Ahad, Februari 25, 2018

Plagiarisme, kesedaran dan mendidik


PERBUALAN paling hangat sepanjang minggu lepas di media sosial Malaysia ialah mengenai plagiarisme. Isu ini menjadi hangat apabila terpapar pendedahan penyalinan bulat-bulat seorang penulis muda terhadap beberapa buah puisi yang digunakannya dalam penyiaran di surat khabar dan peraduan yang dimenanginya. Bagi pengkarya isu ini perlu difahami malah harus mendalaminya dengan serius. Pengkarya, penulis, pencipta dan sebagainya memiliki hak cipta yang wajar dipelihara dari segi hak-hak tertentu yang termaktub dalam perundangan.

Kata ‘Plagiat’ itu berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘Plagiarism’ yang terhasil daripada perkataan Latin, ‘Plagiarius’, dan perkataan Greek ‘Plagion’. Kata ‘Plagion’ ini membawa maksud menculik atau mencuri sesuatu atau seseorang. Kamus Dewan pula mendefinisikan plagiat sebagai perbuatan meniru, mencontoh karangan (tulisan, hasil kerja orang lain) atau mengutip karangan orang lain (tanpa izin penulis asal). Plagiat juga dianggap sebagai mencedok, iaitu mencedok ciptaan orang lain dan menyiarkannya sebagai ciptaan sendiri.

Penciplakan bukanlah cetak rompak. (Khatijah Mohamed & Ahmad Shamsul Abd Aziz, 2006). Sementara kedua-dua istilah boleh merujuk kepada sesuatu perbuatan yang sama, masing-masing membawa maksud yang berbeza. Cetak rompak bermaksud pencabulan hak terhadap pemilik hak cipta, di mana bahan-bahan yang dilindungi hak cipta digunakan sewenang-wenangnya tanpa izin. Sementara itu pula. penciplakan pula berkaitan dengan perbuatan memplagiat reputasi penulis yang dicapai melalui dakwaan penulisan yang palsu.

Dengan kecanggihan dunia Internet, segala informasi kini berada pada hujung jari sahaja. Internet menjadi sebuah perpustakaan yang lengkap, terdapat banyak bahan ilmiah yang boleh digunakan sebagai sumber rujukan oleh segenap lapisan masyarakat. Atas ciri-ciri ini, tanpa disedari telah wujud satu budaya baharu dalam masyarakat kita. Kecenderungan untuk melakukan plagiat melalui dunia internet kini telah berleluasa dan menular.

Terlalu banyak aktiviti plagiat yang boleh dilakukan menerusi Internet. Antara aktiviti plagiat ini kebiasaanya melibatkan teks, perisian komputer, animasi – tidak kira dalam bentuk video, audio, grafik dan sebagainya. Terdapat juga aktiviti plagiat di mana teks daripada artikel, buku, blog, wikipedia dan jurnal ditiru. Beribu-ribu hasil carian seperti artikel, data dan gambar boleh didapati dengan hanya menaip kata kunci dan melakukan satu carian yang mudah. Hasil carian diperoleh dalam masa beberapa saat sahaja. Hasil carian kemudiannya boleh di salin tampal, di muat turun ke dalam komputer sendiri malahan ada yang sanggup bertindak lebih jauh lagi – dengan membayar bagi mendapatkan salinan karya tersebut.

Menurut Wikipedia, terdapat tujuh aktiviti yang boleh digolongkan sebagai tindakan plagiat:
1.Mengakui tulisan orang lain sebagai tulisan sendiri,
2.Mengakui idea orang lain sebagai idea sendiri,
3.Mengakui penyelidikan, data dan uji kaji orang lain sebagai kepunyaan sendiri,
4.Mengakui karya kelompok orang lain sebagai hasil sendiri,
5.Menyajikan tulisan yang sama pada masa yang lain tanpa menyebut asal-usulnya (karya asal)
6.Menyalin, meringkas dan menulis semula perkataan, ayat atau idea yang diperoleh daripada sumber lain dan menulis semula mengikut kefahaman sendiri. (sama ada menyebut atau tidak menyebut sumber asalnya)
7.Melakukan terjemahan bahasa tanpa menyatakan sumber asal terjemahan tersebut.

Melakukan plagiat adalah sesuatu yang sangat mudah, semudah ‘salin-tampal’. Plagiat tidak memerlukan seseorang itu untuk mengeluarkan sebarang kos yang tinggi dan mereka juga tidak perlu memerah otak dan keringat untuk menghasilkan sebuah karya yang asli dan bermutu. Masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesebuah karya juga adalah singkat dan cepat. Plagiat juga membolehkan seseorang itu menghasilkan karya atau artikel tanpa memerlukan mereka membuat sebarang penyelidikan, pengumpulan data atau bersusah payah melakukan ujikaji di dalam makmal.

Dikategorikan sebagai jenayah besar dalam bidang penulisan, plagiat tidak hanya dilakukan oleh segelintir golongan, ia mungkin boleh dilakukan oleh pelajar, penulis blog, penulis buku, artis dan juga bagi mereka yang telah bekerja. Di Malaysia sendiri, pernah terjadi kes yang dibawa ke mahkamah dimana dua orang kakitangan akademik di sebuah IPTA tempatan telah memplagiat bahan rujukan untuk menghasilkan sebuah buku panduan untuk kegunaan pelajar. Selain itu, terdapat juga kes-kes lain dimana puisi dan hasil karya penulis asal telah diolah semula dan diterbitkan dalam media yang berbeza. Walaupun begitu, kes-kes yang berlaku di Malaysia tidaklah se-ekstrem seperti yang berlaku di tahap antarabangsa. Misalnya di Perancis, Patrick Poivre d'Arvor (PPDA) dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh memplagiat 100 halaman daripada 258 halaman buku Along With Youth: Hemingway, The Early karya penulis Amerika, Peter Griffin. (Roziyah Mahamad, 2011)

Terdapat beberapa faktor penyebab mengapa seseorang itu melakukan plagiat. Antaranya kesuntukan masa dan tiada idea dalam menyiapkan sesuatu tugasan, tiada kemahiran dalam melakukan penyelidikan, sikap mereka yang melakukan plagiat itu sendiri dan kurangnya pendedahan tentang plagiat dan undang-undang hak cipta.

Segelintir masyarakat yang tidak faham sejauh mana aktiviti meniru itu boleh dikategorikan sebagai plagiat. Ada yang menyangka plagiat itu hanyalah satu aktiviti di mana kata demi kata ditiru dan kemudiannya hasilnya diperakui sebagai hasil karya sendiri. Namun tidak ramai yang sedar bahawa secara langsung plagiat itu juga terjadi apabila penulis itu menyalin ayat-ayat penting sahaja tanpa sebarang perubahan atau mencantumkan beberapa karya lain menjadi satu karya baharu.

Tidak ramai penulis Malaysia yang berjuang di mahkamah apabila karya mereka diplagiat, meskipun kes plagiat karya kreatif seperti cerpen, puisi kerap berlaku, malahan sorotan Akta Hak Cipta 1987 menunjukkan hanya satu peruntukan dalam seksyen 36 (1) berhubung perkara terbabit. Akta itu antara lain menyebut bahawa pelanggaran hak cipta terjadi apabila seseorang yang tidak memegang hak cipta melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang perlakuannya dikawal oleh hak cipta di bawah akta itu.

Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 pula menggariskan mereka yang melakukan plagiarisme boleh didenda tidak melebihi RM10,000 setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan pertama).
Walaupun termaktub sedemikian, kedua-duanya kelihatan sangat longgar, apatah lagi jika dibandingkan dengan penalti kesalahan cetak rompak yang terkandung dalam akta sama, mengenakan denda minimum RM2,000 dan satu denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan.

Di bawah seksyen yang sama, turut menggariskan mereka yang melakukan muat turun daripada internet secara haram boleh dikenakan penalti lebih tinggi dengan denda tidak lebih daripada RM250,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun.

Dengan kecanggihan dunia Internet pada masa ini, melakukan plagiat adalah sesuatu yang mudah dan mendatangkan hasil dengan kadar yang segera. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa segala informasi yang terdapat di internet adalah terpelihara dan dilindungi di bawah undang-undang hak cipta – Akta Hak Cipta 1987. Informasi ini tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan atau diterbitkan semula tanpa keizinan penulis asal. Kenyataan ini sebenarnya terdapat di lembar pertama dalam buku-buku yang diterbitkan.

Perbuatan plagiat atau ciplak memang perbuatan yang tidak beretika. Walaupun tiada sesiapa dapat mengesan secara lahiriah perbuatan meniru dan menyalin sebahagian atau sepenuhnya sesuatu hasil penciptaan kreatif sebagai hasil karyanya tetapi ia tetap memberi kesan psikologi yang memanjang. Bukan tertakluk hanya kepada citra bertulis bahkan ciptaan-ciptaan kreatif yang lain seperti seni lukis, seni muzik, seni bina dan sebagainya. Walaupun telah sering diberikan panduan melalui perundangan tidak ramai yang menahami subjek plagiat merupakan suatu kesalahan dalam etika berkreatif. Dalam hal ini semuanya berbalik kepada diri setiap penulis, pereka, pelukis dan sebagainya harus serius memandang kejelekan perbuatan plagiarisme ini.

Dalam kehidupan, kita sentiasa meniru kepada hal-hal yang sering dibuat orang lain. Aristotle juga berpendapat begitu. Dalam dunia persuratan ciri-ciri plagiarisme tidak dapat diperiksa satu persatu dan ia berlaku tanpa disedari. Mungkin pengaruh sesetengah tokoh amat tebal. Pantun-pantun misalnya sering ditiru terutama pada pembayangnya. Karya-karya tradisional yang tidak tercatat pencipta menurut Sasterawan Negara Dato’ Zurinah Hassan, bukan satu kesalahan sebagai plagiat apabila berlaku peniruan. Bagaimana pun dalam kasus plagiat ini, cara sesetengah pihak membuka ruang pendedahan mungkin memerlukan pendekatan mendidik dan kesedaran bukan memberi aib kepada pihak yang terbabit. Biarlah hal ini diselesaikan dengan baik oleh kedua belah pihak yang terlibat sama ada melalui perundangan atau perundingan dan sebagainya.

Rujukan:

Khadijah Mohamed & Ahmad Shamsul Abd Aziz. (2006).Undang-undang Harta Intelek di Malaysia. Perlis: Penerbit Universiti Utara Malaysia.

Plagiat dipetik dari laman web: https://ms.wikipedia.org/wiki/Plagiat

Plagiarisme Bawa Penulis Ke Mahkamah dipetik dari laman web:

https://pts.com.my/berita/plagiarisme-bawa-penulis-ke-mahkamah/

Masalah Plagiat dalam Dunia Perniagaan dan Internet, dipetik dari laman web: https://www.usahawan.com

Hak Cipta dan Perundang-undangan, dipetik dari laman web: http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=6107


2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: