Sabtu, Januari 31, 2009

Kata **Bang Mat: Kita perlu berani...

Dalam perjalanan ke Kota Belud untuk meraikan majlis perkahwinan adik seorang sahabat di Kampung Tamau Kota Belud pagi hari ini agak jarang saya memancarkan sesuatu yang berbuku di kalbu. Barangkali bersama saya kali ini seorang 'bapa' dan juga 'abang' yang sentiasa meriakkan pengamatannya sebagai seorang ayah dan seorang abang kepada insan-insan yang menghargainya sedemikian. Memang Bang Mat 'gila-gila' orangnya, lucu, terlalu terbuka ketika menyatakan sesuatu mengenai realiti gender seumpama kami yang masing-masing menyimpan rahsia.

Meskipun tersesat seketika kereta kecil saya berjaya juga mengesan jalan masuk ke destinasi yang dituju iaitu Kampung Tamau. Kami disambut oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin sebagai 'ketua projek' majlis. Kelihatan sudah agak ramai warga desa mengerumuni khemah jamuan termasuklah wakil rakyat kawasan Tempasuk Yang Berhormat Datuk Haji Musbah Haji Jamli.

Kampung Tamau didiami masyarakat Irranun. Ramai sahabat saya di sana dan yang paling rapat tentu sahaja keluarga Tuan Haji Shaiddin terutama sekali anak-anaknya Abd Naddin, Mabulmaddin dan Dayang Norkanah (Oka De). Istimewanya pakcik ini kerana semua nama anak-anak lelakinya berakhir dengan 'din'. Saya suka dengan cara hidup masyarakat Irranun yang amat kuat dengan adat dan tradisi. Walaupun tidak faham, sesungguhnya bahasa sukuan etnik ini cukup menguja, lain dari yang lain. Nilai sasteranya amat tinggi.

Di sana bertemulah sahabat-sahabat kami: Jasni Matlani dan isteri, Ailin Nor, Cikgu Ramli Jusoh dan isteri, Matnor Makbul dan Shahirul. Kami bertemu juga dengan isteri Abd Naddin dan 3 anaknya yang sejak lahir belum pernah berjumpa kerana mereka tinggal di Tawau. Selalu saya membayangkan bagaimanakah intimnya keluarga sahabat kami ini walaupun berada jauh, maksudnya isteri dan anak-anak di Tawau sedangkan dirinya di Kota Kinabalu lantaran komitmen kerja masing-masing. Setidak-tidaknya mereka berdua menjadi contoh yang baik, pada saya begitu.

Tidak sah tanpa bercakap tentang dunia kami, dunia aksara, bahasa dan sastera. Tidak sah juga jika tidak memperkatakan aktiviti yang amat wajar kami lakukan. Memang terbersit idea melaksanakan bimbingan penulis yang lebih teratur dan berobjektif, terarah dan benar-benar bermakna. Bimbingan yang dilakukan ini tidak seperti bengkel-bengkel biasa yang lebih menumpukan kepada kelompok yang ramai, walaupun barangkali pernah berhasil menerbitkan antologi selepas berbengkel tetapi selepas itu apakah para penulis yang dididik itu terus menulis? Apakah ada susulan atau pun mereka meneruskan rujukan dan bimbingan kepada mentor mereka? Kami berharap pihak DBP Sabah dapat memberikan sokongan. Insyaallah cadangan ini akan diperincikan lagi.

Beberapa hari lepas saya menulis tentang majalah Wadah. Bila menyebut tentang majalah Wadah, memang wajar sekali perkara ini dibangkitkan, diketengahkan kepada umum kerana majalah itu memberi impak yang amat berguna kepada masyarakat yang inginkan bahan-bahan sastera tempatan. Walaupun masyarkat tidak berhak untuk mencadangkan agar perlunya perubahan dalam sesebuah organisasi tetapi kami fikir tidak perlulah 'sudah siang masih bersuluh'. Seperti kata orang apa juga yang dilakukan amat memerlukan sikap dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Jika tidak mampu sewajarnya 'angkat tangan' bukannya 'lepas tangan' dalam erti kata menidakkan keperluan orang lain. Tentulah sesuatu yang tidak masuk di akal, mengapa tidak satu keluaran pun mampu diterbitkan; jika tidak dapat empat kali buatlah 2 kali atau sekurang-kurang setahun satu pun rasanya memadai. Inilah menjadi persoalan kami ketika berbual-bual sambil menanti pengantin turun dan menaiki usungan pengantin (sebagai salah satu adat masyarakat Irranun).

Tahun 2009 tentu menjanjikan sesuatu terhadap aktiviti sastera, mudah-mudahan usaha yang kami lakukan mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya atau selayaknya membantu. Pihak pemerintah pusat dan negeri Sabah harus mengambil perhatian secara bulat dan teguh, tanpa berbelah bahagi. Apalah sangat dengan sejumlah peruntukan yang diperlukan yang rasanya tidak membebankan.

Perjalanan hari ini sebenarnya membuatkan saya menerima banyak masukan pedoman dan dorongan terutama sekali daripada Bang Mat. Bercerita tentang kehidupan yang dia lalui dan yang pernah saya lalui. Pertembungan peristiwa kami diperkukuhkan oleh pengalamannya yang memang lebih 'bapa' di kalangan sahabat-sahabat yang akrab. Bila saya berkata bagaimana sekiranya kita menongkah arus, Bang Mat segera mengingat agar lebih berhati-hati khuatir akan tenggelam sekiranya tidak bersiap menghadapi cabaran arus yang deras. Begitu juga jika kita seperti rumput lalang hanya patuh kepada arah angin khuatir menjadi mangsa tusukan lalang yang ada kalanya mengenakan kealpaan kita. Kita tidak perlu gentar untuk melalui perjalanan kehidupan apabila di sana akan menzahirkan pengalaman dan juga kenangan. Mau atau tidak itulah realiti kehidupan bagi insan yang waras. Kenangan itu peristiwa yang sentiasa membuatkan kita ambil peduli tentang hari ini. Kita perlu berani, kata Bang Mat.

**Di Sabah, nama Mat Konggo sudah begitu dikenali sebagai Raja Lawak, aktivitis teater, penulis skrip drama radio, drama pentas dan antara insan seni di Sabah yang paling awal mendominasikan telemovie sebagai mata pencarian. Nama sebenarnya Mohamed Haji Salleh kelahiran Johor tetapi bermastutin di Sabah sejak berusia 12 tahun. Beliau berkahwin dengan anak pengurus estet getah di Membakut warga Australia. Bang Mat gelaran mesra kami merupakan insan seni yang amat komited dan berkebolehan khusus dalam dunia seni.

Jumaat, Januari 30, 2009

Tulisan Dr. Mahathir mengguris hati rakyat Sabah


**Oleh Jasni Matlani

DR. MAHATHIR bukanlah tokoh yang asing di Malaysia malah di peringkat global. Saya masih ingat pada tahun 1990-an apabila seorang rakyat Malaysia sesat di China, tidak ada sesiapa yang menghiraukannya, sehinggalah orang itu menunjukkan gambar Dr. Mahathir. Waktu itu beliau menjadi Perdana Menteri dan banyak perubahan yang dilakukannya di Malaysia. Begitu juga dasar luarnya seolah-olah memperlihatkan bahawa beliau adalah memimpin negara besar dunia, bukan sebuah negara kecil Malaysia.

Itulah Dr. Mahathir, banyak tindakannya menimbulkan kontroversi, tetapi Dr. Mahathir bukanlah seorang pemimpin yang melakukan sesuatu perkara yang popular di peringkat permulaan tetapi di penghujungnya. Dia tidak diadili dengan baik ketika berlepas digaris permulaan, tetapi di garisan penamat. Dia disukai, tetapi tidak kurang yang membencinya. Bagaimana pun, untuk negara, Dr. Mahathir, selalu mendengar suara hatinya. Dia percaya bahawa dia tidak mungkin memuaskan hati semua orang, mengembirakan mereka dalam semua perkara, tetapi kebenciaan pun membawa makna besar dalam hidupnya. Ia seperti kuasa yang mendorongnya bergerak laju dan lebih jauh kehadapan. Lebih jauh daripada jangkauan sesiapa pun di negaranya dan malah di luar negara.

Dr. Mahathir adalah tokoh yang perlu diberi perhatian sama ada ketika beliau menjadi Perdana Menteri, atau selepas menjadi Perdana Menteri. Beliau juga adalah antara pemimpin yang banyak menulis buku, lebih menghormati ilmu dan mengetahui fadilat buku dalam sejarah manusia lebih baik daripada beberapa pemimpin lain di dunia. Kata A. Kadir Jasin (2008), sehingga kini Dr. Mahathir telah menghasilkan lebih 20 buah buku. Beliau juga merupakan seorang pemikir dan penulis yang ulung. Daripada menulis menggunakan mesin taip untuk bukunya Malay Dilemma dan mengedarkannya dalam bentuk stensilan,beliau akhirnya menerajui revolusi ICT di Malaysia dan ia bermula dengan kegemarannya melawat pameran komputer terbesar di Hanover, Germany dan akhirnya membawa teknologi itu ke Malaysia.

Itulah Dr. Mahathir dan kini beliau adalah antara penulis blog yang paling popular di Malaysia dan blognya chedet.com merupakan blogger yang paling banyak menerima pembaca di dalam negara dan mungkin juga yang paling dicari pembaca di alam siber. Sehingga A. Kadir Jasin menganggap kejayaan blog itu sebagai satu fenomena di Malaysia. Tulisan-tulisan dalam blog itu kemudiannya dibukukan dalam sebuah buku bertajuk Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.

Saya membeli buku tersebut beberapa minggu lalu di sebuah kedai buku di Kota Kinabalu, dan membaca pelbagai isu semasa yang diketengahkan Dr. Mahathir, yang berlaku di dalam negara ini. Sama ada ia berkaitan isu kehakiman, kegagalan Barisan Nasional di Semenanjung pada pilihan raya lalu, isu Jambatan bengkok, harga minyak dan Petronas, tentang Ketuanan Melayu dan kontrak sosial di Malaysia, tentang Anwar Ibrahim, tentang UMNO, tentang Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi saya membuat kesimpulan, apa juga isu yang diketengahkannya, ia adalah tentang usaha Dr. Mahathir menolak kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi dan mendesak agar beliau meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara ini kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.

Kenapa Dr. Mahathir mahu Dato’ Seri Abdullah Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri secepat mungkin? Kenapa masa yang panjang tidak relevan dengan pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Badawi?

Tulisan Dr. Mahathir dan pandangan yang dikemukakannya di dalam buku beliau yang terbaharu itu ternyata menjawab segala-galanya. Banyak pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir lebih menjurus kepada konklusi, dengan mengatakan bahawa lebih lama Datuk Seri Abdullah Badawi memimpin kerajaan dan UMNO, lebih banyak kerosakan yang berlaku dalam parti dan kerajaan.

Ketika menulis tentang keperihalan kepimpinan di negara ini, Dr. Mahathir menyimpulkan sebagai berikut; Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi setelah lima tahun Dato’ Seri Abdullah menerajui parti dan Kerajaan…kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat (selepas pilihan raya ke 12) dan sebelum pilihanraya umum ke 13 memerlukan masa yang panjang. Tetapi, masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu…masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulihkan semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

Inilah komentar Dr. Mahathir tentang Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi apabila beliau menyebut Sabah dan Sarawak, saya teringat tentang beberapa tindakan beliau yang tidak menggembirakan rakyat Sabah dan saya pernah menyatakan ini dalam beberapa tulisan yang terdahulu. Ketika beliau memutuskan untuk menggilir-gilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah setiap dua tahun kepada tiga suku kaum tertentu di Sabah, saya menulis bahawa ia adalah satu sistem yang gagal. Ketika itu ekonomi Sabah menjunam hingga ke peringkat paling kritikal, pelaburan kerajaan menerima pulangan yang minimum, simpanan negeri semakin mengecut dan banyak agensi dan syarikat dimana kerajaan berkepentingan memerlukan bantuan.

Ekonomi Sabah sepanjang sistem penggiliran Ketua Menteri itu dijalankan, adalah sangat kritikal, peluang pekerjaan terhad, kadar kemiskinan terlalu tinggi, penduduk luar bandar kekurangan prasarana dan sebagainya. Malah, peratus kemiskinan di Sabah ketika itu ialah 20 peratus dan tidak dapat diturunkan dengan drastik, kerana pemimpin kerajaan ketika itu hanya menumpu kepada isu penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Saya bertegas mengatakan sistem penggiliran Ketua Menteri itu samalah dengan sistem dan amalan politik di Jepun yang mengganti tampuk kerajaan dan pemerintahan dalam jangka masa yang singkat. Kebanyakan Perdana Menteri Jepun hanya berkhidmat selama dua tahun. Tempoh yang pendek itu menghalang Perdana Menteri dan kerajaan negara itu daripada menjadi sebuah kerajaan yang efektif, kerana sepatutnya masa yang panjang diperlukan untuk menggubal dasar, melaksanakan dan melihat hasilnya.

Tetapi apa yang saya dapat simpulkan, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mahu melihat rakyat Sabah terus ketinggalan. Secara tersirat beliau seperti hendak mengatakan, biarlah rakyat Sabah saling berebut jawatan Ketua Menteri, menukar Ketua Menteri dan kerajaan dua tahun sekali. Dengan demikian, ia memudahkan beliau mengawal Sabah, melalui satu bentuk penjajahan baharu yang tidak diisytiharkan.

Saya hendak mengatakan bahawa Dr. Mahathir tidak melayan negeri Sabah dan rakyat Sabah sebagaimana sepatutnyan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Ini yang Dr. Mahathir lakukan untuk membolehkan Sabah terus kekal dalam Malaysia. Dr. Mahathir mahu memberikan Sabah kemunduran dan perpecahan yang berterusan untuk memudahkannya mengawal dan menekan remote control apabila diperlukan.

Saya mengagumi Dr. Mahathir kerana keberanian dan usaha beliau untuk membawa kemajuan dan pemodenan Malaysia. Tetapi kemajuan dan pemodenan itu bukan untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah diluar agenda kepimpinan era Dr. Mahathir.

Apabila beliau tidak menjadi Perdana Menteri, beliau sekali lagi mengguris hati rakyat Sabah. Saya katakan demkian kerana di dalam buku terbaharunya Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd. (2008) itu, sekurang-kurang dua kali beliau mememperlekehkan tindakan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang memberikan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak, hanya semata-mata kerana pembatalan projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi Keretapi, pembatalan projek Jambatan Bengkok di Semenanjung dan beberapa perkara yang hanya beliau ketahui sendiri.

Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit kepada Sabah dan Sarawak sebagai hadiah pada masa bajet sedang mengalami deficit dan bagaimana sebuah kerajaan (pimpinan beliau) boleh membelanjakan wang rakyat dengan keputusan yang menambah kerugian?

Tetapi saya bertanya, adakah menjadi kesalahan untuk membantu rakyat Sabah dan membebaskan rakyat negeri ini daripada kemiskinan. Sesuatu yang tidak dilakukan Dr. Mahathir pada era kepimpinannya? Adakah hina membangunkan negeri Sabah dan menaburkan berbilion ringgit hanya semata-mata untuk melihat negeri Sabah menikmati kemajuan setanding dengan kemajuan yang dinikmati negeri lain di Malaysia?

Apakah jika duit berbilion ringgit itu ditaburkan untuk membina jambatan bengkok dan landasan berkembar dan Elektrifikasi Keretapi di Semenanjung, maka itu bukan satu kerugian dan berupaya mengatasi masalah deficit yang dialami negara sekarang?

Apakah salahnya Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit ke Sabah dan Sarawak, jika Sabah dan Sarawak yang dianggap moron dalam politik Malaysia inilah, yang akhirnya menjadi penentu politik dan kepimpinan kerajaannya?

Dr.Mahathir berkata lagi, jumlah wang berbilion ringgit yang beliau taburkan di Sabah dan Sarawak itu adalah gula-gula yang Dato’ Seri Abdullah berikan kepada Sabah dan Sarawak akibat keputusan beliau tidak berlaku adil dalam memberi agihan jawatan menteri dalam kabinet persekutuan.

Tetapi mungkin Dato’ Seri Abdullah silap dalam pengangihan jawatan menteri, mungkin juga beliau terikut-ikut dengan cara Dr. Mahathir dalam kepimpinan terdahulu yang tidak pernah meletakkan pemimpin Sabah dan Sarawak menjawat jawatan menteri penting di peringkat persekutuan. Tetapi adakah negeri Sabah dan rakyat Sabah, tidak berhak mendapat haknya, setelah berkorban besar untuk menyertai Malaysia?

Benar, di peringkat awal pasca merdeka, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang ketinggalan dalam serba serbi, tahap pendidikan rakyatnya sangat rendah, selalu dianggap orang Semenanjung sebagai daif, moron dan tinggal di atas pokok, ekonominya belum dieksploitasi sepenuhnya, kekayaan sumber alamnya belum diteroka, tetapi masa telah berubah dan kebanyakan rakyat negeri ini telah menikmati tahap pendidikan yang tinggi, mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan. Jadi apa salahnya mereka diberi peluang menjawat jawatan yang penting dalam parti dan kerajaan.

Dalam UMNO sendiri pun Sabah adalah lubuk UMNO yang kedua terbesar selepas Johor. Justeru itu eloklah Sabah dan Sarawak mendapat sedikit penghormatan dan keadilan sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam persekutuan Malaysia. Anggapan sama ada tersurat atau tersirat menganggap Sabah dan Sarawak adalah negeri jajahan koloni baharu selepas British mesti dihapuskan sama sekali.

Jika kerajaan persekutuan di bawah Dr. Mahathir telah menghabiskan wang rakyat Malaysia dengan membina projek mega yang kesemuanya terdapat di semananjung Malaysia, yang disenarai panjangkan oleh Dr. Mahathir sendiri bermula dengan projek KLIA, Stesen Sentral, jambatan Pulau Pinang, Menara berkembar Petronas, Lebuh raya Utara-Selatan, Projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, Monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar Lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain. Apakah yang kami dapat untuk Sabah dan Sarawak?

Adakah kami hanya berhak untuk mendapatkan jalan raya tarafnya yang paling tercorot di Malaysia? Adakah kami hanya berhak mendapatkan sisa-sisa pembangunan dan terus membiarkan rakyat kami dibelenggu kemiskinan dan serba daif? Kenapa tidak litar Formula 1 atau pelabuhan bertaraf dunia dibina di Sabah? Kenapa tidak menara berkembar Petronas dibina di Sarawak? Adakah kami tidak berhak unutk itu. Adakah kami perlu menunggu keadaan seperti yang berlaku selepas pilihan raya ke 12, baharulah peruntukan datang menurah-curah ke negeri kami?

Sesungguhnya, Malaysia kini telah dan sedang melalui proses transformasi. Sama ada kita akur atau tidak, sudah tiba masanya Dr. Mahathir dan semua pemimpin di Semenanjung baik pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang, melayan kedua negeri yang terakhir dalam pembentukan negara MALAYSIA ini secara adil dan lebih bermaruah. Jangan menunggu sehingga rakyat membuat keputusan, baharulah perubahan hendak dilakukan. Sedangkan ketika itu, segala-galanya sudah terlambat.

