Jumaat, Januari 09, 2009

Doa Qunut Nazilah Buat Saudaraku di Gaza

Saat mata dunia tertumpu ke Genting Gaza Palestin yang diwarnai bahang ketakutan, jeritan kesakitan, dentuman bedil dan peluru, bermandikan darah serta bau asap ledakan senjata kita menikmati kehidupan yang jauh lebih sempurna. Anak-anak kita selesa bermain, belajar dan menonton TV, mereka mampu menikmati pelbagai kemudahan yang jauh lebih istimewa. Mereka tahu dan telah menyaksikan menerusi siaran TV tentang penderitaan rakan sebaya mereka di Gaza, mereka dan kita semua merasai dukacita tetapi tentu lebih dideritai oleh saudara seagama kita di sana. Mungkin kita hanya sempat mengalirkan air mata melihat para perempuan, warga emas dan budak-budak kecil yang meninggal dunia, yang ditinggalkan keluarga, yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Kita hanya mampu merenung dan menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Kuasa dan memberikan bantuan yang kita terdaya. Dan mengutuk Zionis laknatullah yang zalim.

Mari kita sama-sama bacakan doa Qunut Nazilah buat mereka yang teraniaya.

Qunut Nazilah adalah do’a qunut ketika musibah atau kesulitan menimpa kaum Muslimin, seperti peperangan, terbunuhnya kaum Muslimin atau diserangnya kaum Muslimin oleh orang-orang kafir. Qunut Nazilah, iaitu mendo’akan kebaikan atau kemenangan bagi kaum Mu’minin dan mendo’akan kecelakaan atau kekalahan, kehancuran dan kebinasaan bagi orang-orang kafir, Musyrikin dan selainnya yang memerangi kaum Muslimin. Qunut Nazilah ini hukumnya sunnat, dilakukan sesudah ruku’ pada raka’at terakhir pada solat fardhu lima waktu, dan hal ini dilakukan oleh Imam atau Ulil Amri.

Imam at-Tirmidzi berkata: “Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq bin Rahawaih telah berkata: “Tidak ada qunut dalam solat Fajar (Shubuh) kecuali bila terjadi Nazilah (musibah) yang menimpa kaum Muslimin. Maka, apabila telah terjadi sesuatu, hendaklah Imam (yakni Imam kaum Muslimin atau Ulil Amri) mendo’akan kemenangan bagi tentera-tentera kaum Muslimin.” [2]
Berdasarkan hadis Ibnu Abbas , bahwasanya Rasulullah S.A.W. melakukan qunut satu bulan berturut-turut pada solat Zhuhur, Ashar, Maghrib, ‘Isya dan Subuh di akhir setiap solat, yakni apabila baginda telah membaca “Sami’allaahu liman hamidah dari raka’at terakhir, baginda S.A.W. mendo’akan kecelakaan atas mereka, satu kabilah dari Bani Sulaim, Ri’il, Dzakwan dan Ushayyah sedangkan orang-orang yang di belakang beliau mengaminkannya. [3]

Imam an-Nawawi memberikan bab di dalam Syarah Muslim dari Kitabul Masaajid, bab 54: Istihbaabul Qunut fii Jami’ish Shalawat idzaa Nazalat bil Muslimin Nazilah (bab Disunnahkan Qunut pada Semua Solat (yang Lima Waktu) apabila ada musibah yang menimpa kaum Muslimin) [4]

[2]. Tuhfatul Ahwadzi Syarah at-Tirmidzi II/434.[3]. Abu Dawud no.1443, al-Hakim I/225 dan al-Baihaqi II/200 & 212, lihat Irwaa-ul ghaliil II/163.[4]. Lihat juga masalah ini dalam Zaadul Ma’aad I/272-273, Nailul Authar II/374-375 -muhaqqaq.

