Sabtu, November 11, 2017

Bahasa sastera dan kebebasannya


HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
SEBAIKNYA membaca karya-karya terbaik A. Samad Said seperti ‘Hujan Pagi’, ‘Sungai Mengalir Lesu’, ‘Daerah Zeni’ atau cerpen-cerpen beliau dalam ‘Tasik Syahdu dan Cerpen-cerpen Lain’. Bacalah juga novel-novel Sasterawan Negara yang lain seperti Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Arena Wati. Jika tidak, ikuti tulisan-tulisan SM Zakir, Jasni Matlani, Ruhaini Matdarin atau Azmah Nordin yang masing-masing memilik ciri-ciri tersendiri yang boleh diteladani. Khususnya, bagaimana bahasa memainkan peranannya dalam menggarap karya-karya mereka.

Bahasa bukan suatu isu yang asing dalam sastera. Bahasa adalah alat dalam perhubungan dan juga dalam penulisan karya sastera. Penulisan yang berkesan dan berhati-hati oleh pengarang dengan bahasa baharu yang segar dan indah mampu menarik minat pembaca untuk menikmati keindahan bahasa sekali gus menambahkan pengetahuan bahasa yang baharu.

Justeru, bahasa baku, bahasa pasar dan bahasa cakap serta bahasa daerah secara lisan juga mempunyai nilai keindahan dalam karya sastera. Kebijaksanaan pengarang dalam mengolah gaya bahasa ini akan menjadikan keindahan bahasa menarik dalam karya seperti cerpen dan novel.

Oleh itu, pengarang cerpen dan novel mestilah mempersiapkan diri dengan menggunakan bahasa yang baik dan menarik apabila menggarapkan karya. Bahasa yang hambar dan tawar membuatkan karya tersebut tidak diminati oleh pembaca, walaupun tema dan persoalannya hebat dan besar.

Keindahan bahasa terletak kepada penggunaan gaya bahasa yang akan disajikan kepada pembaca. Bahasa yang baik dan menarik akan mengangkat sesuatu bahasa ke mercu kecemerlangan dan keindahan. Nilai estetik dan keindahan banyak terletak pada bahasa yang disampaikan.

Ada yang pernah bertanya apakah dalam cerpen penulis boleh menyampaikan caranya berbahasa menggunakan bahasa basahan atau bahasa pasar? Saya pernah menegur apabila sebuah karya penulis baharu menggunakan apa yang ditanyakan tadi. Ini saya fikir bukan soal komunikasi yakni apa yang disenangi pembaca dalam mengetengahkan pemikiran dalam karyanya. Karya sastera yang ditulis itu sebenarnya bermatlamatkan pemerkasaan bahasa bukan menghancurkan bahasa yang sedia ada. Sediakan glosari bukan sahaja tertumpu kepada bahasa etnik tempatan bahkan terhadap istilah-istilah yang bukan lumrah dalam penggunaan bahasa kebangsaan.

Sastera memang perlukan kebebasan. Misalnya bebas mengemukakan idea. Bebas menyampaikan pemikiran. Bebas berkreatif. Bebas mengolah mengikut inovasi seseorang pengarang itu sendiri. Bahkan penulis sebenarnya diberikan lesen puitika dalam membina diksi-diksi tertentu dalam puisi. Namun menggunakan bahasa yang celaru bukan kebebasan yang dimaksudkan. Itu tidak termasuk dalam lesen puitika.

Biar bebas mana sekali pun, sesebuah karya perlukan keindahan. Keindahan puitika seseorang boleh membezakan antara satu dengan yang lain, yang matang dan yang tidak. Keindahan yang seimbang bukan sahaja terletak kepada tema, persoalan, watak dan perwatakan, malah bahasa juga memainkan penting dalam menyampaikan mesej dan juga apa yang hendak disampaikan oleh seseorang penulis. Inilah yang tersirat dan tersurat dalam kata-kata yang dikatakan; “Yang molek itu budi, yang indah itu bahasa”. Dengan kata lain, bahasa yang indah berfungsi sebagai alat perhubungan ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat dapat menyampaikan maksud dan tujuan masing-masing dengan berkesan dan tepat.

Seperti yang diungkapkan oleh Ninon De Lenclos, “Apa yang indah tidak selalu baik, tetapi apa yang baik selalu indah.” Manakala bagi Sappho, “Sesuatu yang indah itu baik, dan sesiapa yang baik segera menjadi indah juga.” Lantaran itu, kekalkan bahasa yang indah betul, tepat dan baik. (Ammi Masra, 2015)

Berkongsi pandangan, bagi A. Teeuw dalam buku Sastera dan Ilmu Sastera Pengantar Teori Sastera (1995:49) menjelaskan karya sastera dan bahasanya sangat penting diseimbangkan supaya luas tersebar dengan pemakaian bahasa yang khas dan mempunyai nilai keindahan. Menurutnya, bahasa sastera sebagai bahasa yang khusus mempunyai gaya retorik dan stilistik iaitu keistimewaan penggunaan bahasa dengan kebijaksanaan, kepandaian, teknik ilmiah, sistem aturan baharu yang berkembang menjadi seni iaitu ilmu untuk berbicara secara tepat dan berkesan dengan kepandaian menggunakan bahasa dengan baik.

Ilmu gaya bahasa selalu meneliti pemakaian bahasa yang khas atau istimewa yang merupakan ciri khas bagi seorang penulis, memperindah aliran sastera dan lain-lain yang akhirnya menjurus kepada keindahan bahasa dan estetik.

Perlu diingatkan bahawa penulis atau pengarang cerpen dan novel juga mempunyai tanggungjawab intelek yang besar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Iaitu menimbulkan satu fikiran tertentu yang tinggi dan menarik dalam sesebuah karya sastera. Oleh itu, jika boleh elakkan penggunaan bahasa Melayu bercampur bahasa Inggeris dalam novel bagi mengelakkan pemakaian ini dalam kehidupan seharian kepada pembaca. Tugas dan peranan penulis dan pengarang adalah memberikan hiburan tahap tinggi dan juga berbahasa indah tahap tinggi.

Menurut Saruddin Ahmad (1963) kesusasteraan ialah manifestasi daripada gerakjiwa manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa. Pada hakikatnya kesusasteraan atau seni sastera itu ialah bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat. 
Manakala menurut Simorangkir-Simanjutak (1971), kesusasteraan adalah cermin jiwa getar sukma pengarang. Kesusasteraan harus tumbuh di tengah tengah rakyat oleh rakyat untuk rakyat yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerjacipta rakyat.

Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan tersusun, sastera juga diiringi dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lantaran idea yang ingin disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca (Arba’ie et al, 2008). Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum terhasilnya sesebuah karya. Dengan perutusan yang ingin disampaikan, seorang pengarang perlu mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa atau sensitiviti mereka.

Untuk itu, seorang pengarang haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan penulis akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan sesebuah karya. Kewujudan pelbagai dayarasa ini akan membangkitkan dan meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Saya rasa seperti belas simpati, benci, marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah dilalui atau dialami oleh pembaca

Para penulis harus ingat bahawa karya sastera merupakan khazanah intelek yang akan mengharung pelbagai zaman. Dalam zaman-zaman yang lepas kita membaca karya-karya agung yang terus utuh kerana pemaparan bahasa yang mantap dan tertib. Karya sastera perlu terus dibicarakan. Intipatinya yang besar harus digali dan dikaji. Ini tidak dikecualikan bagaiman sesebuah karya besar itu digarap sebegitu rupa.

Persoalannya ialah bagaiamana sebuah karya yang diperkatakan hanya menyebut antara baik dengan tidak lalu menobatkan itulah karya yang terbaik tanpa menyatakan penggalian yang jitu, berdasarkan sukatan-sukatan atau ukurtara-ukurtara yang diyakini? Kita yakin karya-karya kreatif baik novel, cerpen, puisi dan drama mampu menerobos cabaran zaman. Mereka yang gigih berkarya tetapi mengabaikan soal tatabahasa dan bahasa sebagai salah satu jambatan falsafah serta pemikiran perlu membuka minda lebih terbuka. Kita memang menginginkan seorang tokoh sasterawan mencapai tempat yang terbaik suatu hari nanti sebagai Sasterawan Negara. Tidak terlambat setiap penulis menyimpan cita-cita bukan semata-mata meraih gelar dan seumpamanya tetapi memantapkan tulisan mereka menjadi sebuah adikarya yang diterima semua golongan masyarakat.

PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017