**Jasni Matlani, antara sasterawan penting di Sabah. Banyak menulis kritikan sastera di samping menulis novel, cerpen dan puisi. Beliau kini Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Artikel ini pertama kalinya tersiar dalam akhbar Utusan Borneo pada 29 Januari 2009. Atas ehsan dan kebenarannya, saya luncurkan untuk tatapan pelayar blog terutama sekali masyarakat Sabah.

Khamis, Januari 29, 2009

Politik Wang

dusta pengungsi politik
berjubahkan suara demokrasi
demonstrasi wajah yang hangus
dibahangi api pembohongan
nafi tak kenal wang
sebenarnya kunjungan biasa
di meja-meja adu domba

wang adalah darah menggerakkan
arah politik pentas keangkuhan
bagai sungai yang melebar
ke dunia singgahnya sengketa
jatuh serta bangun
halang, cantas dan cabar
mencanang rakus hujah

bangunlah perkasa dan mendabik dada
mempelbagai politik demi wang
atau wang untuk politik berpanjangan
tak mungkin putih bagi hitam
menenggelamkan kapal kesatuan
yang dilambung gelora gelombang
maruah serta kepercayaan.

Rabu, Januari 28, 2009

Majalah Wadah: Sebuah komentar

Agak memeranjatkan juga apabila sahabat-sahabat penulis memberitahu majalah Wadah sudah lama berperam, di mana dan bagaimana keadaannya, wallahu'alam. Saya tidak pasti sama ada saya 'ketinggalan keretapi' dalam kasus ini. Agak lama juga tidak ingin tahu tentang majalah sastera yang disebut-sebut antara terbaik setakat ini apabila secara kebetulan banyak karya yang dimuatkan di Wadah menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007. Ironinya pula sepanjang 2008 Wadah menjadi sunyi, lengang ...

Apa sudah jadi bos. Tanya seorang sahabat. Manalah saya tahu, tanyalah orang dewan. Kata mereka lagi jika ada masalah bukankah lebih baik segera diatasi, jika satupun tidak terbit, ini masalah besar juga.

Entah-entah tiada bajet kot? Kata seorang sahabat yang sudah lama juga tidak menulis. Tiba-tiba saja menyampuk cerita.

Pada saya bajet mungkin bukan soalnya, kenapa banyak projek berjaya dibuat. Mega lagi tu. Ada lagi majalah baru terbit sedang Wadah terkapai-kapai entah di awangan mana. Lagi pun bukanlah susah sangat buat majalah tu. Bukankah orang yang diberi tugas tu orang yang hebat, kreatif.Tukas seorang sahabat yang sekarang sudah kurang merokok (kurangkan bajet katanya, maklum sahaja ekonomi dah merundum).

Yalah jika semuanya ok, mana majalah tu? Pernah begitu tanya anak didik saya bila bercakap tentang Wadah beberapa hari yang lalu. Bahan saya fikir tiada masalah bah kan? Tanyalnya lagi. Tidak kisahlah walaupun bayaran hono Wadah tidaklah seberapa; yang penting di Sabah sudah ada sebuah majalah sastera yang telah menjadi penyokong para penulis terus berada di arenanya kendatipun masih belum mampu menampung karya penulis secara menyeluruh. Kita harus berbangga kerana itu.

Wadah telah lama bertahan, wajar sangat ia diperkukuh dengan elemen-elemen sastera yang lebih menyerlah. Ia seharusnya wujud dengan penampilan yang cemerlang, gemilang bukan semakin menghilang. Disebabkan ini juga sewajarnyalah Wadah ditangani mereka yang benar-benar komited, memiliki iltizam yang maha tinggi, berpandangan jauh apatah lagi memiliki pelbagai ilmu yang bersangkutan. Mesra pelanggan dan sentiasa menerima pandangan selain berinovasi. Majalah Dewan Sastera boleh dijadikan contoh walaupun barangkali ada yang berpendapat antara Dewan Sastera dengan Wadah terlalu jauh disebabkan 'taraf'nya antara wilayah dan nasional. Namun ini bukan soalnya apabila kita membuat penilaian fokus penting ialah bahan yang disiarkan. Ini pernah saya sentuh baru-baru ini.

Jangan risau kepada sesiapa juga yang terasa dengan komentar ini, pada kami siapalah juga. Tukang heboh, barangkali penyibuk pun ada, tapi bukan begitu. Apapun juga Wadah tetap menjadi bingkisan para penulis seperti kami di Sabah. Jika persoalkan tentang jumlah duit yang kami perolehi tentu saja sudah lama kami lupakan Wadah ni. Kami pun faham bagaimana pihak pengurusan menyelaras soal pembayaran hono kepada para penulis.

Sebetulnya saya juga sudah lama tidak menghantar karya di Wadah malah di Jendela Sabah juga. Barangkali biarlah diberikan peluang kepada para penulis baru. Kini sudah ramai penulis muda yang memerlukan wadah menampung karya mereka. Sayang sekali jika bakat yang mereka miliki itu sirna begitu sahaja. Memang ada wadah karya yang lain misalnya majalah Karya. Majalah ni kata orang 'percuma' segalanya termasuklah tiada hono. Itupun bukan soalnya. Yang penting jangan bak hangat-hangat tahi ayam. Begitu juga dengan wadah-wadah yang lain yang tidak mahu disebut di sini.

Komitmen amat diperlukan dan pemurnian sikap. Betul, cakap memang senang. Kami tahu ini. Jika tidak siapa lagi mahu menyampaikan semata-mata demi kepentingan masyarakat terutama golongan penulis dan khalayak sastera. Ini bersangkut dengan soal tanggungjawab. Buatlah sesuatu. Jika tidak, ada atau tiada sama sahaja dan bagi para penulis, saya fikir mereka akan mencari alternatif lain. Apa dan bagaimana saya sekali lagi mahu berkata 'Wallahua'lam.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.

Selasa, Januari 27, 2009

Diideakan Tentang Sesuatu yang Melompat

TERIMA kasih kerana membaca idea ini. Fikiran ini semakin mengintai-intai perkara-perkara lain daripada kebiasaan. Cukup membosankan sebenarnya. Nyeri juga sesekali. Sering juga diiringi gumam. Tergamam bila cuba membandingkan tulisan orang-orang besar sastera. Tidaklah sehebat Pak Arena, yang kaya dengan alam kembaranya. Atau Pak Samad yang merojakkan rajuknya banyak kali. Atau Shahnon yang tidak pernah malu untuk memulakan trend barunya dalam sastera Melayu Malaysia. Tulisan ini biasa saja. Tidaklah seluarbiasa tulisan Pak Lah. Atau seindah suara kemanusiaan Tongkat Warant. Meski juga Pak Amil atau barangkali Dr. Chacho Bullah yang sarat dengan nilai pengurusannya, sama seperti Haji Janatan Kandok yang mengkritik tulisannya daripada sudut yang serupa. Semua itu tentulah tidak penting bukan? Sebab itu mari baca dulu idea ini dan kemudian jika anda mahu berkata apa-apa, katalah. Kata mengata lumrah manusia. Jika baik katalah buruk, mungkin betul. Jika tidak baik katalah baik, juga mungkin betul.

Bermulalah idea ini tentang katak. Ingat, jangan alihkan fikiran ke arah yang negatif. Tidak tergamak untuk mencernakan idea dengan anggapan-anggapan yang bukan-bukan bila imej katak tiba-tiba menjelma di kotak otak. Jangan marah kerana ini hanya sebuah idea yang belum berlaku atau sedang berlaku atau akan berlaku. Jangan juga libatkan jika ada yang kini duduk senang di kerusi empuk atau menjadi saudagar kaya raya. Mempunyai gedung dan gudang besar, kapal besar, kereta besar, cakap besar dan segala kebesaran.

Tapi tahukan anda bahawa ada katak yang masih tinggal dalam tempurung. Bukanlah tempurung kelapa yang menjadi bahan bakar peniaga ikan-ikan bakar di pasar-pasar malam. Tapi tempurung kaca. Ini hanyalah bidalan Melayu. Dalam tempurung kaca ini boleh melihat diri mereka sendiri, tidak melihat diri orang lain. Tidak melihat apa benda di luar. Tidak juga melihat diri yang boleh dilihat orang lain di luar. Yang betul hanyalah dirinya di dalam tempurung kaca itu. Yang salah tentulah bukan diri mereka. Yang salah sudah tentu orang lain yang melihat mereka salah kerana terlalu asyik di kamar tempurung kaca itu. Katak ini bukan sebarang katak, anda tahu. Katak ini selalu dinyanyikan oleh budak-budak kecil sekali pun. Yang baru belajar berkata-kata juga boleh menyebutkan lagu itu. K A = KA, T A K = TAK. KATAK. Mudah bukan? Katak o katak, mengapa … sudah boleh disiul-siulkan oleh banyak mulut. Orang Utan pun sudah pandai bersiul sejak diajar manusia. Tidak percaya? Tidak ada temberang dalam soal ini.

Jangan risau ini idea saja.Bila anda ditanya tentang katak-katak yang melompat-lompat di taman itu, tentulah anda ada jawapan yang mudah. Tentulah begitu kerana pengalaman begini sudah tidak asing. Lumrah sangat. Dengar saja, pesta-pesta hujan, jika kalah, ingat - ada saja katak mengatakkan dan dikatakkan. Mengapa tidak? Jika tidak pandai melompat nanti akibatnya lemas walaupun pandai berenang. Namanya bukan katak jika tidak boleh berenang. Tapi ada juga katak yang gagal melompat kerana katak ini bukan katak tapi menjadi katak atau dikatakkan musim semata-mata. Mungkin saja ada yang menyala hatinya membaca idea ini. Bukanlah idea baru. Idea lama sebenarnya. Sejak dulu lagi idea ini sudah diideakan. Sudah juga didengar oleh ramai orang tentang sesuatu yang melompat. Sudah juga dibuat ramai orang. Dulu zaman batu, katak ada juga. Bila zaman ramai orang inginkan kejayaan, katak juga jadi buih mulut bukan saja buah mulut. Bila zaman persahabatan, katak jenguk sembunyi-sembunyi, tidak lama kemudian melompat-melompat mencari daun-daun berteduh. Bila zaman persahabatan diretakkan oleh pendekar-pendekar Melayu, katak-katak semakin liar sambil berusaha mengenepikan malu untuk memulakan lompatan demi lompatan. Dan sekarang katak-katak itu, sudah berani bernyanyi riang. Berani bernyanyi temberang. Berani bernyanyi seperti mahluk-mahluk lain juga walau sebenarnya katak-katak itu tidak disukai meski pun masih disanjungi.

Tidak kisahlah. Suka atau tidak suka, yang penting kepentingan diri. Suka atau tidak suka yang paling penting adalah kepentingan lain misalnya dapat merapatkan suatu jurang. Persefahaman satu misal yang lain. Misal seterusnya adalah kekuatan suara. Bagi katak nyanyiannya bukan lagi sama seperti katak-katak di parit, atau di sawah atau di lubang-lubang terpencil yang selalunya mati ditelan ular sawa. Nyanyian katak-katak ini sudah jauh. Sudah ke depan. Sudah berbeza sekali. Lompatannya dulu pun tidaklah setinggi lompatan sekarang. Kena juga berhati-hati. Jika ada hati mahu melakukan lompatan yang lebih tinggi, silakan tapi awas. Jika tidak kesampaian akibatnya jatuh semula ke lubang dan ular sawa sedang mengangakan mulutnya! Namun yang sakitnya apabila jatuh terhembap. Walaupun kaki hadapannya itu boleh melakukan sesuatu tindakan tapi tidaklah seperti tupai atau tikus. Tupai atau tikus lebih bersedia untuk jatuh. Tupai bijak juga menebuk labu. Walaupun malang juga namanya kerana dihina dinakan akhirnya, masih ada jalan meloloskan diri. Tikus bila terlalu pandai malang juga kerana cuba-cuba membaiki labu yang ditebuk tupai. Tupai dan tikus adalah dua dunia yang lain. Tupai adalah tupai. Tikus adalah tikus. Tupai tak jadi tikus. Tikus juga tak jadi tupai. Katak tak jadi tikus atau tupai. Katak juga adalah katak. Katak kalau sudah jatuh, parahlah dia. Tidak mampu naik balik. Tidak juga boleh melompat balik. Puncaknya terlalu tinggi. Wajahnya juga sudah tidak ada nilai. Kacak (maaf, kacakkah katak?)macam mana sekalipun, jika tidak boleh memberi nilai terbaik bagi dunia ini, jangan mimpi. Hodoh macam mana sekalipun, jika ada kepentingan yang lain dan boleh diharapkan, jangan mimpi harapannya itu tidak menjadi kenyataan. Maka lompatlah tinggi-tinggi sampai menara atas.

Akhirnya berjayalah katak itu melompat selepas melobi. Anda dengar dulu idea yang lain, jika hendakkan sesuatu yang susah sebenarnya tidak juga susah bila pandai melobi. Istilah ini sudah dijadikan kebiasaan mahluk-mahluk yang punya otak yang cerdas. Kecerdasannya untuk sesuatu yang juga cergas dan cepat. Kerana mahu cepat, dia tidak mahu banyak saingan dan perlumbaan. Sepantas Watson Nyambek, pantas lagi cubaan-cubaan lajunya. Secergas-cergas pendaki-pendaki gunung Kinabalu, cergaslah inginan-inginan untuk menggapai puncak matlamat. Melobilah. Inilah kebiasaannya. Katakan anda mahu mendapatkan jualan paling tinggi, mari lobi pelanggan agar memilih barangan yang dijual dan berharap tidak membeli kepada saudagar lain kerana orang lain tidak ada kelebihan berbanding jualan anda. Jika anda mahu menjadi wakil rakyat. (Jangan cerita kepada orang lain. Ini bisikan halus agar tidak dilakukan kerana merugikan saja masa dan duit anda). Lobilah kepada pengurusan parti anda. Walaupun tidak selalu mendapat tempat. Akhir mungkin berjaya kerana iltizam dan azam anda sendiri. Siapa tahu. Seperti dinyatakan tadi, jangan cuba melobi selepas ini kerana anda mungkin orang yang paling menyesal menjadi wakil rakyat.Mengapa? Menjadi wakil rakyat bukan saja wakil kepada rakyat tetapi wakil juga kepada kehendak rakyat. Rakyat anda adalah rakyat yang pemalas. Bayangkan saja jika rakyat yang anda wakili itu seperti dikatakan pemalas. Saban hari datang menulis pada borang temujanji dengan alasan itu dan ini. Itu dan ini sebenarnya masalah bagi si pemalas rakyat anda itu. Itu dan ini adalah alasan-alasan agar mendapat belas ehsan anda sebagai wakil mereka. Mereka tidak sedar anda adalah wakil istimewa mereka di suatu tempat yang lebih mulia demi memperbaiki kehidupan yang menyeluruh sebagai contoh. Tapi bila anda digelar Yang Berhormat, mereka bijak pula mengubah gelaran itu seperti Yang Berkhidmat, Yang Berwang, Yang Berhemah, Yang Berada dan sebagainya. Satu hari seseorang tidak mendapat apa-apa dari wakil rakyatnya, anda tahu bukan apa tohmahan mereka. Wakil mereka itu digelar sebagai Yang Bakhil, Yang Bebal, Yang Berang (maksudnya temberang) dan yang seumpama dengan gelaran-gelaran menyakitkan itu. Nasihat ini berguna. Sebab itu jika anda gagal melobi jangan pula fikirkan untuk memelihara katak-katak yang sering melompat-lompat apabila hujan turun dengan lebatnya. Namun katak-katak itu mendapat tempat juga akhirnya. Janganlah ditanyakan apa-apa lagi. Tidak ada bahasa yang paling manis untuk ini. Tidak ada juga bahasa yang paling kasar untuk ungkapan begini. Sesuatu yang berlaku tentulah punya baik dan kurang baiknya.

