Khamis, September 02, 2010

Salam Lebaran





Saya dan isteri, Sahara serta anak-anak mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA
AIDIL FITRI

Maaf Zahir dan Batin

Bunga Raya kemegahan bangsa,
Di mata warga dipandang indah;
Hari Raya ucapan hamba,
Maafkan segala khilap dan salah.

Awan berapung dipanah matahari,
Cahaya benderang di celah bambu;
Pulang ke kampung berhati-hati,
Keluarga tersayang sentiasa menunggu.

Daripada:

HASYUDA ABADI & SAHARA JAIS
Anak-Anak: SYAHZIERAH & SYAHFIERAH
Ramin 8, Taman Puterajaya, Telipok,
Kota Kinabalu, Sabah.


Rabu, September 01, 2010

Mentafsir Tanah Air


Sebuah tanah air yang mengalir di dadanya
darah: bukan merah, bukan putih tapi ceria!

Sebuah tanah air yang dihidupkan di dada
pusaka moyangku
di situ cicit dan cucunya membesar
bersama gelombang dan denyut waktu
berliku, berputar, bertebar
di situ cicit dan cucunya menyedut segar
udara kemerdekaan
bertahta di perdu kemenangan wira

Memenangkan sebuah hasrat globalisasi manusia
yang dimerdekakan ini adalah perjuangan
hanya kami menyata bukti kukuh benteng naluri
teguh bakti memukau peradaban dunia masakini
di bawahnya saling memberi
sejati warganya memelihara keharmonian
di sinilah anak-anak sejarah dimamah enak
dijadikan hidangan pedoman

Sebuah hasrat yang menghijaukan manusia warganya
membanteras gugat ganggu penjajah dunia baru
sebuah bangsa bongkak yang kehilangan citra cinta
sebuah peradaban yang telah sirna kemanusiaannya
menafikan kemakmuran dengan sejumlah sengketa
yang sengaja diterbithebohkan
dan ia membesar
cuba meluaskan jajah
mengerat-ngerat kebebasan yang terjamin gagah
menyiat-nyiat pejal kemerdekaan yang bermukim megah

Sebuah hasrat yang dibangunkan atas kewajipan
bahawa tanah air ini harus dimiliki
oleh bangsanya sendiri
yang lahir membesar dan mengerti maknanya
harus mengenali liku pernah dilalu
liku yang sungguhpun jauh dan berputar-putar
akhirnya berhenti bersama cinta sejati
berganding bersama sesama warga
kita sebangsa!

Apa mesti dimesrakan ketika ini
sewaktu-waktu mengimpikan sebuah hasrat di mana
anak-anak bernafas bebas
anak-anak berlari riang membesar dan membesar dewasa
membangun menari-narikan kebesarannya
melagu-lagukan kebesarannya
melagu-lagukan kebesarannya dan atas kemenangannya,
kejayaannya yang berhasil membangunkan bangsanya
memenangi hasrat bangsanya
membesarkan hasrat bangsannya
memakmurkan kejayaan bangsanya
sehingga tiada terasa sedikitpun lelah
sehingga tak terpandang bahawa liku yang dilalui itu
jauh, berputar dan panjang
sehingga tak pernah menyatakan ragu
bahawa di samping sekarang adalah genggaman kepuasan

Sebagai pewaris zaman moyangku
hasrat adalah jalan berliku yang ditempohi bersama-sama
kepada warga yang mengerti makna masadepannya
menambat tali gelombang pada dada
di sini cita-cita bersemi
ia membesar apabila dipupuk dan dimesrai
apabila seluruh warga memakmurkannya
di setiap dada mereka
dan melebar ke seluruh anggota
dan bergerak maju menguliti duri dunianya

Sebagai pewaris zaman moyangku
kami bersama seluruh kota kata
tiada sempadan menaruh kejatidirian
membaca setiap liku perjalanan yang tersejarah
pada rakaman zaman
tafsirnya mengadun cita-cita, sikap dan hasrat
ketika suatu waktu ia pecah ditebarkan
dari bendungan impian

Alangkah agungnya manusiaku yang bernaung di bawah
bendera tanah air makmur ini
dan ketika warna wajah dan gerak cergas semakin murni
tapi kecil lalu kian mengecil dan kian terpencil
jadilah moyang, wargatua yang tak diam menyimpul benang
hasrat yang menjadi warisan sejarah lampau
anak-anaklah generasi memanjangkan jangkauan itu
kembali memutar dan bermercu arah gerak hasrat bangsa
jitu cita-cita bahawa tanah air ini mutlaknya
adalah milik bangsaku sendiri

Sebuah tanah air yang mengalir di dadanya
darah: bukan putih, bukan merah tapi ceria

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hari Hari Baru

Dengan segera segara usia membentangkan
hari-hari baru. Di manakah engkau masa lalu?
Sayu syahdu terdengar suaramu di sisi malam
ketika detik semakin tipis akhirnya jernih
bergabung di dasar katarsis diri

Tak kan kembali hanya kenangan bersahabat
akrab menghulur pedoman panji-panji syahadat
bersaksi wujud keagungan dan waadat kesetiaan
menjelangnya kalimat menjana amanat
kukuh padu hayat

Hari-hari baru tak mungkin melupaimu peristiwa
tidak juga titik yang diam apabila perjalanan
akan saling berpegangan pengalaman
meluntur duka tapi melarik tabir cita
menyerlah semarak wibawa

Kubangun semula
hari-hari baru lebih harus waspada.

RAMIN 8
TAMAN PUTERAJAYA
TELIPOK KOTA KINABALU

1 September 2010
22 Ramadan 1431H

Selasa, Ogos 31, 2010

Gurindam Kemerdekaan

mencari baju kemerdekaan bukan kain dibuat bendera
mencari semangat kemerdekaan bukan suara disalut curiga

selepas terbuka ikatan penjajahan yang panjang
diikat semula penjajahan rasa yang tak berkesudahan

selepas mengikat kuat tali persahabatan
dilepaskan pula maknanya oleh kebencian

selepas terurai kemelut orang-orang kuasa
bersatu di bawah bendera yang luntur warna

selepas menaikkan bendera jalur gemilang
bendera dibiarkan berkibar tanpa lagu kebangsaan

selepas setahun berlalu teringat bendera itu
berpuluh kedai jahit berlumba menjahit bendera baru

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Ogos 30, 2010

Kipas di Tangan


Kipas sebenarnya sudah berada di tangan
tapi sayang tak tahu bagaimana menggunakannya
dia menggaru-garu kepala dan semakin tua dia
memandang-mandang masa depan yang gemilang
memandang-mandang kalau mungkin tukang kipas
mampu menjanakan kipas yang berada di tangan.

"Tukang kipas berada di merata!" kata seorang sahabat
yang telah mulai terjana oleh hembusan kipas
yang telah dilepaskannya kepada si tukang kipas,
sambungnya, "soalnya, janakan danamu sebanyak
mungkin",kerana dia mulai papa sekarang
menanti rezeki yang tak pasti."Ini survival!"
sambil tertawa dalam seribu satu makna.

Mulailah dirasainya makna yang tersirat
dari janaan hembusan kipas itu
benar dia semakin bernama, dinamai dalam babak
demi babak asmara yang berahi tapi bukan berani.
Seperti sahabatnya, dia juga menanti pencarian
yang tidak pasti. "Apakah harus kujanakan
juga dari janaan kipas yang tersirat ini?"

Beberapa zaman berlalu. Kipas tidak lagi berada
di tangan tapi di dalam tangan nafsu.

Kota Kinabalu,
1995

Dalam Demokrasi Kami

Kami dikumpulkan di dalam petak-petak persefahaman
persaudaraan disusun dari kelopak-kelopak mawar
ghairah memperindah taman
terjalinlah temasya ibunda
meriah api di sana
meraih api di sini: warna-warna percikannya
memanggang peribadi.

Kami dihimpun musim demi musim yang sama
memperaga pameran kemanusiaan di bahu demokrasi
pemimpin dipimpin oleh jumlah undi
rakyat diatur dengan sejumlah besar janji
dengannya keadilan
dengannya juga kepalsuan membajui
rongga-rongga peribadi.

Kami dijadikan model membangunkan negeri
dengan undi ini atau sekian jumlah wang ini
politik dalam acuan keji
dalam demokrasi api membakar diri
di mana jujur ditakhtakan
atau inilah permainan warna-warna
benci-membenci dan mengalih sayang!

Kami adalah kami bagi bumi demokrasi
kami adalah tubuh kami, roh kami, hasrat kami
kami adalah negeri sentiasa dibaui undi
harapan kehidupan atau perjudian
biar bila-bila musim mengundang
bila-bila demokrasi bernafas
bumi bernafas
dan kami
bernafas...


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Ogos 29, 2010

Hanya Sebutir Debu


benar hanya sebutir debu yang tahu adanya ialah tiada berbanding adaNya yang Ada kerana Dia sentiasa Ada. berbanding debu hanyalah fana yang tidak memiliki apa-apa bergelut dalam lingkaran makna debu-debu lain di bawah sana. lantaran debu itu masih tahu wujudnya kerana masa lalu terungkap rahsia insaf yang tidak sirna dalam sinar yang tertanam jauh di perdu kalbu. debu yang diinjak-injak ini juga tidak mampu meski tahu wujudnya hanya sisa-sisa musim menyelinap di bawah tikar musalah meratapi kerdilnya tiada terpadankan kebesaran Dia. bahkan manusia yang gagah tapi sirna tahunya bahawa debu adalah titik buatnya. tak siapa mampu memandangnya tapi pasti merasai wujud debu jika memahami sesiapa jua akan sirna dalam warnanya.

KEMBALI DI LAHAD RAHSIA

Sesuatu yang menjadikan kita boleh

Seperti biasa bangun bersahur, tapi dini hari kali ini, menyemak blog sahabat-sahabat. Terpugai juga isian blog mereka, informatif, menghibur namun ada juga yang gagal ditembusi. Tak apalah yang penting mereka juga masih giat berblog dan memberikan isian yang berterusan mungkin sahaja dalam media yang lain. Sesungguhnya pilihan kita begitu banyak sekarang. Saya juga demikian, ada masanya begitu fokus kepada satu perkara lupa kepada perkara yang lain, yang sering didatangi mata dan hati para sahabat, namun apabila mendapati isian blog tiada sesuatu yang bakal mata dan hati mereka berlamaan, apalah gunanya. Lagipun isiannya tidaklah begitu besar berbanding blog orang-orang tertentu yang sensasi, menjana minda... blog yang saya punya hanya terisi dengan puisi dan anekdot. Semoga segalanya bisa dipelajari agar menjadi seseorang yang percaya bahawa sesuatu boleh menyebabkan kita juga boleh.

Sahur hampir selesai buat hari yang ke-19. Dan, saya juga menunggu detik sesuatu yang akan berkunjung beberapa hari lagi selepas Ogos menutup tirainya.


PUSTAKA IQBAL NAZIM