Sabtu, Ogos 15, 2015

Doa untuk Malayisa, macam ada yang tidak ngam!



Biar gambar berbicara.




Penulis alergik kritik!

 
PENULIS dan pengarang harus bersabar jika merasakan menjadi penulis atau selepas itu pengarang yang disegani tidak melalui cabaran yang tersendiri, berbanding menukar haluan. Misalnya menjadi ahli politik, atau tukang masak, meniaga buku atau buat kek. Apa bezanya, bukankah di sana-sini juga ada cabaran? Penulis dan pengarang tidak dapat lari daripada hal-hal berkaitan rempah ratus kepengarangan. Kita memang mahu apa yang kita buat dibaca orang. Tetapi bukan semua orang suka apa yang kita buat. Bagaimanapun ini bukan hadangan. Jika anda fikir menulis ini sekadar menulis tanpa mengikuti pandangan orang lain, misalnya penilai, pembimbing atau teman-teman, tiada juga masalahnya.

Saya pernah terjumpa seorang sahabat yang 'tewas' meneruskan projek penulisannya semata-mata tidak bersetuju karyanya dirombak pembimbingnya. Peristiwa ini berlaku sedekad yang lalu. Sahabat saya ini tidak lagi menulis sampai sekarang padahal beliau pernah menerima Hadiah Sastera Sabah, cerpen-cerpennya juga bagus sekali dan amat prolifik ketika itu. Apabila novelnya dirombak habis, katanya,baik dia tidak tulis langsung. Saya suka ketegasannya itu dan memang tidak wajar juga tindakan pembimbing tanpa membuat perbincangan terlebih dahulu.  

 Berlaku juga dalam sebuah peraduan, seorang penulis menang sayembara menulis novel, bila hendak diterbitkan, novel itu terpaksa dibaiki. Apabila terbit orang tidak tahu novel itu bukanlah karya asli penulisnya. Saya ingat nama novel itu tapi tidak perlulah disebut. Begitu juga nama pengarangnya yang masih aktif hingga kini malah menjadi penggiat aktif NGO sastera di Sabah. Beracam-macam ada, jika mahu diceritakan. Misalnya jika saya bagi tahu ada juga pengarang terkenal yang menyunting karya popular bernafas erotik. Memang tidak wajar kan? Saya fikir kepelbagaian cabaran harus diharungi. Mungkin ada dalam kalangan kita suka pada cabaran. Cabaran itu sahabat yang baik. Tidak mustahil juga segelintir penulis yang tidak sukakan cabaran. Ada penulis yang tidak senang apabila karyanya dikritik. Belum lagi dirinya sebagai penulis dikritik! Saya juga pernah dan sering tersentak apabila dikritik. Ini lumrah.

Realitinya kita masih lemah. Kita berusaha untuk memperbaiki. Kekuatan mental kita perlu. Selalunya saya abaikan sahaja sebab saya tahu ada penulis lain yang gemar buat provokasi. Kita ini lemah, banyak yang perlu dipelajari. Saya selalu ingatkan diri saya agar jangan pernah mengalah. Kita buat sahaja. Apabila ada yang memperkatakan buah fikiran kita dan mempertikaikannya pula, hadapilah dengan sabar. Bahkan kita berhak mempertahankan kerana karya itu kita punya. Orang boleh bagi pandangan dan kita juga boleh bagi pandangan kita. Tiada dosanya juga. Lainlah niat kita menyimpang, misalnya ingin menghasut atau menabur fitnah atau memburuk-burukkannya.

Barangkali elok juga kita sama-sama ikut catantan kali ini sedikit sebanyak tentang kritikan yang tidak ramai gemari terutama yang alergi kritik. Mereka tidak mahu untuk dikritik, ini salah siapa? Hal ini disebabkan juga sering seorang kritikus bertindak sebagai algojo. Kritik yang dilontarkan sering bersifat rekayasa dan subjektif. Apalagi dalam perkembangan dunia seni sekarang, ada kalanya juga kritikus tidak mengikuti lajunya arus perkembangan dunia seni, yang kenyataannya sudah semakin mengglobal. Akhirnya sering terlihat seniman sebagai seorang yang diletakkan sebagai terdakwa.

Berdasarkan kasus tersebut, ternyata ramai seniman mati di tengah jalan. Gejala ini sangat merugikan pertumbuhan kreativiti seniman dan perkembangan kesenian di tengah-tengah masyarakat pendukungnya. Untuk itu dalam tulisan ini akan dipaparkan  pendekatan terhadap kritik seni dari berbagai sisi, seperti kritik sebagai penilaian atas nilai, sebagai media informasi, motivasi dan kritik sebagai tolak ukur, yang pada gilirannya dapat membantu kelancaran pertumbuhan seni pada masa datang.

Sebagai sebuah kritik yang difungsikan untuk menilai suatu nilai seni dari objek kritikan, banyak hal yang harus diperhatikan. Dari masalah teknik dan tidak teknik serta unsur penunjang dari objek kritikan yang mendalam, penilaiannya perlu diketahui dan difahami oleh seorang pengkritik dalam melancarkan kritikannya.

Memang menilai sebuah nilai seni tidak semudah menilai "dua tambah dua sama dengan empat”. Nilai di sini ibarat sesuatu yang tersembunyi di balik hijab. Ia lebih merupakan sesuatu yang bersifat abstrak yang terjadi dalam sebuah karya seni. Kita tidak langsung dapat mengatakan bahawa pertunjukan sebuah tari tersebut mengalami kegagalan, dengan kata lain kurang dapat memprojeksikan konsepnya ke dalam sebuah koreografi atau sebuah konsep bunyi yang diprojeksikan dalam aplikasi komposisi muzik.

Menurut Kwant (1975: 19): Kerana berkisar pada nilai-nilai, maka kepekaan terhadap nilai harus memegang peranan pokok dalam kritik. Kalau kepekaan terhadap nilai itu tidak ada, kritik menjadi tanpa hormat. Orang yang mampu memberikan kritik seni hanyalah dia, yang peka terhadap nilai-nilai artistik yang ada dalam sebuah karya seni.

Dalam memberikan penilaian ada hal-hal tertentu yang perlu diperhatikan iaitu seperti aspek teknik dan tidak teknik. Kedua aspek ini sangat menentukan seorang kritikus dalam melancarkan kritikannya. Yang dikatakan aspek teknik adalah hal-hal pokok dalam sebuah karya seni. Hal-hal yang pokok tersebut misalnya untuk seni tari adalah penari, pemuzik, alat muzik pencahayaan, komposisi, kostum, rias dan koreografi tari secara menyeluruh seperti: desain lantai, desain atas, ruang, dinamik, dramatik, dan transisi, kemudian ‘property’ dan ‘setting’. Kedua, untuk muzik adalah pemuzik, alat muzik, melodi, ritem, dan komposisi muzik yang dimainkan, desain dinamik, dramatik, dan harmoni.  Ketiga, untuk teater adalah pemain (aktor dan aktris), pencahayaan, dialog, bloking, kostum dan rias, mimik atau ekspresi, akting, alur cerita yang didesain, terakhir ‘property‘ dan ‘setting’. Dan, keempat, untuk seni rupa (tidak pertunjukan) seperti : jenis cat, jenis kampas, jenis kuas, komposisi ruang, komposisi warna, arah dan dimensi, teknik projeksi.

