JANJI pilihan raya seringkali kedengaran manis, namun rakyat semakin bijak menilai bahawa isu Bayaran Khas 40%yang dijamin dalam MA63 sepatutnya telah diselesaikan sebelum tibanya musim pilihan raya. Hak negeri bukan bahan kempen, dan masa depan Sabah tidak boleh dijadikan pertaruhan strategi politik mana-mana pihak.
Jika kerajaan persekutuan benar-benar menghormati Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, maka tunggakan pembayaran hasil itu mesti dilunaskan tanpa berdolak-dalik. Kelewatan hanya mengundang persoalan: adakah hak ini sengaja dijadikan alat tawar-menawar politik agar rakyat terus bergantung pada janji?
Rakyat tidak meminta lebih daripada apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963. Ketelusan undang-undang telah jelas menentukan hak tersebut; yang kabur hanyalah kehendak politik untuk menunaikannya. Selagi ia dibiarkan tergantung, selagi itu hilanglah keyakinan rakyat bahawa kerajaan betul-betul mendukung semangat pembentukan sebuah negara bersekutu yang adil.
Kini keputusan berada pada rakyat Sabah. Suara dan undi merekalah yang bakal membezakan antara janji yang berulang atau hak yang ditunaikan. Perjuangan 40% bukanlah slogan — ia adalah tuntutan maruah dan masa depan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan