Isnin, Mac 10, 2014

Kata-kata Terpilih HA


Kau dan aku memang tak sama walaupun melalui kenangan yang sama. [21/2/14]

Tak kan berubah adalah kenangan. Walaupun zaman telah merobah ingatan seseorang. . [21/2/14]

Sulitnya mengatakan tidak demi memelihara persahabatan. Sebab itu saling memahami dan mengerti sangat perlu. [21/2/14]

Memaafkan orang lain lebih baik daripada menghukumnya. [20/2/14]

Setiap tahun negeri kita mencari orang paling cantik tidak pula tercari orang paling cantik fikirannya. Orang cantik nanti akan jelek bila dimamah usia sedang fikiran yang cantik semakin dihargai oleh usia. [19/2/14]

Kita tidak tahu niat seseorang, melainkan menzahirkan sikap positif terhadapnya. [17/2/14]

Muhasabah walaupun dalam pesona bahagia. Kerana saat bahagia kita mungkin alpa. [17/2/14]

Ketawa kita kawan ikut, tangis kita sahabat ikut. Sebaik kawan dan sahabat adalah diri sendiri. [29/1/14]

Apabila kita memiliki niat yang murni, inshaAllah kita juga memiliki ketenangan yang memberikan jalan yang indah dan mudah. Saya sentiasa merafakkan doa buat sahabat-sahabat yang terus berjuang. Cabaran kita tak mungkin habis namun mampu diatasi. Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi dan ragam. Kita juga berhadapan dengan karenah insan yang tepu dengan kerenahnya juga. Kembali kepada nawaitu, kita hadapi segalanya dengan sabar waima di hadapan itu serigala yang bila-bila masa merobek-robek akal budi kita. [25/2/14]

Manusia yang bahagia ialah mereka yang membahagiakan orang lain walaupun sekadar sebuah senyuman. [16/1/14]

Hujan ini bagai sebuah melodi. Ada nada tinggi kadang rendah bahkan korus seperti menekankan makna yang terinti penghayatan anugerah Ilahi. [16/1/14]

Dua berita gembira hari ini. Pertama buku puisi saya akan diterbitkan dan kedua, kelahiran Sumayyah Zhufairah. Alhamdulillah syukur. [24/12/13]

Ya Allah, permudahkan isteriku, melahirkan zuriat kami. [24/12/13]

Jangan berputus asa, sesungguhnya akan datang kepadamu kebaikan dari arah yang tidak diketahui. [5/12/13]

Memandang sesuatu sama ada dengan mata yang baik atau tidak, bukan ukurannya, tetapi pandangan yang luhur dan jujur diukur dari mata hati. Tuhan Maha Tahu. (22 Mei 2013)

Keangkuhan menyebabkan manusia dihormati kerana kehormatannya sendiri telah tiada. (19 Mei 2013)

Jangan terlalu yakin bahawa kita sudah begitu bagus dalam apa juga bidang sehingga menyekat pilihan orang lain dalam upayanya menghasilkan karya yang terbaik. Kadang lihat dulu keperkasaan diri apakah sudah dipunyai. Ilmu sudah cukup bagus untuk orang lain sedangkan masih banyak hal yang harus didalami untuk diri sendiri. Semog diinsafi. Kita perlu berkongsi bukan sekadar menyatakan kelemahan orang lain. (9 mac 2013)

Jika kita merasa begitu sempurna sehingga sapaan kebaikan diterjemahkan sebagai pisau mengerat urat-urat fikir yang rasional terserah kerana kewarasan tidak selalu memberikan kita keputusan yang tepat apabila ia diletakkan pada tempat yang tidak tepat. Benarlah tidak semua manusia berakal itu menggunakan akalnya tetapi lebih sanggup meruntuhkan jambatan daripada memantapkan keutuhan jambatan itu. Semoga kita tidak tergolong sebagai orang-orang yang rugi. (8 Februari 2013)

Mengapa anda memilih jadi penulis sudah pasti ada jawapannya yang konkrit. Soalnya, jika anda punya tujuan tertentu, mengapa ribut bila anda tidak menerima layanan yang baik daripada audiens anda? Lakukanlah dengan cara yang betul bukan meminta-minta atau menagih simpati. Tunjukkan kemampuan bukan keampuan! (25 Mei 2011)

Mungkin kita ingin memahami dan memahamkan menerusi citra yang pelbagai, misalnya dengan bahasa berterus terang, dengan bahasa badan atau bahasa diam. Namun ada saat kita tidak mampu melakukannya, entah mengapa, sama ada mahu menjaga hati atau sekadar terus memerhati. Apapun situasinya, ada hari yang lain kita akan memahaminya sendiri, bukan melalui sesiapa, tetapi satu anugerah yang diberikan Tuhan dan tiada sesiapa mampu menafikannya. (22 Mei 2013)

Ketika di hadapan cermin apa yang selalu kita perhatikan? Rambut yang sudah berwarna atau kulit muka yang kerdut atau pandangan yang hilang. Syukurlah jika saat merapi diri itulah yang diberikan tumpuan kerana dari situ kita harus sedar kita bukan sesiapa lagi kecuali sebuah pinjaman yang akan hilang. Kerana itu juga mengapa harus berbangga diri? (20 Mei 2013)

Apakah kita berfikir bahawa kitalah yang terbaik? Tentu tidak. Tetapi muhasabah diri wajar dilakukan kerana kekurangan kita ada di mana-mana tanpa disedari. Malah yang terbaik mengatakan keterbaikan bukan kita sendiri. (20 Mei 2013)

Apabila bercakap tentang kecemerlangan diri sudah pasti kejujuranlah yang mungkin menjadi pendorong. Mengapa mungkin, kerana kejujuran sukar diukur dengan hanya kata-kata indah. Sebenarnya keindahan kecemerlangan itu ada pada mata batin orang lain yang lebih jujur mengukur bukan atas dasar jaga rasa tetapi jaga benar. (20 Mei 2013)

Orang yang terkenal juga sering melupai saat hidup sederhana. Saat terkenal dia lupa bahawa itu hanyalah sebahagain kecil anugerah yang diberikan Tuhan kepadanya. Kadang hal ini menyebabkannya tamak dan rakus, enggan berasa puas dan sering mengelabui mata orang lain dengan kelebihan yang dia miliki. Seorang yang hipokrit tidak pernah malu untuk meletakkan maruah diri di mana-mana waima berlakon untuk meraih sesuatu yang menguntungkannya dan mencapai hasrat fikirannya. Sederhana bukan pakaiannya. Bukan pilihannya. Meraih segala kemampuan harta memang sulit. Tapi lebih sulit lagi mengendalikannya menjadi tampil secara sederhana. Kerana nafsu memang tidak pernah berhenti mengalir ke segala arah.  (19 Mei 2013)

Setelah menjadi terkenal kadang terlupa ia hanya suatu kelebihan yang sedikit berbanding yang lain. Kelebihan begitu tidak seharusnya menolak diri ke tingkat angkuh dan rakus. Masihkah letak diri pada tempatnya yang biasa namun tetap juga berbisa. (15 Mei 2013)

Kesederhanaan itu senjata untuk berjaya. Bukan akur kepada keadaan tetapi inilah jalan yang indah bagi pejuang yang sabar. (15 Mei 2013)

Ingatan kita bersama. Bersederhanalah biarpun di saat punya kuasa atau di saat biasa-biasa. Kuasa yang diberi kepada yang berhak merupakan suatu amanah. Cermin diri kembali apa yang telah dilakukan ketika amanah yang digalas itu dilaksanakan. Apakah wujud wajah sombong dan angkuh itu? Kita manusia bukan haiwan yang sirna perasaan. Kesombongan dan keangkuhan tidak membawa kita ke mana-mana malah membuka jalan dendam dan kebencian. Beberapa hari yang lalu mungkin telah merenggangkan kita sebagai manusia meski sekampung atau senegara. Namun hari ini dan seterusnya kita masih punya negara yang bermaruah, makmur dan damai. Semoga kita bijaksana dalam memberi dan menerima. (6 Mei 2013)

Saya sering mengingatkan diri sendiri bahawa kesempurnaan jarang ada tetapi jalan ke arahnya terbentang luas asalkan minda kita juga ikut terbuka luas. ( 6 Februari 2013)

Sebagai penulis yang telah menempa nama bertahun-tahun berkarya puluhan buku diterbitkan seharus mampu melahirkan karya yang lebih hebat. Mengapa ya penulis yang begitu ternama masih berbicara tentang rajuk dan kurang bertenaga menzahirkan diksi yang mencabar baru bernas dan lari daripada kebiasaan. (6 Februari 2013)

Kerana mahu kekal dikenali, dia memilih jalan yang lain. Kerana mahu selalu dihormati, dia sanggup menjadi duri. Kerana mahu sentiasa disanjung tinggi, dia siap memilih api. Dengan jalan yang lain dia membuka baju dan mengibarkan bendera baru. Meski duri dia selesa mencuri hati orang-orang yang keliru. Di mulut api dia ekor yang mentafsir dunianya akan hancur kecuali membakar sekam dari dalam. Dia memang pandai memberi madu dan jadam. Dia pintar memutar benar memudar onar. Berdiri di arena menjual kalimat ubah dan baru di tengah orang-orang yang keliru. Mereka menyahut ya, ya, ubah ayuh ubah! Sedang jalan yang baru tiada di mata, mahu diubah apa, mahunya apa jika bukan tempatnya! Dia adalah dia yang sentiasa mengimpi jalan selesa. Dia adalah dia yang lazim menzalimi pekerti. Dia adalah dia yang meluap lupanya demi sebuah mimpi dan janji. (12 November 2012)

Apabila perasaan benci menguasai, semua situasi dipandang kelam dan sirna rasional akal. Kebaikan dientengkan keburukan pula diwangikan. Satu ketika akal harus difitrahkan. Kembali murnikan minda. Pulang ke madarasah asal dan dapatkan ketenangan kebenaran. (5 Ogos 2012)

Bosan membaca politik dan polemik. Semoga kamu berbahagia diberi otak untuk merasionalkan bukan meradikalkan fikiran. ( 3 Ogos 2012)

'Hari Puisi Nasional' sifatnya 1 negara, bukan 'Hari Puisi Sabah' tapi nak dapatkan sokongan dana bukan mudah.Terpaksa bekerja keras.Memerlukan komitmen yang tinggi.Namun tinggi bagaimanapun, yang bakal terjadi nanti tentulah tidak mencapai apa yang diharapkan.Sedih juga sesetengah jabatan yang mempunyai kaitan dengan KESENIAN enggan membantu.Cakap saja bukan main hebat, bila sampai masanya berbagai alasan diberi. (18 Februari 2012)

Facebook tempat berjabat salam untuk saling kenal mengenali, mengakrabi tali silaturrahim, saling mengkhabarkan, juga tempat menyalin ilmu, menyuara pandangan, mengiktibar peristiwa, berkongsi masalalu. Itu jika digunakan sebaiknya, alhamdulillah. Kita juga telah membaca lewat tag biasanya,catatan-catatan yang kurang berguna apabila memang disalahguna. (20 November 2010)

Biarlah setiap kata menerbitkan makna yang tidak sia-sia. (26 Oktober 2009)

Dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah akan mendapat lebih cahaya. (19 Oktober 2009)


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: