Sabtu, Oktober 01, 2022

BEZANYA HANYA EJAAN

Memandang lautan, lebih hidup jika berada di tengahnya,
ketika ombak masih tidur dan saat ia hidup penuh pesona!
Kau inginkan apa sebenarnya,
menatap warna lautan yang sering menipu kita.
Konon ada ketenangan memaut suara angin.
Tiba-tiba kau sekadar melupakan sesuatu
tentang masalalu.

Di sisi primadona, mungkin lahir bait-bait puisi
orang tua yang lain. Tentang pekikan rindu pada Tuhan.
Selain bukan berjalan-jalan memungkinkan kelainan.
Lautan sama di mana pun juga. Jika berbeza
hanya ejaan yang mempelbagai hujung catatan.
Andai seorang sasterawan, begitulah.
Aku hanya pencatat perbualan,
tanpa gelar yang boleh merobah fikiran orang,
tanpa jasa wajar dijajakan.

Kau ternama dan bernama
kerana terpana oleh kemahuan sepele
menumpahkan masa orang lain
pada kanvas kesesiaan.
Akademi Rupha
20/9//2022



Jumaat, September 30, 2022

DI MUSIM BINTANG


panen kali ini masanya dikembalikan
dari fikiran di arasnya semula
berjalan-jalan tanpa sapa sesiapa
kecuali dari jauh berkerdipan di angkasa
diberikannya tawaduk dan kedekatan
maha suci yang menjadikan
bukan insan yang menyalin kehidupan
di danau yang basah
langit sangat meriah malam ini
kudengar irama sunyi itu lagi
gesekan biola tajam menikam
kusambut secalit darah
menuliskan aksara-aksara
di dada gelita
satu persatu kisah-kisah mimpi
berlalu di pelipis mata
di atas ini dikembalikan cerita
perjalanan yang sangat panjang
kekutip embun dinihari
meletakkannya sebagai cermin
menatapi wajah yang tenggelam
di lautan asyik menjulang kebesaran
Tuhan.
Pustaka Iqbal Nazim
RupHA
30/9/2022

Khamis, September 29, 2022

MENGHIDU BISIKAN API


- buat Saddam dan Bush
 
Inilah percaturan keangkuhan yang
     menggegarkan
dunia pelusuknya dan para kekasih
    keamanan
mendacing senario buas penguasa-penguasa
    bermain
api dan menghadang angin menerobos
    kewibawaan pincang
menyeret bangsa manusia ditakluk jahil.
 
(2)
Antara niat yang dibungkus kukuh di atas
    buaian
angan-angan dan genggaman aniaya atau
    membenarkan
keadilan dengan keputusan impian dan
    keresahan
tanpa maya menangguh hasrat yang tersirat
bahawa esok adalah sebuah gelora yang
    direlakan
biarpun tiada kemutlakannya kecuali suatu
    memungkinan
kemenangan menjanjikan kemusnahan
manusia merenangi lautan bobrok
dan mendepani hidangan kehidupan yang
    hancur!
 
(3)
Mencernakan antara kecanggihan ilmu dan
          akal manusia
martabat itu dijulang dan diagungkan
mengakarkan bakhil dan jahil
membentuk kekerasan dan tamadun zaman
          menyaksikan
mayat dan bangakai berpulang dengan rela
yang dipaksakan mengalih kasih yang disisih
inilah musibah suatu revolusi habuan pedih
          membina sejarah sedih
menghukum kewarasan!

(4)
Memenangkan jihad atau membenarkan
         keadilan
kita berada di ambang dacing zaman
menuntut reda ditahtakan di mata akal yang
         benar
meniti di atas siratualmustakim kemanusiaan
     dan
cahaya yang berpinar di segenap raut wajah
         para
penguasa: hentikan perbalahan di bumi
kembali menghayati tafsir firman Illahi dan
     hadis nabi.
 
Kota Kinabalu,
18/1/1991.
 
 
Tersiar di: Harian Ekspres, 27 Januari 1991

Hadia
h Sastera Sabah 1990/1991

SMJ


Rabu, September 28, 2022

DITEMBAK JANJI

Akhirnya dia mati ditembak
janji sendiri
Berapa karung janji ditabur seperti benih
di kebun kuasa, dia membawa kemewahan
peribadi hasil tuaian musim lepas
Musim kali ini dia kembali
sebagai mayat hidup melakonkan semula
bab-bab politikus rakus
Belasungkawa kepada penjaja janji
nyawanya tinggal pada suara
terpisah dari tubuh
Dalam himpunan ini hanya mayat
segala ucapannya kembali
menghakimi.
28 Sept 2022

BERANI BIAR BENAR!

Berani biar benar!
Guru ingatkan berani kerana benar. Bila menegur itu bertanya, mencari benar bukan membongkar salah.
Guru selalu ingatkan tetapi guru juga manusia biasa, maka anak guru pasti akan menyapa guru. Berani biar benar.
Orang takut pada kehilangan. Hilang teman. Hilang tuan. Hilang kepercayaan. Pilihlah mana yang sepatutnya. Mahu kekal teman biarlah teman yang ada integriti. Mahu kekal bertuan hargailah tuan yang berwibawa. Mahu kekal kepercayaan, bersederhanalah, wasyatiah!
Takut hilang tempat bergantung sehingga tidak percaya kepada integriti diri, pudar prinsip, ceca merba dalam bertindak sehingga lahir bibit-bibit tamak haloba. Mahu raih semua!
Berani biar benar dan wajar. Manusia dipegang pada prinsip.
28/9/2022

RIBUT

NEGERI RIBUT FASAL PUISI
NEGERI RIBUT BILA PM CAKAP MELAYU DI PBB
NEGERI RIBUT KLUSTER KORUP MENANG
NEGERI RIBUT ULAMAK LIDAH BERCABANG
NEGERI RIBUT MATA WANG MERUNDUM
NEGERI RIBUT KRONI KRONI BERBAGI REZEKI
NEGERI RIBUT BANJIR JADI TAK JADI SEPERTI JADI TAK JADI PILIHAN RAYA
NEGERI RIBUT CERITA DULU TAK KUNJUNG HENTI
NEGERI RIBUT KARYA LUAR MASUK SURAT KHABAR SENDIRI
NEGERI RIBUT OKP SELESA DALAM PENJARA
NEGERI RIBUT LAYAK TAK LAYAK JADI MP
NEGERI RIBUT BUDAK-BUDAK HILANG BEBENAR IKUT KAWAN LARI
NEGERI RIBUT DUIT MASJID DIKOPEK PENCURI
NEGERI TAK RIBUT BILA MENTERI TAK BERJEMAAH DI MASJID

SOSOK BERBAJU FIKIR DAN PRADIGMA DI BELANTARA

Di jiwa diamuk tamadun
dibongkar hasrat berkobar
sosok berbaju fikir
diperagakannya agar lahir
kupu-kupu membawa dogma.
Katanya pradigma
kerana ia bayi yang ditemui
tanpa bonda tanpa zat keturunan
persis akulah tuan membesarkan.
Pradigma muncul di belantara
ketika manusia bersengketa
memakmur manusia bertingkah
mengaum mengejar kuasa
nenjadi raja mengaut untung
merenggut rakus hak jelata.
Bayi ini akan kupelihara
menjadi kebun yang cantik
belantara ini pasti menjadi taman
biar ria rerama dan segala ciptaan
bersenggama menzuriatkan sukma
subur di dalamnya.
ii.
Pradigma membangun gedung impian
sosok berbaju fikir metekayasa
agar perjalan jauh nanti tidak segera
ke syurga cukuplah niat dinobat
hebat
pemula mandat menyatu umat.
Di belantara itu sosok berbaju fikir
lolos ke dalam pasung gelar
manusia yang paling sempurna
bunyi tambur bergema
walaupun tidak kelihatan
sedetik waktu untuk menzahir jasa.
Rupanya gema tambur dibalas nista
bersebab dusta-dusta mengikat suara
membakar sukma belantara.
iii.
Sebenarnya pukulan musuh dibungkus
dimasukkan ke peti arsip
sosok berbaju fikir menggantikannya
oleh siap menghadapi hadangan.
Jika politisi menangguni teman atau seteru
dikembangkannya dekap agar
tiada tingkahan melainkan restu .
Diplomasi diurak seperti permaidani
diiring sampai terbuka pintu sendiri
dupanya mata wang mengganti kemenyan
diasap-asapi sampai mabuk
sampai tak kenal jati diri.

Isnin, September 26, 2022

RUMAH PUISI HASYUDA ABADI (RUPHA)








Rumah Puisi Hasyuda Abadi, yang disebut oleh Sasterawan Negara Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai ‘RupHA’ terdiri daripada 2 bahagian pengurusan iaitu Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU) dan Persatuan Kebajikan Baitul Muqaddam (BAITUL MUQADDAM). Kedua-dua ini telah berdaftar sebagai pertubuhan bukan kerajaan dengan ROS pada bulan November 2021.
RupHA menerusi KEBULU mempunyai dua misinya iaitu pertama menempatkan khazanah buku-buku keluarga Hasyuda Abadi dan kedua menjadikannya sebuah premis susastera dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan persuratan para penggiatnya.