Sekarang apa lagi. Hujan sudah berlalu. Kemarau juga hampir berlalu. Hujan dan kemarau akan datang silih berganti. Katak-katak pun silih berganti. Satu katak mati, ribuan katak akan muncul dan melompat-lompat mencari destinasi mereka. Esok akan datang katak baru. Lusa akan mati katak yang lama. Beginilah yang terus berlaku. Betul. Beginilah idea yang bakal muncul apabil cerita tentang sebuah pulau tidak ada air untuk katak-katak ini menetaskan telur-telurnya menjadi berudu yang boleh membiakkan beribu-ibu anak katak. Ke manakah katak-katak itu akan melompat lagi? Maaf saja jika idea ini mengganggu pembacaan anda yang budiman, khususnya yang pernah membaca sebuah idea yang rancak dibincangkan saat ini...

Pertama kali menjadi benih pada 21 Oktober 2000.
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000

Suara yang menusuk kalbu

Isnin, Januari 26, 2009

Pintu Peristiwa

jika kau menerima musibah yang berat mahupun yang tidak kelihatan atau kedengaran oleh sesiapa, gembirakanlah hatimu kerana ada jawapan ketika ditanyakan detik kau menghadapinya dengan tabah dan menjadikannya pengajaran atau muhasabah terhadap peristiwa masa lalu yang mengubahmu jauh daripada yang maha benar. saat tidak pernah mengubahmu kecuali suatu keinsafan, gembirakanlah hatimu andai ketenangan telah datang di segala ketika dan ruang, kerana halamu tiada bezanya dengan yang lain iaitu sebuah pintu kebenaran dan rahmat Tuhan.

(buat Dinda)

Tak Ingin Merasa Kehilangan

Merasai sesuatu yang berbeza selain rutin harian bersama keluarga tersayang ialah tak ingin merasa kehilangan. Rupanya tidak perlu menunggu saat penghujung sebuah kehidupan, kerana merasa kehilangan itu sentiasa terjadi tanpa disedari. Barangkali ada ketikanya tidak memikirkan apa-apa tentangnya misalnya memikirkan orang lain. Kehidupan perlu diteruskan, seperti sering dikatakan orang lain juga. Kehilangan begitu dirasai ketika dikembalikan kepada peristiwa-peristiwa masa sudah yang amat menyatu di jiwa. Kehilangan benar-benar dinikmati kerana hari ini tidak seperti masa lalu yang riuh oleh akrab rakan taulan, kini entah di manakah mereka. Kehilangan terlalu mencengkam jiwa apabila mengingatkan bahawa tidak mungkin berulangnya saat-saat paling manis. Kehilangan demi kehilangan datang - memandang masa berlalu begitu pantas - insan-insan yang begitu dekat telah pergi buat selama-lamanya. Ada juga insan yang menghilangkan diri tanpa pesan dan khabar. Dunia ini menjadi lebar bukan lagi sebuah perkampungan sejagat seperti yang sering dibilang orang.


Ahad, Januari 25, 2009

Balasungkawa: SN Arena Wati telah 'pulang'



PAK ARENA WATI

Membelah Kabut merakamkan ucapan TAKZIAH buat keluarga Allahyarham Sasterawan Negara Arena Wati atau nama sebenarnYa Muhammad Dahlan bin Abdul Biang yang telah kembali kerahmatullah awal pagi hari ini. Marilah sama-sama kita menghadiahkan surah Al-fatihah, semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para solehin. Al-Fatihah...