Isnin, Mac 09, 2009

Demi perpaduan...demi perpaduan...

Catatan ini hanya memfokus konteks Negeri di Bawah Bayu Sabah. Perpaduan bukan suatu ungkapan yang asing kepada masyarakat multi-kaum di Sabah, saya tidak risau masalah perkauman di kalangan etnik yang telah berkurun hidup dengan aman damai. Institusi perkahwinan sudah lama mengamalkan perkahwinan campur. Isteri saya berketurunan China, saya tidak ada masalah besar untuk hidup dengan keluarganya yang besar yang juga terdiri dari pelbagai ras yang lain. Ketidak sepaduan biasanya disebabkan oleh perbezaan pandangan terhadap sesuatu perkara dari sudut politik dan agama, misalnya. Namun masyarakat di Sabah tetap masih mampu duduk bersama-sama. Ada kalanya makan di sebuah kedai yang menghidangkan makanan Melayu dan China tanpa masalah yang merunsingkan. Dalam sebuah keluarga itu ada yang bersembahyang di gereja Kristian, ada yang pergi ke kuil Buddha atau ke Masjid yang beragama Islam dan sebagainya mengikut keyakinan masing-masing. Kadazan, Murut, China, Bisaya, Brunai, Idahan, Bugis, Suluk, Iranun, Bajau, Jawa, Orang Sungai, Dusun, Lundayeh, Kedayan, India, Pakistan dan banyak lagi telah memahami antara satu sama lain. Masalah perpaduan bukan di tempat kita ini sebenarnya. Sesekali saya berfikir mengapa agaknya isu perpaduan masih menjadi perbualan baik di peringkat atasan mahu di kalangan masyarakat. Apakah ia sekadar sebagai sebuah trend apabila pemimpin atasan bercakap mengenainya semua orang juga sibuk memperkatakannya. Barangkali yang perlu dibincangkan ialah kesepaduan falsafah, pemikiran, pandangan hidup dan jati diri serta keberadaan etnik-etnik itu di dalam sebuah negara bangsa yang berdaulat menerusi kemerdekaan.

Apa masalahnya, semua kaum di Sabah bercakap dalam Bahasa Melayu apabila bersua. Mereka boleh memahami masalah masing-masing melalui pertuturan yang seragam walaupun menggunakan bahasa basahan semata-mata. Anehnya pula apabila ada kaum lain yang kebetulan fasih dan boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dengan baik, boleh menulis puisi misalnya dengan baik, dia telah dinobatkan sebagai sesesorang yang luar biasa. Puji-pujian terlalu melambung tinggi. Padahal Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar, bahasa Kebangsaan yang sekian lama berakar umbi menjadi lingua franca di mana-mana. di negara ini. Bagaimana pula sekiranya orang China yang boleh bertutur bahasa Bajau atau Kadazan. Bagaimana jika orang Melayu fasih berbahasa Mandarin atau India dan seterusnya? Memang tidak ada perangkaan untuk meletakkan isu ini di persada nasional barangkali. Pada saya bukan suatu yang luar biasa jika orang India atau China fasih berbahasa Melayu. Hinggakan ada peraduan atau sayembara persuratan khusus untuk masyarakat bukan Melayu ini tetapi menolak bila ada penglibatan etnik dari Sabah. Di Sabah wujud kelainan yang jarang terdapat di mana-mana tempat khususnya di Semenanjung, misalnya, walaupun namanya Sahimat, Aziz, Fatimah belum tentu dia berbangsa Melayu tetapi sebenarnya mereka ini mungkin masyarakat Dusun dan sebagainya. Inilah juga puncanya barangkali, masalah perpaduan sering dibicarakan. Demi perpaduan dan demi perpaduan... sehingga wujud jabatan perpaduan. Dan bagi sebuah negara yang telah merdeka yang dibangunkan oleh pelbagai bangsa isu perpaduan tidak mungkin berakhir kerana kita dengan sengaja mengiyakan masalah itu terus berlaku.

Akhirnya kita pun tidak dapat memahami apakah makna perpaduan yang sebenarnya.

Salam Maulidur Rasul


daripada Membelah Kabut

Ahad, Mac 08, 2009

Bahtera ke Selatan

Ini dia muka depan Antologi Puisi 'Bahtera ke Selatan' yang diterbitkan sempena dialog persuratan Sabah-Johor pada 7 Mac 2009 di DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu. 'Bahtera ke Selatan' himpunan puisi hasil pertemuan penulis Wilayah Sabah-Wilayah Johor ini diterbitkan sebagai hadiah istimewa buat pecinta sastera dua wilayah dan juga sebagai dorongan kepada warga penulis kedua-dua wilayah agar terus berkarya.

Pelancaran antologi ini disempurnakan oleh Datuk Japlin Akim. Diselenggarkan oleh Noordin Zainal Abidin, Jasni Matlani, Ramlie AR dan Amiruddin Ali Hanafiah, memuatkan 63 buah puisi karya 21 orang penyair Negeri Sabah dan 37 buah puisi nukilan 16 orang penyair Negeri Johor.