Tidak ada hadis dari Nabi shallallahu `alaihi wa sallam yang menunjukkan adanya doa khusus dalam qunut nazilah. Siapa yang menelaah pendapat-pendapat para ulama, nescaya ia akan mendapati para ulama memberi keluasan dalam perkara ini. Oleh kerana itu seseorang berdoa di dalam qunut nazilah dengan doa yang bersesuaian keadaan yang tertimpa musibah, kezaliman dan penindasan dan apa yang mereka perlukan. Bahkan Al-Qadli Iyadl rahimahullah menukil kesepakatan jumhur ulama bahwa tidak ada doa khusus dalam qunut. Ibnu Shalah menganggap orang yang berpendapat ada doa khusus dalam qunut adalah pendapat yang aneh dan tertolak, menyelisihi jumhur ulama. Lihat Al-Majmu’ 3/477, Majmu’ Al-Fatawa 23/108. Di Bawah adalah contoh bacaan yang biasa dibaca.
Maksudnya:
“Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu
di batang-batang leher musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan-Mu
daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.

Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka
Wahai Tuhan yang gagah perkasa
Wahai Tuhan yang penuh raksasa
Wahai Tuhan yang bersifat murka.

Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka
Dan menangkan kami ke atas mereka.”


Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Wallahu’alam.

Khamis, Januari 08, 2009

Gaza, Karya dan Utusan Borneo

1.

Benar, apa yang kita boleh buat selain merasa secara bersama kesengsaraan. Biarpun ribuan kilometer jaraknya dan tidak mengenali mereka tetapi deria kemanusiaan tidak pernah mengenal batas serta warna kulit. Kita seagama, jika tidak pun, kita semanusia yang punya harga diri dan naluri manusiawi. Kerana itulah, sesuatu yang kita boleh lakukan ialah menyatakan sokongan, menyatakan rasa sedih dan ingin membantu saudara kita yang teraniaya di bumi Gaza Palestin. Barangkali kita tidak menggemari perarakan atau tunjuk perasaan yang keterlaluan, kita ada cara yang paling sentimental tetapi berkesan. Mudah-mudahan usaha murni kita menerusi gerakan budaya dan sastera mampu mengangkat kesediaan kita menentang kezaliman Zionis di tanah air yang diduduki manusia seperti kita. Mudah-mudahan jalan terbuka untuk kita menerangi jalan yang sedang mereka lalu, yang dipancari warna darah, jeritan kesakitan, ketakutan yang amat sangat, kesedihan dan sejuta rasa yang tidak tergambarkan.
2.
N.R. Rahim menghubungi saya dan kami pun bercerita tentang komentar Cikgu Ramli Jusoh dan Tuan Haji Siban Antau (Siba Nita AS) berhubung dengan Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 yang masih diperkatakan di kalangan warga sastera di Sabah. Dalam banyak fakta yang diutarakan kedua-dua tokoh itu, saya berkata, memang wajar juga direnung. Mana-mana yang baik jadikan panduan untuk menambahmurni aktiviti seumpamanya. Tidak salah menyatakan sesautu dengan nawaitu yang jujur dan ikhlas. Sastera itu bukan perkara yang beku dan kaku. Manusia yang membangunkan sastera juga demikian, boleh dilenturkan dan dibentuk sebaik mungkin. Mana ada manusia yang sempurna. Sedang berusaha sekuatnya untuk memperbaiki kelemahan masa lalu, masih juga terjadi kelemahan yang tidak diduga.

Namun begitu, ada juga pandangan yang perlu dibetulkan atau setidak-tidaknya difikirkan semula. Misalnya membandingkan majalah tempatan dengan majalah nasional. Saya berkata lagi kepada Rahim, dalam kasus yang disebutkan ini, karyalah yang harus diambil kira, bukan media massanya, bukan majalahnya. Karyalah yang menentukan bukan disebabkan majalah itu sudah hebat atau sebaliknya. Katakanlah seorang penulis setahun jagung mendapat tempat di Dewan Sastera dan seorang penulis lain yang sifatnya mapan mendapat tempat pula di media Wadah, tiba-tiba karya penulis setahun jagung itu menang hadiah sastera, apakah kita akan katakan kerana majalahnya yang hebat atau karyanya yang memang baik?

Kata saya lagi, sekarang bukan masanya kita memperlekeh media-media yang gagal meletakkan karya yang harus menang atau tidak. Ada baiknya karya-karya yang menang itu dikupas, dianalisis, diperkatakan, dibincangkan atau dicincang-cincangkan dengan tujuan untuk mengenal pasti sejauh mana karya itu bagus atau tidak. Ini belum pernah dilakukan walaupun saya pernah membangkitkannya tahun 2007 selepas majlis Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 diupacarakan. Apatah lagi semua karya yang menang telah dikumpulkan dan diterbitkan untuk tatapan kita. Bentuk barisan panel pembicara. Saya fikir masih relevan lagi saat ini kerana jarak upacara penghargaan hadiah sastera tersebut belum beranjak jauh.

