SAYA cukup tertarik apabila
melaksanakan tanggungjawab sebagai pembimbing penulisan puisi Islam kepada
pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu bersempena dengan Festival Kebudayaan Universiti-universiti
Malaysia (FESTKUM 2014) baru-baru ini. Beberapa
hal yang lumrah dalam memperkatakan tentang sastera Islam bukan sahaja
di Negara kita bahkan seluruh nusantara berkaitan dengan soal definisi, praktis
dan lingkungan peradabannya.
Sastera dalam Islam (baca: Arab) disebut sebagai
adab. Dalam situasi seharian, kita boleh mengaitkannya dengan kesopanan,
kesantunan, atau dengan istilah ‘kelembutan kata’. Sudah tentu untuk menilai
sikap dan tingkah laku seseorang kita melihatnya dengan adab. Baik dengan
melihat kesopanannya, kesantunannya, atau dengan kelembutan tutur katanya saat
bicara. Namun definisi adab di dalam sastera jauh lebih besar daripada itu.
Menurut Shauqi Dhaif, adab (baca: sastera) adalah
karya yang dapat membentuk ke arah kesempurnaan kemanusiaan, yang di dalamnya
terkandung ciri estetika dan kebenaran. Dalam Islam, sastera haruslah mendorong
hasrat masyarakat untuk menjadi pembaca yang baik. Masyarakatlah yang menjadi
sasaran utama pemahaman kesusasteraan. Jadi sastera Islam lebih mengarah kepada
pembentukan jiwa.
Definisi seni dan sastera Islam menurut Said Hawa
dalam bukunya Al Islam, adalah seni sastera yang berlandaskan kepada akhlak
Islam. Senada dengan Said Hawa, menurut Ismail Raja Al Faruqi, seni Islam
adalah seni infiniti (seni ketakterhinggaan), di mana semua bentuk kesenian diperteguh
pada keyakinan akan Allah. Ia juga menyatakan bahawa ekspresi dan ajaran
Alquran merupakan bahan materi terpenting bagi ikonografi seni sastera Islam.
Dengan demikian seni Islam dapat dikatakan sebagai seni Qurani atau seni
Rabbani.
Harun Daud berkata, “tujuan kesusasteraan adalah
untuk mendidik dan membantu manusia ke arah pencapaian ilmu yang menyelamatkan.
Bukan untuk membentuk makna spekulatif. Sebuah karya sastera atau karya seni
dalam Islam adalah alat atau bantuan dan bukannya pengakhiran realiti itu
sendiri.” Sementara menurut Shahnon Ahmad bersastera dalam Islam haruslah
bertonggakkan Islam, iaitu sama seperti beribadah untuk dan kerana Allah.
Setelah kita memahami definisi
maupun tujuan dari sastera Islam, ada hal yang perlu kita jawab iaitu apakah
yang akan menciptakan karya sastera Islam harus orang Islam? Atau apabila orang
bukan Islam berkarya yang karya sastera mereka berdasarkan adab Islam, lalu
apakah sastera mereka dapat dikatakan sebagai sastera Islam?
Kita perlu memahami maksud daripada
definisi di atas, bahawa yang dikatakan sastera Islam adalah sebuah karya yang
berlandaskan adab islami yang orang yang membuat karya sastera itupun harus
orang Islam. Jadi jika orang tidak Islam berkarya dengan ciri karya sastera
Islam bukanlah disebut sastera Islam. Sastera itu disebut dengan sastera yang
bersumberkan Islam.
Untuk memudahkan kita memahami
maksud sebenarnya sastera Islam, berikut beberapa ciri sastera Islam, iaitu (1)
Jika sebuah cerpen, puisi atau novel Islam, misalnya, tidak melalaikan pembaca
atau penulisnya untuk mengingat Allah. (2) Ketika membacanya akan diingatkan
kepada ayat-ayat kauliyah maupun kauniyah-Nya. (3) Ada unsur amar maruf nahi
munkar dengan tidak menggurui. (4) Penuh dengan ibrah dan hikmah. (5) Ia kerap
bercerita tentang cinta; baik cinta kepada Allah, Rasulullah, kedua orang tua,
perjuangan di jalan-Nya. Cinta pada kaum muslimin dan semua mahluk Allah:
sesama manusia, haiwan, tumbuhan, alam raya dan sebagainya.
Ciri lainnya, karya sastera Islam
tidak akan pernah mendeskripsikan hubungan badani, kemolekan tubuh perempuan
atau betapa ‘indahnya’ kemaksiatan, secara vulgar dengan mengatasnamakan seni
atau aliran sastera apapun. Ia juga tidak membawa kita pada tasyabbuh bi’l kuffar, apalagi jenjang
kemusyrikan.
