Jumaat, Julai 11, 2008

Seberkas Idea Tentang Pohon


HSYYY!
Hanya nafas tak sesak. Pandangan sesak. Pergerakan sesak. Senyuman sesak. Tawa sesak. gelisah sesak. Rasa sesak. Mati sesak. Hanya nafas saja tak sesak. Di mana lagi tidak ada yang tak sesak. Cerita-cerita sesak didengar telinga. Meski masuk di kiri keluar di kanan, cerita-cerita datang juga dan didengar telinga. Dibuang dan datang lagi. Mengapa agaknya cerita menjadi begitu sesak dan menyesakkan. Penting sangatkah hingga menjadi demikian?

Pintu yang selama ini tertutup mulai terbuka. Terpancarlah segala yang bersembunyi. Meskipun tidak seluruh alam yang tersembunyi itu, namun jelas keterbukaan bilah-bilah pintu mengatakan tak perlu disembunyikan lagi. Daripada sifat-sifat mahmudah sampailah kepada sifat-sifat mazmumah. yang paling tinggi dan yang paling bawah. Yang baik dan yang paling tidak baik. Membuak bak bah darah selepas kulit tipis dan isi tubuh diradak mata pisau yang rakus. Anehnya darah yang membuak deras daripada urat-urat isi tubuh itu tidak merah seperti sedia kala bahkan berwarna-warni, malah lebih nyata warna adalah hitamnya!

Ngeri juga darah hitam sesudah mulai merawikan kalbu. Sudah begitu berlaku kalbu diintimi otak, mekanisme minda termahal tubuh dijanakan urat sarat urat saraf. Mulai bergetar kalbu itu mempengaruhi seluruh tubuh: mata menangkap segalanya, memamah segala kejelitaan, mengoyak-rabak segala kepuasan nafsu, mengunyah segala kebingungan demi kebingungan, kebimbangan demi kebimbangan; kemudian sisa-sisa yang ada dalam liang matanya dihembuskan baunya di khalayak tanpa silu segan dan malu. Ketawalah terbahak-bahak selepas meranapkan segala jenis bahang api. Sekali lagi melumatkan kebencian, kebimbangan, kedunguan, kebodohan dan ketololan. Dan sejarah tubuh mulai lebur.

Di manakah rumah mahmudahmu? Semua saling berbicara – antara mulut-mulut, antara mata-mata, antara telinga-telinga dan antara kalbu-kalbu. Pemberontakan minda semakin jelas tercetus. Hanya baru disesakkan tekanan-tekanan menggila. Tidak logik dan masuk liang akal. Masih enggan digambarkan ketidaktentuan itu. Jalan kebenaran dinyatakan dalam segala macam retorik, teori, andai-andai dan ikon-ikon mimpi yang mulai memusatkan akal sebagai angan-angan melulu. Imej dan reputasi untuk tubuh.

Cermin hanya untuk tubuh lain bukan tubuh itu sendiri. Hanya tubuh lain lebih tinggi mazmumahnya dan rendah mahmudahnya. Dibetulkanlah yang rendah itu yang banyak salahnya atau sedikit kelebihannya. Walaupun sedikit benarnya tetapi jika boleh dimilikkerbaukan, yang boleh diheret ke sana-sini, yang boleh mentaati suruhan-suruhan. Maka dipandirkanlah juga si pesalah itu. Malangnya yang salah tidak dibenari kebenarannya kerana tubuh itulah saja yang lengkap, yang tinggi mahmudahnya dan rendah mazmumahnya, yang betul, yang salah , yang warak, yang bijaksana, yang bermata, yang berotak, yang bertelinga, yang berhidung, yang berkaki, yang bertangan, dan segalanya pasti lengkap.

Demi reputasi, menyesakkan kelancaran gerak yang lain lebih penting. Taman itu pun sudah mulai sirna harmoni dan damainya. Keceriaan sudah tidak ceria. Hantu-hantu bisu sudah menyelinap dalam jasad mengubah tubuh-tubuh. Daun-daun pada taman hijaunya berwarna baru dan gugur meski mekar. Seakan tidak ada maya meneruskan perjuangan. Ingin juga mendapatkan sayap untuk terbang jauh di mana-mana.

Derap kemerdekaan mulai dirantai. Merdeka yang tidak bebas ditafsirkan dalam kepelbagaian jenama kuasa. Apakah ertinya merdeka ini jika tidak bebas menyatakan kebenaran. Buah benar yang tersergam pada pohon minda menjadi pameran ala kadar. Lontaran-lontaran fikir terbiar melata, terbang jauh ditiup angin hipokrit dan ketololan. Semuanya dipersalahkan. Kebenarannya, benarkah? Detak jantungnya, benarkan? Langkah-langkahnya benarkah? Ya, langkah-langkah fikir dan kalbu hitamnya, benarkah? Hsyyy, tersentak juga jika dapat membolosi sukma tubuh itu. Menjadi api dalam sekam. Menggubah dan merubahnya menjadi sesuatu, pohon yang tumbuh melata atau seekor keldai!

Kerana hanya sifat kekeldaian sesuai buat tubuh itu. Kerana dia mengkeldaikan tubuh-tubuh lain. Dia berada di atas selepas bertandang pada otak kepalanya yang sedikit sekali rumput, suarnya yang menyakitkan telinga, bibirnya bijak berkata-kata. Diherdiknya menjadi haru biru taman itu. Hidupan seperti dinyatakan segala mergastua. Hampir enggan hidup mengharmonikan taman sambil kedengaran omelan-omelannya tentang warna taman mesti diubah, diceriakan, diperhalusi. Disenaraikanlah omelannya segala macam reformasi. Reformasi apa yang diakhiri pemenjaraan yang panjang dan berliku hingga memungkinkan tidak mengenal apa-apa lagi. Reformasi harus benar jika ia dilahirkan bersama ketakengganan bermuhasabah. Segalanya. Membuang jauh sempit fikir kerana itulah penyebab sesak kebenaran. Pemikiran yang sempit menciptakan ruang dalam dan kehancuran.

Itu dia, siapakah suara itu berani bermadah bicara buat tubuh yang munafik, memalsukan kehidupan putihnya. Segala kepura-puraan. Hipokrit. Skandal begitu menggilakan. Taman ini kini dipijak-pijak oleh skandal mengilhami sang jelita. Tubuh itu kian mara untuk marah, sambil bijak memilih-milih seperti bijaknya bermuka-muka. Talam dwiwajah dan ular dwikepala. Menggilai senyuman Maya, tubuh seperti ayam jantan yang berkokok gagah, merdu dan jaguh tetapi tahinya sendiri bergelumang di ekornya. Pohon skandal mulai bertunas dan bakal menjadi benih yang akan dicambah sebar oleh angin lalu merebak ke seluruh negeri dan wilayah bangsa-bangsa. Akan kelihatan betapa suburnya pohon skandal tumbuh subur di taman agung yang dikenali sebagai adil, cekap dan telus itu. Gembar-gembur kemahmudahannya mulai ditanyai.

Tak ada jawapan juga. Biarkan saja soalan-soalan itu, jika wajar dibayar oleh diam-diam ubi. Penggali pun diam dalam karatnya. Sampai bila-bila juga, biarkan pohon itu membesar, membesar sambil merasakan mungkin, pujian-pujian yang akan mendatang. Pujian-pujian ubi daripada pohon skandal yang dibajai sifat-sifat mahmudah hipokrit, segala macam ancaman momokan-momokan.

Utusan Borneo, 18 Oktober 2000.

Khamis, Julai 10, 2008

Menikmati Puisi

PUISI merupakan salah satu wujud pandang pengalaman batin yang terpancar menerusi media bahasa yang mengangkat setinggi mungkin isyarat cahaya mindanya. Kerana itu juga bahasa pengungkapan itu bukanlah bahasa biasa yang normatif yakni yang sering diungkapkan orang seharian. Bahasa puisi adalah bahasa yang kristal, dan sengaja dilakukan demikian oleh penulisnya agar kata-kata yang minimum diungkapkan itu mampu menyokong makna yang lebih luas dan dalam.

Proses penciptaan puisi ini memelukan kerja yang paling keras, cermat dan mandiri. Penulis harus melibatkan segenap rasa dan nalurinya. Sebuah puisi seringkali tidak dapat dibuat sekali jadi. Penulis memerlukan waktu yang panjang untuk memilih dan membelah kata-kata yang terpilih mengikut kesesuaian teks, isu, isi atau tema secara menyeluruh. Kata-kata yang bukan sahaja baru bahkan mampu mewujudkan nafas makna yang wangi dan abadi. Orang-orang yang arif membangunkan sesebuah puisi harus mengimbangkan tugasannya secara mandiri melalui akalnya yang bestari dan demi menyampaikan sesuatu yang bergelora dalam mindanya kepada khalayak dengan semampunya memenuhi nikmat estetika.

Disebabkan bahasa puisi bukanlah bahasa yang normatif, khalayak pembaca seringkali menghadapi kesulitan dalam memahami sebuah puisi. Kerana merasa kesulitan, ia menjadi malas membaca puisi. Jika ia mau membaca, proses pembacaannya pun dilakukan secara sekilas atau sambalewa. Dari proses yang kilat itulah, pembaca yang belum berpengalaman atau belum biasa membaca puisi dalam erti yang sesungguhnya, tidak mendapatkan apa-apa kecuali kebingungan dan pandangan yang kosong. Akhirnya puisi menjadi sesuatu yang tidak menarik lalu diasingkan. Peristiwa begini juga menjadi momok kepda para pelajar Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Bagi puisi, setiap kata mencahayakan makna yang berlapis dan pelbagai. Bagi penyair, pengalamannya juga tidak jauh jurangnya seperti pengalaman seorang penikmat, penelaah atau pelajar terhadap sesebuah puisi. Penyair harus memandang sejauh mungkin agar setiap kata dalam karyanya itu tidak sekadar lontaran idea atau mentautkan maknanya dalam kata-kata secara sembrono. Penyair yang telah lama hidup dalam dunia diksi atau kata-kata tahu tanggungjawab mereka yang besar itu. Dan mereka juga mahu menghidar daripada percakaran makna yang tidak tepat walaupun sering akur bahawa estetika sebuah puisi sentiasa mekar apabila zaman menghormatinya selepas menghukumnya berdasarkan idea dan pemilihan kata yang biasa, klise dan mangsa pengaruh yang sukar dibendung.

Memang, dalam menikmati puisi kita perlu hati-hati, sabar, dan teliti. Keadaan ini perlu dilakukan oleh seorang pembaca kerana dalam proses pembuatan puisi itu pun penulis sangat hati-hati, teliti, dan sabar. Selain itu, pembaca perlu memiliki kemampuan dan pengalaman bahasa yang memadai, baik kekayaan kosakata maupun kemampuan mentafsirkan simbol-simbol bahasa. Dalam erti yang lain pembaca juga perlu ada ilmu puisi. Dengan cara demikian, kita dapat memaknai dan menikmati sebuah puisi. Kerana kita mampu menikmati dan memaknai sebuah puisi, sedikit demi sedikit akan terhakis pandangan bahawa puisi adalah sesuatu yang hampa makna, aneh, dan tidak menarik. Kemudian bagi orang yang senang menghadapi cabaran-cabaran berimajinasi, berkomunikasi, dan berefleksi, membaca puisi menjadi pilihan.

Isnin, Julai 07, 2008

Mata Burung Penyair

kau ada dan sentiasa datang
menulis senyapku di dinding perih pedih
tanpa bunyi. kau ada dan sentiasa merasa
jelita di sebalik makna aksara dan kata meski
tanpa suara. kau ada dan sentiasa rahsia
di antara rahsia yang kaubingkaikan di sukma
di antara sejuta satu warna di gudang purba
kau ada dan sentiasa memberiku hiba
menolakku jatuh ke kolam diam
maha dalam

PUISI harus berada di pihak manusia mangsa, manusia yang lemah, manusia yang tertekan, manusia yang terasing atau diasingkan dari kenyataan kekuasan, dari komunikasi kemanusiaan. Kebenarannya barangkali diiyakan apabila waktu telah memberi ruang kepada saya menulis sajak-sajak bertautkan peristiwa manusia yang kehilangan deria nikmat yang dianugerahi Ilahi. Beradu domba dan meriakkan api menjadi upacara keseronokan. Dunia dan maya mempertemukan fikiran-fikiran yang bercempera, sama ada mahu mendirikan hak atau semata-mata membuai akal yang nanar mengajak kita melakukan penilaian niali-nilai yang dipersembahkan. Barangkali pandangan begini tidak disukai namun ini merupakan pilihan.

Sejurus sebelum pilihan raya umum Negara yang lalu saya menulis sebuah sajak di atas judul 'Bila Berani Berbohong'. Sekiranya anda tidak menghayati peristiwa yang terjadi sebelum sajak ini tercipta tidak memungkinkan sesiapapun memahami apakah makna yang tersirat di sebalik bait-bait yang ditegaskan. Mungkin ia sebuah mitos:

Bukan itu sahaja tetapi berlakon
suara di sebalik rahsia
dilipat kata-kata
disokong disekongkol tolol manusia
hilang punca
berjalan di celah-celah sampah
ulat dan ular melakar perjalanan
semakin sarat kepalsuan

Bukan itu sahaja tetapi berlakon
tanpa skrip di pentas kuasa
bersuara dengan siaga
dengan yakin memadam ragu
mematikan raga tanya
saat bahang berkembang
bumi menjadi gersang

Bukan itu sahaja tetapi berlakon
kalian tidak tahu
yang menonton telah memahami
sebuah persembahan ini
telah meletakkan masa lalu
menjadi benar dan masa ini
mengukuhkan kepercayaan menempatkan aib
rebah harga diri kerana harga sebuah kuasa

Bukan itu sahaja bila berani berbohong
ketika tersingkap sikap ranap bumbung harap
sirna cahaya percaya
hambar makna benar

[6 Mac 2008, tersiar di Utusan Borneo]

Orang semakin berani mencipta mitos mereka untuk menyembunyikan pelbagai peristiwa lain. Orang juga semakin nekad untuk bermain sandiwara walaupun mitos itu sebenarnya tidak pernah terjadi. Dengan pelbagai andaian lagi menjadi pemasaran yang diperjaja sebagai basahan kehidupan. Diperaga malah diadu domba sebagai kias perjuangan. Dengan selebihnya mengharapkan tidak ada orang yang memahami analogi setiap pekerti namun sebenarnya kilas kelibat dan papar peristiwa itu amat mudah ditangkap dan dimengerti. Ironinya sebagai penyair saya merasakan semua itu tetap sahaja mitos kepada sebuah wujudnya kehidupan. Antagonis dan protogonis berlegar-legar di arena masing-masing berbusanakan pakaian yang sering bertukar ganti mengikut episod. Siapakah sutradaranya?

ini bicara orang tua kita, yang sia-sia bekerja
bekerja asyik pada bicara teori segala
menyalak sesuka hati tetapi pada bukit yang tidak
memberikan kembali apa-apa

ini bicara orang tua kita untuk semua
untuk bekerja dengan kerja yang benar-benar bekerja
dari otak yang benar-benar otak punya fikiran berguna
guna untuk yang benar-benar diguna

biarkan anjing itu menyalak bukit
mungkin ada hantu di situ, ada kehodohan yang lain
di situ, ada pelbagai barangkali lagi di situ
biarkan anjing itu menyalak bukitnya sendiri
yang dibinanya sendiri menjadi tembok
mengelabukan saraf otaknya mentafsir falsafah

namanya juga anjing yang hanya tahu menyalak
menggigit bahkan tuannya sendiri dimangsainya
menyalaknya anjing itu yang akhirnya dicerca
sebelum dibunuh suara salakannya
bukit itu juga runtuh dan mengubur jenazah suara
anjing yang kini hidup tanpa suara anjingnya!