Sambil soal pengurusan majlis saya fikir itu sifatnya adhoc semata-mata, tapi masih boleh diperbaiki. Saya dan Rahim bersetuju premis majlis diadakan di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah. Banyak kelebihan yang diperolehi. Antaranya kos dan kebebasan untuk melakukan aktiviti sampingan seperti pameran dan diskusi sastera. Jika ada sesetengah orang yang merasakan kurang grand, waima di hotel yang besar sekalipun jika pengurusannya tidak versitil, ambil sikap asal jadi, tidak kreatif dan sebagainya, lebih baik mengunakan premis yang lebih mudah penyelenggaraanya dengan kos yang rendah tetapi masih meriah. Apapun juga setiap kelemahan masih ada ruang untuk diatasi. Semangat saling menerima ditambah lagi dengan wujudnya nilai bersama di samping semangat keraja secara profesional, apa juga program yang diusahakan itu akan semakin lebih baik lagi. Inilah cabarannya.

3.
Ruangan sastera di akhbar Utusan Borneo telah berubah daripada hari Isnin kepada hari Ahad. Ini tidak disedari kebanyakan pembaca termasuklah para penulis. Saya kebetulan dimaklumkan lebih awal oleh Abd Naddin Haji Shaiddin menerusi smsnya hari sabtu lepas. Memang kelazimannya ruangan sastera harus ditatap pada hari ahad, para pembaca lebih santai kerana hari cuti. Lebih fokus membaca. Bagi golongan penulis, hari ahad menjadi hari penting kerana hari itu mereka berpeluang membaca karya penulis-penulis lain atau karyanya sendiri. Selain cerpen atau puisi, ruangan rencana sastera juga menjadi tumpuan utama. Siapa tahu akan bercambah idea untuk memperkatakan sesuatu mengenai dunia sastera itu sendiri. Siapa tahu terbersit cahaya ilmunya untuk memberikan reaksi terhadap isu-isu semasa dalam kerangka sastera. Siapa tahun berakar ilhamnya untuk turut sama mengupas persoalan budaya setempat, nasional waima global sekali pun. Diharapkan Utusan Borneo konsisten untuk menyalurkan maklumat sastera, budaya dan bahasa, bukan sahaja dari aspek muka surat tetapi juga jumlah genre yang disediakan.

Selasa, Januari 06, 2009

Pengucapan Puisi Amal | 'GAZA'


InsyaAllah, aktiviti seperti imej di atas akan dilangsungkan dengan semangat jihad di Kota Kinabalu, Sabah. Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK) akan bergabung semangat dan tanggungjawb mengendalikan program murni ini. Selain baca puisi yang menggarap tema-tema kemanusaiaan, marilah sama-sama kita menghulurkan derma ikhlas untuk membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza terutama kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa yang memerlukan bantuan.

Masyarakat awam khususnya para penyair diundang untuk menghantar puisi berkaitan peristiwa kemanusiaan di Palestin ini melalui emel yang tertera di bawah atau menghubungi pihak penganjur sebagaimana berikut:

Emel:
ailinnor@yahoo.co.uk
Telefon:
016-8115593 (Jasni Matlani)
012-8330664 (Hasyuda Abadi)
014-2023070 (Ailin Nor)

7 Januari 2009 | 10 Muharam 1430H


Peristiwa-peristiwa penting:

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.


Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

Melapangkan masa/belanja anak isteri.
Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

Memuliakan fakir miskin.
Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

Menahan marah.
Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

Menunjukkan orang sesat.
Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

Menyapu/mengusap kepala anak yatim.
Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

Bersedekah.
Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

Memelihara kehormatan diri.
Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

Mandi Sunat.
Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

Bercelak.
Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X.
Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

Sembahyang sunat empat rakaat.
Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer".
Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.

Menjamu orang berbuka puasa.
Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Selepas 30 Tahun Berkhidmat

Tahun 2009 ini menggenapkan angka 30 tahun saya berada di Kota Kinabalu dan berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Pada 8 Mac 1979 saya ditawarkan kerja oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sebagai Pembantu Siaran Gred D4 di Jabatan Penyiaran Malaysia. Ketika itu saya baru berumur 19 tahun dan baru melepasi peperiksaan MCE. Saya agak bertuah kerana dapat kerja lebih awal, tidak lama menganggur. Keputusan MCE belum juga dikeluarkan tapi saya sudah pun bekerja. Gajinya amat kecil - RM235.00 gaji pokok, campur dengan elaun-elaun yang ada dan tolak EPF, dapatlah sektiar RM400.00. Tapi bila ditolak lagi dengan bayaran sewa bilik, cukup-cukuplah untuk 'hidup' selama sebulan. Begitulah seterusnya. Dengan gaji itu, memang tidak mewah, namun setidak-tidaknya, tidak menyusahkan ibu dan bapa yang bukan juga orang yang mewah ketika itu. Saya sentiasa ingat kesukaran bapa mencari nafkah untuk keluarganya seramai 8 orang termasuklah ibu dan lima adik saya. Saya juga ingat betul dengan gaji yang kecil itu saya kurang memberikan orang tua apa-apa kecuali sebuah rumah yang ada sekarang ini. Sahabat-sahabat yang pernah mengunjungi rumah saya itulah yang saya mulakan.

Di RTM saya bertugas di bahagian pita. Setiap penerbit akan ke bahagian kami (POA) untuk meminjam pita kosong. Dengan pita itu mereka akan gunakan untuk sebarang rakaman untuk program radio dan juga bahan-bahan rakaman di luar studio. 4 tahun kemudian saya berpindah ke unit Seranta. Kerjanya mudah sahaja - susun surat khabar harian, kemas kini buku-buku bacaan dan rujukan dan mengurus keluar masuk buku-buku yang dipinjam oleh warga RTM. Pendek kata seranta ini selain mengwara-warakan program radio di surat khabar juga menjadi perpustakaan. Selama setahun di unit itu, saya dibawa pula ke unit penerbitan. Unit Pembangunan melengkapkan keberadaan saya di RTM. Di unit ini saya menjadi penerbit. Program yang saya tangani ialah 'Desaku' dan juga 'Suara Pembangungan'. 'Desaku' disiarkan pada waktu pagi sementara 'Suara Pembangunan' dibuat secara 'live' di konti pada waktu tengah hari secara bergilir-gilir dengan penerbit lain. Selain menerbit kadang-kadang saya 'curi-curi' menggunakan suara saya ke udara. Yalah, sesekali mahu juga merasa macam mana agaknya menjadi juruhebah. Saya sebenar belum dibenarkan menggunakan suara sendiri. Memang seronok. Rangcangan 'Desaku' memaparkan perihal asal usul kampung yang terpilih di samping memberi liputan tentang pembangunan dan cara hidup masyarakat desa berkenaan. 'Suara Pembangunan' juga memaparkan isu-isu pembangunan di Negeri Sabah terutama di luar bandar.

Berkhidmat di RTM memang menyeronokkan. Kisah-kisah hitam putih memang lumrah, di mana-mana pun kita berada, kita tidak dapat dipisahkan dengan hal-hal yang menjadi cabaran yang menjadikan kita bererti untuk kehidupan kita. Setidak-tidaknya menjadi panduan di hari-hari yang lain. Ketika saya dipindah ke unit penerbitan menyebabkan saya keluar ke daerah-daerah lain di Sabah untuk mendapatkan bahan penerbitan. Bertemu dengan pelbagai ahli masyarakat termasuklah Pegawai Daerah, Pemimpin Masyarakat, Ketua Kampung seterusnya orang-orang awam yang berkenaan. Kebetulan juga saya meminati bidang penulisan, walaupun ketika itu saya baru belajar dengan penulis-penulis hebat. Saya amat kecil dan kerdil. Di RTM saya banyak belajar. Saya tidak lupa jasa baik Encik Wilfred Mojilis, Encik Alex Sundang Alex, Encik Melin Biok, Puan Azizah Haji Itam, Puan Ramlah Amir yang pernah menjadi boss saya. Tidak lupa rakan-rakan sekerja seperti Francis Fahir, Allahyarham Abdullah Hussin, Puan Jovita Motuyun, Puan Alus Bokiah dan Puan Aisyah Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) yang banyak memberikan tunjuk ajar serta panduan semasa bertugas di unit berkenaan. Selama setahun setengah saya 'bermain' dengan skrip dan rakaman serta lagu-lagu pembangunan. Pada 4 Julai 1985 saya terpaksa berangkat pergi dari bangunan RTM kerana menerima tawaran bekerja di Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR). Pada tarikh itu saya memulakan kehidupan baru dan suasana baru di tempat kerja yang baru bersama-sama rakan-rakan yang baru.
Ikuti catatan seterusanya...

Ahad, Januari 04, 2009

Renungan | CATATAN HADIAH SASTERA SABAH


Catatan Tuan Haji Siban Antau (Siba Nita AS) yang dihantar oleh Abd Naddin Haji Shaiddin di KEMSAS dan juga komentar Cikgu Ramli Jusoh dalam Utusan Borneo (Ahad, 4 Januari 2009) seperti di bawah ini merupakan isu sastera sulung sejak 2009 merangkak tiba. Catatan Siba Nita AS tiba pertama kali lewat PDA saya (selepas menerima alert dari yahoogroups) dan berlanjutan di paparan laptop. Komentar Cikgu Ramli tentang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 meletakkan beberapa input yang perlu difikirkan secara matang. Setiap kalimah dan setiap ayat yang diutarakan kedua-dua tokoh ini terhasil dengan sebab dan lahir dari mata kejujuran. Seluruh citra menjadi sebuah catatan panjang mengandung makna yang tersirat. Sebagai salah seorang penulis saya begitu merasa 'sengat' kebenaran terhadap beberapa isu tetapi wujudnya semacam kasta dalam meletakkan kedudukan penulis hanyalah sekadar getusan naluri ketika itu. Barangkali tanpa disedari lantaran inginkan suatu kesempurnaan untuk meraikan para penerima hadiah sastera hal-hal begini menjadi begitu terpencil. Dari sisi ini kita merasa akur pihak penganjur (DBP Cawangan Sabah) telah melakukan yang terbaik malah lebih baik berbanding dengan majlis yang sama pada masa lalu. Namun secara tersirat apa yang kita nikmati itu barangkali tidak sama dirasai oleh sebilangan yang lain. Malah secara jujur perlu juga dikatakan bahawa 'premis' program yang penting ini perlu juga difikirkan apakah sesuai atau tidak. Saya teringat komen seorang sahabat bahawa tempat majlis tidak mengundang masalah tetapi kurang grand.


Keratan Utusan Borneo, 4 Januari 2008, tulisan Ramli Jusoh

Apabila saya putar kembali peristiwa memang benar bahawa pihak penganjur kurang peka atau telah terlepas pandang terhadap kehadiran penulis dan bukan penulis. VIP program sastera ialah penulis. Sistem meja memang objektif, hanya menentukan tempat penulis harus lebih awal dipastikan apabila mendapat maklumat tentang kehadiran mereka. Kini telah jelas terjelma getus rasa atau segaris luka di kalangan mereka yang patut berada di tempatnya yang wajar.

Seperkara lagi yang menjadi perbualan selepas 'rumah siap' ialah pemilihan karya yang kurang memuaskan sambil menganggap masih banyak lagi karya yang boleh diangkat sebagai karya terbaik. Ini telah disentuh dengan penuh bersahaja dan cukup berhati-hati oleh Cikgu Ramli. Membaca kebanyakan karya khususnya cerpen fokus pemilihan lebih terarah kepada intipati pencitraan serta tema. Saya suka juga mencadangkan agar setiap karya yang memenangi hati para penilai Hadiah Sastera Sabah itu dibicarakan secara ilmiah; paling tidak kita dapat menentukan di manakah kedudukannya yang sebenar sehingga karya tersebut menjadi 'yang terbaik' daripada banyak karya yang terbaik.

Namun inilah realitinya, sang penilai itu manusia biasa dan tidak dapat mengenepikan rasa ketidakpuasan hati sesetengah pihak. Tentu saja tumpuan ramai pihak yang berkenaan kepada sesuatu yang tidak beres seperti yang pasti terhadap sistem pengumpulan data untuk penilaian. Memanjangkan karya yang pernah diterbitkan kepada pihak penganjur merupakan jalan terbaik, namun ada sesetengah penulis, tindakan ini kurang tepat, dengan anggapan patutkah karyanya minta dinilai. Tugas menghimpun data tugas pihak penganjur bukan penulis, kata mereka. Sesuatu yang berbeza 'kelazatannya' apabila menerima pengumuman karyanya memang hadiah sastera berbanding 'mengharapkan' karyanya memenangi hati penilai tiba-tiba kesasar daripada jangkaan. Penilaian ini bukannya pertandingan, bukannya sayembara, ia bergantung kepada ketuntasan karya berkenaan menetapi syarat yang ditentukan penganjur dan sensiviti para penilai yang diberikan amanah. Kepada penganjur tentu sahaja getus atau apa juga teguran seumpama catatan panjang Siba Nita AS dan komentar membina Cikgu Ramli Jussoh ini menjadi renungan bersama, menambahbaik kekurangan yang terkesan sambil meletakkan ujaran yang berhikmah demi kelestarian sastera kita secara menyeluruh.

Melepaskan pelbagai persoalan yang telah berlaku dan telah berlalu merupakan kelaziman. Sama ada mahu atau tidak, relevannya tetap ada dan diterima padahal yang lebih penting ialah melihat lebih jauh buah fikiran penulis, meneroka falsafah serta tema kemanusiaan yang digarap, mencernakan setiap kalimat serta diksi-diksi murni agar terus terasa segar dan diucapkan sebagai terapi serta neraca kehidupan. Lazimnya berbicara lebih senang berbanding memandang, melontar kata lebih encer berbanding merenung makna, berbasi basi lebih mewah berbanding menentukan keindahan itu sendiri. Kita leka oleh perbandingan, leka oleh pertembungan kemahuan, leka oleh kecemerlangan dan penghargaan. Pada hal tiada perbuatan yang paling dituntut kecuali sentiasa memandang cermin diri dalam erti kata yang lain - bermuhasabah. Muhasabah bukan hanya saat menerima musibah bahkan ketika kita berada pada suatu keadaan atau tempat yang mulia di kelilingi cahaya dan warna kebahagiaan. Kita wajar melihat dari luar apakah kewajarannya keberadaan kita di tengah gelanggang yang gemilang. Dengan itu kita sentiasa peka dan sedar ruang sambil mengambil iktibar bahawa kegembiraan tidak mudah melupakan rasa hampa, begitulah sebaliknya. Tentulah para penulis perlu memperkasakan lagi karya mereka, memperhebatkan lagi penulisan menerusi tema-tema terpilih yang lebih tinggi darjat hikmahnya, memperkembangkan lagi idea-idea kemanusiaan sejagat di samping melakukan pembaharuan yang lebih jelas bukan sekadar eksperimentasi yang tidak berkesudahan.


Antara persoalan yang ditumbulkan: apakah karya terbitan majalah DBP Cawangan Sabah jauh lebih hebat mutunya daripada Dewan Sastera? Persoalan saya: Apakah betul karya yang disiarkan dalam Dewan Sastera itu juga demikian berbanding terbitan lain?


CATATAN PANJANG PADA MALAM
PENYAMPAIAN HADIAH SASTERA SABAH
Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
Tahniah khusus untuk penghulunya
kedua tak dilupai seluruh warga dewannya
lebih-lebih lagi kepada para pemenangnya.
Tapi mohon maaf tuan
pinjamkan aku sedikit ungkap bahasanya
dalam buku aturcara, lihat kembali
ruangan sepatah kata secantik bahasa
`Kita belum benar-benar menempatkan
Sastera di kedudukan yang penting dalam
kehidupan kita'.
`...yang memungkinkan penghayatan
nilai-nilai kemanusiaan, ketuhanan, persefahaman
dan sebagainya.. ..'.
Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
tetap indah, unggul dan meriah
namun mohon maaf ini sahaja yang
sempat ku catat, tak dapat ku bendung
mengalir juga dari serpihan hakikat.
Aku mulakan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan
kerana bermula dari meja pendaftaran
tertulis sudah perkataan
peserta VIP, peserta khusus, peserta Jabatan,
selebihnya peserta umum dan biasaan.
Penyambut VIP,Khas, umum, biasa dan Jabatan
hingga kepada meja makannya tertulis
angka meja satu, meja dua, meja tiga
seterusnya aku diberi meja dua puluh lapan.
Setelah puas aku mencari, peluh mulai
bergenang di dahi, rupanya mejaku tersedia
di laur sana, dengan penuh tawaduk
aku agak tertunduk terasa malu, lalu keluar
mendapati mejaku kemudian penuh sopan
aku mempersilakan diriku duduk
Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
di dalam dewan dekat dengan podium
hamburan dingin dari penghawa
melontar keringatpun tak akan sempat hangat
sedang aku masih sempat tersenyum\melihat Ramli AR tak sampai hati
keluar masuk tetap menjenguk kami
sementara peluh tak dapat ditampan
kipas angin merasa segan mencepatkan putaran
khuatirkan debu melambung ke bumbung
lalu bertabur di atas sajian
sementara meja makanan terhoyang
ke kiri ke kanan merasa silu
kakiya tak rata berdiri di garaj kenderaan
Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
aku masih gagal dengan nilai-nilai ketuhanan
beginilah aku seadanya
masuklah ke dalam Cikgu, kataku
pada Ramlie AR kerana TYTpun sudah tiba
tak tahulah mereka, namun aku
di luar sini cukup selesa, sambil menangkap
wajah teman-teman lama, ternyata
mereka di luar sini memang tiada
cuma Hashim Haji Ibrahim dan Alung Jasmin sahaja
Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
makanan ringkas, tetapi bermutu tersedia di meja
dengan isyarat apakah kami
menjamah rahmat ini
kerana si pemenang hadiah dan kami
sebagai pembaca setia sasteranya
sudahpun dipisah-pisah.
Mujurlah sempat juga kami tontoni
tangan lembut TYT bersalaman dalam dewan
melalui projektor dan skrin yang disediakan
kami tetap berterima kasih
walaupun berada di luar sini
Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
sekali lagi Ramlie AR keluar menjenguk kami
kataku yang selayaknya cikgulah
penerima Tokoh Penyair Islam itu sejak lama
tidak semestinya bersongkok
seperti Hasyuda Abadi malam itu
dan saya hanya kebetulan sahaja
kerana Imam Kariah.
dalam sastera kalau mahu selamat
jangan melawan arus, Ramlie AR
menikamku dari belakang
dalam Islam boleh juga mewngikut arus
tetapi mesti tahu mengalihkan, dan melurus
aku pula membujak Ramlie dari depan.
Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
ah...masing- masinglah kita
mentafsir erti, insya Allah aku yakin dan percaya
malam itu tidak akan ada unsur kasta
cuma sebagai manusia kita terlalu
diikat oleh protokol dan tatacara
padahal alangkah indahnya
kalau Baju Batik yang kita pakai malam itu
dengan harga yang sama
kita berbicara tentang sastera
di bawah rendang pokok yang sama
di hamparan rumput hijau yang rata
tiupan angin dingin yang selesa
sambil menghirup segelas kopi tumbuk
yang sama pekat pahit terasa
didendangkan oleh riuh gempita
gelak ketawa, lahir dari sanubari
yang diadun bersih suci dari segala buruk sangka.
Kemudian kita ambil resolusi bersama
bahawa selama ini yang diberi hadiah
si penulis sastera, tetapi kali ini
si pembaca yang paling setia
juga diangkat menerima anugerah.
Malam Penyampaian Hadiah sastera Sabah
akhirnya aku menemui nilai persefahaman seterusnya,
kemudian dengan rendah diri
akupun rela sepenuh-penuh jiwa raga
antara mereka yang berada di dalam sana
dengan kami yang di luar beranda
rupa-rupanya sama sahaja
tiada bezanya di sisi Allah, kecuali
siapakah di antara kita yang bertakwa.
-Siba Nita AS
20.12.2008
DBPCS



Puisi | SEBUAH KEMERDEKAAN BUKAN UNTUK PALESTIN














Insan yang mulai disayat hatinya
sambil darahnya sudah hampir tiada
kering-kering-kering-kering-kering
tapi mata suaranya mulai membuka jiwa raganya
maka kali ini sajaknya mahu
menerbangkan sayap batinnya jauh
menakluk dunia bencana
di mana darahnya yang kering itu
rupanya berkubur di bumi yang lain
iaitu Palestin










Up to 12,000 demonstrators took to the streets of London in protest against the attacks on Gaza, throwing shoes through the gates of Downing Street and setting fire to the Israeli flag.