Rumah puisi ini tidak semata-mata berfungsi puisi dalam corak aktivitinya bahkan akan menyumbang ke arah kepelbagaian kegiatan yang menarik. Seperti pernah kami saksikan sosok sebuah rumah puisi di Sumatera iaitu Rumah Puisi Taufik Ismail, saya berazam menamakan rumah keluarga sebagai rumah puisi di mana di dalam rumah itu ada koleksi buku, ada kegiatan-kegiatan sastera, jualan buku, ada kafe dan sebagainya. Alhamdulillah, sebahagian impian itu saya telah terlaksana.
Dalam memperkasa program, KEBUKU dilandasi 2 komponen lain iaitu:
1. Akademi RupHA dan
2. Pustaka Iqbal Nazim
Manakala BAITUL MUQADAM pula mengendalikan Rumah Ngaji, pengenalan al-Quran dan penyebaran pendidikan ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardu Kifayah.

PENJELASAN LANJUT MENGENAI AKADEMI RUPA DAN PUSTAKA IQBAL NAZIM:
1. Akademi RupHA

Akademi RupHA menumpukan kepada program-program latihan, bicara buku, bengkel penulisan dan acara-acara berkaitan sastera, seni budaya. Antara aktiviti yang pernah dianjurkan adalah Dekad Membaca Hari Kebangsaan, Worksyop Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan, Puisi adalah...., Forum warga tanpa Bangsa, bengkel-bengkel Penjuruacaraan Majlis, Penggambaran RTM dalam Siri Inspirasi Borneo dan banyak lagi.
2. Pustaka Iqbal Nazim (PIN)
Dinamakan Pustaka Iqbal Nazim atau P.I.N. merupakan impian dan khazanah keluarga. PIN ditubuhkan pada 2009 bermula di Ramin 8 Taman Puterajaya Telipok kemudian berpindah ke lokasi baharu apabila Rumah Puisi Hasyuda Abadi siap dibina pada 2010. Pada 2015 pula PIN telah ditambahbaik. (Baca juga ini).
Pustaka mini ini menyimpan lebih kurang 7 ribu judul buku yang meliputi pelbagai bidang seperti sastera, agama, politik, budaya dan majalah. 80 peratus merupakan bidang sastera dengan pecahan genrenya seperti Puisi, Cerpen, Novel, Drama dan Kajian Sastera. Majalah-majalah yang tersimpan di pustaka ini pula berkaitan dengan dunia sastera tempatan dan luar negara seperti Brunei dan Indonesia seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Horizon, Wadah dan majalah-majalah berkala. Selain itu, majalah-majalah keagamaan seperti Solusi, Anis, al-Ustaz dan majalah-majalah lama yang sudah tidak dikeluarkan lagi pada masa ini. Koleksi buku-buku ini mulai tersimpan sejak awal 1980-an. PIN juga ada mengumpul majalah-majalah lama seawal 1960-an berkaitan dengan dunia hiburan seperti Majalah Filem, Purnama Filem dan Mustika Filem. Selain mengumpul khazanah buku, PIN juga ditubuhkan sebagai pondok membaca di Kampung Gudon di samping mengadakan aktiviti-aktiviti sastera dan khidmat sosial yang lain seperti kelas Iqrak dan al-Quran.
Ungkayah ini adalah sebagai permulaan kepada suatu pendekatan susastera yang lebih besar sebenarnya. Bukankah susastera itu merupakan rangkaian kehidupan manusia secara fitrah? Kehidupan yang memerlukan komunikasi melalui bahasa, nilai dan juga pelbagai ciri semiotik tidak mungkin melepaskan elemen sastera tersebut. Dalam pergaulan seharian sastera merupakan warna yang mendekatkan kita antara satu sama lain, meskipun barangkali bahasa kita berbeza. Allah menyukai keindahan, sebab itu sastera memberikan refleksi yang amat utuh buat umat manusia.