Terdapat pola umum persoalan azab
(perkara bagaimana pesan disampaikan) dalam sastera Islam. Pola tersebut
dinamakan pola balasan setimpal (poetic justice). Misalnya, terdapat rentang
waktu dari A ke B. Seorang C akan berjalan dari rentang waktu tersebut. Dalam
perjalanannya, 90% dihiasi dengan sikap dan sifat yang sangat buruk, hingga
pada 10% terakhir si C akan mendapatkan azab yang sangat pedih dan akan menginsafi
si C untuk berubah menjadi lebih baik. Sebetulnya, persoalan azab bukanlah
persoalan pokok dalam kesusasteraan Islam. Jika kita merujuk pada kisah-kisah
Nabi, sebelum diberikan azab terdapat peringatan-peringatan dalam bentuk ilmu,
tarbiyah, pendidikan, dan wahyu. Jadi, yang paling penting di titik ini
bukanlah azab tetapi peringatan berupa ilmu.
Selain itu, titik tekan dalam
dunia kesusasteraan Islam terletak pada teknik penulisan kesusasteraan yang
harus mendalam; bukan sekadar merakam. Pesan yang dibawa dalam kesusasteraan
Islam juga bukan sekadar disampaikan di akhir cerita tetapi menulis wacana yang terdapat gagasan di dalamnya.
Watak-watak yang ada di dalam cerita bukan lagi aksi-aksi daripada pelakunya
tetapi fikiran yang dibawa di dalam dialog-dialognya.
Islam memiliki darjat-darjat yang
ada di dalamnya. Di dalam sastera pun terdapat pembahagian darjat-darjat
kesusasteraan. Ada karya sastera yang tidak dapat ditujukan pada orang yang
tidak sedarjat yang tidak memiliki kemampuan untuk memahami karya sastera
tersebut. Tugas orang-orang yang memiliki kemampuan untuk memahami sastera (di
dalam suatu darjat) itulah yang harus menjadi jambatan penyambung untuk
memudahkan pemahaman pada orang-orang di bawahnya. Hal yang harus difokuskan
dalam kondisi ini adalah ukuran ketamadunan yang tinggi. Akan tetapi, terdapat
persoalan yang lebih penting dalam kondisi ini, iaitu bagaimana mendidik
masyarakat untuk menempatkan suatu karya sastera pada masyarakat pembacanya
pada tempat yang tepat. Ukuran yang paling tepat untuk mengukur hal ini adalah
dengan menggunakan ukuran pandangan hidup Islam.
Sastera Islam kebiasaannya menempatkan
fokus kisah-kisah tragedi sebagai kelemahan, nafsu kebinatangan dan kerendahan
manusia. Sedangkan dalam pandangan hidup Islam, yang ditekankan adalah konsep
uswatun hasanah (keteladanan); menjadi insan yang baik dengan cara mencontohi
Rasulullah SAW.
Sastera Islam akan lahir dari
mereka yang memiliki rohiyah Islam yang kuat dan wawasan keislaman yang luas.
Penilaian apakah karya tersebut dapat disebut sastera Islam atau tidak bukan
dilihat pada karya semata, namun juga dari peribadi pengarang, proses
pembuatannya hingga dampaknya pada masyarakat. Sastera Islam bagi pengarangnya
adalah suatu pengabdian yang harus dipertanggungjawabkan pada Allah dan umat.
Sastera dalam kehidupan seorang muslim atau muslimah pengarang adalah bahagian
dari ibadah. Maknanya tidak ada dari hasil karya mereka diniatkan selain untuk
ibadah.
Sebuah karya tidak dikatakan
sebagai sastera Islam hanya kerana mengambil latar belakang madarasah, masjid,
mengetengahkan tokoh ulama dan menampilkan ritual-ritual keagamaan atau unsur
sufistik. Sastera Islam lebih daripada sekadar slogan atau simbol. Pengarang,
kehidupan, Islam dan karyanya menjelmakan satu kesatuan.
Para sasterawan Islam, berkarya
tidak hanya sekadar berkarya, untuk menghasilkan sebuah kesenian yang indah,
kata-kata yang mengagumkan. Tetapi mereka jauh lebih besar dari itu. Mereka
berkarya atas dasar iman kepada Allah dengan tujuan dari karyanya itu dapat menjadikan
dirinya dekat kepada Allah dan orang yang membaca karya-karyanya bisa ikut juga
menjadi lebih baik.
Untuk mewujudkan semua itu tentunya
sebelum berkarya haruslah memperbaiki peribadi terlebih dahulu secara matang
sampai benar-benar memahami agama Islam secara kaffah. Sehingga apapun yang
tertulis atau hasil karyanya benar-benar membawa kebaikan dunia dan akhirat.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan