebih baru. Dengan harapan akan kembali menyentuh peristiwa yang sama walaupun dalam masa yang lain seperti kata orang-orang pandai bahawa yang membuat kita berbeza tiada kecuali dua iaitu buku yang dibaca dan orang yang berada di sekelilingmu. Jika pun dengan orang yang sama kita akan melihat beberapa perbezaannya.