Jumaat, Januari 23, 2009

Ditinggalkan Keretapi

Bergerak cepat dan jangan pernah tertinggal!

Ungkapan di atas sterotaip sifatnya apabila memberikan motivasi kepada orang ramai yang selalu ketinggalan dalam apa bidang sekalipun. Memang betul kita perlu proaktif, selalu peka, cepat bertindak dan sebagainya.

Sebentar tadi saya terpanggil pula menulis tentang hal ini, apabila sedar tak sedar ada orang yang telah tertinggal 'keretapi'. Walaupun realitinya keretapi dari stesennya di Tanjung Aru ke destinasi-destinasi penting di pedalaman belum beroperasi, tapi memang ada orang yang telah tertinggal.

Ini masalahnya bila tidak ada motivasi diri yang akan berkembang menjadi inovasi. terpimpin. Tidak pernah mahu melakukan sesuatu yang baru. Orang kata memfotostat sesuatu yang sudah ada yang sudah tidak asli.

Apakah anda fikir, perjalanan anda itu percuma? Program 'amal' anda itu semuanya amal? Syukur Alhamduluillah jika betul demikian kerana memang sewajarnya begitu.

Bunyinya agak sinis, sebagai sebuah motivasi dan tentunya sapaan orang kecil seperti kami yang tetap simpati kepada rakyat Gaza dan masyarakat apa sekali pun yang ditimpa kesusahan. Yalah, kita akur saja, buat kerja amal sebegini patut dihargai. Maka lakukanlah demi untuk saudara-saudara kita yang menderita di benua sana.



Khamis, Januari 22, 2009

Di Manakah Laila?

BARANGKALI inilah pertanyaanmu apabila kita bertemu. Tapi apakah ada jawabnya untuk ketika ini? Sewaktu-waktu badai diri meronta-ronta mohon dilepaskan. Sedangkan ketika mahu membebaskannya sudah menanti liang luka yang akan membuak darah. Kencang menggelombang. Menghempas hening diri. Barangkali juga kau tidak percaya semua itu berlaku kepada sesiapapun ketika tidak pernah digambarkan akan berakhir dengan kedukacitaan.

Kau akan tertanya-tanya tentunya, sejak akhir-akhir ini Bukan susah memahami peribadiku, katamu. Aksara-aksara yang kususun menjadi bahasa berirama menyelami dasar hati kecil ini dan juga yang membebani. Ternyata kau akan bertanya lagi dan lagi. Pada masa yang sama, betapa payahnya aku menyediakan jawapan yang spontan.

Hanya senyuman dapat kuhadiahkan ketika itu. Mata kita bertembung, sesekali. Tapi tentu saja di situ bukan tempatnya. Berada di atas jalan raya yang sibuk. Apatah lagi, kau baru saja tiba dari seberang. Mungkin bicara kita terbatas. Dan aku tidak banyak menyampaikan apa-apa. Mendengar pertanyaan demi pertanyaan.

Kau memang cool. Begitulah katamu. Benarkah? Maksudmu?

Mengapa aku kata begitu kerana memang kau sentiasa tenang, sabar dan paling kugemari, kau mudah melarik senyum meskipun buat beberapa ketika kau kelihatan murung. Menjadi seorang pendiam. Kau berkata dengan dirimu. Matamu redup tapi wajahmu…

Bagaimana kau tahu Sah? Bagaimana kau dapat menjangka ada bicara di dalam kemurunganku? Kau ketawa. Keadaan itu meminta aku menghentikan kenderaan di tepi. Katamu, kau mengenaliku lebih daripada sesiapa. Kau harus tahu itu, As. Aku tergumam. Benarkah begitu? Sedangkan Laila, hanya namanya berada di atas segala-gala. Hati budinya?

Memang ada kebenarannya, Sah. Menghadapi apa juga perkara harus disertai ketenangan, kesabaran, kesediaan dan keceriaan. Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada anaknya, Fatimah - Wahai Fatimah, kau hadapilah segala pemberian dari Allah dengan bersyukur tetapi kau harus menghadapi apa pun sengsara dengan kesabaran. Betapa dalamnya rasa luka atau dukacita sekalipun tidak akan ada untungnya jika tidak disertai semua itu yakni syukur dan sabar. Memang itulah penawarnya.

Jika kuceritakan barangkali kau berasa bosan dengan ulangan-ulangan yang sama. Meskipun kau telah mengenaliku sejak lima atau enam tahun yang lalu. Sepertiku, siapa yang tidak kenal seorang yang mudah ketawa dan juga memberikan air matanya ketika suka, apa lagi ketika duka? Kaulah orangnya, Sah. Aku faham, bahasamu. Bahasa yang diam dan paling dalam. Namun semua itu tidak mudah ditandai orang lain kecuali mereka yang seakrab kita. Bukan juga Laila. Kadang-kadang aku mendengar gosip liar yang dilemparkan. Adakah untuk kita? Aku tidak faham dengan apa yang mudah difikirkan orang lain tentang orang lain yang kelihatannya rapat, intim dan sepadan.