Walaupun ada sesetengah orang yang menulis secara langsung namun kita percaya dia juga sukakan keindahan. Mungkin keindahan yang difahaminya berbeza dengan apa yang kita fahami. Apa yang kita inginkan sebuah karya itu mengandungi nilai-nilai yang positif. Pada sisi yang lain, ada juga pandangan bahawa tidak semestinya bahasa yang santai itu begitu polos secara literasinya namun masih mempunyai makna berlapis yang mengindahkan karya berkenaan.
PIN menyimpan pelbagai genre sastera, pelbagai jenis buku yang mungkin tidak semua orang menyukainya. Persoalannya sudah tentu bukan pada sosok bahasa atau pendekatan penulisnya tetapi intipati atau abstraksi karya berkenaan memberikan impak pemikiran yang bernilai mulia. Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes, pernah mengatakan, “Membaca buku yang
hebat
ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau. Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Mereka menuangkan gagasan mereka yang
terbaik
semata-mata.”
Pernyataan Descrates ternyata benar apabila mengingatkan kata-kata Sayidina Ali,”Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.” Menulis bagai mengikatkan sesuatu. Seolah-olah penulis, pada saat tulisannya lahir dan dapat dibaca oleh dirinya sendiri atau orang lain, melakukan semacam akad atau perjanjian. Sang penulis berjanji bahawa hal yang ditulisnya itu benar menurut pemahamannya dan dia terikat dengan hal yang dituliskan.

PENJELASAN LANJUT MENGENAI BAITUL MUQADDAM

SALAH satu daripada Asmaul Husna Allah SWT ialah 'al-Muqaddim' yang bermaksud 'zat yang mendahulukan'. Sesuai dengan nama itu, dan sebagai pemula dalam pengajian al-Qurannul kareem, kami bersetuju menamakan pondok pengajian iqra' dan al-Quran sebagai Baitul Muqaddam (selepas ini BM).
BM hanyalah kebun mengaji yang dirintis sejak tahun 90-an. Kini sudah ada puluhan anak-anak binaan yang mulai kembali ke desa dan sedia membina adik-adiknya pula. Jika setiap anak di rumah dan kejiranan berjaya keluar daripada buta al-quran kepada celik al-quran, maka sampailah sudah niat dan tujuan kita.

Motto: MEMANDAIKAN BANGSA
Misi:
Melahirkan generasi berwibawa dan menobatkan perkara-perkara seperti berikut:
1. Kenal setiap huruf
2. Mampu memperkasakan bacaan
3. Mengamal dan mengingat sebagai kunci pembelajaran.
Visi: JANGAN SEORANG PUN BUTA AL-QURAN DAN BUTA JAWI!

AKTIVITI BAITUL MUQADDAM:
1. Memberi bimbingan melalui aktiviti taksin Iqrak dan Al-Quran kepada anak-anak dan ibu-ibu Kg Gudon dan persekitaran.
2. Membimbing fardhu 'ain dan fardhu kifayah.
3. Menganjur program tadabbur al-Quran.
4. Mengadakan program motivasi Islami dengan kerjasama NGO-NGO Islami.
5. Menggerakkan kerja-kerja kemanusiaan, membantu golongan asnaf dan masyarakat yang daif. BM merupakan pusat/hub bantuan masyarakat
6. Menganjur program ibadah qurban Aidil Adha.
7. Menubuhkan jemaah muzika Islami melalui kompang.
Bilangan pelajar di Baitul Muqaddam ialah seramai 140 orang. Aktiviti dikendalikan oleh Puan Hajah Sahara dibantu para sukarelawan NGO yang bergerak aktif di Kota Kinabalu.

KEMUDAHAN PRASARANA BM:
1.Bilik Inap
2.Bilik Rawatan Homeopathy.
3.Dewan An-Nur (kemudahan penghawa dingin, LCD Projector dan alat siar raya)/Ruang Solat.
4.Tandas/Tempat Berwuduk.







Boleh juga baca ini:

Alamat:    Rumah Puisi Hasyuda Abadi,                 Kampung Gudon Manggatal,                 88450 KOTA KINABALU, SABAH.

Peta Lokasi: Cari Rumah Puisi
            


K R O N I S M E

'Kronisme bermaksud amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan-kawan rapat dalam sesuatu urusan, pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya.' Kronisme umpama kurap.

Persoalannya bukan tiada orang selain itu-itu juga tetapi anda tidak bersungguh mengundang beberapa individu yang sebenarnya berwibawa. Walaupun dengan wewenang akan dikatakan wujudnya unsur-unsur 'kawan-kawan" atau kronisme, hal ini menyebabkan sesuatu yang digambarkan terbaik menjadi sebaliknya. Betul bercakap tidak semudah menggalas, andai sekecil pandangan itu dilihat sebagai debu, paling tidak ditepis debu itu dengan positif menilai apakah debu lebih hina berbanding ketidaksungguhan (baca: asal jadi) dan ketidakamanahan menggunakan modal yang diberikan sejujur-jujurnya. ''


KRONISME TAK MUNGKIN SENYAP
APATAH LAGI BAKAL LENYAP