Suara anjing pun boleh dipinggirkan setelah kerap menyalak walaupun realitinya bukit tak mungkin runtuh. Binatang itu tak mungkin letih, ketika tersepit ia akan menggigit tuannya, begitu kias orang-orang tua kerana kebenarannya sentiasa ada. Hanya memikirkan bahawa binatang pun gemar mengambil kesempatan apatah lagi 'binatang' yang berfikiran hingga berkelas maha bijaksana. Orang selalu alpa dan pelupa tentang masa lalu. Sejarah hanyalah lipatan peristiwa yang mati bagi orang-orang pelahap atau yang gelabah. Mereka akan memandang masa depan yang terlalu indah meskipun harus mengubah rentak atas nama pembaharuan. Apakah tesis pembaharuan itu diterima secara menyeluruh, bukanlah persoalan besar apabila dalam minda terpancar gergasi yang diimpi-impikan mampu menakluk buminya. Terciptalah masa lalu baginya. Mereka tidak kisah sama ada gergasi itu mereka kudai atau mereka diperkuda para gergasi.

Saya selalu terpukau dengan pemikiran biasa kerana meskipun sifatnya sederhana atau sia-sia bagi sesetengah orang tercermin gelombang kehidupan yang bersifat lumrah lantaran telah sering terjadi. Dan puisi menjadi tiupan yang menggegarkan malah nafiri semangat yang meyakinkan.
jika inilah ungkapan
bacalah dan dapatkan neraca
siapakah yang berada di antara mangsa
yang berselindung di balik tudung
dan metafora dusta

semua sekali memandang dengan berang
saat kembali memerhati peribadi
bagai cermin yang pecah
apakah lagi tafsir selain pasrah
mencantum kuntum-kuntum bunga?

jalan itu tetap berliku
lorong menyelinap senyap
duri membenam bisanya dan berakar
dengan diam menelan samar
perjuangan.

[Bukan Sekadar Ucapan - 10 Jun]

Kita telah semakin didewasakan oleh pengalaman, kita telah belajar dengan tekun untuk menikmati makna kesyukuran, setiap hari ada masa khusus untuk kita menyatakan keakuran kita terhadap keagungan Ilahi, kita menikmati rezeki yang dianugerahiNya, dengan tekun juga kita bekerja, berusaha, beriltizam dan dengan sedikit kuasa yang diamanahkan kita memakmurkan bumiNya ini. Sebagai manusia di manakah letaknya rasa nikmat itu semua? Sebagai insan yang kerdil mengapa kita sering merasa begitu besar, kasar dan keras hati untuk menidakkan yang benar dan menafikan segala kebobrokan?

mereka menerima dengan helah dan hela nafas yang tak setia
kepada kehidupan, tak pernah ada nikmat kepada kesyukuran
yang berlimpah murah mengalir, hanya disebabkan musibah
yang tiba-tiba meminda minda sesiapa juga. lihatlah orang-orang
itu telah kembali menerima ajaran masalalu bersatu alasan
yang ditaburkan benih petaka dan baja dusta semakin subur
tumbuh menjalar ke segenap tingkap dan dinding akal, mahal
telah melukakan harga diri melontarkan maruah diadu domba
menjadi canang beradu di halaman sendiri kini semakin mencalar
mencakar-cakar bumi, di mana akumu setiap waktu sepi bahkan
di anjung musalla khuduk menghayat lebur nikmat kalimat khatib
mengaminkan segala kata yang mendekam mengalir ke langit,
di mana sumber segala nikmat ini hadir dan lahir tanpa mensyukuri
ada dari tiada daripada sengketa menjadi raja haloba, dan saat
kembali kau dengarkan momokan orang-orang yang ditinggalkan,
kau orang-orang yang hilang yang hilang yang hilang...