Ketika bersetuju untuk bertemu minggu lepas, aku sungguh bahagia sebenarnya Sah. Hilang juga dukaku. Sedikit terlerai hiba dan runtunan rasa yang membadai beberapa ketika ini. Tentu kau tidak sabar, apakah agaknya yang berlaku pada diriku? Memang dalam warkah-warkah yang kukirim aku tidak menyatakan keadaan yang sebenar. Aku khuatir kau akan turut gelisah.

Bila bertemu nanti aku sendiri tidak tahu di mana harus dimulai. Begitulah, ketika ingin memulakan sebuah cerita sebagai kebiasaanku, bukan mudah memulakannya. Barangkali aku akan berkata begini: aku ingin bercerita tentang kedukaanku kerana kehilangan Laila. Jika begini, tentu kau kata aku terlalu melankolis. Tidak bijak mengawal perasaan. Katamu lagi: bukankah hal-hal seperti ini lumrah, selalu berulang Barangkali begini saja: aku mulakan dengan sebuah sajak pendekku: kembalikan kenangan itu kepadaku! (Ketika kerap citra ini dihilangkan sunyi, memandang arus melewati mimpi-mimpi, taburan bunga-bunga, sambil sejuta tanya hinggap pada pohon-pohon yang merendang, ketika berteduh dan bercitra…).

Mungkin panjang pertanyaanmu kali ini, Sah. Tapi percayalah aku semakin memperoleh kematangan yang lain, kedewasaan yang baru tentunya. Selepas melaluinya. Kegetiran demi kegetiran. Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma. Sedangkan aku tidak pernah mengaku kalah meski apa pun akan berlaku. Aku tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Seperti seseorang pernah berkata bahawa kehidupan ini sesungguhnya ada dua – yang menang dan yang kalah; yang ketawa dan yang menangis; yang gembira dan yang terluka… itu semua fitrah insan yang punya rasa. Tapi apabila kita mengambil salah satu daripada yang dua ini, apakah kita tidak akan mengalami yang satu lagi? Hari ini ada yang ketawa, esok kita belum tentu mengulanginya. Kerana itu, aku menganggap kelukaan tidak akan menjurangkan persahabatan yang dibina. Malah mengakrabkan seperti dulu, ketika menjauh dan mendekat, tetapi tidak berlaku jurang yang memisahkan. Ini kesimpulan yang boleh kuberi. Dan, kau kulihat seolah-olah percaya dan bersetuju. Atau sebenarnya kau sedang membawa fikiranmu lebih jauh?

Aku sebenarnya disemai keyakinan baru. Kehadiran pagi menjanjikan taman yang indah, diwangikan kembangan bunga dan hijau pohonan pengalaman. Sungguh bahagia sekali menghirup bayu lembah Tambalugu ini. Taman itu dibina daripada segala macam kenangan dan pengalaman lampau. Tawa dan tangis selepas meranjaui suatu penantian yang amat panjang. Penantian yang menggelisahkan. Banyak masa yang diluangkan untuk itu. Menanti sebuah ketidakpastian. Memang paling menduga. Mencabar kewarasan dan kewajaran.

Aku pernah menceritakan tentang penantian dan pertemuan itu kepadamu, Sah. Tentulah kau tidak lupa kisah itu. Ramai sahabat kita tahu tapi mereka tidak mengerti apa-apa kecuali kau sendiri. Kau amat memahami sebenarnya. Seperti juga Laila walaupun dia datang dan pergi. Sesekali singgah dari perjalanan jauhnya. Singgah melepaskan lelah dan duka laranya. Laila selalu mendugaku. Namun kesabaran ada juga had dan batasnya. Kau terluka kerana itu, As. Katamu cuba merentas alur rahsia hati kecilku. Aku tidak berkata apa-apa.

Kau mengingatkan aku tentang sebuah pintu yang pernah Laila singgah beberapa waktu dulu. Ada dunia yang lain di dalam pintu itu sebenarnya. Di dalamnya merupakan impian-impian Adam dan Hawa. Impian-impian semua manusia yang memiliki rasa. Namun aku gagal menjejakinya ketika tiba di hadapan pintu itu. Aku tidak boleh memasukinya kerana … Kau tidak ada kuncinya? Kau mengingatkan aku. Tidak begitu, Sah. Bagiku, keikhlasan dan kejujuranku itulah kuncinya. Ternyata kau hadir tanpa kedua-duanya? Aku membaca semula bab kehidupan Laila menerusi pintu-pintu yang dilaluinya. Namun Laila tidak pernah berputus asa. Laila akan kembara di suatu ilusi ang tidak pernah berhujung. Dan kali ini seekor putera …

Benar. Laila berada dalam takluk Putera Belalang. Kau ingat Putera Belalang yang kuceritakan berdasarkan cerita penjaga pintu itu. Putera Belalang yang tahu hanya terbang dari padang ke padang. Entah keperkasaan apa yang ada dalam diri Putera Belalang itu selain ketangkasannya terbang dan melompat serta kelincahan yang tidak dipunyai makhluk lain. Menakluki padang-padang miliknya yang lain. Putera Belalang akan bertindak apa sahaja hatta merampas kebahagiaan dan impian orang lain di antara padang-padang itu.

Kau pernah menjana mindaku apabila melihat perubahan pada mimik wajahku yang murung dan redup ini. Murung dan redup tapi gelisah. Benar aku trauma ketika itu dan marah yang amat sangat. Tapi apalah ada pada seorang Qais. Pada hal Putera Belalang hanya wujud di dalam gambaran fikirku, itu katamu sambil ketawa lucu. Kau tidak mudah percaya kecuali masuk ke dalam pintu diriku. Tapi adakah begitu? Kau harus menyelami apa yang aku fikirkan bukan apa yang aku akan katakan semata-mata. Gelora kesedihanku hanya ternampak apabila aku tidak berkata-kata. Cuba pandang mataku dalam-dalam. Dekapkan jemarimu di atas dadaku. Degupan jantungku. Jalaran darah di setiap pembuluh darahku. Kau dapat rasai. Pasti, Sah.

Kau diam. Mungkin mengerti atau masih mahu mencari kebenarannya. Tapi aku melihat Laila dari jauh. Sesekali menemui ketika bersendirian, hanya dari jauh. Siapakah aku, bagaikan Qais yang merindukan Laila di luar pagar istana! Qais, si fakir yang kembara merentasi padang pasir yang tandus … Kau mengejutkan aku. Biarkan dulu begini, Sah. Benarkan aku mendekati kenangan itu. Menuju pintu itu untuk mendekati Laila.

Apakah maknanya semua itu, As. Apa maknanya keasyikan yang boleh mambawa kau sesat di selokan, katamu lagi. Semua itu hanya rasa. Kau harus mencari keberanian dan keperkasaanmu yang sebenar. Jika dulu kau dinaungi keberanian yang lain, nah, sekarang jejaki keberanian yang baru. Fahamkah kau makna keberanian itu? Kau menyentuh bahuku sambil akhirnya tunduk tersipu. Tapi selepas itu kau kembali merenung wajahku.

Semua itu hanya rasa. Kau tahu mengapa rasa hanya ada di dada? Kau tahu tak, mengapa akal ada di kepala? Aku tergumam seketika mendengarkan ini. Kau tanya aku tahu? Memang benar di kepalalah akal itu bertakhta dan di dadalah rasa itu bernaung. Tapi apa kaitannya dengan diriku? Aku hanya ingin melihat jika tingkap mahligai itu dibuka Laila!

Kau bermimpi. As. Aku bermimpi? Tak mungkin. Aku masih sedar dan melihat diriku saat ini. Tapi aku juga melihat pintu itu. Aku seolah-olah membukanya dan memandang wajah Laila, memandang keintiman yang pernah dilalui bersama. Ini kukatakan padamu, Sah. Kau pernah juga berkata, perhubungan intim bukan bererti tanda pasti aku berjaya melepasi pintu itu. Mungkin sahaja pintu itu penuh dengan kedukaan, dendam kesumat dan lara. Siapa tahu. Dia akan keluar juga dan mencarimu. Semua ini akan berulang. Dengar kata-kataku ini, As. Kau juga mesti percaya bahawa pintu itu akan tertutup semula membiarkan dia kepada suatu kenangan lain. Berbekal seberkas pengalaman peribadinya, dia akan datang kembali; paling tidak untuk memperagakan salam maaf! Maaf demi maaf yang tidak selesai.

Entahlah, mengapa kau sebaik itu, As. Tidak seperti kebanyakan yang lain, yang mudah menyimpan dendam mereka. Sepatutnya bunuh saja kenangan itu, atau kembalikan kepada asalnya. Malangnya aku tidak sekejam itu, Sah. Sudah lama ia menjauh meninggalkan aku mencipta sebuah dunia diri dan pintu itu untuk kutitip kemudiannya. Sesekali aku mendengar citra dan tragedi kehidupan yang runtuh, bangun dan runtuh semula. Selepas itu mencariku untuk sebuah keruntuhan yang lain! Memang, inilah perulangan yang kau maksudkan, Sah. Tapi apakah aku akan mengulanginya lagi?

Aku tidak akan berduka kerana itu. Aku tidak berhak untuk mendendami apa lagi sakit hati. Aku bukan siapa-siapa. Aku seperti insan lain, adalah kepunyaan mutlak Tuhan. Kita tidak berhak ke atas sesiapa. Jika kita terluka, bukankah itu hanya secebis kedukaan orang sebelum kehadiran kita? Duka mereka lebih parah. Aku bukan Abu Bakar. Bukan Umar Al-Khattab. Bukan Bilal. Bukan Amir Hamzah. Bukan Jose Rizal. Bukan Chairil Anwar. Bukan Anwar Ibrahim. Aku adalah diriku sendiri. Tetapi apa yang berlaku sekarang hanya cebisan kecil dan tragedi sengsara mereka semua. Tokoh-tokoh zaman lampau yang pernah melewati pusingan kehidupan itu.

Kau makhluk pilihan Tuhan, katamu lagi. Bersyukurlah untuk itu. Tuhan akan menguji kerana kasih-Nya Dia kepadamu. Aku terkesima mendengar hujahmu, Sah. Terima kasih. Benarlah bahawa segala ujian itu tidak satu tapi berbagai-bagai. Di tempat yang berbeza-beza. Pada masa yang berlainan. Iklim yang tidak sama. Juga, perasaan yang tidak mungkin serasa. Tuhan akan terus menguji sambil memberi pengajarannya untuk kita sedari betapa besar Kekuasaan-Nya.

Jangan alah kepada perasaan. Perasaan, seperti katamu dalam warkah yang kuterima baru-baru ini melalui e-mel, akan membunuh seluruh kehidupan, juga kenangan. Kita cepat alpa. Melupakan keberadaan kita. Melupakan sumpah yang dilafazkan. Kadang-kadang umpama kek. Kadang-kadang umpama lalang. Kek dan lalang? Kau berhujah lagi, Sah. Aku tidak lupa ketika kau mengutus surat kepadaku ketika hujan masih belum tiba di lembah ini. Mengapa manusia membeza-bezakan kepada penerima kek-kek itu. Seperti berlaku pilih kasih. Ketika bahagia, kek itu dipotong kemas, diletakkan di atas pinggan yang terpilih. Dan tiada cacat celanya. Apabila mula membenci, bagaimanakah bentuk kek yang harus dibahagi? Demikian juga apabila manusia diumpama lalang. Perasaannya, sebenarnya. Cepat berubah ketika ditakluki sentuhan angin. Mengikut bagaimana derasnya deru angin itu. Lalang yang melukakan. Memang lalang selalu melukakan, apabila kita alpa dan lalai. Tapi, apakah maknanya semua itu?

Aku bahagia, Sah walaupun hanya seketika ketika memasuki pintu itu. Rupanya ada taman lain yang kuhidupkan di dalam pintu itu. Pernahkah kau membaca sebuah puisiku berjudul Sebuah Taman? Aku tidak akan pernah berputus asa. Meskipun Laila di atas singgahsana Putera Belalang itu. Penantian akan menjadi pakaianku untuk esok atau lusa atau sehingga tiba dekad yang seterusnya. Sebagaimana betahnya aku menanti sehingga Laila muncul ditingkap berjeriji itu selepas dua dekad berlalu.

Sukar untuk aku katakan apakah rasa yang sebenar dalam warkahku kali ini, Sah. Itu rahsiaku. Biarlah seperti orang lain, aku berhak untuk berahsia. Biarlah ia kuhuni dalam kamar diri. Dalam kesedihan yang teratas. Mengunjungi taman dan pintu itu, mengembalikan calar kenangan dan direnungi. Walaupun dia sudah berada jauh selepas mendekati antara satu. Tunggulah tiba pertemuan yang seterusnya.

Dan, pada hari itu, aku tidak sedar cuaca diri bertukar tiba-tiba. Mendung beralih ke arahku. Guruh, guntur dan kilat bersahut-sahutan. Dan, hujan mulai turun dengan amat lebat, memandikan lembah Tambalugu ini di bawah megah istana.

Di manakah Laila?

Rabu, Januari 21, 2009

Perjuangan pengurus sastera

Kalau bercerita tentang sastera, dunia buku atau paling tidak karya sastera asasnya tidak lain ialah medan; yakni bagaimana sesuatu bahan sastera waima dalam bentuk apa sekali pun dipasarkan. Pasaran di sini tidak semata-mata bagi tujuan komersil bahkan bagaimana bahan itu sampai kepada sasarannya.

Bila kita bercakap mengenai penulis memang tidak pernah habis, apatah lagi memperkatakan tentang haknya, peluang yang perlu diterimanya dan masalah-masalah yang terpaksa diharungi tidak dapat ditepis begitu sahaja. Banyak sekali rintangan yang dengan sengaja terjadi bahkan dilihat secara sambalewa tanpa inovasi. Perubahan atau pembaharuan harus ada sesuai dengan keadaan semasa. Tanpa perubahan, hidup kita menjadi terlalu mendatar menyebabkan pergerakan lembab.

Di mana-mana juga, sesiapa juga mahu menyatakan sesuatu tentang dirinya, tentang orang-orang yang dekat dengan dirinya, tentang bangsanya, tentang negaranya dan tentang dunianya. Mereka tidak berkata tetapi mencatatkan apa juga mengikut kemampuan masing-masing. Mereka boleh membuat pilihan sama ada secara eceran menerusi media seperti surat khabar, majalah dan blog atau menterjemahkan fikiran mereka itu dalam medan atau wacana yang lebih besar iaitu buku. Sebenarnya terlalu bannyak ruang dan tanpa batas. Tulislah apa sahaja asalkan bergariskan keyakinan bahawa media yang dipilihnya itu memberikan sesuatu yang berguna.

Menulis dalam blog tentu sahaja tiada sebarang pulangan selain kepuasan. Tidak ada duit untuk itu. Bila sampai kepada bab duit, apa pun boleh dilakukan bila mahu, tetapi tidak semua bakal menjadi. Kadang kala, peluang sering dihadang oleh tabiat manusia yang tidak mahu berfikir panjang sama ada tindakannya itu betul. Jika anda mempunyai ramai kawan yang pandai mengarang puisi atau cerpen tetapi ada beberapa orang kawan yang amat rapat malah lebih akrab hingga ruang yang disediakan di media itu hanya untuk orang-orang yang sama; orang-orang yang sama itu tentulah kawan yang amat akrab. Ini bukan soal duit tetapi kroni. Masalah besar apabila keadaan ini terdapat dalam mana-mana tempat. Apalah sangat bayaran untuk sebuah karya di media massa meskipun disediakan sejumlah peruntukan. Tolonglah, kata beberapa orang kawan, bahagi-bahagikanlah peluang itu dengan adil. Selain adil perlu konsisten. Mustahil tiada karya sastera yang sesuai untuk diterbitkan dengan ramainya penulis generasi baru yang telah pun dididik untuk menghasilkan karya yang baik.

Bagi pendatang baru atau penulis baru menempatkan karya mereka di media massa menjadi suatu perjuangan yang maha hebat. Apa lagi jika mendapat hono, semakin bermakna hidupnya.

Katakanlah anekdot ini sebagai sebuah sapaan, beringatlah bahawa tanggungjawab anda amat besar. Menjana program yang tercatat dalam senarai tugas yang panjang berjela itu perlu dilakukan secara saksama, adil, berhemah, bermakna dan diterima oleh mereka yang menjadi pelanggan anda. Perjuangan anda tidak sekadar menerima upah bulanan. Sebagai pengurus perjuangan anda tidak pernah selesai walau dalam apa keadaan sekali pun, kerana itu anda harus tahu apa akhirnya, apa hasilnya, apakah telah menepati piagam yang menjadi langgam indah sebagaimana yang dijanjikan.

Mengulangi Peristiwa

Saya ingin membawa anda merenung semula bagaimana rasa selesa dalam sebuah suasana yang telah kita jangka dalam kehidupan. Suasana ini mungkin berlaku tetapi amat jarang yang berfikir bahawa keselesaan bukanlah jawapan kehidupan yang maha indah ini sentiasa indah. Kita perlu ada niat yang suci. Betul. Menghargai apa yang telah diberikan. Juga betul. Ruang yang dimiliki yang diberikan Ilahi dan ruang yang dianugerahiNya bagi mengimarahkan bumi harus tidak dicemari dengan angan-angan keji. Kita sentiasa ingat bahawa setiap yang kita lakukan merupakan rahsia yang diberikan Tuhan, kita melakukannya dengan sebaik mungkin. Hanya mungkin kealpaan membawa kepincangan mengalir ke muara keinginan dan niat yang sepatutnya murni itu membinakan pula benteng antara yang berhak dan tidak. Sesekali kita gagal memilih dan menilai dengan baik. Kita berada dalam ruang yang sama sekali tidak berubah. Inovasi kita hanyalah sebuah ulangan atau 'rebranded' sebuah peristiwa masa lalu. Dengan cepat, sebaiknya kembali mengenali ruang yang kita diami. Untuk siapa apa kita fikirkan itu; ruang yang ada di mana kita berada ini mahu dijadikan apa, apabila berasa selesa.

Sering kali orang berkata anda jangan terlalu selesa berada dalam keadaan yang selamat! Sebuah bilik yang kecil tentu tidak memberikan makna keselesaan, setidak-tidaknya ada ruang lain untuk mengekalkan
'kedudukan' atau fikiran-fikiran baru yang perlu diselesaikan. Masalah yang datang tiba-tiba wajar ditempatkan pada ruang-ruang yang berbeza dan dekat dengan kita. Kita harus memetakkan fikiran-fikiran lain juga yang harus seiring dengan hasrat yang akan berlangsung pada ruang itu. Siapa pun tidak inginkan faedah yang tiada, apakah anda sanggup memberikan nafas kepada orang lain sedangkan nafas anda 'ngam-ngam' untuk kehidupan anda? Kita perlu memberikan sebuah jawapan yang tepat dan meyakinkan.

Selasa, Januari 20, 2009

Khabar Seluruh Dunia

Kau menutup pintu. jelaga kabus mula hampir dan tiada kata-kata lagi dari mata. mati. hatimu ingin pulang kepada pertanyaan dan kerisauan. para bapa yang berfikir akibat dengar yang bara. seluruh dunia kagum dan tekun menulis kebaikan dan juga keburukan jiran tetangga bahkan negeri-negeri yang jauh. tentang kesusahan jiran menghulur murah hati menutup tabir rumah sendiri. anak-anak yang melarat tanpa rumah. merembes air mata pada puing rumah yang roboh. matamu mati di hati. kau pulang ke lautan dasar. menutup pintu. dan mula menyelak tabir rumah.

[Sinar Sirna]

Isnin, Januari 19, 2009

Penyair Sabah Berkongsi Duka di Gaza

MESKIPUN Gaza terletak ribuan kilometer jauhnya dari Sabah tetapi suara tembakan, raungan kepedihan,ratapan kesedihan, jeritan kemarahan di wilayah itu terdengar hingga ke Kota Kinabalu dan penyair dari seluruh pelusuk negeri berhimpun untuk menyatakan respon mereka terhadap kekejaman dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin.

Penyair dan penulis dari seluruh Sabah yang menyertai Majlis Baca Puisi Amal Gaza di Jalan Pantai bermula jam 10.00 pagi hingga jam 1.00 petang, 18 Januari, tidak melepaskan peluang untuk melontarkan perasaan mereka dalam bentuk puisi-puisi yang tajam, yang mengharukan, yang berisi kritikan dan luahan rasa marah terhadap tragedi yang menimpa Palestin, yang kini memasuki hari ke 23 kelmarin.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,203 warga Palestin mati termasuk 410 kanak-kanak manakala 5,300 orang yang lain tercedera dalam tragedi kemanusiaan itu.

Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang berhak mencabul nilai-nilai kemanusiaan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.

Katanya, program itu sangat bermanfaat kerana ia membuktikan keprihatinan dan rasa luka yang dirasai penyair melihat apa yang berlaku di Palestin itu.

"Tragedi yang berlaku di Palestin pasti melukakan insan tanpa mengira anutan, kaum dan keturunan. Rasa kemanusiaan kita sama. Semua insan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

"Tetapi apabila manusia hilang kewarasan, hilang persepakatan, hilang perpaduan, hilang rasa permuafakatan,maka terjadilah apa yang berlaku di Gaza.

"Dan tidak mustahil jika kita sentiasa berpecah belah, bercakaran, bertelingkah dan bersengketa, apa yang terjadi di Gaza boleh berlaku dimana-mana," katanya ketika merasmikan program itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, Timbalan Pengarah DBP Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain, penulis-penulis dan penyair serta peminat sastera dari seluruh Sabah.

Majlis itu dianjurkan oleh BAHASA, Ikatan Penulis Sabah (IPS),Kelab Rekreasi Penerangan Sabah (KERPEN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan Dewan Bandar raya Kota Kinabalu (DBKK).

"Golongan penulis boleh menjadi pejuang dengan tinta kata untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman. Apa yang dilakukan oleh kalangan penulis dan sasteawan di negeri ini dalam membantu rakyat Palestin yang jauh.

" Tetapi walaupun jauh, sesungguhnya, bagi saya ia bukan penghalang untuk mereka membantu dan menyatakan simpati terhadap segala penderitaan yang dialami, kerana tiada batas untuk nilai kemanusiaan sejagat yang mulia dan murni," katanya.

Beliau juga memuji usaha BAHASA dan IPS menerbitkan Antologi Puisi Luka Gaza yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat hari, yang bukan sahaja menunjukkan simpati dan keprihatinan penulis dan sasterawan di negeri ini, terhadap penderitaan rakyat palestin tetapi juga menunjukkan bahawa sasterawan dan penulis juga peka terhadap persekitaran terutama yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar hukuman yang setimpal terhadap segala kekejaman yang dilakukan rezim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Jika kita tidak dapat mengubah kekejaman dan kezaliman mereka dengan senjata, dan tenaga kudrat empat kerat, tidak mampu menghantar senjata dan bala tentera untuk membebaskan mereka, maka doa dan apa juga yang dilakukan akan dapat membantu meringankan beban dan penderitaan mereka.

Penyair Jasni Matlani, yang juga Yang Di Pertua BAHASA menyebut peristiwa Gaza uitu sebagai malapetaka kemanusiaan dan kehadiran penulis dari seluruh Sabah, antaranya dari Sandakan, Kudat, Kota Belud, Pitas, Beaufort dan sebagainya membuktikan keprihatian penulis. "Kalau dulu saya mengatakan penulis tak perlu jadi pejuang tetapi sekarang, saya menyatakan penulis adalah pejuang kemanusiaan".

Antara penyair yang sempat melantunkan suara dalam majlis itu ialah Awang Karim Kadir, Brahim Abdul Samad, Nandra Hitong, Mohd.Nor Makbul, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Mohd.Almiey Md.Ali, Alfazli HMS, Yusuf Nur, Syafie Muhamad,Mohd.Daud Insun, Mohd.Fuad Bebit, Ony Latifah Osman, Jair Sulai dan lain-lain lagi. Selain itu, Mabulmaddin Haji Shaiddin menyanyikan lagu puisi, Gadis Kecil itu dan penyanyi Norizs dan persembahan menarik dari BAHASA Cawangan Sandakan.

Paling menarik ialah persembahan baca puisi Luka Gaza Dua oleh Datuk Haji Mohd.Arifin Arif berduet dengan isterinya, Datin Hajah Lenny Natasha.

Sambil menonton persembahan puisi dan lagu-lagu puisi, program yang dihoskan oleh penyair Jasni Yakub, Karim Gullam dan Ony Latifah Osman berjaya menarik perhatian orang ramai yang turut mengambil bahagian dengan menderma untuk Tabung Kemanusiaan untuk Gaza.

Dipetik dari Blog Abd Naddin Shaiddin

Ahad, Januari 18, 2009

Iktibar yang berkibar

Agak terkilan juga kerana tidak dapat menyertai Majlis Pengucapan Puisi Amal Gaza yang telah diselenggarakan oleh para sahabat di Kota Kinabalu. Jika disuruh membuat pilihan tentulah saya harus akur dengan arahan pihak atasan saya untuk melaksanakan tugas rasmi. Pendirian saya bagaimanapun tetap berada di kedua-dua keadaan, tanggungjawab tetap tanggungjawab, sebagai penjawat awam dan sebagai aktivis sosial. Syukurlah majlis amal berkenaan telah dilaksanakan dengan baik sekali, begitupun saya belum menerima sebarang komentar atau maklumat terkini daripada sahabat-sahabat. Namun yang pasti program ini sampai pada matlamatnya di samping menikmati pengucapan puisi berkaitan penderitaan masyarakat Gaza.

2.
Sebaiknya bersederhana, betul dan saya bersetuju dengan ungkapan ini yang juga dikatakan oleh Cikgu Mohd Isa Razak dalam blognya. Semurni-murni tindakan untuk meraikan apa juga peristiwa ialah kesederhanaan. Bukan riak dan apa juga bentuk perbuatan yang menyalahi suruhan agama dan norma sosial sehingga melahirkan sifat angkuh. Bila menang kita harus ingat masanya kita tewas meskipun ramai yang lupa. Kemenangan bukan suatu yang mutlak sebagaimana kehidupan ini dengan pasangan-pasangannya. Sepatutnya kita insaf, semua orang yang terlibat perlu sedar tentang kesementaraan ini. Bila menang pasti ada masanya tewas, begitulah sebaliknya.

3.
Pertemuan dengan Abd Naddin saya tangguhkan hari ini lantaran harus menyelesaikan beberapa perkara peribadi, sepatutnya pertemuan itu diadakan, untuk mendapatkan gambaran majlis Pengucapan Puisi Amal Gaza pagi tadi. Pada masa yang sama saya begitu teruja untuk mengkhabarkan perjalanan singkat saya di Kuala Terengganu. Tidak puas berutus menerusi SMS, menceritakan beberapa peristiwa yang menyerap dalam kalbu. Banyak sekali dan sukar untuk diterjemah menerusi blog ini.

Jasni Matlani (JM) dan Ony Latifah Osman juga menghantar sms mereka pagi tadi. Mudah-mudahan Allah memberian keselamatan buat sahabat-sahabat saya ini dan semua rakan penulis dan masyarakat di Sabah yang mempunyai tekad dan hasrat yang sama menentang pencerobohan dan kekejaman Zionis Israel.

4.
Petang ini sudah berada di Kota Kinabalu. Saya masih mengenangkan babak-babak menarik di Kuala Terengganu. Makan santai di Dataran Shahbandar - Nasi Kerabu dan segelas air kelapa ditemani rakan sejawatan yang terus membujang (apologi buatmu Sop). Mendengar ceramah politik PR yang kebetulan berlangsung di situ. Ketika itu Menteri Besar Selangor sedang berucap. Pada pandangan yang lain tergambarkan juga pelbagai jenis poster, panji-panji, bendera, risalah, newsletter dan kesibukan warga Terengganu. Berada pada satu malam, yang begitu 'menyusahkan' perjalanan apabila banyak jalan ditutup pihak berwajib tetapi dengan helah pemandu kami, berjaya juga masuk ke Stadium Negeri untuk mengikuti pengumuman rasmi PRK Kuala Terengganu. Sebelum itu agak teruja juga oleh ramainya manusia di sepanjang jalan berhampiran hospital dan stadium, entah apa akan jadi sekiranya keputusan tidak berpihak kepada mereka.

5.
Iktibar tetap berkibar. Dapat melihat kembali dan mencari mana-mana yang murni untuk diteladani dan diabaikan yang tidak baik sebagai sempadan.


Bulan Mengambang di Kuala Terengganu

Banyak perkara berkhidmat di SPR yang menarik malah tidak ada pada individu lain ialah ketika pengundian berlangsung sehingga proses pengumuman wakil rakyat. Namun pengalaman yang lebih menguja ialah ketika proses pengiraan undi dan membantu Ketua Tempat Mengundi memutuskan sama ada kertas undi yang telah ditanda itu boleh diterima atau tidak apabila kertas undi tersebut dikategorikan sebagai undi ragu. Dinamakan' Undi Ragu' apabila pengundi meletakkan beberapa tanda selain 'X' dan tanda itu bukan pada kotak yang disediakan. Tugas ini memang mencabar. Akhirnya apabila tanggungjawab mengendalikan pilihan raya yang telus telah dilaksanakan menempatkan suatu perasaan yang amat tinggi, apatah lagi menyedari demokrasi telah berlangsung untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat yang berwibawa.

Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu telah berlalu dengan seribu satu pengertian dan makna. Melihat sendiri senario yang amat jarang ditemui, saya benar-benar berterima kasih kepada pihak atasan kerana memberikan peluang untuk bertugas dan berdasarkan pengalaman 25 tahun berkhidmat di SPR, tiada masalah besar yang dihadapi malah menemui pengalaman baru yang tidak dapat dilupakan. Saya tidak pernah bermimpi untuk berada di tengah-tengah keriuhan komuniti yang sedang 'berperang' dan 'berpesta' kerana memenangi 'peperangan' yang berlangsung seminggu lebih. Semasa pihak-pihak yang 'berperang' itu berkempen hinggalah diakhiri dengan perarakan di sepanjang jalan raya bandar Kuala Terengganu, menarik perhatian sebagai detik bersejarah dalam kehidupan saya secara peribadi. Meskipun senario begini tidak dibenarkan pihak berkuasa namun hakikatnya sebuah perasaan telah dilontarkan, kepuasan telah dicapai dan harus diterjemahkan dalam bentuk sedemikian. Ini kegilaan generasi baru saya fikir. Mereka lebih rela berhadapan dengan pelbagai risiko dari segi keselamatan di jalan raya di samping mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Barangkali inilah yang apa yang dikatakan seorang sahabat saya '... meraikan kemenangan demokrasi'. Jika inilah trendnya kita berharap nilai-nilai adab yang memelihara apa juga peristiwa dengan rasa syukur dapat dipertahankan dalam suasana kegembiraan yang diimpikan.

Bulan 'mengambang' di Kuala Terengganu namun malam ini bulan tidak kelihatan. Jalan raya sesak, bunyi enjin motorsikal mengaum berang dan nakal, sesekali bergema takbir dan kibaran panji-panji dengan begitu galak sekali. Berbaur dengan keadaan begitu saya teringatkan beberapa peristwa yang terjadi dalam pilihan raya di Sabah sebelum 1994 terutama pergeseran politik yang tidak terkawal ketika itu sehingga berlakunya tunjuk perasaan di Kota Kinabalu. Teringat juga gegaran bom sesekali, memang ini bukan budaya masyarakat yang cintakan keharmonian bermasyarakat. Apakah demi mencapai slogan atau jargon berpolitik itu mengorbankan anugerah yang diberikan Tuhan lebih utama berbanding memilih kesederhanaan dalam apa juga tindakan. Memang apa yang saya ungkapkan ini tidak popular bagi sesetengah orang yang berkepentingan, yang memilik hasrat yang amat tinggi untuk bangsanya; padahal apa yang dapat difahami semua ini hanyalah babak-babak yang sengaja untuk sebuah kepuasan semata-,mata.

Dicatat di Hotel Grand Continental,
Kuala Terengganu.