Dalam aspek tidak teknik kita lebih banyak berbicara secara ekstrinsik dari sebuah karya seni. Hal-hal yang bersifat ekstrinsik perlu dipertimbangkan, sebab aspek ini sangat terkait dengan keberhasilan sebuah karya seni. Aspek tidak teknik dapat dijabarkan sebagai berikut; pertama adalah aspek pendidikan dan pengetahuan seniman, selanjutnya kedudukan di lapangan (seperti adanya insiden dalam sebuah pertunjukan), psikologis, saranan dan prasarana, cerita atau naskhah dalam tari dan teater, lingkungan tempat tumbuhnya seorang seniman, latar belakang budaya, waktu (waktu dalam proses), judul dan sinopsis, klasifikasi seni (kontemporer, kreasi, tradisi, modern, post modern, happening art).

Pada persoalan kritik sebagai penilaian dirasa perlu membedah objek kritikan dengan sistematika penilaian. Sistematika sangat efektif dalam menentukan objektivitinya sebuah penilaian. Di sini sengaja kita bicarakan masalah objektiviti, hal ini lebih disebabkan untuk menghindari kritik yang berniat jahat, atau kritik yang bermuara hanya pada rasa senang atau tidak senang pada suatu objek.

Sistematika yang akan dilakukan adalah sistematika analisis dan penilaian. Kedua sistem ini dapat dilakukan pada semua objek seni. Sebelum melakukan analisis perlu adanya data. Data yang diperlukan adalah data tentang objek tersebut yang bersifat tidak teknik seperti : idea (gagasan), judul, sinopsis, naskhah cerita, jenis karya, bentuk penyajian, abstraksi karya, biodata seniman, konsep garapan, gambaran karya terdahulu, jenis klasifikasi seni (kontemporer, kreasi, natural, tradisi, happening art) dan sebagainya. Seluruh data perlu difahami.

Dalam melakukan analisis perlu mensingkronisasikan data dengan apa yang dilihat (apa yang disaksikan). Di sini tempatnya seorang kritikus, mempertemukan antara aspek teknik dan tidak teknik. Pertemuan kedua aspek ini pada gilirannya diharapkan menghasilkan penilaian yang objektif.

Langkah selanjutnya masuk pada tahap apa yang dinamakan penilaian. Dalam penilaian sudah ada sebuah pernyataan dan kesimpulan yang akan dilontarkan. Pada kenyataan kedua ini sudah dapat dinyatakan tingkat keberhasilan dan tingkat kegagalan. Di sini juga sudah dapat dilontarkan tentang nilai artistik dan estetik terhadap sebuah objek kritik.Sebagai hasil penilaian, perlu adanya argumentasi yang melatar belakangi pernyataan tentang nilai tersebut. Argumentasi diperoleh setelah melakukan analisis pada kenyataan pertama.

Apabila dikaitkan kenyataan yang panjang ini dengan pemilihan judul sesebuah karya, juga menuntut hujah yang konkrit terutama sekali setelah judul sesebuah karya itu ditolak oleh penilai atau penerbit. Sering kita dengar segelintir penulis yang tidak berpuas hati lantaran terjadinya perubahan-perubahan yang tidak sewajarnya dilakukan. Seperti dinyatakan di awal catatan ini, sehingga menyebabkan penulis terbabit patah hati lalu meninggalkan dunia penulisan buat selama-lamanya. Apakah penulis ini bersalah? Apakah penulis ini alergik kritik? Mungkinkah semua penulis harus menolak pandangan orang lain kerana haknya untuk mempertahankan karya yang sudah diberikan sepenuh tumpuan. Nah, mencari jawapannya sudah tentu bukan ditujukan kepada satu-satu pihak. Penulis perlu bersikap terbuka, begitu juga para penilai, pembimbing dan penyelaras projek. Mungkin ini bukan sebuah kesimpulan tetapi sebagai penulis, kita harus sentiasa bersikap terbuka ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran begini dan bersiap sedia menolak anggapan penulis itu alergik kritik!

PUSTAKA IQBAL NAZIM




Selasa, Ogos 11, 2015

Menoleh kebangkitan Keranda 152

KERANDA 152


Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak Keranda 152
ke arah perkuburan Parlimen

Sepuluh tahun nafas itu terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang
1967




Sasterawan Negara Datuk Usman Awang telah menghasilkan puisi protes Keranda 152 pada 1967. Puisi ini membawa satu kebangkitan kalangan pejuang-pejuang bahasa apabila Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen ketika itu tidak menggambarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan.
Disebabkan keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di Parlimen, para pejuang bahasa mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967. Tujuannya untuk melahirkan protes kerana orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat yang telah tertulis dalam Perlembagaan.
Tragedi bahasa Melayu yang membawa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen itu berlaku sepuluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam usia kemerdekaan yang dianggap masih muda kalangan tokoh politik Melayu telah lupa tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Kalangan tokoh politik Melayu ketika itu kelihatan tidak ada semangat untuk memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu, semua ini terpancar daripada keputusan di Parlimen yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kemarahan perjuang bahasa dan rakyat jelata tidak ada agenda politik di sebaliknya. Mereka berjuang demi bahasa Melayu yang mulai dipijak selepas sepuluh tahun merdeka.
Malangnya bahasa Melayu. Ini kerana selepas tragedi Keranda 152 empat dekad lalu, bahasa Melayu terus terpinggir dan dipinggirkan oleh kalangan politik Melayu sendiri. Ketika ini bahasa Melayu hanya pada nama saja menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Tetapi segi praktisnya bahasa Melayu berada di tempat tercorot. Bahasa Melayu tidak diasuh menjadi bahasa perpaduan ketika orang politik sibuk bercakap tentang perpaduan kaum.
Apakah kita memerlukan perhimpunan Keranda 152 yang kedua untuk menyedarkan kalangan pembuat dasar supaya bahasa Melayu diletakkan di tempat yang dimuliakan dalam Perlembagaan? Ketika pejuang bahasa dianggap kolot dan anti establishment, gerakan memartabatkan bahasa Melayu tetap diteruskan.
Petikan ucapan bekas Ketua Pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail pada perhimpunan Keranda 152 40 tahun lalu wajar menjadi renungan pembuat dasar. Kata Syed Nasir, " Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat."



Kalau ditoleh sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa bagi kerajaan Melayu- Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang dan menjadi alat pengembangan agama Islam di Nusantara sejak abad ke 13. Bukan itu saja malah menjadi lingua franca perdagangan dan sosial sejak ratusan tahun dulu. Kemudian pada 1957 bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah berhenti. Hari ini dan esok Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (Pena), DBP dan banyak persatuan penulis serta NGO Melayu lain menganjurkan Hari Pejuang Bahasa 152. Acara yang akan dijadikan acara tahunan ini berlangsung hari ini dan esok di Rumah Gapena, Rumah Pena dan Balai Budaya DBP.
Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad memberitahu, mulai tahun ini Hari Pejuang Bahasa 152 akan dijadikan acara tahunan untuk mengingatkan kembali kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan berusaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang wajar dalam pembangunan negara masa kini.
Menurutnya, Kalam yang mengepalai Hari Pejuang Bahasa 152 dengan sokongan banyak persatuan penulis dan NGO Melayu gembira kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk menganjurkan acara penting bagi memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Sokongan itu diharap boleh memberi isyarat kepada pembuat dasar supaya berhati-hati menggubal sesuatu dasar yang melibatkan masa depan dan kepentingan bahasa Melayu.
Puisi Keranda 152 mengutarakan rasa kekecewaan Usman Awang kepada bangsanya, iaitu Orang Melayu. meskipun orang Melayu memegang kuasa atau suara teramai di Parlimen tetapi gagal meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya. Orang Melayu seolah-olah telah menjadi kelu dan bisu terhadap bahasanya sendiri. Sekiranya pada waktu itu kedudukan bahasa Melayu tidak dapat dipertahankn, maka tidaklah pelik seandainya kebelakangan ini terdapat orang Melayu secara nyata merendah-rendah dan mengetepikan bahasa Melayu.

PUSTAKA IQBAL NAZIM