Dialog Persuratan Johor-Sabah

Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 akhirnya berakhir, sebagaimana lazimnya meninggalkan jejak sebagai sebuah lagi sejarah. Persuratan dan kebudayaan yang dicerna sepanjang
2 hari yang lalu ini telah dilaksanakan semampu daya penganjur.

Bukan suatu yang luar biasa, setiap pelaksanaan program seperti seminar, persidangan, pertemuan dan seumpamanya sentiasa berhadapan dengan pelbagai perkara yang perlu diatasi selepas ini. Peristiwa merupakan pengalaman yang amat mahal. Tanpanya tidak mungkin berupaya mendapatkan sesuatu yang lebih murni buat sebuah program besar yang murni dan bermakna. Terserahlah, walau apapun tanggapan dan persepsi peserta terhadapnya, apa yang penting sesuatu yang telah diungkapkan, difikir dan dihujahkan yang telah menjadi kesatuan dalam sebuah resolusi perlu disusuli dengan tindakan.

Kepada pihak-pihak yang ditujukan apa juga hujah yang diperkatakan perlu mengambil perhatian dengan bertanggungjawab. Seperti dikatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, agar persidangan ini tidak selesai apabila berakhirnya di majlis penutupan tetapi perlu menelusuri perjuangan selanjutnya.

Dialog Persuratan Johor-Sabah yang menjadi acara terakhir sempena persidangan yang julung-julung kali diadakan ini juga melakarkan harapan yang tinggi kepada para penulis di kedua-dua buah negeri. Walaupun tidak kelihatan hal-hal yang baru dalam dialog ini melainkan pernah diungkapkan dalam pertemuan atau dialog yang pertama sebelum ini, namun perlu juga diberikan perhatian betapa perlunya hubungan dua hala menerusi bidang persuratan dapat diungkayahkan. Kita percaya DBP Cawangan Sabah dan DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru akan memainkan peranannya agar apa yang digambarkan menerusi dialog ini memberi erti yang besar kepada para penulis berkaitan. Perlunya juga kedua-dua pihak dapat mengenengahkan kesohoran para penulis masing-masing. Menyenarai panjang nama-nama para penulis perlu sekali digandingkan dengan karya-karya mereka. Karyalah yang telah mengangkat seseorang penulis dan saya fikir wajar sekali diberikan perhatian misalnya menerusi serasehan karya, pameran dan seumpamanya. Pertukaran karya bukan sahaja menjadi sasaran yang utama bahkan akan menyebar luaskan karya para penulis kedua-dua buah negeri. Pertukaran lawatan tentu tidak memberikan makna yang besar andainya hanya diakhiri dengan pertukaran cenderakenangan dan pertukaran impian. semata-mata. Barangkali agak mengecewakan juga kerana dialog ini tidak begitu dirasai akibat kekangan masa, kata orang, alang-alang. Banyak perkara boleh dibincangkan malah ada persoalan dan juga pandangan para penulis yang hadir tidak dapat diberikan respon ahli panel. Walau apapun juga, mudah-mudahan sahaja dialog ini dapat dilestarikan dan berkembang sebagai sebahagian program pemugaran pemikiran para penulis kita menerusi apa juga aktiviti persuratan.

Tahniah diucapkan kepada penganjur persidangan ini, terutama barisan hadapan pimpinan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), agensi-agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan seterusnya para peserta yang datang dari pelbagai pelosok negeri, dari Negara Berunai Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu. Mudah-mudahan akan tergerak pelbagai program sastera dan budaya di rantau ini menerusi genre ataupun disiplin yang akan ditentukan. Gerakan seperti ini tentu sahaja tidak pernah berhenti mahupun dianggap menemukan titik, kerana budaya dan sastera terus berkembang dan berhadapan dengan pelbagai cabaran perubahan.

Resolusi Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009

Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kota Kinabalu Sabah pada 6-8 Mac 2009 meluluskan sepuluh resolusi untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

1.Meminta Kerajaan agar menjadikan Sabah sebagai Dataran Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan.

2. Menjadikan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan sebagai acara tahunan

3. Mendesak Kerajaan mewujudkan Geran Khas untuk badan-badan persuratan di Malaysia

4. Meminta Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan mewujudkan Sekretariat Persuratan dan Kebudayaan Malaysia di Sabah.

5. Meminta Kerajaan menubuhkan Akademi Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan di Sabah

6. Mengiktiraf Sabah sebagai contoh perpaduan dan persefahaman kebangsaan

7. Mewujudkan jaringan persuratan dan kebudayaan antara negeri-negeri dalam Malaysia

8. Meminta Kerajaan Negeri Sabah bagi mewujudkan Anugerah Persuratan bertaraf ASEAN

9. Mengisytiharkan Mei sebagai Bulan Festival Puisi/Negeri Sabah

10. Mendesak Kerajaan Menubuhkan Majlis Persuratan dan Kebudayaan Negeri Sabah