Jumaat, Jun 13, 2008

Berkorban Tidak Kepada Apa Sahaja

Saya tidak akan memikirkan apa-apa. Apa yang saya inginkan ialah memberikan sedikit sumbangan kepada khalayak sastera. Kadang-kadang menjadi lilin itu cukup bermakna walaupun saya pernah percaya ungkapan orang bestari jangan sampai sendiri yang terkena apinya. Begitu pun saya percaya lagi bahawa api tidak semestinya memusnahkan tetapi memberikan kekuatan tersendiri. Asalkan ada andatila yang jauh dan mendalam. Tidak mengapalah biarlah jika bila lilin itu padam yang terhidu hanyalah baunya sahaja. Mungkin akan diingat, mungkin juga tidak. Dan kerana itulah saya terus melakukan apa sahaja yang terbaik bukan memberi tanda bahawa sayalah sang hero kerana saya bukanlah sesiapa melainkan insan yang ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara yang saya cintai. Dengan semangat ini apa salahnya api perjuangan perlu terus dijulang dengan cara dan bentuk acuan sendiri. Saya sentiasa berada dalam lingkungan orang-orang yang berjuang di atas pentas yang saya punyai. Tiada siapa berhak untuk mengehadkan langkah dan suara. Berani kerana benar.

Kepada para penulis yang saya sayangi sama ada bapa, abang, kakak dan adik lakukan mengikut fikiran anda. Mungkin dunia penulis itu sendiri membentuk sifat-sifat yang sedia ada dalam diri masing-masing. Samada ingin terus meletakkan buah fikiran dalam wacana sastera mahupun hanya lebih kepada keinginan-keinginan yang maha terbatas. Kita sering juga mengharapkan bantuan pihak lain membantu meletakkan khazanah fikrah kita di tempat yang wajar. Namun sampai bila-bilapun bila kita menjadikan semua ini batasan kita tidak akan mampu memenuhi hasrat yang kita ada kecuali nasib dan rezeki. Rezeki ketentuan Allah sambil kita dibentuk agama dan kepercayaan untuk terus berusaha dan juga berkorban. Berkorban tentu tidak kepada apa sahaja. Realiti zaman ini ungkapan ini cukup dominan. Materi menjadi segala-gala. Tidak mungkin sanggup berkorban tanpa imbalan atau balasan. Dan tidak mungkin mahu merasa rugi biarpun sedikit.

Orang terus naik minyak bila harga minyak naik. Orang terngadah bila terhantuk. Orang gelabah bila diomeli. Orang mencari helah agar tidak merasa bersalah walaupun sebenarnya dia bersalah. Orang sembunyi tangan bila sedar batu tak terkena sasaran. Orang suka menumpang peluang bila kehilangan fikiran dan saat buntu serta mandul idea. Sekadar analogi atau metafora yang ingin membangkitkan keluyuan atau ketuyuan para borjuis yang sirna hala dan arah. Melihat kuman atau gajah tiada bezanya kerana ada mata bukan untuk melihat tetapi mendengar. Ada otak bukan untuk berfikir tetapi berkata mengikut deskripsi terkawal.

Rabu, Jun 11, 2008

Resam Bangsa

begitulah lazimnya bangsaku
sudah terhantuk barulah terpinga-pinga
melihat kekosongan di hadapan mereka
setelah berlaku dan terangguk-angguk hanya

begitulah biasanya bangsaku
sudah menjadi bubur barulah menyalahi padi
sudah menjadi mayat barulah mencurigai tingkah diri
sudah menjadi abu barulah mempercayai
mamahan api

begitulah resamnya bangsaku
dihantuk barulah tahu ada makna hari kelmarin
diketuk barulah faham ada hikmah pengalaman semalam
dilentur barulah tersipu ada malu terpaksa ditelanjangkan

seperti perli orang lama
sudah terhantuk barulah terngadah
seperti masa lalu berupa peristiwa kitar semula
bangsaku gigih menuju maju tetapi teruja juga ujiannya.

