DALAM sistem demokrasi yang sihat, tiada siapa sepatutnya kebal daripada penilaian rakyat termasuk penyandang wakil rakyat. Jawatan bukan harta pusaka, bukan juga pelindung daripada kritikan. Tetapi dalam realiti politik tempatan, terutamanya dalam kawasan yang telah lama didominasi oleh satu figur atau satu parti, terdapat kecenderungan untuk menganggap kerusi sebagai “selamat”. Kepercayaan ini mula goyah apabila muncul calon-calon baharu yang berkualiti, berwibawa dan memiliki ketokohan tersendiri.
Kemunculan tokoh-tokoh baharu bukan fenomena luar biasa. Ia adalah simptom kepada kematangan politik rakyat. Ramai anak muda kini berpendidikan, peka terhadap isu semasa dan tidak mudah dipengaruhi oleh slogan kosong. Mereka menilai calon berdasarkan kemampuan menjawab masalah sebenar seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan asas, pendidikan dan tadbir urus yang bersih.
Bagi penyandang, persaingan ini adalah tekanan yang sebenar, bukan ancaman. Tekanan ini memaksa mereka kembali ke akar. Kembali ke kampung, kembali bertemu rakyat, kembali mendengar dengan telinga yang jujur, bukan sekadar menghadirkan diri ketika liputan media ada. Apabila rakyat mempunyai pilihan, penyandang tidak lagi boleh berlindung di sebalik bendera parti atau sejarah lampau.
Lebih membimbangkan ialah sikap sebahagian penyandang yang mempertahankan jawatan bukan dengan prestasi, tetapi dengan menyerang peribadi pencabar. Politik yang sepatutnya bertunjangkan idea dan penyelesaian masalah, bertukar menjadi medan peribadi. Inilah simptom ketidakmatangan kepimpinan: apabila hujah habis, serangan peribadi dimulakan.
Hakikatnya, kemunculan ramai calon yang berkualiti adalah berita baik untuk demokrasi. Ia mengangkat standard arau kelas politik ke tahap lebih tinggi. Penyandang dipaksa menjawab soalan-soalan yang selama ini dielakkan: Apa yang telah benar-benar berubah dalam tempoh lima tahun? Adakah kehidupan rakyat lebih baik? Atau hanya statistik di atas kertas yang berubah?
Rakyat tidak bodoh. Mereka tahu membezakan antara janji dan bukti, antara propaganda dan realiti. Apabila calon baharu tampil dengan pelan yang jelas, keberanian menyentuh isu sensitif dan kesungguhan berada bersama masyarakat, penyandang tidak lagi boleh memandang ringan saingan itu.
Demokrasi tidak seharusnya mesra kepada yang selesa, tetapi adil kepada yang bekerja. Keistimewaan sebagai wakil rakyat bukan pada akses kepada protokol atau media, tetapi pada keupayaan menyelesaikan masalah. Jika penyandang gagal membuktikan keberkesanan diri, rakyat berhak memilih yang lain.
Kita perlu berhenti mengagungkan status “penyandang” seolah-olah ia simbol keunggulan mutlak. Penyandang hanyalah individu yang pernah dipercayai dan kepercayaan itu boleh ditarik balik. Di situlah demokrasi memerintah, bukan manusia.
Lebih ramai calon berkualiti membawa lebih banyak idea, lebih banyak penyelesaian dan lebih banyak keberanian untuk mencabar amalan lama yang tidak adil. Ini bukan perpecahan, ini pembaharuan. Hanya mereka yang takut kehilangan kuasa akan menganggap pertandingan sebagai ancaman.
Pada akhirnya, pilihan rakyat bukan soal siapa paling lama berdiri, tetapi siapa paling ikhlas bekerja. Politik bukan pertandingan populariti; ia kontrak amanah. Setiap lima tahun, kontrak itu diperbaharui atau ditamatkan.
Dan apabila rakyat berani memilih calon baharu yang lebih mampu, itu bukan tanda penderhakaan tetapi itu tanda kematangan.
Dalam demokrasi yang matang, yang selamat bukan yang lama, tetapi yang bekerja.
Dangau Sastera
Sepanggar
26/11/2025