[5 Julai 2008 - Sajak Orang-orang Hilang]

Kebenarannya menjadi tidak penting. Mereka lebih rela melihat bahtera bangsanya karam dan ranap dihempap gelora dan gelombang yang mereka mulakan. Mereka tidak beringat saat-saat usia dimamah masa silam tiada lagi kenangan terindah tetapi sesalan yang tidak meniyakan jasa serta bukti bakti mereka. Masa lalu hanyalah lipatan sejarah tetapi outcomenya hanyalah momokan yang menghantui sisa-sisa usia. Apakah ini yang perlu diperhitungkan setelah orang-orang semakin mencintai sengketa yang menjadi industri mereka. Mereka memiliki keistimewaan untuk menyatakan apa sahaja padahal segala gelagat sentiasa dipersaksi, bukan di dunia semata tetapi berlanjutan ke dunia yang lebih abadi.

Saya menulis sajak ini dengan kesedaran yang tinggi bahawa ladang yang disemai dengan benih-benih api akan membakar kehidupan seluruhnya...

di hadapan rumah kami orang-orang sedang menyemai radang
secara rambang tumbuh kelopak api yang mewarnai ladang
sambil menanti hujan tapi yang gugur embun sesat dari awan

burung-burung telah sepi bernyanyi sebagaimana riuh amfabia
di bendang kering hanya menanti sapa musibah
menatap awan-awam berarak hitam di langit

orang-orang telah hilang kemudi meski terus keras kepala
bahtera mundar mandir di olang aling samudera bangsanya
di mana pelabuhan dalam samar tanpa khabar

kami di dalam rumah memerhati kongkalikong orang-orang
bila lahir zahir yang berjilbab kebenaran bila tereram tenggelam
dalam temaram muslihat kepalsuan

[4 Julai - Kongkalikong Orang-orang Bijaksana]

Orang mungkin bosan untuk memikirkan bagaimana menjernihkan kabut yang meliputi bumi bangsanya namun orang-orang yang cintakan makna damai iaitu mereka yang pernah tertekan dan disusahkan sentiasa mahu bangun dan melepaskan pandangan mereka sepolos mungkin. Apakah kita terpana dengan bunyi kata-kata yang keterlaluan yang menyembunyikan niat terpendam? Bagi penyair, inilah catatan yang terbaik untuknya melepaskan jerih rasa menerusi diksi , alegori, metafora, paradoks dan seumpamanya. Penyair mempunyai mata burung yang luar biasa. Dalam puisi yang memerlukan kesaksian bukanlah kenyataan, bukan fakta dan kekuasaan, melainkan yang mungkin, yang rapuh, yang kelak retak, yang sia-sia. Pada akhirnya, seorang penyair mungkin lebih takut kepada seorang dogmatis daripada seorang sentimentalis. Yang pertama, ingin mengekstrak pesan dari puisi lalu mencampakkan puisinya, sedangkan yang kedua adalah orang yang berkata, "Oh, tolong biarkan saja saya menikmati puisi apa adanya." Untuk siapa, hanya dirinya sahaja yang tahu dan Tuhan...

Hasyuda Abadi
Pustaka Iqbal Nazim
Sabah

Ahad, Julai 06, 2008

Sajak Orang-orang Yang Hilang

mereka menerima dengan helah dan hela nafas yang tak setia kepada kehidupan, tak pernah ada nikmat kepada kesyukuran yang berlimpah murah mengalir, hanya disebabkan musibah yang tiba-tiba meminda minda sesiapa juga. lihatlah orang-orang itu telah kembali menerima ajaran masalalu bersatu alasan yang ditaburkan benih petaka dan baja dusta semakin subur tumbur menjalar ke segenap tingkap dan dinding akal, mahal telah melukakan harga diri melontarkan maruah diadu domba menjadi canang beradu di halaman sendiri kini semakin mencalar mencakar-cakar bumi, di mana akumu setiap waktu sepi bahkan di anjung musalla khuduk menghayat lebur nikmat kalimat khatib mengaminkan segala kata yang mendekam mengalir ke langit, di mana sumber segala nikmat ini hadir dan lahir tanpa mensyukuri ada dari tiada daripada sengketa menjadi raja haloba, dan saat kembali kau dengarkan momokan orang-orang yang ditinggalkan, kau orang-orang yang hilang yang hilang yang hilang...


HASYUDA ABADI,
Ikatan Penulis Sabah
M A L A Y S I A