Tidak Sekadar Ungkapan


jika inilah ungkapan
bacalah dan dapatkan neraca
siapakah yang berada di antara mangsa
yang berselindung di balik tudung
dan metafora dusta

semua sekali memandang dengan berang
saat kembali memerhati peribadi
bagai cermin yang pecah
apakah lagi tafsir selain pasrah
mencantum kuntum-kuntum bunga?

jalan itu tetap berliku
lorong menyelinap senyap
duri membenam bisanya dan berakar
dengan diam menelan samar
perjuangan

Selasa, Jun 10, 2008

PUISI

JATUH KE KOLAMDIAM
kau ada dan sentiasa datang
menulis senyapku di dinding perih pedih
tanpa bunyi. kau ada dan sentiasa merasa
jelita di sebalik makna aksara dan kata meski
tanpa suara. kau ada dan sentiasa rahsia
di antara rahsia yang kau bingkaikan di sukma
di antara sejuta satu warna di gudang purba
kau ada dan sentiasa memberiku hiba
menolakku jatuh ke kolam diam
maha dalam.

DENGAN APAKAH SAJAK HARUS DIBAYAR?

para penyair menghasilkan sajak-sajak
menghantar ke media massa
menghantar ke dewan bahasa dan pustaka
sajak-sajak pun dibayar
sekian-sekian harganya

para penyair menyair di mana-mana
tak kira pentas dan khalayaknya
rakyat yang taat bahkan pak menteri
yang sesekali bergelombang resah di hati

para penyair ke hulu ke hilir
apabila tak lagi dipanggil
bak cacing di siram panas mentari
ingin meletakkan suaranya seperti biasa
tak kira pentas, di mana saja

para penyair melihat harga sajak
berapakan rm untuk sebuah sajak, dua buah sajak,
lima buah sajak, seratus buah sajak
penyair menulis dan membacakan sajak-sajaknya
ke hulur ke hilir memperdengarkan hujahseninya
sajak-sajakku ada harga, katanya,
dari suaraku yang kupelihara
dalam nafas nafsuku mencitrakan sesuatu
penuh ilmu yang kubaca dari ribuan buku

lantaran itu pemerintah memberinya sekian sekian rm
dan dibacalah sajak demi sajak
di hadapan khayalak yang dikumpulkan
di kalangan pelajar, siswa dan para penyair asli
tiba-tiba seorang bertanya di antara wartawan
sajak-sajakmu tidak setanding lirik Perdana Menteri
suara dalam sajakmu tidak setara suara Perdana Menteri
tangisanmu tidak sehiba tangisan Perdana Menteri!

para penyair sudah kehilangan kerja
rm untuk harga sajak-sajak ke hulu ke hilir itu
baik jadi belanja membeli saputangan mengesar air mata
orang tua yang membaca sajak-sajak sunyinya
orang tua yang medeklamasikan sajak-sajak purba
sedang tak siapa mendengar suaranya
di kalangan pelajar yang digahkan publisiti
siswasiswi dah tak mengerti basa basi

dengan apakah sajak harus dibayar
tanyaku pada kewartawanan diriku...


Taman Puterajaya,
Telipok, Sabah.
13.2.2002.

Reaksi Fudzail.

SEBUAH CERITA YANG MEMBOSANKAN!



JANGANLAH berkata kehidupan ini membosankan. Itu salah. Alangkah bagus anda memahami kebosanan itu seperti selalu dilakukan oleh salah seorang sahabat saya yang membesar bersama tapi saya rahsiakan identitinya. Saya percaya anda mengerti. Jangan sembarang menulis sesuatu tentang seseorang, yang kita suka atau tidak, kerana natijahnya bukan sembarang juga. Sedang untuk berkata-kata, anda boleh disenaraikan sebagai antara orang yang suka menceritakan hal orang lain. Dosa mengumpat, ya Tuhan, tidak ada tolok bandingnya dengan dosa-dosa memakan daging sahabat anda sendiri. Dan ini bukanlah mesej saya. Anda bacalah tulisan saya ini. Terserah, jika sanggup membaca teruskan, jika tidak, abaikan dan anda dipersilakan mengumpat saya pula sebagai manusia yang membosankan!

Tapi tidak sebenarnya. Saya ingin bercerita tentang seorang sahabat saya yang sudah lama tidak bersama. Antara sebabnya saya ini membosankannya. Tetapi yang membosankan sebenarnya dirinya sendiri. Anda tahu, sahabat saya ini suka melakukan sesuatu yang aneh-aneh. Ini menyebabkan saya hairan mengapa dia merasakan dirinya membosankan. Dalam banyak hal yang dilakukannya dia seorang yang ego, bangga diri dan selalu membesar-besarkan kemandirian dirinya. Sesuatu yang tidak popular, dia boleh mempopularkannya tanpa segan silu. Anda boleh membayangkan seseorang yang tidak segan silu membuka pakaian di khalayak ramai. Dia suka memamerkan pekung di dadanya!

Bukan itu saja. Satu hari di hadapan sebuah surau di kampung kami, sahabat saya ini melakukan sesuatu di luar pengetahuan para kariah kampung. Dia secara tiba-tiba bertenggek sama seperti ayam jantan belaan ayahnya. Dia mengeluarkan beberapa helai kertas dari poketnya seraya menyatakan tujuan dia berbuat begitu dan berada di situ. Saya waktu itu tidak sempat berkata apa-apa kerana belum selesai mengaminkan doa imam bersama makmum lain yang betah selesai solat fardhu. Dia sebenarnya sedang membacakan sajak-sajaknya yang baru disiapkannya sebelum solat fardhu magrib.

Dia sedang bersajak. Ketika itu saya segera beredar dan duduk di perut balai surau. Saya ingatkan sajak-sajaknya itu menarik. Sebenarnya tidak kerana kegemarannya satu yang tidak saya senangi, walaupun saya antara sahabatnya yang dekat, iaitu mengulang-ulangkan isu yang dibangkitkan. Dia sebenarnya ketandusan idea. Entahlah, pemahaman saya sering tidak menjadi walaupun berusaha. Ketika saya bertanya dia tak pernah memberikan jawapan kecuali dalam baju egonya dia tinggalkan saya seperti patung.

Memang betul, dia bukanlah seorang pengamat kehidupan yang baik di kalangan kawan-kawan seangkatan kampung yang ada waktu itu. (Mudah-mudahan dia masih hidup sekarang ini. Saya minta maaf kerana menceritakan kepada pembaca yang sudiman). Sahabat saya ini belum berkahwin sejak perkahwinan tidak menjanjikannya sebuah kebahagiaan. Dia lebih gemar menghabiskan masanya menulis apa saja walaupun selalu mengulang-ulangkan bahan tulisannya. Sebenarnya dia sedikit bijak. Sekiranya anda jarang membaca, anda tak mungkin dapat mengesan bagaimana bijaknya sahabat saya ini sehingga mungkin menarik pembaca menghayati tulisannya. Mungkin berbeza dengan yang lain, saya tetap akan membaca, seperti dalam disiplin pembacaan saya, saya akan mengambil sesuatu yang baik dan mengabaikan sesuatu yang mencurigakan. Kadang-kadang memang membuang masa saja sebenarnya menelaah tulisan sahabat ini. Jika dikata tidak berisi saya pasti sahabat ini hilang sabar. Dia boleh saja mengupah samseng memukul sesiapa saja walaupun mahkamah akhirnya hanya menghukum si samseng itu. Tapi sahabat ini tidaklah segarang itu. Dia malah lebih lembut daripada pondan sebenarnya. Hanya bila dia marah, dia boleh jadi serigala. Bila virus mula menyerang kepalanya, sahabat ini tidak pernah mempedulikan hal orang lain. Sama ada orang suka atau tidak, dia akan melakukan apa yang difikirkan. Nasib baik juga sahabat ini sekarang sudah tidak lagi menulis. Saya tidak mengerti tiba-tiba dia berhenti menulis. Dia sudah tidak boleh memegang pena dan alahan kepada kertas! Saat itu saya pernah membisikkan di telinga ayahnya supaya menghantarkannya ke rumah pemulihan otak! Namun bukan persetujuan saya dengar tetapi tohmahan pula. Rupanya sahabat ini mewarisi penyakit yang diidapi ayahnya! Apa? Bukan gila tetapi hampir kepadanya.