Insan yang mulai disayat hatinya
sambil darahnya sudah hampir tiada
kering-kering-kering-kering-kering
tapi mata suaranya mulai membuka jiwa raganya
maka kali ini sajaknya mahu
menerbangkan sayap batinnya jauh
menakluk dunia bencana
di mana darahnya yang kering itu
rupanya berkubur di bumi yang lain
iaitu Palestin

Palestin
suaranya terbuka selembar demi selembar
terlukislah warna-warna merah, hitam kelam
raung yang maha raung muzika kesedihan
sehingga saat itu, tidak ada lagi
tempat memikir-mikirkan bahasa baik
atau keindahan santun nenek moyang
nikmat sebuah kehidupan purba
tidak ada juga damai bagai perkampungan
menyimpan citra padang pasir, sungai nil, gelora
tebing barat sungai jordan

warna darah menghias kanvas
orang-orang bencana sambil gagalnya
orang-orang membuat bencana
menyelesaikan silangkata di atas
meja santap entah berakhir bila
mereka berada di dalam seksa
cemas meneguhkan sikap
yang belum pernah siap
sambil di luar perdebatan
orang-orang bencana melaung-laungkan
angkara tanpa pedoman meruntuhkan kota
meluluhkan harmoni bangsa
menelanjangkan kegamatan, rakus kuasa
menelanjangkan dendam demi dendam
yang panjang
membara,
ketika visual bedilan-bedilan
mortar, bedilan-bedilan batu, bayangkan kesedihan ini
tubuh kanak-kanak dimamah peluru
dalam getar ketakutan dalam getar menghadap maut
dalam getar menginap di kamar peri
manusia insan mengerti

berapa ramaikah lagi anak-anak membutuhkan
keinsanan, dunianya yang dimulakan kebobrokan
berapa lamakah lagi insan malang
tak berhenti menceritakan wanita-wanita
sesat punca, wajah usang, kering kontang
retak beribu bagai ranting zaiton
patah, patah sayap merpati putih
di angkasa luas raksasa
tak terjelajah dunia sengketa ini
kerana titik puncanya adalah sebiji
bom jangka yang meletus bila-bila
para mujahid berani mati
dan inilah ledakan sengketa
mengumpul segala kekuatan suara
riuh rendah, suara dendam kesumat
suara riuh meluluh hasrat
merdeka, suara raungan tanpa kenal
di mana waktu malam dan siang
di mana bayi-bayi, anak-anak harus disusukan,
orang-orang tua yang mempertahankan
warna purba yang tak pernah memutihkan
kenangan, di sini orang-orang bencana
menulis kata demi kata di atas
meja batu dan debu-debu darah
udara bayu sengketa berbalam-balam
kepulan kemusnahan

oh! kau gugur, damai, setelah sekian
demi sekian lamanya
hatiku telah disiat-siat luka
lama seperti dalam sajak-sajak lara
orang-orang bencana
bermain-main di taman perkasihan
dari sebuah bangunan bangsaku
yang sama menganyam dendam diamnya
begitukah akan kelihatan
sebuah visual kehidupan huru hara
sengketa sikap meranapkan warna
warni bangsa, menggadai makna bebas
bebas, bebas seadanya

hidup sebuah kemerdekaan
tidak untuk palestin, tapi untuk
anak-anak yang lemas di lautan dendam
yang hangus dalam bahang api sengketa
Palestin tak perlu merdeka
tapi anak-anak kecil itu harus besar
ada harga diri
benteng di akal menyanggah liar akar
angkuh membunuh jiwa raga
menyemai dendam-dendam yang sama
Palestin biarpun lenyap di buminya sendiri
israel biarpun lenyap di bumi sini
Palestin biarpun lenyap di tanah airnya sendiri
israel biarpun lenyap di tanah air sini
orang-orang bencana dan pencetus sengketa
tak mungkin mengenal erti diam
kecuali memahami untuk pulang
di sisi Tuhan!

Sunyi

setelah malam, bulan
setelah surut, laut
setelah tiada, puisi