Sahabat ini pernah berkata kedewasaan kita sebenarnya dunia yang tolol. Manusia semuanya tolol. Dia berkata penuh semangat di bendang sawah ayah kami. Kami sama-sma menunggang kerbau pembajak. Anda yang membaca tulisan saya ini juga, dia akan katakan tolol kerana tak pernah memahami dirinya. Katanya, saya sudah kehilangan banyak perkara. Saya kehilangan teman hidup yang baik. Saya sering dihimpit oleh derita yang tak kunjung padam. Sambil dideritai penyakit yang tak pernah diceritakannya, sahabat ini hanya berkata, saya sedang nazak sekarang ini. Katanya, saya sudah lama berada di dalam masjid diri. Merafak jemari memohon ampun dari Tuhan. Saya sudah menjadi makmum yang betah. Hanya kerana ingin memohon ampun yang sejati. Saya derita diabai kasih! Maaf, katanya, aku sakit sekarang kerana kasih yang entahlah, katanya lagi, apakah aku sebenarnya memiliki kedua-dua belah kakiku?

Dia selalu bangun waktu malam dan bercerita dengan alam khususnya embun. Saya sering menjangkakan bahawa akhirnya sahabat ini jadi gila. Mudah-mudahan tidak menjadi dan harapan saya ini sebenarnya menjadi kenyataan apabila dia disahkan normal hanya ada sedikit kecatatan pada otaknya. Mungkin juga, kerana ketika itu saya teringat dia sebenarnya pernah jatuh dari belakang kerbau dan kepalanya terhentak ke tunggul kayu di bendang ayah kami. Doktor kaunseling itu berkata, sahabat saya ini terlalu menderitakan dirinya, bukan dideritakan oleh apa-apa atau oleh sesiapa. Doktor itu berani berkata, sahabat saya ini tolol dan bodoh orangnya. Pada mula saya naik geram juga mendengar keceluparan doktor itu. Tetapi saya memikirkannya semula dan memang ada benarnya.

Anda tentu ingat, sahabat saya ini pernah bertenggek di hadapan surau membacakan sajak-sajaknya, bukan? Doktor itu kata sahabat saya ini telah diabaikan begitu lama hingga mengganggu fikirannya. Saya tidak berani berkata begini: mungkin dia digilai oleh sajak-sajaknya yang tidak dilepaskannya beberapa tahun yang lalu. Untuk pengetahuan, sahabat ini sering diabaikan dan ditolak mentah-mentah. Satu anugerah yang sesuai dengan dirinya tidak beri kepadanya. Saya simpati dan pernah mendengar, sahabat ini tidak perlu diberi apa-apa pun kerana dia telah menerima anugerah yang paling wajar dari Tuhan. Kata mereka, dia diberi nafsu yang paling tinggi antara kita! Saya tak bertujuan menceritakan sungguh-sungguh tetapi memang benar bahawa sahabat saya ini memiliki nafsu yang tak tertara dengan nafsu yang dianugerahi kepada semua mahluk Tuhan.

Terutama sekali nafsu amarahnya. Jika tidak kerana ini, saya fikir, dia sudah menjadi wakil rakyat di kawasan kami. Dia boleh mengalahkan wakil rakyat kami yang ada sekarang ini, yang baru setahun jagung menjadi wakil rakyat tetapi sudah mendapat gelaran paling tinggi di sisi masyarakat. Sedang sahabat saya yang sudah menghambakan diri bertahun-tahun tetapi satu apapun tidak diterimanya. Kononnya sahabat saya ini mahu juga digelar sesuatu. Atau sekurang-kurangnya dipilih menjadi wakil para pemikir di Dewan Undangan. Katanya, bukankah bagus kita bersuara lebih sedikit di arena yang mulia itu. Saya hanya tersenyum mendengar seorang tolol berbicara. Tanpa bertujuan mengaibkannya saya menjadi pendengar yang setia. Sahabat ini bukan main gemar sekiranya ceritanya didengar dan malah dipuji. Satu hari beberapa tahun yang lalu, dia amat gembira kerana mendapat pujian. Saya tak mampu bercerita tentang ini kerana boleh menyinggung ramai orang termasuk yang pernah memujinya berlebih-lebihan.
Dia pun berkata, bagusnya aku, kerana sekurang-kurang terpilih dan sejarah hidupku dirakam. Katanya pada saya: cuba saudara pilih, sama ada saudara menulis sendiri sejarah hidup saudara atau ada orang yang merakamkan sejarah hidup saudara. Walaupun banyak cerita di situ kosong dan bohong! Bisiknya, apabila menyedari tak sesiapa mendengar dan mengetahui tembelangnya.

Sebab itu saya merasakan bahawa suatu pembohongan yang nyatalah jika sahabat itu mengatakan hidupnya membosankan. Berumpankan pengalamannya yang lampau sudah wajarlah bosan bukan sahabatnya. Tetapi memang malang baginya barangkali. Jika bosanlah yang menjadi punca fikirannya celaru, saya ingin menukar pandangan saya terhadap sahabat saya itu. Saya tak mungkin memikirkan tentangnya lagi. Memadailah sebuah kenangan terungkap dan cerita ini tidak akan bersambung bahkan panjang ke mana-mana. Saya ingin ingatkan anda jangan cuba panjang mulut. Jika akhirnya diketahui oleh mindamu atau hatimu atau matamu atau telingamu atau seluruh anggota tubuhmu, tolong musnahkan demi kebaikan anda juga. Agar nanti anda tidak seperti sahabat saya ini sekarang, hilang entah di mana. Selepas peta hidupnya hilang di tengah padang kebebasan, punca hidupnya berpindah randah dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan. Apakah wajar sekiranya kita sependapat dia harus ke tanah haram?

Catatan:
Cerita ini tidak ada kaitan dengan sesiapapun sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati.

Novel The Alchemist

HEBAT: Novel Paulo Coelho,
The Alchemist tarik perhatian
penerbit filem Hollywood.

BLOG Pop Critics memberi khabar gembira kepada peminat pengarang tersohor Brazil, Paulo Coelho, apabila produser dan pengarah filem Hollywood di Amerika Syarikat (AS), Harvey Weinstein mengumumkan novel The Alchemist bakal menemui peminat di layar perak tidak lama lagi. Weinstein mengumumkan perkara itu pada Festival Filem Cannes pada Mei lalu, sekali gus mengesahkan filem yang diangkat daripada novel yang dianggap antara terlaris di dunia dan diterjemahkan ke dalam 56 bahasa akan dibintangi pelakon Hollywood serba boleh, Laurence Fishburne yang memegang watak sebagai ahli kimia. Blog itu mendedahkan Weinstein hanya mula membaca novel berkenaan pada tahun lalu, tetapi terus jatuh cinta dengan jalan cerita yang mengangkat watak terbabit kerana tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian dalam kehidupannya yang dianggap sebagai legenda peribadi.


“Proses menghasilkan filem ini adalah pengalaman luar biasa kerana saya menyimpan impian untuk mengangkat The Alchemist ke layar perak selepas membacanya. The Alchemist ialah kisah kerohanian yang menyentuh perasaan sehingga saya teruja untuk bekerjasama dengan Fishburne dan semua persiapan sudah pun dibuat untuk memulakan produksi serta kami tidak sabar melihat hasilnya,” kata Weistein yang juga produser dan pengarah filem The Alchemist. Fishburne pula berharap usaha mengangkat The Alchemist ke filem dibuat secara berhati-hati kerana novel berkenaan mempunyai ramai peminat sehingga pihak terbabit tidak ada pilihan kecuali memberi keadilan kepada karya dan pengarang. “The Alchemist menjadi projek istimewa sehingga ada kumpulan khusus di belakang tabir untuk memastikan laluannya ke layar perak dikendali dengan selayaknya dan saya tidak sabar untuk mengarah, berlakon dan bekerjasama dengan Weinstein untuk menghasilkan filem yang hebat, serta memberi keadilan kepada kejayaan novel Paulo itu,” katanya yang pernah membintangi filem The Matrix.


The Alchemist yang diterbitkan di Brazil pada 1988 menerima sambutan hebat di pasaran dengan jualan melebihi 65 juta naskhah, sekali gus novel itu mendapat status jualan terbaik selama 34 minggu dan sehingga kini ia menduduki tangga keenam New York Times meskipun sudah berusia dua dekad. Novel itu mengisahkan pengembala muda dari Andalusia, Santiago, yang mengembara mencari harta dari kampung halamannya di Sepanyol ke Tangier di Algeria dan menyeberangi gurun, tetapi setibanya di oasis, beliau berjumpa ahli kimia yang menyedarkannya mengenai legenda peribadi serta menemukannya dengan Fatima, gadis gurun yang menjadi kekasihnya. Coelho yang dilahirkan di Rio de Janeiro, Brazil pada 1947 itu, pernah bekerja sebagai pengarah, pelakon, penulis lirik dan wartawan sebelum terjun ke dunia sastera dengan menghasilkan karya sulungnya, Hell Archives pada 1982 dan Practical Manual of Vampirism (1985), tetapi gagal menarik perhatian pembaca. Bagaimanapun nasib kepengarangannya berubah pada 1986 apabila beliau menziarahi tempat suci Saint James of Compostell di Sepanyol dan mencatatkan pengalaman kembara itu dalam novel, The Pilgrimage, sebelum menghasilkan The Alchemist yang menggegarkan dunia.


Antara novelnya yang lain ialah Brida, The Valkyries, By the River Piedra I Sat Down and Wept, The Manual of the Warrior of Light, The Fifth Mountain, Veronika Decides to Die, The Devil and Miss Prym, Eleven Minutes dan Like The Flowing River, The Zahir manakala novel terbarunya, The Witch of Portobello diterbitkan sekitar 2006 dan 2007. Karya Coelho tersenarai sebagai buku terlaris di pasaran bukan hanya di Brazil, bahkan AS, United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Iran, Kanada, Itali, Israel, Finland, Serbia, Greece, Romania, Bulgaria, Russia, Cuba, Poland dan Lithuania, sekali gus melayakkannya untuk dinobatkan sebagai pengarang berbahasa Portugis paling hebat.

[Berita Harian]

KRITIKAN

  • Makna kritik adalah tafsir. Tafsir memiliki jumlah kemungkinan yang tak terkirakan. Semua tafsir jadi semacam teropong, alat ukur mutual sebuah karya yang dijalankan kritikus secara profesional dan objektif

  • Karya sastera berlimpah tapi miskin pembaca, sepi kerja tafsir yang memungkinkan membangun lorong pemaknaan baru dan lain. Intinya kritik yang mencerahkan. Karya sastera dan kritik sastera seakan terpisah, tak menjalin semacam jaringan atau hubugnan yang saling memiliki dan membangun nilai-nilai produktif. Sinyalemen ini berjalan tanpa ralat yang bererti dan semakin berlarut-larut, saling tuduh dan menjatuhkan. Sasterawan dan kritikus kian berada dalam ketegangan yang rawan.

  • Nama-nama senior yang sudah pudar kemampuan kreatifnya masih juga dikenang-kenang dan dirindu-rindukan. Sedangkan nama-nama junior yang masih segar-produktif (di)-marginal-(kan~) dalam peta sastera terkini. Ada semacam ketidakobjektifan dan disorientasi dalam peta sastera kita saat ini yang harus segera 'diralat' agar tak terjebak pada citra stagnant.

  • Kritik sastera dalam perspektif komunikasi akan menciptakan efek promosi yang berpengaruh terhadap citra karya sastera. Kadar efek juga akan berbeza yang dipengaruhi juga oleh kredibiliti kritikus. Kritik sastera bukanlah perkara sederhana, bahkan kerap lebih menjadi 'penentu' nasib karya sastera ketimbang karya sastera itu sendiri. Maka kritik sastera harus serius bila ingin mendapatkan atmosfera sastera yang kondusif, maju dan produktif. Kritik sastera yang serius adalah kritik yang menyelam ke dalam teks secara intens dan integrited, bukan sekadar catatan ringan seperti kesan selintasan hasil dari berenang-renang sebentar di permukaan atau memotret dari kejauhan. Kerja kritik adalah usaha melakukan pendekatan yang jujur terhadap teks, bukan penjauhan yang justru banyak melakukan pengingkaran terhadap teks. Secara objektif, majoriti kritik sastera kita saat ini bekerja tanpa disiplin yang tinggi dan jumlahnya sangat minimum dibandingkan dengan pertumbuhan karya sastera saat ini.